Friday, January 8, 2010
ALLAH UNTUK ORANG ISLAM: TUHAN ALAH ATAU TUHAN ALA UNTUK PENGANUT LAIN?
Share
Today at 12:20pm Edit Note Delete
Orang Islam sedikit lega kerana KDN telah memfailkan notis rayuan mengenai isu penggunaan kalimah Allah dalam mingguan Herald. Saya pasti KDN mahu mempertahankan keputusan awalnya yang tidak membenarkan akhbar mingguan itu menggunakan kalimah Allah.
2. Justeru, apakah agaknya hujah KDN dalam rayuannya itu nanti. Saya bersetuju dengan pandangan beberapa orang pengamal undang undang, bahawa realiti semasa mesti menjadi asas utama untuk memutuskan perkara yang begitu rumit dan boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan kaum di Malaysia. Realiti semasa bermaksud realiti Malaysia. Sebagai contoh, realiti Malaysia membabitkan isu 'Sosial Kontrak'. Sebab itu amat sukar untuk melaksanakan sekolah satu aliran. Ia menjadi isu yang sensitif dan boleh menjadi isu hasutan.
3. Realitinya, kebebasan beragama memang termaktub dalam perlembagaan. Tetapi perlembagaan juga memperuntukkan kebebasan beragama tidak boleh mewujudkan ketidak harmonian. Kenapakah Hakim Lau Ben Lan tidak menggunakan peruntukan tersebut. Perkara 11(5) menyatakan...'Perkara ini tidaklah membenarkan apa apa perbuatan yang berlawanan dengan mana mana undang undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral'. Maknanya adalah dilarang mana mana amalan agama jika amalan tersebut boleh menjejaskan ketenteraman awam (public disorder). Larangan ini termasuk amalan agama orang Islam sendiri.
4. Di sinilah saya hairan dengan pendirian Haji Hadi Awang, Khalid Samad termasuk Dr. Mohd Nor Manuty yang sekarang ini adalah penasihat agama PKR. Hujah mereka, penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain sudah berlaku sebelum kedatangan Islam lagi. Maka mereka menyokong penganut agama lain boleh menggunakan kalimah Allah selagi ia dikawal dan tidak disalah gunakan.
5. Apakah mereka ini tidak cerdik? Bukankah dengan kebenaran tersebut maka sebenarnya salah guna sudah berlaku. Dan sememangnya ia bertujuan untuk disalah gunakan. Dan apabila disalah gunakan, maka ketidak harmonian agama sudah berlaku. Oleh itu kenapakah peruntukan 11(5) tidak digunakan sebelum keputusan itu dibuat.
6. Kecelaruan dan salah guna pasti berlaku kerana Allah pada penganut kristian ditafsir dengan konsep triniti. Sebab itu di Indonesia disebut Bapa Allah. Jesus Christ (Isa) sebagai anak Allah. Sedangkan bagi kita Isa hanyalah seorang Nabi. Orang Islam melihat kalimah Allah seperti mana yang disebut dalam surah Al Ikhlas (112:1-4). 'Dialah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada Nya segala sesuatu. Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan, dan tiada ada seorang pun yang setara dengan Dia'.
7. Sebab itu cara terbaik untuk mengawal dan supaya ianya tidak disalah gunakan ialah dengan tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah. Inilah realiti Malaysia yang perlu diambil kira. Kesemua mereka yang menyokong itu adalah pendakwah Islam. Mereka juga sering berhujah bahawa dakwah Islam mesti melihat realiti Malaysia. Tetapi dalam soal kalimah Allah ini, apakah mereka melihat hanya realiti politik, iaitu benefit politik yang mereka akan dapat tanpa mengambil kira sentimen umat Islam dan salah guna yang pasti akan berlaku. Dr. Mohd Nor Manuty pernah menjadi Presiden ABIM. Tetapi pendirian ABIM, PKPIM dan Persatuan Peguam Syarie cukup jelas menolak penggunaan kalimah Allah oleh mingguan Herald itu.
8. Mungkin ramai yang lupa kes Halimatussadiah Kamaruddin pada tahun 1986. Beliau dipecat kerana memakai purdah di pejabat. Padanya sebagai seorang Islam dia berhak memakai purdah kerana ia tuntutan agama. Walau bagaimanapun rayuannya di Mahkamah Tinggi pada tahun 1992 gagal kerana Hakim memutuskan hak ramai mengatasi hak individu dengan alasan untuk mengekalkan disiplin di perkhidmatan awam.
9. Begitu juga pada tahun 1997, berlaku kes tiga orang pelajar di SK Felda Serting Hilir Jempol Negeri Sembilan yang dibuang sekolah kerana memakai serban. Apabila ketiga pelajar ini mencabarnya di Mahkamah Tinggi Seremban, mereka menang kes tersebut. Tetapi apabila dibicarakan semula di Mahkamah Rayuan pada tahun 2006, mahkamah memutuskan keputusan sekolah itu adalah betul.
10. Soalnya, kenapakah umat Islam tidak bangkit marah. Kenapa ia tidak menjadi isu yang mengancam keharmonian beragama walaupun ia melibatkan hak orang Islam untuk mengamalkan kepercayaan agamanya. Jawapannya amat mudah. Iaitu kedua kes tersebut hanya melibatkan isu cara berpakaian. Ia bukan isu Aqedah. Isu kalimah Allah adalah isu Aqedah. Iaitu isu Allah yang Esa dan tidak beranak pada umat Islam. Sedangkan Allah pada kefahaman penganut Kristian ialah ada bapa tuhan dan anak tuhan. Isu Aqedah boleh menimbulkan 'public disorder'. Sebab itu Perkara 11(5) Perlembagaan Persekutuan mesti diguna pakai.
11. Walau bagaimanapun apakah ada jalan kompromi? Bolehkah kalimah Allah pada orang Kristian dieja dengan Tuhan Alah atau pun Tuhan Ala (satu L atau tiada H). Manakala bagi umat Islam yang menyebutnya dengan tajwid maka ejaan yang digunakan ialah Allah. Oleh itu mudah membezakannya. Bila disebut Alah atau Ala maka itu bermaksud tuhan kepada orang Kristian. Sebenarnya penganut lain memang menyebut kalimah Allah bukan dengan tajwid yang betul. Sebagai contoh, lagu Alah Mengerti dan Alah Peduli nyanyian Jeffry S Tjandra, jika didengar memang disebut dengan 'Ala'.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment