Monday, January 25, 2010

CAH KETING DALAM PKR ANGKARA SIAPA?

Dato Nik Aziz kata, dia mahu mendoakan supaya Perdana Menteri dilaknat Allah sampai pecah perut kerana isu wang ihsan. Tapi apakah doa sudah makan tuan. Kini PAS dan PKR pula yang dilanda musibah. Pemimpin PAS akui wujud 'cah keting' dalam parti tersebut. Orang dalam PKR juga mengakui perkara yang sama berlaku dalam PKR. Terbaru kes 13 ahli jawatankuasa PKR Bahagian Kuala Selangor meletakkan jawatan. Bahagian itu dianggap lumpuh kerana hanya tiga ahli jawatankuasa sahaja yang tinggal. Tan Sri Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar adalah Ketua PKR Bahagian Kuala Selangor. Beliau mesti malu dengan isu tersebut.
2. Tapi ada yang dakwa ini permainan Azmin. Azmin dilihat mahu mengukuhkan kedudukan untuk menjadi Timbalan Presiden PKR. PKR dijangka mengadakan pemilihan parti pada bulan Mei tahun ini. Mungkin Khalid dilihat sebagai pesaing utama untuk merebut jawatan Timbalan Presiden. Selepas itu mudahlah beliau untuk menjadi Menteri Besar Selangor yang baru. 3. Cah keting dalam PKR bukan perkara baru. Orang ramai tidak menyedarinya kerana selama ini ia berlindung disebalik kemenangannya dalam PRU ke 12 sebagai bukti rakyat menyokong parti tersebut. Ia juga dapat ditutup kerana kehebatan mereka mengeksploitasi banyak isu sehingga Barisan Nasional pula menjadi terlalu defensif. Tetapi sekarang mereka tidak lagi boleh bertahan.
3. Gagasan 1 Malaysia dan Juara Rakyat menjadi cabaran getir kepada Pakatan Rakyat yang selama ini suka berslogan. Ia medan penilaian terbaru selepas PRU ke 12 siapa sebenarnya 'Juara Rakyat Tulen' dan 'Juara Janji Bohong'. PKR tidak lagi boleh berselindung kerana mereka juga sudah ada kuasa mentadbir negeri. Sebelum ini mereka boleh berkata apa sahaja. Mereka juga boleh berjanji apa sahaja. Sekarang mereka mesti membuktikan apakah janji boleh ditunaikan dan apakah mereka cekap mentadbir negeri.
4. Tetapi berdasarkan rekod pentadbiran mereka terutamanya di Selangor memang mengecewakan. Sudahlah berbagai janji termasuk air percuma tidak dapat ditunaikan, kini kelemahan pentadbiran mereka semakin terserlah. Sebab itu PKR mahu kembali pendekatan lama iaitu menyalahkan kerajaan pusat. Apabila SPRM mahu menyiasat seorang pembantu exco kerajaan Selangor kerana kes mencuri pasir, cepat cepat mereka menuding jari ini adalah konspirasi kerajaan pusat.
5. Berapa lama mereka boleh bertahan dengan cara lapok itu. Apakah rakyat Selangor khasnya boleh diperbodohkan. Justeru isu 'cah keting' dalam PKR tidak boleh dipandang ringan oleh rakyat. Mereka boleh berkata apa sahaja sebelum berkuasa tetapi menjadi rakus setelah berkuasa. Isu Khalid Ibrahim bukan semata mata kelemahan peribadi dan pentadbirannya, tetapi kerana cah keting yang sememangnya wujud.
6. Azmin Ali adalah orang kanan Anwar Ibrahim. Dia setia dengan Anwar. Dia lebih lama bersama Anwar berbanding Khalid Ibrahim. Dia mungkin kecewa kerana kelemahan Khalid menyebabkan imej PKR semakin terjejas. Khalid adalah bebanan kepada masa depan PKR. Kelemahan pentadbiran Khalid Ibrahim dijadikan hujah bahawa PKR dan Anwar Ibrahim tidak akan mampu mentadbir negara. Cita cita pembentukan kerajaan baru 16 September 2009 menjadi jauh panggang daripada api. Justeru, Anwar mungkin mahu menggunakan Azmin supaya Khalid Ibrahim dapat diketepikan. Mereka tidak mahu mempertaruhkan Selangor sebagai kubu terakhir PKR jatuh sebelum atau semasa PRU ke 13. Anwar bimbang, yang dikejar tidak dapat yang dikendong keciciran.
7. Kalau pun kerajaan PKR di Selangor nanti tidak tumbang awal, tetapi kemelut parti dan pentadbiran lemah kerajaan negeri yang berterusan akan menyebabkan kerajaan Pakatan Rakyat tumbang dalam PRU ke 13. Dato Nizar bekas Menteri Besar Perak mengakui sokongan orang Melayu semakin merosot. Orang atas pagar juga kecewa dengan ketidakcekapan pentadbiran Khalid Ibrahim. Apabila ADUN Pelabuhan Kelang menjadi bebas, ia memalukan PKR. Khalid cukup lemah mengawal beberapa orang exconya seperti Ronald Liew, Dr. Xavier dan Theresa Kok.
8. Ini terbukti semasa sidang Dewan Undangan Negeri Selangor pada 9 Julai 2009 tahun lalu. Azmin mendesak supaya exco Selangor dirombak semula walaupun baru setahun memerintah. Dia kecewa kerana banyak rungutan terutamanya cara melantik ahli majlis perbandaran. Dia kesal sikap mereka yang tidak telus. Dia juga kesal birokrasi kerajaan negeri yang menghalang banyak pelaburan di negeri berkenaan. Dia mengkritik MTES atau Majlis Tindakan Ekonomi Selangor yang diwujudkan Khalid Ibrahim Selangor kerana bersikap prejudis dan suka menghukum bukannya membantu galakan pelaburan dan masyarakat peniaga.
9. Ketika itu lagi Azmin sudah membangkitkan isu hasil penjualan pasir dan bahan galian negeri Selangor. Oleh itu dia mencadangkan perlantikan exco tidak lagi berdasarkan kepada kuota parti dan kaum tetapi berasaskan kepada merit. Exco Kerajaan Tempatan adalah Ronald Liew yang kontroversi, manakala exco Pelaburan adalah Teresa Kok. Umum mengetahui Khalid Ibrahim sukar dan tidak mampu mengawal kedua dua exco dari DAP ini. Mencadangkan rombakan exco bermakna, hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar yang melantiknya. Dengan kata lain, Azmin juga hilang kepercayaan terhadap Khalid Ibrahim. Itulah signal Azmin kepada ahli PKR mengenai kedudukan Khalid Ibrahim.
10. Isu cah keting dalam PKR bukan baru. Dalam PKR ada empat kumpulan. Pertama, bekas ahli UMNO yang kuat menyokong Anwar. Kedua, bekas pimpinan ABIM yang pro Anwar. Ketiga bekas ahli Parti Sosialis Rakyat Malaysia pimpinan Dr. Syed Husin Ali dan keempat golongan middle class termasuk anak muda yang mahukan pembaharuan. Ketidak sepakatan menyebabkan cah keting berlaku. Akibatnya ramai bekas pemimpin ABIM menjadi 'low profile' dan ada yang menyertai PAS seperti Shaari Sungib dan Anuar Tahir. Isu kalimah Allah diyakini akan menyebabkan ramai penyokong ABIM dalam PKR akan meninggalkan parti tersebut. Ada yang timbul semula hanya kerana PKR menang banyak kerusi dalam PRU ke 12. Tokoh seperti Dr. Chandra Muzaffar dan Zainur Zakaria sudah lama meninggalkan PKR. Kini ramai bekas ahli UMNO turut meninggalkan PKR. Maka Anwar perlu menyelamatkan kubu terakhir mereka di Selangor.
11. Paling membimbangkan Anwar ialah, pengaruhnya dalam PAS dan DAP. Apakah mereka boleh bertahan dalam Pakatan Rakyat. Dato Nizar bekas Menteri Besar Perak mengakui sokongan orang Melayu terhadap Pakatan Rakyat merosot. Kalau Kerajaan Selangor terus berkocak dan tumbang harganya adalah mahal. Justeru tidak hairan, bahawa apa yang berlaku di Kuala Selangor dan pentadbiran kerajaan negeri sekarang ini sememangnya dirancang dan disengajakan oleh orang dalam parti itu untuk menjatuhkan Khalid Ibrahim.

0 comments: