Wednesday, April 22, 2009

Isu sekolah daif Sabah diatasi segera


SANDAKAN 21 April - Kementerian Pelajaran akan menyelesaikan segera masalah persekitaran sekolah daif dan serba kekurangan di pedalaman Sabah dan Sarawak.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zarkashi berkata, selain itu pihaknya juga akan berusaha mengatasi masalah murid tanpa dokumen pengenalan diri di negeri ini.
"Saya akan cuba atasi masalah dihadapi Jabatan Pelajaran Sabah bagi meleraikan kekusutan menghambat pencapaian dalam pengajaran dan pembelajaran di negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama Jabatan Pelajaran Sabah di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Normah Gagoh.
Pada majlis itu, Puad menerima memorandum Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS) bagi menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi guru-guru di negeri ini.
Antara kandungan memorandum itu ialah masalah ketiadaan bekalan air bersih di kebanyakan sekolah, pelaksanaan bayaran elaun perumahan untuk guru sokongan dan pemberian insentif pedalaman yang tidak selaras.
Menurut Puad, beliau akan cuba mengatasi permasalahan di negeri ini bagi memastikan kecemerlangan pendidikan.
Katanya, beliau akan berbincang dengan pemimpin setempat dan agensi kerajaan berkaitan bagi mengatasi masalah tersebut khususnya masalah ketiadaan dokumen pengenalan diri murid sekolah.
Mengulas mengenai konsep Satu Malaysia, jelasnya, konsep itu hanya akan berjaya jika mendapat kerjasama seluruh rakyat pelbagai kaum di negara ini.
"Bagi menzahirkan Satu Malaysia ia mesti bermula di peringkat sekolah yang mana para guru merupakan pencetus dan penyemai nilai-nilai Satu Malaysia yang tepat bukan saja kepada murid malah masyarakat di mana mereka bertugas," ujarnya

Sunday, April 19, 2009

Subjek Sejarah bakal dirombak

BATU PAHAT 14 April - Pendekatan pengajaran mata pelajaran sejarah bagi sekolah rendah dan menengah yang kini berasaskan peperiksaan mungkin dirombak supaya berbentuk penghayatan di kalangan para pelajar.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pendekatan sedia ada kurang berkesan untuk melahirkan generasi muda yang bersemangat patriotik dan cintakan negara.
Menurutnya, pembelajaran Sejarah seharusnya lebih tertumpu kepada usaha menanam kefahaman terhadap pelbagai aspek sejarah dan bukan semata-mata berasaskan peperiksaan.
''Maka dengan ini barulah mata pelajaran itu dapat difahami dan dihayati sehingga melahirkan semangat juang di kalangan anak-anak," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis kesyukuran sempena kejayaannya dipilih ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Pelajaran anjuran UMNO Bahagian Batu Pahat di sini malam tadi.
Lebih 2,000 orang termasuk isteri Mohd. Puad, Dr. Rubiah Leman dan para pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) hadir pada majlis tersebut.
Mohd. Puad yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat berkata, perkara tersebut akan dibawa pada mesyuarat jawatankuasa Kabinet akan datang untuk dibincangkan.
''Oleh kerana perkara ini penting, maka sebelum itu saya akan berbincang terlebih dahulu dengan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya.
Beliau berkata, mata pelajaran sejarah penting dipelajari semua pelajar dari tahun 1 hingga tingkatan enam bagi melahirkan generasi yang memiliki jati diri dan cintakan negara.
Terdahulu ketika berucap, beliau menggesa ahli-ahli UMNO agar memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam melahirkan konsep Satu Malaysia.
''Konsep ini mempunyai matlamat yang cukup besar dalam membela nasib rakyat," katanya.
Mohd. Puad juga berikrar untuk memikul segala tanggungjawab dan amanah yang diberikan ekoran pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Pelajaran yang baru.

Tidak lagi bergantung 100% peperiksaan – TPM

KUALA LUMPUR 18 April – Sistem pendidikan negara bakal melalui transformasi penting tahun depan apabila tidak lagi bergantung 100 peratus kepada peperiksaan bagi menentukan gred pelajar.
Untuk itu, Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) akan diperkenalkan yang memasukkan kecerdasan akademik, sahsiah pelajar dan penglibatan dalam kokurikulum sebagai penentu gred peperiksaan awam.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia akan dimulakan dengan murid prasekolah dan tahun satu.
SPPK akan menyebabkan penumpuan terhadap peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikurangkan.
“Langkah ini secara keseluruhannya akan menyediakan modal insan yang holistik,” katanya yang juga Menteri Pelajaran.
Teks ucapan Muhyiddin dibacakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong sempena pelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom.
Tahap pencapaian pelajar buat masa ini diukur 100 peratus kepada prestasi mereka ketika menjawab soalan peperiksaan akhir tahun dan awam.
Ka Siong pada sidang akhbar selepas itu berkata, SPPK akan meletakkan penekanan terhadap proses pembelajaran secara menyeluruh dan bukan setakat menjawab soalan peperiksaan sahaja.
Katanya, langkah itu menjadikan sistem pendidikan negara tidak terlalu berorientasikan peperiksaan sehingga kelihatan mengabaikan aspek-aspek lain yang sama penting.
Malah, kata beliau, untuk jangka panjang, kementerian juga sedang menilai sama ada perlu mengadakan sehingga tiga peperiksaan awam.
Alimuddin ketika ditemui menambah, di bawah SPPK, pemberian markah untuk pelajar akan terdiri daripada empat punca iaitu:
- Psikometri (sikap atau sahsiah seseorang pelajar)
- Kokurikulum
- Berasaskan sekolah (peperiksaan mingguan dan bulanan)
- Berpusat (Lembaga Peperiksaan menyediakan soalan standard peperiksaan di semua sekolah).
Jelas beliau, melalui SSPK, penglibatan murid dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) akan lebih maksimum.
Katanya, pihak kementerian mencadangkan 70 peratus markah untuk UPSR adalah berasaskan pentaksiran dan hanya 30 peratus melalui peperiksaan umum.
Bagi PMR pula, katanya, 50 peratus berdasarkan pentaksiran dan 50 peratus lagi dalam peperiksaan manakala untuk SPM, 30 peratus berdasarkan pentaksiran serta bakinya melalui peperiksaan.
“Untuk SPM kita menumpukan lebih sedikit pada peperiksaan kerana keputusan itu penting bagi penempatan pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta,” katanya.
Jelas beliau, projek perintis SSPK telah dilaksanakan melibatkan 50 sekolah pada tahun lalu dan 500 lagi pada tahun ini.
Katanya, maklum balas yang diterima termasuk daripada para guru adalah amat positif.
Beliau berkata, pengenalan SSPK tidak akan membebankan para guru kerana sebahagian pendekatan sistem itu sudah pun dimulakan.
“Sekarang ini pun dah buat, kita ada ujian mingguan, ujian bulanan dibuat oleh guru, tetapi semuanya hanya simpan di sekolah dan tidak dimasukkan dalam keputusan akhir peperiksaan.
“Macam itu juga dengan kokurikulum, sekarang pun ada pelajar jadi pengawas, main bola untuk sekolah, cuma tidak dimasukkan secara rasmi dalam penentuan gred peperiksaan awam pelajar,” katanya.
Jelasnya, sistem pentaksiran akan dimulakan dari tahun satu hingga enam untuk UPSR, tingkatan satu hingga tiga bagi PMR manakala tingkatan empat dan lima untuk SPM.
Katanya, kumpulan pertama pelajar yang akan dinilai UPSR mereka menggunakan kaedah SPPK ialah pada tahun 2015 iaitu apabila murid tahun satu 2010 menduduki peperiksaan awam pada tahun berkenaan.
Jelas Alimuddin, beliau yakin SPPK akan dapat mencapai objektifnya kerana ia dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.