Friday, December 11, 2009

JANGAN TIRU BINATANG LAUT INI - UNDUR UNDUR

Today at 10:40pm Edit Note Delete


1. Ada sejenis binatang laut. Namanya Undur Undur. Tetapi binatang ini hanya hidup di kawasan pantai sahaja, bukannya di laut. Tepatnya di daerah pesisir pantai yang berpasir kering. Mereka juga boleh dijumpai di pinggiran sungai yang tidak berpasir.
2. Ukuran bintang ini amat kecil. Kecil sedikit daripada sebiji kacang tanah. Warnaya bintik bintik hitam-putih atau kelabu, tergantung habitatnya. Saya suka menjadikan cara hidup binatang ini sebagai contoh dalam ceramah ceramah saya terutamanya di kalangan guru. Binatang ini tidak berbahaya kerana ia cinta kedamaian.
3. Binatang ini dipanggil Undur-Undur (mundur-mundur) kerana ia bergerak atau berjalan undur ke belakang.Bagi binatang ini, berjalan undur ke belakang bermakna ia berjalan ke depan seperti manusia dan binatang yang lain berjalan maju ke depan. Kalau kita berjalan dengan cara undur ke belakang, sudah tentu orang akan ketawakan kita. Mereka akan kata, kita GILA.
4. Tetapi binatang Undur Undur ini mempunyai perangan yang aneh. Walaupun ia bergerak undur ke belakang, tetapi jika kita tarik dia ke belakang dia akan melawan untuk bergerak ke depan. Dan sebaliknya bila ditarik ke depan dia akan melawan untuk bergerak undur ke belakang.Diarah ke kiri, dia akan melawan ke kanan. Dan jika di arah ke kanan dia akan melawan ke kiri.
5. Bila dia bergerak laju, dia akan membalikkan badan, menelentang dan berputar putar tidak keruan. Pendek kata, hanya jika dipaksa, binatang yang dainggap lemah dan sederhana ini tidak akan tunduk pada perintah dan peraturan orang lain. Dia hidup dan bergerak menurut kehendaknya sahaja.
6. Persoalan dan pengajaran yang mahu kita berkongsi di sini ialah, apakah kita juga mempunyai tabiat seperti undur-undur. Susah mahu berubah, susah mahu maju, ikut kepalanya sahaja, tidak boleh berunding, semua ikut tafsirannya dan dia sahaja yang betul. Seperti cara pihak tertentu mentafisr Perlembagaan Persekutuan.
7. Kita rasa kita maju, tetapi sebenarnya mundur seperti undur-undur. Dulu jalan kampung, sekarang berubah jadi jalan 4 lorong dan bertol. Tetapi cara berlalu lalang amat primitif. Gila gilaan. Sebab itu saya sedih melihat banyak nyawa yang terkorban di jalan raya. Sedih bila menonton berita perdana TV3 sebentar tadi, seorang pengantin dan kedua ibunya terkorban. Majulah rakyatku.

Thursday, December 10, 2009

POTONG GAJI MENTERI RM10

Today at 12:43pm Edit Note Delete

1. Pada 7.12.2009 yang lalu ahli parlimen DAP Dato Ngeh Koo Ham dari Beruas membawa usul di bawah peraturan mesyuarat 66(9) untuk memotong gaji YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran sebanyak RM10. Tiga alasan dikemukakan. Pertama kerana tragedi jambatan runtuh di Kuala Dipang yang mengakibatkan tiga pelajar India terkorban.

2. Kedua, kerana kementerian membatalkan PPSMI dan ketiga kerana kementerian tidak membantu SJKC dan SJKT. Oleh kerana YAB Menteri berada di Jepun, maka saya mewakili beliau untuk menolak usul tersebut. Usul itu kemudiannya ditolak. Bahkan pembangkang tidak berani untuk mengundi menggunakan undi blok atau undi belah bagi. Takut dimalukan sekali lagi.

3. Pada 8.12.2009 YB Micheal Jayakumar (DAP) sekali lagi membawa usul untuk memotong gaji Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebanyak RM10. Usul ini juga gagal. Isnin depan 14.12.2009 DAP melalui YB Tian Chua akan membawa usul atas peraturan yang sama 66(9) untuk memotong pula gaji Menteri Dalam Nengeri Dato Seri Hishamuddin sebanyak RM100. Untuk makluman, seminggu sebelum itu DAP sudah membawa usul untuk memotong gaji Menteri di Jabatan Perdana Menteri TS Mohd Nor Yaacop.

4. Saya rasa sudah sampai masanya pembetulan dan pindaan dibuat terhadap peraturan mesyuarat 66(9) tersebut. Jika tidak ia akan disalah gunakan untuk mempolitik dan mensensasikan sesuatu isu. Kebanyakan isu itu pula sudah dijawab dan dibahaskan berulang kali disesi perbahasan dan sesi soal jawab lisan. Pembangkang khususnya DAP menggunakan peraturan tersebut hanya untuk mengulang ulang sesuatu isu. Matlamat mereka ialah untuk memalukan seseorang Menteri. Untuk menyerang peribadi seseorang menteri dan cuba menjadi hero secara mudah.

5. Sebagai contohnya, usul untuk memotong gaji Menteri Pelajaran. Alasan yang dikemukakan adalah amat lemah. Mengenai jambatan runtuh di Kuala Dipang, semua peguam yang terlibat membela ibubapa mangsa korban itu adalah daripada DAP. Peguam DAP tersebut yang memfailkan writ saman di mahkamah pada 20.11.2009. Mereka tahu dan arif bahawa jika kes sudah menjadi kes mahkamah, maka ia tidak lagi boleh dibahaskan di parlimen kerana ia dianggap 'subjudice'. Justeru kenapa mereka bawa juga usul tersebut di parlimen? Apatah lagi YB Beruas itu sendiri seorang peguam.

6. Mengenai alasan kedua, iaitu PPSMI, sebenarnya pembangkang sendiri yang tidak setuju dengan PPSMI. Apatah lagi DAP. Mereka tetap mempertahankan pengajaran sains dan matematik dalam Bahasa Mandarin di SJKC. Mereka terlibat dengan demonstrasi di Istana Negara sehingga berlaku keributan yang menyusahkan orang ramai di ibu kota. Tetapi kenapa ia menjadi alasan untuk memotong gaji menteri? Sedangkan kementerian sendiri menggunakan pendekatan 'sof landing' untuk memansuhkan PPSMI pada tahun 2011. Tidak terburu buru pun. Itu pun ada juga yang menuntut supaya ianya dilaksanakan SEGERA, kalau boleh esok.

7. Alasan ketiga lagi tidak munasabah. Kerajaan sebenarnya sudah membelanjankan hampir RM1.6 billion untuk membantu sekolah sekolah SJKC untuk tahun 2009. Bukan itu sahaja dalam Pakej Ransangan Ekonomi 1 dan 2, kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM100 juta kepada SJKC bantuan modal. Oleh itu mana logiknya, tuduhan yang kerajaan menganak tirikan sekolah SJKC? DAP harus sedar, bahawa banyak lagi sekolah sekolah kebangsaan di pendalaman terutamanya di Sabah dan Serawak yang berada dalam keadaan yang daif. Sekolah ini juga perlu diberi perhatian.

8. Untuk makluman, kerajaan akan membina 6 buah lagi SJKC baru, satu SJKT baru dan 13 perpindahan sekolah SJKC ke tempat baru yang melibatkan perbelanjaan hampir RM100 juta.

9. Justeru apa perlunya usul potong gaji tersebut. Maka adalah wajar Peraturan Mesyuarat 66(9) itu diperbaiki dan dikaji balik, supaya ianya tidak disalah gunakan. Ia boleh mencemarkan kredibaliti parlimen yang pembangkang sendiri kata, perlu dilonjakkan sebagai 'Parlimen bertaraf dunia'.

TIDAK SETUJU PENGETUA DAN GURU BESAR ADA KUASA 'HIRE AND FIRE'

Today at 8:17am Edit Note Delete
1.Banyak pihak yang memberi komen atas kenyataan saya, di mana Pengetua dan Guru Besar mungkin diberi kuasa untuk mengambil dan memecat (fire and hire) guru yang tidak berprestasi.Tidak kurang juga yang menyatakan rasa kecil hati dan tersinggung. NUTP antara pihak yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

2.Sebenarnya ada sedikit kekeliruan mengenai kenyataan saya itu. Ia timbul apabila saya menggulung bagi pihak Kementerian Pelajaran di parlimen pada 7.12.2009 yang lalu. Ada 33 orang YB yang bangkit berbahas dan terdapat 44 pencelahan semasa saya menjawab.

3.Sewaktu pencelahan tersebut, ada yang bertanya mengenai ciri 20 sekolah berprestasi tinggi (SBT) yang akan diumumkan mungkin pada bulan januari 2010. Saya kata, 20 sekolah tersebut akan dipilih daripada sekolah berasrama penuh, sekolah premier, sekolah cemerlang dan sekolah harian termasuk sekolah di luar bandar. Bahkan SJKC dan SJKT termasuk dalam persaingan tersebut.

4.Pemilihan tersebut akan menggunakan kriteria 'Standard Kualiti Pendidikan Malaysia' (SKPM). Ini termasuk kebersihan tandas, landskap, ko kurikulum dll. Ini bermakna prestasi akademik bukan kayu ukur utama. Sebab itu ada kemungkinan sekolah di luar bandar akanmengalahkan sekolah premier seperti MCKK.

5.Oleh itu saya kata ada kemungkinan 20 sekolah SBT itu jika terpilih nanti, maka Pengetua atau Guru Besarnya akan diberi kuasa untuk melakukan 'Hire and Fire' tersebut. Tujuannya ialah supaya sekolah SBT tersebut dapat mengekalkan ranking SBT mereka selamanya. Tidak ada makna ia terpilih pada tahun tersebut tetapi setahun dua selepas itu ia gagal mengekalkan rankingnya.

6.Melalui kaedah tersebut dia boleh membawa masuk guru yang beliau yakin dapat mengekalkan teamwork sekolah tersebut. Fire disini bukan bermaksud pecat daripada jawatan guru. Tetapi dipindahkan ke sekolah lain. Justeru guru berkenaan mesti mengekalkan prestasi dan kerjasama mereka agar mereka tidak dipindahkan.

7.Dengan kata lain, saya tidak bermaksud kuasa 'fire and hire' diberikan kepada semua Pengetua dan Guru Besar bagi 10,000 sekolah yang terdapat di negara kita. Fire and Hire pun tidak boleh dilakukan sewenang wenangnya. Kementerian akan memantaunya. Lagi pun ini hanya cadangan yang baru dibincangkan.

Tuesday, December 1, 2009

PEMIMPIN DAP PIJAK GAMBAR - GAMBAR SIAPA YANG WAJAR DIPIJAK

1. Akhbar Utusan hari ini menyiarkan di muka hadapan, tindakan beberapa orang pemimpin DAP termasuk Lim Kit Siang memijak gambar tiga ADUN Perak yang keluar parti dan menjadi bebas. Mereka marah kerana angkara tiga ADUN tersebut, kerajaan PR di Perak berjaya ditumbangkan.
2. Setelah menggunakan berbagai cara, termasuk bersidang di bawah pokok, menderhaka pada Sultan Perak (Nizar kata 'Patek Mohon Derhaka') dan mencabarnya di mahkamah, akhirnya pemimpin DAP terpaksa pijak gambar ADUN tersebut untuk melepaskan geram.
3. Wajarkah perbuatan tersebut? Pada mereka sudah tentu wajar. Pada saya memang wajar kerana selama ini pun pemimpin DAP sering bertindak seperti tidak berakal dan tidak bermaruah.
4. Di Parlimen mereka sering berhujah bahawa rakyat mahukan perubahan politik. Mereka dengan bangga mengatakan, merekalah pejuang 'politik bermaruah'. Sebab itu kononnya mereka menang banyak kerusi dalam PRU ke 12.
5. Sepatutnya ahli-ahli DAP memijak gambar pemimpin mereka seperti Lim Ki Siang. Merekalah yang bertanggungjawab dan memberi kepercayaan kepada YB Hee Yit Fong supaya bertanding di DUN Jelapang. Ini bermakna mereka cuai dan mungkin pilih kasih sehingga YB Hee terpilih sebagai calon. Di atas kecuaian dan salah pilih calon itu, maka Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng patut disalahkan.
6. Oleh itu gambar mereka wajar dipijak. Bahkan Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng wajar memijak gambar mereka sendiri sebagai tanda kekesalan di atas kesilapan tersebut.
7. Di samping itu, kenapa mereka tidak berani memijak gambar Anwar Ibrahim? Anwar Ibrahimlah yang memilih kedua-dua wakil rakyat iaitu Kapten (B) Mohd Osman (Changkat Jering) dan Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) sebagai calon PKR di kawasan tersebut. Sepatutnya mereka lebih marah kepada Anwar dengan kerenah wakil-wakil rakyat daripada PKR yang letak jawatan dan menjadi bebas termasuk di tempat-tempat lain yang mencemarkan imej Pakatan Rakyat.
8. Oleh itu siapa yang tidak bermaruah? Tiga ADUN bebas itu atau pemimpin utama DAP dan PKR? Bahkan belum tentu ketiga-tiga ADUN itu tidak bermaruah. Mungkin kerana maruah politik, maka mereka bertindak keluar daripada parti dan menjadi ADUN bebas. Kebenarannya ada.
9. Pembangkang kini dilanda berbagai isu. Contohnya di Pulau Pinang, mana maruah Lim Guan Eng apabila menyampaikan bantuan kepada rakyat miskin termasuk orang Islam yang di buat di dalam kawasan Tokong. Apakah tidak ada tempat lain. Kenapa beliau tidak sensitif. Paling nyata di Selangor, Ronnie Liu (Exco kerajaan Selangor) bertindak mengarahkan majlis perbandaran memulangkan balik arak-arak yang dirampas. Orang PAS diam seribu bahasa. Akhirnya Dr. Hassan Ali (Exco agama) pula disalahkan dan disoal siasat oleh Jawatankuasa Disiplin PAS kerana mempertikaikan peranan SELCAT. Mungkin orang PAS tidak tergamak memijak gambar pemimpin DAP. Tetapi kenapa tidak tergamak? Apakah kerana larangan agama, atau takut kehilangan DAP sebagai kawan politik atau memang tidak seberani dulu kerana ikut telunjuk Anwar Ibrahim.
10. Saya harap orang UMNO tidak melakukan perbuatan keji tersebut. Kita kena ikut teladan Dato' Sri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri yang sememangnya komited dengan politik baru yang lebih bermaruah. Sebab itu Perdana Menteri kata, Nik Aziz tidak perlu minta maaf kepada beliau. Beliau menyerahkan kepada rakyat untuk menilai. Rakyat yang akan menentukan siapa yang patut dihukum. Tidak perlu pijak-pijak gambar.
11. Betapa bermaruahnya Perdana Menteri apabila bersetuju memberikan wang ihsan kepada kerajaan Kelantan walaupun Kelantan tidak ada hak. Tidak ada hak kerana minyak tidak ditemui dalam perairan Kelantan. Ia ditemui di luar kawasan tiga batu nautika. Tetapi budi baik dan ihsan Perdana Menteri itu dibalas dengan doa yang tidak bermaruah.
12. Jadi siapakah yang mengamalkan politik tidak bermaruah. Marilah kita menyokong Dato' Sri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri yang serius, bersopan santun, bertimbang rasa, cepat responsif kepada setiap masalah dan tidak emosi menyuruh orang MEMIJAK-MIJAK GAMBAR dan mendoakan orang Islam yang baik hati supaya dilaknat. Tetapi mungkin kita boleh membenarkan gambar Perdana Menteri Israel dipijak kerana beliau kejam dan sememangnya pengganas.