Saturday, January 2, 2010

KENYATAAN MEDIA

UNTUK SIARAN SEGERA 02 JANUARI 2010

KENYATAAN MEDIA Y.B DR. HAJI MOHD PUAD BIN HAJI ZARKASHI
TIMBALAN MENTERI PELAJARAN MALAYSIA

Saya selaku Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia bertanggungjawab untuk menjelaskan isu yang dibangkitkan oleh Naib Canselor Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Prof. Dato’ Dr. Aminah Ayob dalam kiriman e-mel yang telah disiarkan oleh Buletin Utama pada 1 Januari 2010 jam 8.00 malam mengenai pengambilan guru-guru lulusan Sarjana Muda Pendidikan daripada IPTA termasuk daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

1. Ada sedikit kekeliruan pada kenyataan Naib Canselor tersebut mengenai isu lebihan guru. Beliau menggunakan data pengambilan pelajar barudi UPSI untuk semester 1 bulan Julai 2009 untuk menyatakan pengambilan pelajar tersebut mengikut unjuran yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Sebenarnya isu yang saya bangkitkan ialah masalah mereka yang telah tamat pengajian di seluruh negara yang masih lagi belum mendapat penempatan. Ini kerana berlaku lebihan pengambilan pelajar oleh IPTA pada tahun-tahun sebelumnya.

2. Beliau turut mempertikaikan jumlah yang diunjurkan oleh KPM adalah terlalu kecil dan tidak munasabah. Saya ingin menjelaskan bukan UPSI sahaja yang menawarkan program Sarjana Muda Pendidikan malah IPTA lain juga turut menawarkan kursus yang sama termasuk mereka yang mengambil Sarjana Muda Pendidikan di universiti swasta dan luar negara. Ini menyebabkan berlakunya lebihan penawaran apabila ianya tidak diselaraskan dengan baik.

3. Ada IPTA mendakwa, unjuran tersebut tidak ekonomikal untuk dilaksanakan sebab itu mereka menawarkan juga kepada pelajar-pelajar lain yang memohon untuk mengikuti program Sarjana Muda Pendidikan. Alasan IPTA tersebut ialah supaya mereka yang tidak mendapat tempat ini boleh bersaing di pasaran terbuka. Kesemua faktor ini menjadi penyumbang kepada isu lebihan penawaran guru untuk sekolah menengah.

4. Suka saya menegaskan memang benar Kabinet telah memutuskan latihan guru untuk sekolah rendah dikendalikan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM). Manakala IPTA termasuk UPSI melatih bakal guru untuk sekolah menengah. Namun Prof. Dato’ Dr Aminah Ayob, perlu telus dan mengakui terdapat juga IPTA termasuk UPSI sendiri yang menyediakan program Sarjana Muda Pendidikan untuk sekolah rendah dan pra-sekolah. Walau bagaimanapun KPM tetap menerima graduan tersebut untuk ditempatkan di sekolah rendah dan pra sekolah selagi terdapat kekosongan.

5. Untuk rekod, sebenarnya mereka yang diambil menjadi pelajar tajaan KPM baik dari IPTA mahupun IPGM semuanya mendapat penempatan untuk mengajar kerana mereka telah ditemu duga melalui proses Inventori Sahsiah Keguruan (INSAK) yang dikendalikan oleh guru-guru cemerlang dari KPM. Hanya mereka yang tidak melepasi proses ini sahaja yang perlu bersaing di pasaran terbuka.

6. Oleh itu tidak timbul soal para graduan pendidikan dari IPTA dianak tirikan dan merasa tidak bermotivasi. Mereka perlu bersedia untuk bersaing di pasaran terbuka dan di sektor swasta. Malah mereka perlu sedar bahawa menjadi guru memerlukan kecekalan kerana mereka mungkin akan dihantar ke kawasan pedalaman untuk mengajar. Jika kerana isu ini mereka telah menjadi lemah semangat bagaimanakah mereka mahu menghadapi cabaran di alam pekerjaan sebagai guru kelak.

0 comments: