Saturday, November 21, 2009
CHIN PENG ( KETUA PARTI KOMUNIS MALAYA) IDOLA SAYA
Labels:
Parlimen Hari Ini
Dalam sidang parlimen khamis lalu (19/11), YB Kulasegaran ahli parlimen Ipoh Barat, kata, Chin Peng adalah idola beliau sejak di bangku sekolah. Dia turut memaklumkan, telah berjumpa Chin Peng sebulan lalu. Oleh itu beliau menggesa pihak kerajaan, supaya benarkan Chin Peng balik ke Malaysia. Chin Peng kata beliau, sudah lanjut usia dan mahu mati di Malaysia. Mengetahui gelagat Kulasegaran, saya tidak perlu mengulas, sama ada dia ikhlas, apabila menyatakan Chin Peng idolanya. Di parlimen, Kulasegaran lantang mengkritik polis. Beliau menuduh kadar jenayah meningkat kerana polis tidak cekap. Tetapi kalau ada penjenayah penjenayah yang mati ditemba polis, dia akan bising. Dia akan kata, polis melanggar undang undang. Tetapi beliau hanya bising jika penjenayah itu berketurunan India, sehingga penjenayah dilihat seperti hero. Kalau penjenayah itu orang Melayu, dia diam seribu bahasa.
Bukan sukar mentafsir sikap Kulasegaran itu. Dia hanya mencari dividen politik. Dia harap dia dilihat sebagai hero orang India. Oleh itu sokongan terhadap DAP bertambah. Sebab itu bila dia kata Chin Peng adalah idolanya, itulah politik beliau. Dia harap mereka yang bersimpati dengan Chin Peng akan menyokong DAP. Dengan kata lain, sama ada penjenayah, pengganas komunis atau apa sahaja, kalau ada dividen politik, beliau akan mempolitikkannya.
Apakah sebenarnya pendirian Kulasegaran jika salah seorang anggota keluarganya dibunuh oleh PKM. Adakah Chin Peng tetap idolanya? Tetapi melihat gelagat DAP, saya tidak hairan Kulasegaran masih sanggup untuk mempertahankan pendiriannya itu. Persoalannya, wajarkah Chin Peng dibenarkan balik ke Malaysia. Apakah rekod keganasan PKM yang lalu dan pendiriannya sekarang yang saya yakin masih berfahaman komunis, menyebabkan kita memaafkannya begitu sahaja. Sebab itu penjenayah perang Nazi, yang menghilangkan diri selama 50 tahun dan usianya sudah lanjut, tetapi bila dia ditemui, dia tetap didakwa di mahkamah perang antarabangsa. Itulah yang berlaku kepada Radovan Karadzik. Penjenayah Serbia yang kejam. Bila ditangkap dia dibicarakan di mahkamah jenayah perang di Hague.
Dalam kes Chin Peng, saya ingin menyebut mengenai Abdullah C.D. Beliau adalah pemimpin utama PKM. Beliau pengasas Regimen ke 10 PKM. Antara orang penting dalam rejimen itu ialah Rashid Maidin. Abdullah C.D. telah menulis tiga buku sejak perjanjian damai Haadnyai 1989. Yang terbaru ialah 'Memoir Abdullah C.D. (Bahagian ke 3) Perjuangan di Sempadan dan Penamatan Terhormat'. Saya membaca buku terbitan 2009 itu sebanyak dua kali. Ini saya lakukan supaya saya tidak tersalah fakta apabila mahu mengulas buku tersebut. Berdasarkan buku tersebut, saya berani mengatakan Abdullah C.D. tidak menyesal dengan perjuangan PKM. Dia tetap menganggap perjuangan bersenjata PKM adalah perjuangan kemerdekaan. Pada saya dia tetap berpendirian, fahaman komunis adalah betul. Dengan kata lain, saya yakin, Chin Peng mempunyai pandangan yang sama dan tidak membuang faham komunisnya.
Kalau mereka berdua menganggap PKM berjuang untuk kemerdekaan, kenapa setelah negara merdeka pada tahun 1957, mereka masih berada di hutan, meneruskan penentangan bersenjata, mensabotaj ekonomi negara dan lain lain selama 32 tahun hingga perjanjian damai 1989 ditanda tangani? Dalam tempoh tersebut, Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Perak dibunuh. Ramai anggota keselamatan terkorban. Ramai yang cacat anggota, wang negara dibazirkan untuk menghalang keganasan mereka, termasuk kerosakan harta benda. Siapa yang mereka tentang selepas kemerdekaan 1957? Sudah tentu bukan British tetapi kerajaan sah yang menang pilihanraya melalui proses demokrasi.
Mereka kata PKM mahu menghalau penjajah British. Tetapi semua orang tahu PKM mahu menjadikan negara ini negara komunis. Malaysia akan jadi boneka yang ikut telunjuk negara Republik China. Ini bermakna, keluar mulut buaya masuk mulut harimau. Jadi kemerdekaan apa yang diperjuangkan oleh PKM. Yang pasti kalau Malaysia jadi negara komunis, ia akan mengamalkan sistem republik. Sistem beraja akan dihapuskan. Apakah ini yang kita mahu.
Di muka surat 27 buku tersebut, Abdullah C.D. tuduh Dato On tali barut penjajah. Katabeliau, Slogan 'Hidup Melayu' Dato On adalah anti kemerdekaan. Bahkan Perlembagaan Persekutuan 1948 yang melibatkan Dato On dan British dianggap pemusnah kepada 10 Fasal Perlembagaan Rakyat yang dikemukakan oleh golongan kiri PUTRA-AMCJA. Hakikatnya, Dato On adalah orang yang bertanggungjawab menyedarkan khususnya orang Melayu untuk menentang Malayan Union. Malayan Union adalah idea British, di mana Gabnor Jeneral akan diberi kuasa pentadbiran dan kuasa raja akan dihapuskan. Justeru, adalah tidakbenar untuk menuduh Dato On adalah tali barut penjajah. Dan tidak benar untuk menuduh beliau sebagai anti kemerdekaan. PKMlah sebenarnya tali barut China. Latihan, senjata, logistik, station radio semuanya datang dari China. Semua orang tahu, pemimpin PKM, seperti Chin Peng, Musa Ahmad, Shamsiah Fakeh tinggal lama di Beijing sejak tahun 1960 an lagi.
Untuk menentang Malayan Union, Dato On perlu menyatupadukan orang Melayu yang berpecah ketika itu. Semangat kenegerian, kedaerahan, kesukuan dan keturunan menyebabkan orang Melayu berpecah belah. Tetapi dengan slogan' Hidup Melayu' mereka bersatu sehingga tertubuhnya UMNO untuk menentang Malayan Union. 'Hidup Melayu' adalah slogan penyatuan yang membawa jalan kepada kemerdekaan.
kewujudan Perlembagaan Persekutuan 1948, menamatkan riwayat Malayan Union. Ia adalah manifestasi perjuangan yang berasaskan kepada kebijaksanaan. Kuasa Raja Raja Melayu dikembalikan. Itu sumbangan besar Dato On menentang penjajah. Bahkan beliau hadir dalam perundingan Perlembagaan Persekutuan 1948 sebagai Presiden UMNO, bukan sebagai Menteri Besar Johor. Kalau hadir sebagai Menteri Besar dia tidak bebas bercakap, kerana beliau adalah Menteri Besar ketika British masih menjajah. Perlembagaan Persekutuan 1948 mengandungi spirit 'kontrak sosial' yang diguna pakai hingga ke hari ini. Perlembagaan inilah yang menjadi asas kepada Perlembagaan Persekutuan 1957 di mana Malaysia mencapai kemerdekaan.
Justeru, apa sumbangan PKM? Apakah Malaysia akan menjadi negara komunis dan boneka kepada Beijing, jika perjuangan bersenjata PKM itu berjaya. Apa jadi kepada Raja Raja Melayu. Bahasa Melayu, Agama Islam dan reserve Melayu? Perlembagaan Persekutuan turut melindungi SJKC dan SJKT yang tidak dinikmati oleh negara seperti Singapura, Amerika, United Kingdom, Perancis dan Sri Lanka. Kalau Chin Peng kata dia hanya mahu memerangi British, maka dia tidak boleh melupakan 'Peristiwa Bukit Kepong'. Yang dibunuh oleh PKM semuanya anggota polis Melayu. Dia tidak boleh melupakan pergaduhan di Batu Pahat. Itu adalah angkara PKM apabila Jepun keluar dari tanah Melayu. Inilah idola Kulasegaran.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
4 comments:
Assalamualaikum,
Syabas kerana ketegasan Dato' tidak menyokong Chin Peng kembali ke Malaysia. Sekiranya ada masa terluang, sila baca blog saya - xnuripilot.blogspot.com.
Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha.
Usah berikan ruang dan peluang kepada Chin Peng kembali ke Tanah air tercinta ini, tiada jalan kembali kepadanya. Kerana Chin Peng, kesan penderitaannya masih terguris di hati dan sanubari kita!
Pro Komunis VS Pro Sekular Kapitalisme. Kedua-duanya Batil
Isu Chin Peng kembali panas apabila ianya sekali lagi menjadi bahan perdebatan di antara Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran dengan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi apabila Ahli Parlimen DAP itu memuji dan seolah-olah menggambarkan Chin Peng sebagai 'idolanya' dengan berkata, musuh negara itu mempunyai tahap intelektual sangat tinggi dan merupakan seorang tokoh berfikiran jauh ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 dan Usul Anggaran Pembangunan 2010 Peringkat Jawatankuasa pada Sidang Dewan Rakyat, Khamis lalu. Kenyataan beliau itu telah disanggah oleh Puad dalam laman blognya.
Jika kita perhatikan persoalan yang timbul dalam isu ini, ianya berkaitan dengan kecenderungan politik yang berbeza antara kedua-dua ahli politik tersebut. Umum mengetahui bahawa DAP adalah sebuah parti politik yang cenderung kepada ideologi sosialisme. Oleh itu, tidak hairanlah wakil DAP itu memuji Chin Peng. Kelantangan ahli DAP tersebut dalam memperjuangkan idea ini selaras dengan sosialisme sebagai itu saingan Kapitalisme sebelum berakhirnya hayat ideologi sosialisme/komunisme pada awal tahun 1990-an. Komunisme melihat bahawa kapitalisme adalah ideologi yang gagal membawa kesejahteraan kepada dunia dan merupakan punca kerosakan yang mengsengsarakan dunia walaupun hakikatnya kedua-dua ideologi ini adalah ideologi ciptaan manusia yang batil.
Apa yang kita perlu kita perhatikan di sini ialah respon Puad Zarkashi terhadap kenyataan Kulasegaran. Responnya tidak lebih sekadar ingin mempertahankan sistem yang diterapkan oleh pemerintah hari ini yang masih menjadi pengikut dan pengekor kepada ideologi Kapaitalisme yang sudah berakar umbi semenjak penjajahan kuffar Barat British dari dulu lagi. Jika Puad mengatakan bahawa perjuangan PKM adalah bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara komunis yang akan menjadi boneka kepada Republik China, apa kurangnya dengan peranan parti–parti sekular ashobiyyah yang secara sedar mahupun tidak telah dipergunakan oleh British untuk menjadi kaki dan tangan kepada mereka untuk membantu membawa ideologi kapitalisme dan menanamkannya di dunia umat Islam termasuklah Malaysia. Kalau PKM membunuh rakyat Malaysia semasa mereka berjuang untuk membawa ideologi mereka dahulu maka apakah British yang pernah menjajah Malaysia tidak pernah membunuh rakyat Malaysia terutamanya umat Islam yang menentang mereka? Amat malang apabila seorang Islam tidak memahami sejarah dan percaturan dan pertembungan politik antara komunisme dan kapitalisme di mana akhirnya umat Islam juga yang menjadi mangsa.
balikla kalau berani.
Post a Comment