Monday, November 23, 2009
GURU CEMERLANG - GURU SEMBERONO
Labels:
Komentar Dan Isu
Hari ini saya merasmikan Persidangan Kebangsaan Guru Cemerlang ke 7 di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur. Jawatan guru cemerlang diwujudkan sejak tahun 1994. Sekarang ini terdapat lebih kurang 14,000 jawatan guru cemerlang. Yang telah diisi hanya 9293 jawatan dari gred DGA 32 hingga ke Gred Khas C. Ini bermakna masih ada lebih kurang 4,000 kekosongan jawatan guru cemerlang. Kenapa berlaku kekosongan ini? Sebenarnya tidak ramai yang memohon jawatan guru cemerlang. Jawatan guru cemerlang perlu dipohon. Tahun ini cuma ada lebih kurang 8,000 orang guru sahaja yang memohon.
Satu sebab kenapa mereka tidak memohon ialah mereka merasakan belum layak untuk digelar sebagai guru cemerlang. Sebab lain ialah, setengah daripada mereka percaya jika menjadi guru cemerlang, maka beban kerja guru akan semakin bertambah. Ada juga yang beranggapan, jika dipilih sebagai guru cemerlang mereka mungkin akan dipindahkan ke sekolah lain. Apatah lagi jika ditukarkan ke kawasan pendalaman khususnya di Sabah atau Serawak.
Sunday, November 22, 2009
SAYA MUNDUR KE BELAKANG
Labels:
Komentar Dan Isu
Hari ini akhbar STAR menyiarkan, pandangan mereka yang tidak bersetuju dengan saya mengenai isu penggunaan Bahasa Melayu disektor swasta dan GLC. Sebenarnya semasa merasmikan Persidangan Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu' saya mencadangkan supaya GLC dan sektor swasta menggunakan Bahasa Melayu dalam mesyuarat Lembaga Pengarah mereka. Bahkan saya juga menyebut, akan memulangkan surat surat sektor swasta yang dihantar ke pejabat saya yang menggunakan Bahasa Inggeris.
Pada saya, kenapa mereka mesti menggunakan bahasa Inggeris? Kalau bermesyuarat sesama rakyat Malaysia gunakanlah Bahasa Melayu. Barulah pembudayaan bahasa Melayu dapat ditingkatkan. Mustahil rakyat Malaysia tidak boleh berbahasa Melayu. Mereka tuduh, saya mundur ke belakang. Hujah mereka lagi, ini bertentangan dengan seranan Perdana Menteri untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi. Pelabur asing tidak akan datang ke negara kita dan Malaysia akan dipinggirkan. Ini yang saya kata budaya orang Malaysia amat pelik. Kenapa bila kita berjumpa sesama kita rakyat Malaysia mesti berbual dalam bahasa Inggeris. Apakah itu life style untuk menunjukkan kita maju. Atau menunjuk nunjuk kita adalah educated. Salahkah kita menunjuk nunjuk dan rasa bangga bila menggunakan bahasa kebangsaan kita sendiri. Kenapa bila kita bermesyuarat sesama kita mesti menggunakan bahasa Inggeris? Apa kena mengena dengan usaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia.
Kalau nak tarik pelabur asing atau bermesyuarat dengan pelabur asing, gunalah bahasa Inggeris. Memang itu pun kegunaan bahasaInggeris. Kerana ia bahasa antarabangsa. Saya pun tidak membantahnya. Yang saya tegur, mesyuarat mesyuarat rasmi GLC dan sektor swasta, termasuk mesyuarat senate di universiti universiti tempatan. Gunalah Bahasa Melayu. Taatlah sikit kepada bahasa kebangsaan sendiri. Apa kena mengena dengan produktiviti kita. Bahkan apabila ia menjadi modal sosial dan modal budaya kita, semangat kekitaan itulah yang menjadikan kita lebih bedaya saing dan ada jati diri.
Perancis, Jepun, China dan Korea begitu taat kepada bahasanya. Keempat empat negara tersebut adalah negara maju. Kita sendiri kagum dengan mereka. Saya tidak membangkitkan pun isu patriotisme. Itu bukan hujah saya. Taat yang saya maksudkan ialah keyakinan kepada jati diri sendiri. Saya tidak kata mereka tidak patriotik, tetapi mereka mungkin kabur soal pentingnya bahasa sendiri sebagai modal sosial dan modal budaya. Sebab itu saya setuju dengan tokoh bahasa seperti Dato Hassan Ahmad bila berhujah kaitan bahasa dan kemajuan.
Sekarang ini ada 45 negara yang menggunakan bahasa Inggeris. Tolak Britain, Amerika, Australia, New Zealand dan Kanada tinggal 40 negara. Kebanyakan 40 negara yang menjadikan Inggeris sebagai bahasa rasmi seperti Ghana, Zambia dan Zimbabwe adalah cukup miskin. Bahasa Perancis digunakan di 30 negara. Tolak Perancis, Queebec, Belgium dan Switzerland, tinggal 26 negara. Tetapi apakah negara negara seperti Ivory Coast, Mali, Togo, Haiti dan Chad adalah negara maju? Begitu juga bahasa Sepanyol. 30 negara menjadikannya bahasa rasmi, terutamanya di Amerika Selatan. Kebanyakannya adalah negara yang berpendapatan rendah. Cameroon menjadikan Inggeris dan Perancis sebagai bahasa rasmi, manakala Surinam menjadikan Inggeris dan Belanda sebagai bahasa rasmi. Tetapi kedua duanya tidak dianggap sebagai negara maju.
Jadi belum tentu menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi menjadikan negara itu negara maju, meningkatkan pendapatan negara, atau jaminan pelabur asing akan masuk. Menggunakan bahasa Melayu bila bermesyuarat dan berbual sesama kita sendiri bukan langkah mundur ke belakang. Bahkan ia langkah maju ke depan. Beribu doktor dan jurutera yang dilahirkan oleh UKM yang ketika itu menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya.
Saturday, November 21, 2009
CHIN PENG ( KETUA PARTI KOMUNIS MALAYA) IDOLA SAYA
Labels:
Parlimen Hari Ini
Dalam sidang parlimen khamis lalu (19/11), YB Kulasegaran ahli parlimen Ipoh Barat, kata, Chin Peng adalah idola beliau sejak di bangku sekolah. Dia turut memaklumkan, telah berjumpa Chin Peng sebulan lalu. Oleh itu beliau menggesa pihak kerajaan, supaya benarkan Chin Peng balik ke Malaysia. Chin Peng kata beliau, sudah lanjut usia dan mahu mati di Malaysia. Mengetahui gelagat Kulasegaran, saya tidak perlu mengulas, sama ada dia ikhlas, apabila menyatakan Chin Peng idolanya. Di parlimen, Kulasegaran lantang mengkritik polis. Beliau menuduh kadar jenayah meningkat kerana polis tidak cekap. Tetapi kalau ada penjenayah penjenayah yang mati ditemba polis, dia akan bising. Dia akan kata, polis melanggar undang undang. Tetapi beliau hanya bising jika penjenayah itu berketurunan India, sehingga penjenayah dilihat seperti hero. Kalau penjenayah itu orang Melayu, dia diam seribu bahasa.
Bukan sukar mentafsir sikap Kulasegaran itu. Dia hanya mencari dividen politik. Dia harap dia dilihat sebagai hero orang India. Oleh itu sokongan terhadap DAP bertambah. Sebab itu bila dia kata Chin Peng adalah idolanya, itulah politik beliau. Dia harap mereka yang bersimpati dengan Chin Peng akan menyokong DAP. Dengan kata lain, sama ada penjenayah, pengganas komunis atau apa sahaja, kalau ada dividen politik, beliau akan mempolitikkannya.
Apakah sebenarnya pendirian Kulasegaran jika salah seorang anggota keluarganya dibunuh oleh PKM. Adakah Chin Peng tetap idolanya? Tetapi melihat gelagat DAP, saya tidak hairan Kulasegaran masih sanggup untuk mempertahankan pendiriannya itu. Persoalannya, wajarkah Chin Peng dibenarkan balik ke Malaysia. Apakah rekod keganasan PKM yang lalu dan pendiriannya sekarang yang saya yakin masih berfahaman komunis, menyebabkan kita memaafkannya begitu sahaja. Sebab itu penjenayah perang Nazi, yang menghilangkan diri selama 50 tahun dan usianya sudah lanjut, tetapi bila dia ditemui, dia tetap didakwa di mahkamah perang antarabangsa. Itulah yang berlaku kepada Radovan Karadzik. Penjenayah Serbia yang kejam. Bila ditangkap dia dibicarakan di mahkamah jenayah perang di Hague.
Dalam kes Chin Peng, saya ingin menyebut mengenai Abdullah C.D. Beliau adalah pemimpin utama PKM. Beliau pengasas Regimen ke 10 PKM. Antara orang penting dalam rejimen itu ialah Rashid Maidin. Abdullah C.D. telah menulis tiga buku sejak perjanjian damai Haadnyai 1989. Yang terbaru ialah 'Memoir Abdullah C.D. (Bahagian ke 3) Perjuangan di Sempadan dan Penamatan Terhormat'. Saya membaca buku terbitan 2009 itu sebanyak dua kali. Ini saya lakukan supaya saya tidak tersalah fakta apabila mahu mengulas buku tersebut. Berdasarkan buku tersebut, saya berani mengatakan Abdullah C.D. tidak menyesal dengan perjuangan PKM. Dia tetap menganggap perjuangan bersenjata PKM adalah perjuangan kemerdekaan. Pada saya dia tetap berpendirian, fahaman komunis adalah betul. Dengan kata lain, saya yakin, Chin Peng mempunyai pandangan yang sama dan tidak membuang faham komunisnya.
Kalau mereka berdua menganggap PKM berjuang untuk kemerdekaan, kenapa setelah negara merdeka pada tahun 1957, mereka masih berada di hutan, meneruskan penentangan bersenjata, mensabotaj ekonomi negara dan lain lain selama 32 tahun hingga perjanjian damai 1989 ditanda tangani? Dalam tempoh tersebut, Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Perak dibunuh. Ramai anggota keselamatan terkorban. Ramai yang cacat anggota, wang negara dibazirkan untuk menghalang keganasan mereka, termasuk kerosakan harta benda. Siapa yang mereka tentang selepas kemerdekaan 1957? Sudah tentu bukan British tetapi kerajaan sah yang menang pilihanraya melalui proses demokrasi.
Mereka kata PKM mahu menghalau penjajah British. Tetapi semua orang tahu PKM mahu menjadikan negara ini negara komunis. Malaysia akan jadi boneka yang ikut telunjuk negara Republik China. Ini bermakna, keluar mulut buaya masuk mulut harimau. Jadi kemerdekaan apa yang diperjuangkan oleh PKM. Yang pasti kalau Malaysia jadi negara komunis, ia akan mengamalkan sistem republik. Sistem beraja akan dihapuskan. Apakah ini yang kita mahu.
Di muka surat 27 buku tersebut, Abdullah C.D. tuduh Dato On tali barut penjajah. Katabeliau, Slogan 'Hidup Melayu' Dato On adalah anti kemerdekaan. Bahkan Perlembagaan Persekutuan 1948 yang melibatkan Dato On dan British dianggap pemusnah kepada 10 Fasal Perlembagaan Rakyat yang dikemukakan oleh golongan kiri PUTRA-AMCJA. Hakikatnya, Dato On adalah orang yang bertanggungjawab menyedarkan khususnya orang Melayu untuk menentang Malayan Union. Malayan Union adalah idea British, di mana Gabnor Jeneral akan diberi kuasa pentadbiran dan kuasa raja akan dihapuskan. Justeru, adalah tidakbenar untuk menuduh Dato On adalah tali barut penjajah. Dan tidak benar untuk menuduh beliau sebagai anti kemerdekaan. PKMlah sebenarnya tali barut China. Latihan, senjata, logistik, station radio semuanya datang dari China. Semua orang tahu, pemimpin PKM, seperti Chin Peng, Musa Ahmad, Shamsiah Fakeh tinggal lama di Beijing sejak tahun 1960 an lagi.
Untuk menentang Malayan Union, Dato On perlu menyatupadukan orang Melayu yang berpecah ketika itu. Semangat kenegerian, kedaerahan, kesukuan dan keturunan menyebabkan orang Melayu berpecah belah. Tetapi dengan slogan' Hidup Melayu' mereka bersatu sehingga tertubuhnya UMNO untuk menentang Malayan Union. 'Hidup Melayu' adalah slogan penyatuan yang membawa jalan kepada kemerdekaan.
kewujudan Perlembagaan Persekutuan 1948, menamatkan riwayat Malayan Union. Ia adalah manifestasi perjuangan yang berasaskan kepada kebijaksanaan. Kuasa Raja Raja Melayu dikembalikan. Itu sumbangan besar Dato On menentang penjajah. Bahkan beliau hadir dalam perundingan Perlembagaan Persekutuan 1948 sebagai Presiden UMNO, bukan sebagai Menteri Besar Johor. Kalau hadir sebagai Menteri Besar dia tidak bebas bercakap, kerana beliau adalah Menteri Besar ketika British masih menjajah. Perlembagaan Persekutuan 1948 mengandungi spirit 'kontrak sosial' yang diguna pakai hingga ke hari ini. Perlembagaan inilah yang menjadi asas kepada Perlembagaan Persekutuan 1957 di mana Malaysia mencapai kemerdekaan.
Justeru, apa sumbangan PKM? Apakah Malaysia akan menjadi negara komunis dan boneka kepada Beijing, jika perjuangan bersenjata PKM itu berjaya. Apa jadi kepada Raja Raja Melayu. Bahasa Melayu, Agama Islam dan reserve Melayu? Perlembagaan Persekutuan turut melindungi SJKC dan SJKT yang tidak dinikmati oleh negara seperti Singapura, Amerika, United Kingdom, Perancis dan Sri Lanka. Kalau Chin Peng kata dia hanya mahu memerangi British, maka dia tidak boleh melupakan 'Peristiwa Bukit Kepong'. Yang dibunuh oleh PKM semuanya anggota polis Melayu. Dia tidak boleh melupakan pergaduhan di Batu Pahat. Itu adalah angkara PKM apabila Jepun keluar dari tanah Melayu. Inilah idola Kulasegaran.
Thursday, November 19, 2009
MACAM MACAM DI PARLIMEN
Labels:
Parlimen Hari Ini
Hari ini Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang merah muka bila kena belasah oleh Speaker Dewan Rakyat iaitu Tan Sri Pandikar Amin Hj Mulia. Lim Kit Siang (LKS) bangun membantah kerana usul beliau di bawah perkara 18(1) ditolak oleh speaker dalam kamar. Tolak dalam kamar bermakna, tidak ada peluang untuk disebut atau dibahas dalam dewan. Maka tidaklah mereka dapat peluang cari publisiti. Hilanglah peluang untuk terus hentam kerajaan. Pembangkang selalu bawa usul di bawah peraturan 18(1). Walapun mereka tahu usul itu mungkin ditolak kerana remeh temeh, tetapi pada mereka kalau ditolak dalam dewan bukannya dalam kamar adalah lebih baik.
Tolak dalam dewan bermakna, usul itu dapat dibaca dalam dewan. Oleh itu ia masuk dalam hansard parlimen. Ia jadi bahan dokumentasi yang boleh dirujuk dalam perpustakaan. Ia akan dicetak dan disebarkan kepada orang ramai sama ada melalui internet, blog, facebook dan surat. Maka mereka akan dilihat sebagai hero kerana membangkitkan isu tersebut. Itulah strategi mereka. Pada mereka walaupun usul itu tidak dapat dibahas dan tidak perlu dijawab oleh menteri, tetapi itulah tujuan mereka apabila ia dapat dibaca dalam dewan.
Usul 18(1) mesti memenuhi tiga kriteria penting. Pertama ia berkaitan isu tertentu. Kedua ia berkaitan kepentingan ramai. Dan ketiga isu itu perlu disegerakan. Tetapi kebanyakan usul yang dibawa oleh pembangkang ditolak kerana tidak perlu disegerakan.
Sebab itu Lim Kit Siang marah apabila usul beliau ditolak. Apatah lagi ditolak dalam kamar. Beliau disokong oleh Anwar. Anwar berhujah, kalau begitu tidak perlu ada parlimen., kalau isu isu seperti rasuah tidak dapat dibahas dalam parlimen dengan menggunakan usul tersebut. Bahkan Lim Kit Siang dengan kurang ajar menyatakan bahawa speaker sebenarnya ikut telunjuk kerajaan. Kerana semua usul yang mereka bawa melalui perkara 18(1) ditolak.
Tetapi apabila speaker menjelaskan dengan berbagai hujah mengikut peraturan termasuk bukti bukti. Kedua dua tokoh pembangkang itu malu dan terdiam. Speaker menjelaskan adalah bohong semua usul mereka ditolak lantas mengemukakan beberapa contoh, seperti usul pembangkang mengenai wabak H1N1 yang dibawa oleh Gopeng, usul tanah runtuh yang dibawa oleh Gombak, usul Palestin yang di bawa oleh Kubang Kerian, usul beras yang dibawa oleh Kubang Kerian juga, semuanya diterima dan dibenarkan oleh speakerr untuk dibahaskan.
Mereka bertambah malu apabila speaker membuktikan termasuk tarikhnya sekali bahawa usul yang dibawa itu telah pun mereka bahaskan ketika berbahas di peringkat dasar dan jawatankuasa berulangkali bahkan berkali kali sejak dua tiga penggal yang lalu. Jadi apa perlunya usul itu dibawa? Bertambah malu, apabila speaker menyindir kedua dua tokoh putar belit itu bahawa, dia tahu tujuan, usul itu dikemukakan. Iaitu hanya mencari publisiti dan bermain politik.
Wednesday, November 18, 2009
PARLIMEN HARI INI
Labels:
Parlimen Hari Ini
Assalamualaikum wr.wb. dan salam 1 Malaysia.
Hari ini saya menjawab dua soalan. Satu soalan nombor 7 oleh ahli parlimen Kalabakan, mengenai agihan buku teks yang beliau anggap tidak effisien dan soalan nombor 3 mengenai integriti mahkamah syariah. Soalan nombor 3 itu sepatutnya dijawab oleh menteri agama. Tetapi oleh kerana kedua dua menteri dan timbalan menteri ada urusan lain. Maka saya diminta oleh JPM untuk menjawab bagi pihak mereka.
Seperti biasa, sudah tentu pihak pembangkang terkejut apabila mereka melihat saya berdiri untuk menjawab. Ini isu agama. Bagi mereka yang layak untuk menjawab mestilah orang agama juga. Saya beritahu mereka jangan bimbang. Saya pun cukup tarbiyyah. Oleh kerana Permatang Pauh ada dalam dewan ketika itu, saya beritahu mereka, saya pelajaran pun boleh agama pun boleh. Samalah saya kata macam Permatang Pauh, agama pun boleh ekonomi pun boleh, sebab itu beliau jadi penasihat ekonomi kerajaan negeriSelangor.
Mahkamah syariah kita memang bebas dan berintergriti. Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah telah menetapkan kod kod Etika yang perlu dipatuhi oleh pegawai pegawai mahkamah seperti Kod Etika Pegawai Sulh, Kod Etika Peguam Syarie dan Kod Etika Hakim. Hakim Syarie seperti juga hakim mahkamah sivil tidak boleh bergaul secara bebas yang boleh menimbulkan syak wasangka. mereka juga tidak boleh meminjam wang, menerima hadiah atau memberi pandangan yang berkaitan dengan kedudukannya sebagai hakim.
Kemudian ada dua soalan tambahan dikemukakan.. Dato Mohamad Aziz bertanya kes Kartika yang dikenakan hukum sebat kerana minum arak manakala DS Anwar Ibrahim bertanya mengenai intergriti JAIS kerana mendakwa bekas mufti Perlis yang berceramah tanpa tauliah. Tetapi ketika soalan soalan itu dikemukakan, Dato Dr. Mashitah Ibrahim, Timbalan Menteri telah masuk ke dalam dewan. Maka hilanglah peluang saya untuk menjawab soalan tambahan tersebut.
Dalam kes Kartika, Timbalan Menteri itu menjelaskan Mahkamah Syariah juga mempunyai kuasa mendakwa mereka yang 'menghina mahkamah' seperti di Mahakamah Sivil. Sebab itu sesiapa yang mempersoalkan keputusan denda sebat terhadap Kartika, boleh didakwa kerana menghina mahkamah. Mengenai soalan DS Anwar Ibrahim, Dato Mashitah menjelaskan, orang bawa kereta, walaupun cermat, tidak langgar lampu merah dan tidak melanggar had laju, tetapi kalau dia memandu tanpa lesen, maka dia tetap bersalah dan mesti didakwa juga. Jawapan itu menyebabkan Anwar jadi emosional. Sepatutnya Dato Mashitah tambah sikit lagi, kalau mahu mahkamah ada intergriti, maka Anwar sepatutnya tidak melengah lengahkan kesnya di mahkamah. Pembangkang sering mempersoalkan kelewatan kes kes di mahkamah yang berlambak lambak sehingga menyusahkan mereka yang didakwa. Tetapi Anwar sendiri yang melambat lambat kes beliau untuk dibicarakan. Tidakkah itu menganggu intergriti mahkamah?
Mengenai soalan buku teks, saya menjelaskan, kali ini buku teks akan diedarkan ke sekolah lebih awal iaitu mulai 15 Disember. Ini bermakna jika berlaku kekurangan maka kementerian sempat mengatasinya sebelum sesi persekolahan bermula pada bulan januari. Kekurangan buku teks berlaku kerana ada buku teks yang dipulangkan sudah rosak. Dan ada juga yang yang tidak bertanggungjawab kerana tidak memulangkan buku buku tersebut kepada sekolah. Saya juga menyatakan bahawa buku teks dipinjam secara percuma kepada semua pelajar tanpa mengira jumlah pendapatan keluarga. Untuk tahun 2009 kerajaan berbelanja sebanyak RM 180 juta yang melibatkan lebih 6 juta pelajar bagi skim pinjaman buku teks ini. Inilah saya kata negara kebajikan kerana Malaysia masih mengamalkan pendidikan percuma hingga ke hari ini.
Tuesday, November 17, 2009
ORANG MALAYSIA TERMASUK ORANG MELAYU TIDAK TAAT PADA BAHASANYA
Labels:
Komentar Dan Isu
Assalamualaikum wr.wb. dan salam 1 Malaysia.
Hari ini saya merasmikan Persidangan Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu. Persidangan ini dianjurkan oleh UPM dengan kerjasama DBP. Tema seminar ini ialah 'Pemerkesaan Bahasa Melayu sebagai jati diri pembinaan negara bangsa'. Saya ambil kesempatan dalam ucapan perasmian itu untuk membangkitkan perkara pokok iaitu 'pembudayaan Bahasa Melayu' di Malaysia.
Bahasa adalah modal sosial dan juga modal budaya. Bangsa yang meminggirkan bahasanya adalah bangsa yang tidak bernyawa dan bangsa yang tidak ada jati diri. Oleh sebab itu pembudayaan bahasa amat penting. Ia akan melahirkan bangsa yang bergerak secara kolektif. Rasa kebertanggungjawaban kental. Macam orang Jepun. Ini yang Francis Fukuyama sebut, kenapa orang Jepun ada budaya Japanaese Incorporated. Mereka ada budaya kepada bahasanya sendiri. Tetapi budaya bahasa rakyat Malaysia khususnya orang Melayu amat menyakitkan hati, mengecewakan dan kadang kadang membimbangkan. Lihat sahaja bahasa sms dan bahasa di internet. Pelik sungguh budaya bahasa orang Melayu hari ini.
Contoh pertama, apabila orang Melayu berbual bual sesama mereka khususnya golongan elit, mereka suka berbual dalam Bahasa Inggeris. Apa perlunya mereka berbual dalam bahasa Inggeris. Kita tidak macam orang Perancis, orang Jepun dan orang Korea. Kalau berbual sesama sendiri, mereka tetap menggunakan bahasa mereka, bukan bahasa Inggeris. Pelik kedua ialah kita suka berbual bual terutamanya golongan kelas menengah menggunakan bahasa rojak yang bercampur campur antara Bahasa Melayu dengan Bahasa Inggeris. Ini cukup jelas dalam drama drama TV termasuk yang disiarkan dalam TV 1 dan TV 2. TV 3 jangan kira. Kita lihat skripnya adalah skrip bahasa yang bercampur campur. Budaya ketiga ialah rakyat Malaysia tidak taat kepada bahasa seperti orang Perancis yang begitu taat pada bahasanya. Orang Perancis walaupun tahu dan fasih berbahasa Inggeris, tetapi mereka tetap bercakap bahasa Perancis.
Bagi mereka bahasa Perancis mempunyai sejarah yang lama. Mereka mendakwa bahasa Perancis bahasa diplomatik di Erofah berbanding bahasa Inggeris. Sebenarnya Bahasa Melayu juga telah berusia 2000 tahun. Bahasa Melayu telah mengalami 6 peringkat evolusi dari bahasa purba hingga menjadi bahasa moden. Tetapi apakah masalah kita sebenarnya. Masalahnya ialah kita tidak dapat membezakan perana bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Kita melihat peranan bahasa Melayu sebagai bahasa urusan rasmi sahaja. Itu pun dinodai. Masalah seterusnya ialah kita seperti tidak lagi berkeupayaan bahkan tidak mahu mengawal pun tindakan pihak swasta dan GLC yang menggunakan sepenuhnya bahasa Inggeris dalam mesyuarat mesyuarat lembaga pengarah mereka. Dengan perkembangan sektor swasta yang pesat, maka dikhuatiri, budaya tidak taat pada bahasa ini semakin menjadi jadi.
Masalahnya, bukan masalah bahasa Melayu, tetapi masalah sikap kita. Kita sendiri yang mengkhianati dasar negara atau mencemarkan citra budaya Malaysia. Sebab itu ada mesyuarat mesyuarat di peringkat fakulti dan senat universiti yang tetap menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya. Inilah yang mencabar pembudayaan bahasa Melayu di Malaysia.
Oleh itu kepimpinan melalui teladan adalah penting. Mesyuarat kabinet dan pasca kabinet mestilah dilaksanakan dalam Bahasa Melayu sepenuhnya, sebab mesyuarat itu adalah di kalangan rakyat Malaysia yang sudah bersetuju bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Perserkutuan. Sebagai kesimpulan dalam ucapan perasmian itu, saya tegaskan jika saya menerima surat daripada mana mana agensi kerajaan, syarikat swasta, GLC dan rakyat Malaysia yang menggunakan Bahasa Inggeris, maka saya akan memulangkan surat itu kepada pengirimnya supaya ditulis kembali dalam bahasa Melayu. 'Bahasa Jiwa Bangsa'
ANWAR TUDUH SAYA KAYA RAYA
Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia.
Semalam (16.11.09) di parlimen berlaku sedikit perdebatan antara saya dengan Dato Seri Anwar Ibrahim. Untuk makluman, sebagai anggota kerajaan (frontbencher) saya tidak lagi berpeluang untuk berbahas dan mencelah perbahasan seperti dulu. Sebelum ini sebagai anggota backbencher (penyokong kerajaan) saya sering mencelah apabila ketua pembangkang itu berhujah.
Pada hari tersebut beliau bangun berbahas di peringkat jawatankuasa. Seperti biasa Anwar mengulang ulang tuduhan dan cerita lama. Beliau menuduh pemimpin negara sebagai korup, SPRM diperalatkan, sistem kehakiman tidak bebas dan sebagainya. Bila saya mencelah sambil duduk (kerana bukan lagi backbencher), Anwar marah dan mencabar saya untuk bangun. Saya bangun dan mengulang balik apa yang saya katakan, iaitu apa komen beliau mengenai cerita Azmin Ali dari Gombak yang dituduh beli saham bernilai RM 8.5 juta. Anwar mempertahankan Azmin Ali. Dia kata itu cerita lama yang tidak ada tindakan pun daripada SPRM dan LHDN. Ini masalah PKR, mereka suka bawa cerita lama, bila kita bawa cerita fasal mereka, mereka kata itu cerita lama.
Tetapi apabila Anwar mempertahankan Dato Nik Aziz mengenai isu tambang haji RM 65,000 yang ditaja oleh seorang kontraktor, sekali lagi saya mencelah sambil duduk. Anwar mencabar saya untuk bangun. Sudah tentu saya tidak mahu melepaskan peluang emas tersebut. Saya bangun dan beritahu Anwar, kalau Nik Aziz rasa tidak bersalah kenapa dia batalkan pemergian hajinya itu. Dia perlu meneruskan hasratnya itu supaya rakyat tidak berburuk sangka padanya. Tetapi Anwar membidas saya dengan mengatakan saya sudah kaya raya, ada nomine sana nomine sini.
Maka terdedahlah pekung Anwar. Rupanya dia suka buat tuduhan serkap jarang. Sebab itu saya cabar dia untuk dedahkan akaun bank masing masing. Akaun dia dan isterinya. Akaun saya dan isteri saya, termasuk harta yang lain. Yang lebih penting ialah nomine nomine saya. Persepsi yang cuba Anwar bawa ialah, masuk UMNO jadi kaya. Saya hairan, apakah kontraktor PAS yang mahu taja tambang haji Dato Nik Aziz itu tidak kaya raya? Tetapi Anwar tidak pun menerima cabaran saya. Dia hanya berkata, tak apa...tak apa... tak apa....sambil merendahkan suaranya. Sebelum itu suaranya meninggi marah.
Mengenai isu kaya raya ini, Anwar sepatutnya tahu walaupun saya adalah Timbalan Menteri, belum tentu saya kaya raya. Setakat saya makan gaji dengan beberapa kemudahan, Anwar tidak boleh tuduh saya semberangan. Mungkin hidup saya lebih selesa, kerana ada driver, tol percuma, bil telefon dan elektrik percuma. Inilah kali pertama saya dapat duduk di rumah banglo, itu pun kuarters kerajaan di Putrajaya. Dan perlu saya jelaskan oleh kerana kuarters untuk Timbalan Menteri tidak ada yang kosong, maka saya hanya tinggal di kuarters untuk pegawai Jusa A. Tetapi apa yang saya perhatikan ramai pemimpin pembangkang khususnya dari PKR yang hidup mewah dan sudah memiliki rumah banglo mewah walaupun umur masih muda. Apabila timbul cerita kes saman mahkamah, di mana Bank CIMB tuntut pembayaran balik sebanyak RM 22 juta daripada Tan Seri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor, maka timbul tanda tanya, apakah ini bukan kaya raya?
Anwar pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Ketika itu saya hanya seorang pensyarah universiti dan masih merangkak dalam politik. Macam mana beliau begitu tergamak untuk mengatakan dia tahu saya ada nomine. Inilah masalah Anwar. Kredibilitinya amat saya pertikaikan. Sebab itu dalam politik kesungguhan politik (political will) dan kejujuran politik (political honesty) tidak boleh dipisahkan.
Subscribe to:
Posts (Atom)
