Wednesday, February 17, 2010

SALAH PILIH CALON ATAU MEREKA BOSAN DENGAN KEYAKINAN PALSU ANWAR?



1. Ketika mengulas kemelut terbaru PKR, DS Anwar mengakui bahawa beliau tersalah pilih calon dalam pilihanraya umum 2008. Selain YB Zahrain yang keluar parti, empat ADUN PKR telah pun menjadi Adun Bebas, manakala dua lagi telah letak jawatan sehingga berlaku pilihanraya kecil di Permatang Pasir dan Bukit Selambau. Anwar berjanji, ianya tidak akan berulang lagi.

2. Bolehkah janji Anwar dipegang? Satu kelebihan Anwar ialah dia pandai meyakinkan orang. Dia ada karisma. Tapi sampai bila karisma itu boleh bertahan, jika ia hanyalah karisma ‘keyakinan palsu’. Satu daripada alasan Zahrain keluar PKR ialah janji kerajaan alternatif 16 september yang tidak terlaksana. Zahrain cukup yakin ia akan berlaku, mungkin dia pernah diberitahu nama nama MP Barisan Nasional yang ‘confirm’ untuk melompat parti. Kesudahannya seorang pun tidak melompat. Dua MP dari Sabah iaitu Sepanggar dan Tawau memang keluar dari BN tetapi tidak pula menyertai Pakatan Rakyat.

3. Justeru, yang jelas di sini ialah bukan Anwar yang tersalah pilih calon, tetapi Zahrain dan enam lagi rakannya itu sudah bosan dengan kepimpinan Anwar yang hanya berkarismakan kepada keyakinan palsu. Sebab itu mereka meninggalkan PKR. Bukan mudah untuk meninggalkan parti yang menang banyak kerusi dan bakal membentuk Kerajaan Alternatif 16 september. Sekurang kurangnya mereka berpeluang untuk memegang satu daripada banyak jawatan dalam kerajaan ‘kongsi kuasa’ yang bakal wujud nanti. Tetapi nampaknya mereka tidak mahu menunggu lama kerana Anwar sendiri gagal membuktikan kemampuannya mengurus ‘kerajaan kongsi kuasa’ di negeri negeri yang mereka memerintah.

4. Pada mereka Anwar berjaya digunakan oleh DAP untuk mendapatkan sokongan orang Melayu. Iaitu berkongsi untuk mendapat kuasa. Tetapi apabila sudah berkuasa, ‘kongsi kuasa’ tidak wujud. Bahkan menurut ahli parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng wakil rakyat PKR dilayan seperti anjing. Sebelum ini mereka boleh bertahan dengan ‘keyakinan palsu’ Anwar. Anwar berjaya meyakinkan mereka bahawa dia sudah cukup bilangan 30 MP dari BN yang akan melompat parti. Dia turut mendakwa Raja Raja Melayu pun menyokong PKR. Maka tidak ada masalah untuk mengistiharkan Anwar sebagai Perdana Menteri yang baru tanpa perlu pembubaran parlimen atau proses undi tidak percaya di parlimen.

5. Tetapi apa sudah jadi sekarang? Beberapa orang sedang menanti giliran untuk mengikut jejak YB Zahrain. Nada kritikan Zulkifli Nordin dan Tan Tee Beng mudah ditafsir, mereka tidak lagi percaya kepada Anwar. Apatah lagi apabila Zulkifli Nordin mendakwa wujud Firaun kecil dalam PKR.

6. Sebab itu apabila 40 orang ahli parlimen Australia mendesak agar tuduhan kes liwat Anwar digugurkan, maka kepada siapakah sebenarnya kemarahan rakyat Malaysia wajar ditujukan. Apakah wajar kita marah hanya kepada 40 orang ahli parlimen Australia tersebut. Bukankah lebih wajar kita marah kepada Anwar. Sudah tentu Anwar berjaya menggunakan karisma keyakinan palsunya untuk mempengaruhi 40 ahli parlimen tersebut. Bahkan sudah tentu Anwar yang merayu kepada mereka supaya campur tangan dan mendesak kerajaan Malaysia supaya kesnya digugurkan.

7. Terbaru Anwar baru balik daripada Persidangan Dialog Islam di Doha. Tetapi dia ambil kesempatan di persidangan itu untuk meminta simpati daripada Hillary Clinton, Perdana Menteri Turki dan Dr Yusof Qardawi supaya percaya bahawa kes liwatnya adalah satu konspirasi. Bahkan bila balik ke Malaysia dia menyebarkan cerita bahawa ketiga tiga tokoh itu menyokongnya dan tidak percaya tuduhan liwat tersebut. Mengenali Anwar mungkin ada dua kemungkinan. Pertama, memang dia bercakap dengan ketiga tokoh tersebut. Atau kedua, sebenarnya dia hanya mereka reka cerita untuk mengujudkan keyakinan palsu kepada penyokongnya.

8. Apakah itu tujuan Anwar melewatkan kes mahkamahnya? Mencari jalan terakhir iaitu simpati antarabangsa untuk membelanya supaya dia tidak dibicarakan di mahkamah sehingga tidak peduli dengan nasib wakil rakyat PKR yang di anak tirikan dan ditekan rakan kongsi kuasa Pakatan Rakyat. Difahamankan Pemuda PAS pusat menolak pelawaan Angkatan Muda Keadilan untuk menyertai raodshow PKR bagi menjelaskan isu liwat Anwar.

9. Terbaru tindakan PKR menangguhkan pemilihan parti yang dijangkakan pada bulan Mei 2010. Apakah Anwar takut menghadapi kenyataan. Anwar mungkin bimbang dia akan dikritik hebat dalam persidangan itu. Anwar juga bimbang jika berlaku pertandingan jawatan Timbalan Presiden antara Azmin Ali dan Syed Husin Ali, parti mungkin berpecah dan akan menghakis kepercayaan ahli terhadapnya. Anwar bimbang rakan rakan kongsi kuasanya juga akan meninggalkannya, atau mula hilang kepercayaan kepadanya atau tidak lagi dapat dibohongi, walaupun PAS dan DAP sebenarnya sedar bahawa mereka sudah lama dibohongi. Itulah punca kenapa Zahrain dan enam rakan wakil tersebut meninggalkan PKR, kerana sudah bosan dengan ‘keyakinan palsu’ Anwar Ibrahim.

Tuesday, February 9, 2010

HUJAH MENGARUT LIM GUAN ENG

1. Dalam interview dengannya di rangkaian ASTRO Awani baru-baru ini , Lim Guan Eng membuat dakwaan yang amat biadap dan cauvinis apabila menuduh, tanpa UMNO orang Melayu pun boleh maju. Hujahnya amat dangkal, kerana katanya di zaman kesultanan Melaka, UMNO tidak wujud pun, tetapi Melaka ketika itu tetap maju dan terkenal. Kalau begitu cara logik Guan Eng , apakah dia boleh terima kalau ada orang yang berhujah bahawa politik Malaysia akan aman dan tidak ada perkauman jika DAP tidak wujud?

2. Sebelum DAP wujud politik Malaysia aman damai. Ketiga tiga parti politik utama iaitu UMNO, MIC dan MCA dapat bergabung di bawah Perikatan. Kesefahaman itu melahirkan Sosial Kontrak supaya rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini dapat berkongsi kuasa untuk membangunkan negara selepas kemerdekaan.

3. Malangnya kelahiran DAP dengan slogan Malaysian Malaysia, menyebabkan politik Malaysia sentiasa panas dan diwarnai dengan politik perkauman kerana DAP bergantung hidup dengan sokongan orang Cina. Oleh itu mereka mesti menjuarai isu-isu orang Cina sahaja.

4. Tuduhan terbaru Lim Guan Eng itu membuktikan, dia memang pemimpin yang tidak ada kelas seperti yang di katakan oleh Ahli Parlimen PKR dari Nibong Tebal. Murid sekolah rendah pun tahu bahawa dari segi sejarah, kita hanya boleh menilai sesuatu perkara jika ianya wujud dan berlaku. Justeru, untuk menilai sesebuah parti politik itu, ia mestilah wujud pada masa itu, barulah di kaji apa sumbangan dan peranannya dalam pembangunan sesebuah negara.

5. UMNO lahir untuk menyatupadukan orang Melayu yang berpecah semasa penjajahan British. Tanpa perpaduan, orang Melayu tidak akan ada kuasa politik Melayu dan sudah tentu orang Melayu lebih sukar dimajukan. Kelahiran UMNO adalah rentetan usaha Dato' Onn yang bangkit menentang Malayan Union. Apakah Lim Guan Eng tahu sejarah Tanah Melayu? Apakah dia faham punca kejatuhan Kesultanan Melaka sehingga negeri tempat dia bertapak itu sudah tidak ada Raja sekarang ini?

6. Setelah kejatuhan Kesultanan Melaka, orang Melayu dijajah hampir 500 tahun. British mahu meneruskan dasar jahat mereka itu dengan memperkenalkan Malayan Union. Tetapi kerana kebijaksanaan Dato' Onn menubuhkan UMNO, maka dasar itu dapat digagalkan. Jika tidak orang Melayu akan terus terjajah, kuasa Raja dihapuskan, hak istimewa Melayu terhapus dan orang Melayu akan terus terpinggir dalam negaranya sendiri.

7. Bukan itu sahaja, dasar UMNO yang adil dan sanggup berkongsi kuasa dengan rakannya yang lain sehingga tertubuhnya Perikatan menyebabkan kemerdekaan negara diperolehi. Kelahiran Barisan Nasional, menyebabkan peristiwa 13 Mei 1969 dapat dibendung dari berulang lagi. Hanya DAP yang enggan menyertai BN atau menyertai kerajaan campuran. Memang sifat DAP suka mementingkan diri mereka. Mereka lebih senang kuasa politik Melayu berpecah dan terhakis.

8. Tetapi apakah sumbangan DAP. DAP adalah parti yang angkuh dan cauvinis. Kalau tidak masakan hingga hari ini rakan kongsi mereka sendiri dalam PKR seperti Dato' Seri Zahrain sanggup diambil tindakan disiplin parti semata mata mendakwa Lim Guan Eng adalah cauvinis. Apakah DAP mahu menafikan penglibatan mereka yang memanaskan politik negara semasa berlakunya peristiwa 13 Mei 1969? Gambar-gambar tunjuk perasaan meraikan kemenangan DAP ketika itu sudah cukup menggambarkan bahawa ia turut menyumbang kepada peristiwa hitam tersebut.

9. Kelahiran DAP adalah penerusan dasar PAP Lee Kuan Yew yang memperjuangkan Malaysian Malaysia. Dasar itulah yang menyebabkan Singapura ditendang keluar daripada Malaysia. Dengan kata lain, jika DAP tidak wujud maka tidak ada parti politik yang akan meniupkan politik perkauman di Malaysia. Sedangkan dalam BN, jika ada rakan parti komponen yang tidak berpuas hati mengenai nasib kaum mereka, ianya dapat dirundingkan melalui semangat Barisan Nasional. Maka wajarlah untuk rakyat Malaysia berkata, tanpa DAP, Malaysia akan lebih maju dan harmoni kerana tidak ada pemimpin politik berfikiran perkauman seperti Lim Guan Eng.

Thursday, February 4, 2010

PENYOKONG ANWAR TERAKHIR


Anwar tentu sedih melihat saki baki penyokong ‘hardcore’ yang masih tinggal. Ketika zaman reformasi bermula tahun 1998, beribu penyokongnya berhimpun di jalan raya. Penyokong tegarnya begitu ramai dan terdiri dari tokoh yang dikenali. Ketika perbicaraan Sodomi 1 bermula, tokoh tokoh terkenal ini turut hadir memberikan sokongan moral mereka. Tetapi bila perbicaraan Sodomi 2 bermula pada 2.2.2010 yang lalu, Anwar tidak lagi dikelilingi oleh tokoh -tokoh yang hebat ini. Hanya beberapa kerat tokoh pembangkang dari DAP dan PAS yang hadir. Ketidak hadiran Ustaz Hadi dan Timbalanya Nasaruddin Mat Isa sedikit sebanyak mencacatkan suasana bersatu padu pembangkang pada hari tersebut.

2. Seorang penyokong beliau yang berumur lingkungan 70 an dari Permatang Pauh membuat kecoh sehingga pengsan. Dia datang kembali ke mahkamah setelah diberi rawatan. Dia datang berkaki ayam kerana tertinggal kasut dalam van ambulans. Itulah sahaja barangkali kualiti penyokong ‘hardcore’ Anwar yang sanggup datang dari jauh untuk memberikan sokongan moral kepadanya. Mana yang lain? Mana tokoh tokoh terbilang sebelum ini? Jawapannya mudah. Setengah daripada mereka sudah lama meninggalkan Anwar. Dato Seri Zahrain dan Tan Tee Beng sebuk bergaduh dengan Lim Guan Eng. Kelibat Zulkifli Nordin juga tidak nampak. Dalam interviu terbarunya, Zulkifli mengakui bahawa ketika bertanding dalam pilihanraya 2008 yang lalu dia sebenarnya ahli PAS tetapi bertanding atas tiket PKR.

3. Itulah nasib orang politik. Mereka perlu bersedia untuk ditinggalkan dan dipinggirkan. Ini yang menimpa Tengku Razaleigh. Tetapi tidak semua mengalami nasib yang sama. Tun Mahathir masih popular. Orang masih mahu mendengar pandangannya walaupun dia pernah dipecat dari UMNO bahkan pernah keluar dari UMNO.

4. Kenapakah ramai penyokong ‘hardcore’ yang dikenali ramai ini meninggalkannya. Anwar mungkin tuduh bahawa mereka ini tidak ada daya juang, tidak tahan lasak, lembik, takut, pentingkan bisnes atau pentingkan diri sendiri. Dengan kata lain bila tidak dapat apa apa maka mereka lari lintang pukang. Tetapi mereka datang dari berbagai latar belakang yang hebat. Setengahnya bekas orang politik terkenal, ahli akademik, tokoh perniagaan, pembela fanatik dan anak muda yang bersemangat tinggi. Ambil contoh berbagai nama seperti Dr. Chandra Muzaffar, Zainur Zakaria, Dato Nalla dan Ezam Mohd Nor. Anwar bertambah kecewa kerana setengah daripada mereka ini yang menyokongnya sebelum ini mengambil jalan selamat dengan menyertai PAS. Pada mereka lebih baik menyertai PAS daripada duduk dalam PKR yang tidak ada ideologi khusus.

5. Oleh itu apabila perbicaraan Tsunami 2 bermula, penyokong hardcore yang hadir kurang dikenali. Dewasa ini pun Anwar hanya memiliki dua sahaja pembela yang hebat seperti Saifuddin Nasution dan Azmin Ali. Bayangkan jika kedua dua mereka ini turut meninggalkan Anwar keseorangan? Bahkan tanpa Anwar pakatan pembangkang akan turut terkubur.

6. Justeru, memahami faktor kenapa mereka meninggalkan Anwar amat penting. Mereka mungkin jemu dengan isu peribadi Anwar yang berlarutan begitu lama. Ia menjejaskan fokus perjuangan parti. Anwar terpaksa menggunakan seluruh jentera kekuatan parti lebih untuk membela isu peribadinya. Beliau turut mengadakan roadshow mengenainya. Tidak semua penyokong PKR mahu terheret dengan masalah peribadi. Mereka bimbang lama-kelamaan, rakyat tentu merasa bosan dan menganggap ia membuang masa.

7. Oleh kerana sibuk dengan isu peribadi, bukan sahaja Anwar gagal menubuhkan kerajaan alternatif. Pakatan Rakyat juga kehilangan kerajaan negeri di Perak. Bahkan satu demi satu wakil rakyat PKR meletakkan jawatan atau menjadi ADUN Bebas. Kemuncaknya ialah Anwar masih gagal merealisasikan penubuhan Pakatan Rakyat sebagai gabungan sah. Disiplin yang longgar dan sikap beberapa orang wakil rakyatnya yang tidak akur kepada amaran parti menyebabkan Anwar akan kehilangan lebih ramai penyokong ‘hardcore dan diehard’.

8. Kesudahannya, Anwar tidak akan ada lagi penyokong ‘diehard’ yang boleh merancang, berfikir, komited, berwibawa dan mahir berpolitik. Anwar tidak boleh bergantung kepada penyokong yang bertaraf ‘symphatisers’. Dia perlukan penyokong ‘hardcore’ dan ‘diehard’. Apakah mereka ini akan pupus kerana arus perubahan yang dibawa oleh Najib? Gelombang 1 Malaysia melindungi populariti Anwar. Maka strategi Anwar melambat lambatkan kes perbicaraannya adalah senjata makan tuan. Lambat laun mereka akan keletihan untuk hadir mengiringi Anwar setiap hari. Maka tinggallah saki baki yang tidak boleh diharapkan kecuali kaum keluarga yang tetap membelanya kerana ikatan kasih sayang keluarga bukan kerana ikatan perjuangan politik kerakyatan. Perbicaraan ini benar benar menguji Anwar. Ia umpama ‘Perjuangan Anwar Terakhir’.

Wednesday, February 3, 2010

Majlis Sambutan Jubli Intan IPGM Kampus Perempuan Melayu Melaka
















Monday, February 1, 2010

CABARAN UNTUK ANWAR: KENAPA TINDAKAN DISIPLIN SAHAJA? KENAPA TIDAK SIASAT ISU TIDAK PUAS HATI TIGA AHLI PARLIMEN PKR TERSEBUT



Ada empat orang anggota PKR yang akan disiasat oleh lembaga disiplin PKR. Tiga daripadanya ialah ahli parlimen iaitu Datuk Seri Zahrain Bayan Baru, Zulkifli Nordin Kulim Bandar Baru dan Tan Tee Beng Nibong Tebal. Berbanding dengan Zaid Ibrahim, ketiga tiga MP tersebut bergaduh dengan rakan kongsi PKR. Zulkifli dengan Khalid Samad dari PAS, manakala Zahrain dan Tan bergaduh dengan Lim Guan Eng dari DAP.
2. Apakah tindakan disiplin yang mahu diambil terhadap tiga MP nya itu wajar? Kenapakah Anwar lebih berminat untuk mengheret ketiga tiga MP tersebut ke Lembaga Disiplin parti? Apakah dia lebih mementingkan PAS dan DAP yang menjadi rakan kongsinya. Manakah yang lebih penting, iaitu mempertahankan rakan kongsi atau menyiasat sejauh manakah kebenaran isu yang menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan wakli wakil rakyat tersebut?
3. Anwar sudah tentu tidak sanggup dan tidak berani memperjudikan masa depan Pakatan Rakyat. Ini akan menghancurkan kredibilitinya sebagai pemimpin pembangkang. Dia akan dilihat sebagai terlalu lemah untuk merealisasikan kewujudan pakatan pembangkang. Apatah lagi mereka baru sahaja selesai mengadakan konvensyen Pakatan Rakyat dengan berbagai resolusi dan janji yang muluk muluk. Lebih ketara, Anwar tidak mahu memperjudikan impiannya untuk menjadi Perdana Menteri. Kegagalan merealisasikan kewujudan Pakatan Rakyat bermakna Anwar semakin jauh daripada mimpi besarnya itu.
4. Oleh itu bagi Anwar, mengambil tindakan disiplin merupakan jalan selamat berbanding tindakan menyiasat isu rasa tidak puas hati yang dibangkitkan. Tetapi hakikatnya kredibiliti Anwar dan PKR yang mahu menjadi parti yang demokratik dan mempertahankan kepentingan rakyat sudah semakin dipersolkan. Kenapa Anwar tidak mahu menyiasat segala perkara yang dibangkitkan oleh ketiga tiga wakil rakyat tersebut khususnya yang dibangkitkan oleh Zahrain dan Tan. Kesemua perkara yang dibangkitkan oleh kedua wakil rakyat tersebut adalah berkaitan dengan isu rakyat di mana PKR sendiri sering mendakwa dia adalah parti yang membawa suara rakyat.
5. Tuduhan mereka terhadap Lim Guan Eng adalah serius. Zahrain kata Lim diktator, perkauman dan tidak telus. Dengan tersiarnya cerita gerai gerai orang Melayu yang dirobohkan tanpa belas kesihan, maka ini satu lagi retorik 'Middle Malaysia' yang momokkan oleh Lim Guan Eng. Kita terkejut dengan tindakan berat sebelah Guan Eng apatah lagi apabila Zahrain mendakwa Ketua Menteri itu tidak telus kerana dia sendiri yang mempengerusikan mesyuarat Lembaga Tender. PKR patut siasat kebenaran semua tuduhan tersebut. Jika tidak, Anwar boleh dianggap pembohong dan tuduhan sebelum ini yang mengatakan dia 'pengkhianat Melayu' boleh dipercayai.
6. Ahli Parlimen Nibong Tebal memang kurang dikenali sebelum ini. Di Dewan Rakyat dia tidak begitu menonjol. Tetapi apabila dia begitu berani menuduh Guan Eng sebagai pemimpin yang tidak ada kelas, maka bukankah itu bermakna ia adalah 'undi tidak percaya' terhadap Ketua Menteri tersebut. Pendedahannya perlu disiasat oleh PKR. Rakyat pun mahu tahu. Tan kata mereka seperti 'peminta sedekah' terhadap kerajaan DAP walaupun berkongsi kuasa di Pulau Pinang. Guan Eng pilih kasih dalam soal peruntukan wakil rakyat dan melayan PKR seperti parti orang Melayu. Ini tudahan yang sama seperti yang dibuat oleh Zahrain bahawa Lim Guan memang mengamalkan dasar perkauman.
7. Justeru kalau Anwar dan PKR hanya mahu mengambil tindakan disiplin terhadap wakil rakyat tersebut dan tidak mahu menyiasat kebenaran tuduhan mereka, maka sebenarnya Pakatan Rakyat adalah sah bukan parti gabungan yang boleh menandingi amalan Barisan Nasional. Setelah menerima 'signal' kuat daripada rakyat dalam PRU ke 12, Perdana Menteri mengambil pendekatan responsif dengan berbagai perubahan yang mengutamakan denyut nadi rakyat. Jauh berbeza dengan Anwar yang hanya melindungi kelemahan rakan kongsinya dan menyapu di bawah permaidani segala isu rakyat yang dibangkitkan oleh ahli ahli parlimennya. Semoga rakyat insaf melihat muslihat Anwar selama ini.