Friday, October 30, 2009

Kerajaan kaji kemungkinan perkenal j-QAF di sekolah menengah

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan memperkenalkan pengajian Jawi, al-Quran, Arab dan Fardu Ain (j-QAF) di peringkat sekolah menengah bagi memastikan pelajar memahami secara mendalam perkara asas yang terdapat di dalam ajaran Islam.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kajian itu dilakukan berikutan prestasi murid di sekolah rendah yang mengikuti pengajian itu amat menggalakkan.
''Purata kelulusan bagi ujian amali wuduk ialah 98.97 peratus, amali solat bacaan (90.26 peratus), amali solat perlakuan (99.25 peratus), bahasa Arab (81.24 peratus) dan Jawi (89.87 peratus),'' katanya menjawab soalan tambahan Datuk Lilah Yasin (BN-Jempol) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Lilah bertanya mengenai langkah kerajaan memperluaskan pembelajaran bahasa Arab di peringkat sekolah menengah.
Dalam pada itu, Mohd. Puad berkata, kerajaan akan membina lebih banyak sekolah menengah kebangsaan agama berikutan minat yang tinggi di kalangan ibu bapa menghantar anak-anak ke aliran itu.
Menjawab soalan asal Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang), beliau berkata, peruntukan untuk bidang pendidikan Islam dan bahasa Arab yang diagihkan Kementerian Pelajaran kepada Bahagian Perkembangan Kurikulum pada tahun ini ialah RM1.2 juta.
Menurut beliau, pendidikan Islam penting dihayati bagi membuktikan agama itu menekankan keamanan dan tidak menolak pembangunan.
''Langkah ini bagi menepis desakan Barat yang mahu pendidikan Islam dihentikan kerana ia akan melahirkan lebih ramai pengganas.

0 comments: