Monday, October 5, 2009

PIBG perlu selesai isu disiplin

PORT DICKSON - Penyelesaian masalah disiplin pelajar bukan hanya tanggungjawab pihak sekolah semata-mata tetapi harus dipikul bersama oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, PIBG boleh berperanan besar dalam menyelesaikan masalah itu dan pada masa sama tidak menjadikannya sebagai isu besar.
"Kita bimbang isu masalah disiplin ini akan menjadi polemik malah lebih memburukkan keadaan jika ia menjadi isu politik.
"Kementerian berharap PIBG berfungsi sebagai pemangkin dengan sama-sama menyelesaikan masalah di sekolah terutama gejala disiplin di kalangan pelajar," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sijil Pendaftaran PIBG Kawasan DUN Bagan Pinang di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdullah Muhammad.
Menurut Mohd. Puad, PIBG perlu aktif memberi sumbangan kepada pihak sekolah termasuk daripada aspek penyampaian idea untuk membangunkan institusi pendidikan negara.
"Kita tidak boleh hanya menumpukan soal pembangunan infrastruktur sebaliknya memberi keutamaan kepada pembinaan dalaman para pelajar bagi membolehkan mereka mendapat pendidikan berkualiti," katanya.
Tambahnya, jika semua PIBG mengambil pendekatan itu dan bermusyawarah dengan pihak sekolah, hasrat kerajaan untuk menjadikan negara sebagai pusat kecemerlangan pendidikan akan tercapai.

0 comments: