Tuesday, July 21, 2009

Perlu aktif kokurikulum

ARAU - Para pelajar digesa supaya terlibat secara aktif dalam kegiatan kokurikulum sekolah agar dapat mempersiapkan diri dengan semangat juang yang tinggi dan lebih bermotivasi.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kewujudan golongan pelajar yang hanya menumpukan terhadap akademik semata-mata tanpa menghiraukan kegiatan kokurikulum hanya mewujudkan generasi yang 'mati sebelah tubuh'.
Katanya, kewujudan golongan yang hanya menjadi ulat buku tanpa menghiraukan kegiatan kokurikulum merupakan perkara yang tidak sihat kerana mereka tidak mempunyai daya saing yang tinggi.
''Sebab itu sejak tahun 2005 kementerian mengambil kira 10 peratus penglibatan pelajar dalam kokurikulum untuk memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
''Ini merupakan sebahagian transformasi kementerian yang tidak mahu pelajar hanya menumpukan perhatian kepada peperiksaan semata-mata kerana kita tak mahu mewujudkan pelajar yang 'mati sebelah tubuh' iaitu seperti hanya menggunakan satu anggota sahaja," katanya di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kokurikulum Matrikulasi 2009 (KAKOM 2009) di Kolej Matrikulasi Perlis di sini.
Lebih 1,000 pelajar matrikulasi seluruh negara terlibat dalam karnival tersebut yang berlangsung sehingga esok.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Puad berkata, pelajar matrikulasi merupakan golongan terpilih yang disediakan kementerian bagi pengkhususan dalam bidang kritikal seperti doktor, jurutera dan dalam bidang farmasi.
''Oleh itu pelajar matrikulasi perlu mempersiapkan diri dengan ciri-ciri yang lebih berketerampilan termasuk bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum yang ternyata boleh mewujudkan daya saing yang tinggi.
''Sejak 2003 sehingga tahun lalu, sebanyak 97,817 pelajar Melayu dan 9,743 bukan Melayu dipilih untuk melanjutkan pelajaran di sembilan kolej matrikulasi di seluruh negara,''

1 comments:

Teo Wei Sing said...

Dr. Mohd Puad Zakarshi,

Salam

Sekadar berkongsi pendapat...

"Kewujudan golongan pelajar yang hanya menumpukan terhadap akademik semata-mata tanpa menghiraukan kegiatan kokurikulum hanya mewujudkan generasi yang 'mati sebelah tubuh'" - ayat ini begitu tepat menyifatkan pembentukan modal insan berkualiti yang harus seimbang dari aspek JERI. Malah boleh disifatkan sebagai melahirkan pelajar yang "lumpuh". Exam oriented sudah lama ketinggalan zaman dan kini dalam pembentukan manusia, cara memanusiakan manusia perlu dilaksanakan sebaik mungkin. Tuhan tidak mengubah nasih satu2 kaum melainkan kaum itu sendiri.