Tuesday, May 26, 2009

PPSMI: Keputusan enam bulan lagi

JOHOR BAHRU 25 Mei - Keputusan sama ada kerajaan meneruskan atau memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dijangka diketahui dalam tempoh enam bulan lagi.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, keputusan berkenaan akan dimuktamadkan segera bagi menyelesaikan polemik PPSMI selepas kajian pelbagai pihak diperhalusi.
''Tak perlu lama lagi hendak tengok, tak perlu enam tahun tetapi dalam tempoh tak lebih enam bulan ini kementerian akan boleh umumkan keputusannya sama ada untuk kekal (penggunaan bahasa Inggeris) atau kembali kepada bahasa ibunda,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perayaan Hari Guru 2009 peringkat Johor di Stadium Perbandaran Pasir Gudang, di sini baru-baru ini.
Turut hadir Pengarah Pelajaran negeri, Sufa'at Tumin.
Baru-baru ini, Gagasan Veteran Malaysia melalui Presidennya, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid mengadakan pertemuan dengan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai dasar PPSMI di pejabat Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya.
Dalam pertemuan kira-kira sejam itu, Ahmad Sarji mengemukakan hasil kajian dan pendapat pihaknya kepada Muhyiddin.
Mohd. Puad berkata, tempoh enam bulan adalah wajar kerana semua kajian mengenainya telah siap diteliti dan yang terbaru kementerian sedang melihat kajian Gagasan Veteran yang diserahkan itu.
Beliau berkata, semua pihak perlu akur dengan keputusan yang akan diumumkan nanti.
Menurutnya, Muhyiddin sebelum ini menolak hasil yang dikumpulkan oleh sesi meja bulat kerana ia mempunyai perbezaan amat ketara dengan hasil penyelidikan badan bebas.
Mohd. Puad berkata, selain itu, laporan meja bulat dianggap tidak lengkap apabila hanya mempunyai tiga opsyen untuk mengatasi masalah berkenaan dan tidak mengambil kira kajian tokoh bahasa.
''Opsyen sebelum ini antaranya memperkenalkan kaedah dwibahasa, meneruskan dasar tersebut di peringkat sekolah menengah dan menggunakan bahasa Melayu di sekolah rendah, tetapi tiada opsyen untuk mengembalikan semula pengajaran dan pembelajaran kepada dasar asal,'' katanya.
Ahli Parlimen Batu Pahat itu mengulangi pendirian beliau secara peribadi mahu pengajaran Sains dan Matematik dijalankan dalam bahasa ibunda tetapi pada masa yang sama penguasaan bahasa Inggeris perlu diperkukuhkan dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.
Mohd. Puad yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat berkata, tinjauan dan pemeriksaan mengejut di sekolah-sekolah rendah dan menengah terutama di luar bandar mendapati dasar PPSMI mempunyai kelemahan ketara untuk dilaksanakan.
''Hakikatnya ialah sekolah luar bandar masih kekurangan guru-guru PPSMI dan tenaga pengajar bahasa Inggeris, takkan guru agama pun kena ajar bahasa Inggeris, ini lebih menyedihkan jika dilihat di sekolah kawasan Orang Asli, pedalaman Sabah dan Sarawak.
''Guru-guru bahasa Inggeris banyak di bandar, ini menimbulkan masalah dari segi persediaan,'' katanya sambil menjelaskan hasil pertemuan dan perbincangan bersama para guru didapati bahasa ibunda tidak perlu dikorbankan dalam pengajaran Sains dan Matematik.
Terdahulu dalam ucapannya, Mohd. Puad berkata, bahasa Melayu mampu menjadi bahasa pelbagai cabang ilmu termasuk ekonomi, teknologi dan tidak sekali-kali boleh menjadi mangsa dalam persaingan dengan bahasa Inggeris dalam arus globalisasi.
Menurutnya, ia amat penting kerana bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan berperanan sebagai bahasa penyatuan kaum yang berkesan dalam membina negara bangsa.
Katanya, kerajaan menerusi kementerian amat komited dalam memelihara bahasa ibunda bersama-sama dengan hasrat warga pendidik termasuk guru-guru yang menjadi pejuang negara bangsa itu.

0 comments: