Sunday, November 22, 2009
SAYA MUNDUR KE BELAKANG
Labels:
Komentar Dan Isu
Hari ini akhbar STAR menyiarkan, pandangan mereka yang tidak bersetuju dengan saya mengenai isu penggunaan Bahasa Melayu disektor swasta dan GLC. Sebenarnya semasa merasmikan Persidangan Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu' saya mencadangkan supaya GLC dan sektor swasta menggunakan Bahasa Melayu dalam mesyuarat Lembaga Pengarah mereka. Bahkan saya juga menyebut, akan memulangkan surat surat sektor swasta yang dihantar ke pejabat saya yang menggunakan Bahasa Inggeris.
Pada saya, kenapa mereka mesti menggunakan bahasa Inggeris? Kalau bermesyuarat sesama rakyat Malaysia gunakanlah Bahasa Melayu. Barulah pembudayaan bahasa Melayu dapat ditingkatkan. Mustahil rakyat Malaysia tidak boleh berbahasa Melayu. Mereka tuduh, saya mundur ke belakang. Hujah mereka lagi, ini bertentangan dengan seranan Perdana Menteri untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi. Pelabur asing tidak akan datang ke negara kita dan Malaysia akan dipinggirkan. Ini yang saya kata budaya orang Malaysia amat pelik. Kenapa bila kita berjumpa sesama kita rakyat Malaysia mesti berbual dalam bahasa Inggeris. Apakah itu life style untuk menunjukkan kita maju. Atau menunjuk nunjuk kita adalah educated. Salahkah kita menunjuk nunjuk dan rasa bangga bila menggunakan bahasa kebangsaan kita sendiri. Kenapa bila kita bermesyuarat sesama kita mesti menggunakan bahasa Inggeris? Apa kena mengena dengan usaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia.
Kalau nak tarik pelabur asing atau bermesyuarat dengan pelabur asing, gunalah bahasa Inggeris. Memang itu pun kegunaan bahasaInggeris. Kerana ia bahasa antarabangsa. Saya pun tidak membantahnya. Yang saya tegur, mesyuarat mesyuarat rasmi GLC dan sektor swasta, termasuk mesyuarat senate di universiti universiti tempatan. Gunalah Bahasa Melayu. Taatlah sikit kepada bahasa kebangsaan sendiri. Apa kena mengena dengan produktiviti kita. Bahkan apabila ia menjadi modal sosial dan modal budaya kita, semangat kekitaan itulah yang menjadikan kita lebih bedaya saing dan ada jati diri.
Perancis, Jepun, China dan Korea begitu taat kepada bahasanya. Keempat empat negara tersebut adalah negara maju. Kita sendiri kagum dengan mereka. Saya tidak membangkitkan pun isu patriotisme. Itu bukan hujah saya. Taat yang saya maksudkan ialah keyakinan kepada jati diri sendiri. Saya tidak kata mereka tidak patriotik, tetapi mereka mungkin kabur soal pentingnya bahasa sendiri sebagai modal sosial dan modal budaya. Sebab itu saya setuju dengan tokoh bahasa seperti Dato Hassan Ahmad bila berhujah kaitan bahasa dan kemajuan.
Sekarang ini ada 45 negara yang menggunakan bahasa Inggeris. Tolak Britain, Amerika, Australia, New Zealand dan Kanada tinggal 40 negara. Kebanyakan 40 negara yang menjadikan Inggeris sebagai bahasa rasmi seperti Ghana, Zambia dan Zimbabwe adalah cukup miskin. Bahasa Perancis digunakan di 30 negara. Tolak Perancis, Queebec, Belgium dan Switzerland, tinggal 26 negara. Tetapi apakah negara negara seperti Ivory Coast, Mali, Togo, Haiti dan Chad adalah negara maju? Begitu juga bahasa Sepanyol. 30 negara menjadikannya bahasa rasmi, terutamanya di Amerika Selatan. Kebanyakannya adalah negara yang berpendapatan rendah. Cameroon menjadikan Inggeris dan Perancis sebagai bahasa rasmi, manakala Surinam menjadikan Inggeris dan Belanda sebagai bahasa rasmi. Tetapi kedua duanya tidak dianggap sebagai negara maju.
Jadi belum tentu menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi menjadikan negara itu negara maju, meningkatkan pendapatan negara, atau jaminan pelabur asing akan masuk. Menggunakan bahasa Melayu bila bermesyuarat dan berbual sesama kita sendiri bukan langkah mundur ke belakang. Bahkan ia langkah maju ke depan. Beribu doktor dan jurutera yang dilahirkan oleh UKM yang ketika itu menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
18 comments:
Silakomen
Salam YB Datuk, saya bersetuju dengan apa yang datuk tulis dan berpendapat mereka yang mengatakan datuk mundur ke belakang adalah mereka yang tidak berpandangan jauh dan pemikiran mereka terlalu sempit. Teruskan Yb Datuk, jangan mengalah dan ingat pepatah yang mengatakan 'tak kan melayu hilang di dunia'......kita hanya mahu Bahasa Malaysia itu dihormati oleh semua...
YB Datuk, I happened to stumble upon your blog. I am sorry to say this,..... but I really feel you need to improve your written English. Your article has many serious grammatical errors. I cannot believe you are a Deputy Minister of Education. Maybe you should write in BM instead. Sorry again to sound blunt,..... but your command of the English language is atrocious to say the least.
Teruskan usaha memartabatkan bahasa Melayu, ketegasan YB untuk memulangkan surat rasmi yang dihantar ke pejabat YB sekiranya ditulis dalam bahasa Inggeris pasti disokong oleh pencinta dan pengamal bahasa Melayu bukan sahaja di Malaysia, malah seluruh Nusantara dan dunia.
salam YB,
syabas dan terus kan perjuangan untuk mempertabat dan menjunjung bahasa kebanggan bangsa.
Semoga usaha YB Dr akan menjadi contoh kepada barisan kepimpinan terutama kepimpinan UMNO
Dan Dato' Yang paling penting di SJKC, SJKT, Sekolah persendirian serta IPTS. Itu semua duri dalam daging. Bermula dari sanalah lahirnya golongan tersebut sekarang ini. Teruskan perjuangan Dato'. Blogger akan sentiasa membantu hasrat Dato'. Jgn jadi penjilat tegar. Dato perlu teruskan dengan identiti tersendiri.
Salam YB, saya setuju! Dulu bukan main lagi depa nak masnuhkan PPSMI, la ni kenapa pulak semua nak cakap english je ni...?
Letakkan Bahasa Kebangsaan di tempatnya, Jika tidak, perlu apa diadakan Bahasa Kebangsaan itu? Malah Bahasa Kebangsaan itu adalah alat perpaduan. Jangan cakap tentang 1Malaysia jika nak menutur Bahasa Kebangsaan pun terasa geli geleman. Sokong pandangan dan saranan YB
Salam YB, Tahniah atas istiqamah dalam perjuangan meletakkan bahasa kebangsaan pada martabatnya. Saya bersetuju tiada kaitan secara langsung antara bahasa Inggeris dan kemajuan. Ianya hanya jambatan penyebaran ilmu sahaja. Yang penting bagaimana ilmu itu disampaikan dengan berkesan dan membudayakan keilmuan di kalangan masyarakat untuk maju. Teringat ucapan YB di Universiti Tun Hussein Onn tahun lepas berkenaan kupasan antara Idealisme dan Realisme. Orang-orang yang agungkan Bahasa Inggeris ini idealisme mereka tinggi tanpa menyedari realisme mereka ini lebih Inggeris daripada orang Inggeris.
Wallahualam
Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
Sesi 08/09
salam YB,
sudah tiba masanya kita memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu.. tiada salahnya kalau mesyuarat rasmi di sektor GLC/swasta dijalankan di dalam Bahasa Melayu..
tapi YB, kalau boleh gunakanlah Bahasa Melayu sepenuhnya dalam mana-mana artikel YB. Jangan dicampuradukkan dengan bahasa lain.
lifestyle = gaya hidup
educated = terpelajar
Syabas Datuk kerana berpendirian tegas.
Harap-harap mulai sekarang, setidak-tidak semua Menteri, Timbalan Menteri dan yang lain-lain gunalah Bahasa Melayu bila menyampaikan ucapan dan sebagainya, kepada "pendengar" dan penduduk Malaysia. Dan tolong janganlah guna bahasa "rojak"
Kalau rakyat Malaysia tak mahu guna Bahasa Melayu, siapa lagi.
Salam Dato.
Kadang kadang orang yang memperlecehkan bahasa melayu adalah orang melayu sendiri. Mesyuarat sesama bangsa sendiri juga hendak menggunakan bahasa inggeris.
Kalau orang melayu sendiri tidak mahu menggunakan bahasa melayu, bagaimana pula kita hendak meminta ahli perniagaan cina dan india menggunakan bahasa melayu?
Malah mereka lebih senang menggunakan bahasa ibunda mereka. Ini boleh kita lihat kalau kita mahu jawatan didalam syarikat cina, syarat mereka adalah boleh menguasai bahasa mandarin atas alasan senang berurusan.
Inilah malangnya orang melayu sendiri tidak mahu mendaulatkan bahasa sendiri sedangkan bangsa lain amat menjaga dan menjunjung bahasa mereka.
Assamualaikum, saya menyokong penuh tindakan sdr akan mengembalikan surat swasta yang dihantar dalam bahasa Inggeris? Kalau bukan sdr (kita) siapa lagi hendak martabatkan bahasa sendiri? Biarlah dihalang, dicemuh dan diremehkan asalkan kita ada prinsip dan jari diri. Selamat berjuang kerana Allah. Wassalam.
kami akan sentiasa di belakang datuk dalam memartabatkan bahasa malaysia.
terence, bahasa inggeris juga ada rojaknya. sedangkan bahasa melaysia pun tergagap-gagap.
YB, sepatutnya kita kena buat macam Indonesia..semua warganegara mesti fasih dalam bahasa Melayu. Skrg ni, orang Cina dan India suka bercakap didalam bahasa mereka walaupun didalam kelopmpok melayu..kita pun terfikir dia org ni mengata aku ker? Jadi...tangguhkan dulu kerakyatan sehingga depa fasih bahasa melayu...amacam? Ada berani?
Salam YB, tahniah di atas perjuangan YB. Etnik Melayu sendiri mempersendakan bahasanya. Mereka sendiri tidak jujur kepada perjuangan oleh pejuang-pejuang dahulu. Pemimpin kita perlu mempertahan dan memperkasakan bukan sahaja bahasa Melayu tetapi juga hak-hak kita yang lain yang telah termaktub dalam perlembagaan.Kita sudah banyak beralah dan mengalah meski pun hak itu telah dipersetujui bersama sebelum ini.Malah yang telah termaktub dalam perlembagaan pun kadang-kala cuba dijolok.
Salam YB,
Saya baru pertama kali membaca bahan dalam blog YB ini. Tahniah saya ucapkan atas penderian YB terhadap isu Bahasa Malaysia ini. Saya menyokong YB dalam hal ini.
Sepatutnya kita telah ke depan dalam soaal bahasa ini, tetapi terganggu seketika sehingga ramai kalangan rakyat dalam pelbagai organisasi kerajaan apatah lagi swasta, telah kembali kepada cerita awak kemerdekaan, menggunakan Bahasa Inggeris dan paling teruk mengagungkan bahasa ini.
Sekarang kita dalam pendidikan sudah kembali kepada landasan asal. Semoga semua akan berusaha kembali untuk memertabatkan bahasa Malaysia semula. Program MBMMBI Kementerian Pelajaran sebagai langkah untuk membetulkan keadaan ini.
Post a Comment