Friday, January 1, 2010

HUKUM SYARIAH: ANTARA ANWAR IBRRAHIM, KARTIKA SARI DEWI DAN DR ROSLI

Tiba tiba isu permohonan Anwar Ibrahim, supaya kes tuduhan liwat beliau dibicarakan secara perundangan Islam kembali panas. Penyokong PKR, seperti yang tersiar dalam akhbar SUARA KEADILAN, menuntut supaya kes liwat Anwar hendaklah diselesaikan melalui pendekatan hukum syarak. Kehadiran tokoh ulamak terkenal Sheikh Yusuf Qardawi di Malaysia dipergunakan oleh PKR untuk menyuarakan pandangan ini. Sudah tentulah Sheikh Yusuf Qardawi akan bersetuju dengan pandangan tersebut.
2. Sebenarrnya ramai yang lupa, Anwar Ibrahim pernah memfailkan permohonan kes qazaf pada bulan Julai 2008 di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan. Ini berkaitan dengan kes liwat beliau. Di bawah perundangan Islam, sudah tentu sebarang pertuduhan memerlukan empat saksi yang melihat aksi tersebut berlaku. Oleh itu peluang Anwar memenangi kesnya lebih mudah.
3. Tetapi Mahkamah Syariah menangguhkan permohonan itu, sehinggalah kes Anwar selesai dibicarakan oleh mahkamah sivil yang akan bermula pada 25hb Januari 2010 ini. Anwar sudah tentu kecewa dengan keputusan itu. Perbicaraan di mahkamah biasa sudah tentu lebih rumit dan mencabar buatnya. Saya difahamkan YB Zulkifli Nordin ada berkata, PKR akan menghantar satu delegasi untuk mengadakan perbincangannya dengan Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Islam Sedunia supaya pertuduhan liwat terhadap Anwar di bawa ke peringkat antarabangsa dan menuntut kes itu diselesaikan secara perundangan Islam.
4. Isu yang berbangkit di sini ialah, kenapa PKR dan Anwar mahu kes ini dibicarakan menggunakan perundangan Islam. Memang sukar pihak pendakwa untuk mencari empat saksi utama. Mengikut Islam syarat untuk menjadi saksi amat ketat. Saya yakin inilah alasan utama mereka memilih undang undang Islam. Anwar boleh menang tanpa perlu dibicara. Kerana sukar mencari 4 saksi utama.
5. Persoalannya, apakah Pengerusi DAP, Karpal Singh akan bersetuju untuk dilaksanakan satu perbicaraan yang mengikut al Quran dan al Sunnah, sedangkan Mahkamah Tinggi Jenayah di Kuala Lumpur sudah pun menetapkan 25 Januari hingga 24 Febuari 2010 sebagai tarikh bermulanya perbicaraan? Bukankah Karpal Singh pernah berkata langkah mayatnya terlebih dahulu, sebelum dilaksanakan hukum Islam di Malaysia? Qazaf adalah satu daripada hukum Hudud dalam Islam.
6. Saya juga hairan dengan pendirian Anwar sebelum ini. Pada 18hb Julai 2009, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan telah menjatuhkan hukuman 6 kali sebatan ke atas Kartika Sari Dewi kerana minum arak di khalayak ramai. Hukuman sebat ini adalah mengikut kaedah syarie. Kenapakah Anwar memperlekehkan hukuman yang telah diputuskan ini? Rujuk bukti ini di http://video.aol.co.uk/video-detail/anwar-tak-setuju-kartika-dirotan/3775182011. Kartika setuju dia dihukum secara Islam. Tetapi Anwar tidak setuju. Dia mempolitikkan isu Kartika, kerana ada benefit politik. Dia tidak peduli pun soal hukum Islam.
7. Dan apa pula agaknya pendirian PKR dan Anwar termasuk di negeri negeri yang mereka perintah, jika ada penjenayah, termasuk perompak bank, perogol dan perasuah yang beragama Islam menuntut supaya mereka dibicarakan mengikut al Quran dan as Sunnah (yang memerlukan 4 saksi utama yang melihat aksi jenayah ketika merogol dan merompak) dengan alasan mereka juga mempunyai hak dari segi syariah untuk mempertahankan diri? Jika Anwar mendapat hak ini, kenapa tidak dengan penjenayah penjenayah lain. Sanggupkah YB Zulkifli Nordin bawa kes ini juga ke peringkat antarabangsa?
8. Kenapa agaknya dalam kes tuntutan penyokong penyokong Anwar Ibrahim ini, PAS yang selama ini memperjuangkan Hukum Hudud di Malaysia hanya mendiamkan diri? Apakah mereka tidak bersetuju kes Anwar dibicarakan mengikut perundangan Islam? Mungkin itu sebabnya Dr. Rosli, bekas Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan tidak mahu mengiktiraf keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu ke atas dirinya yang telah dibuat pada 21hb Disember 2009 yang lalu. Dia diperintah bermufarakah dengan isterinya. Tetapi rupanya penyokong kuat Husam ini bukan kecik anak. Pada 22hb disember mereka bernikah pula di Selatan Thailand dan terus menghilangkan diri tanpa hormat kepada ibu bapa, apatah lagi mahkamah syariah. Apakah ini ajaran Islam? Kenapa pemimpin PAS mendiamkan diri.
9. Kesimpulannya, semuanya kerana politik. Sebab itu konvensyen Pakatan Rakyat yang baru lalu hanya retorik. Mereka tidak berani pun untuk menyentuh perkara perundangan Islam. Maka bagaimana Pakatan Rakyat bersedia untuk didaftarkan, jika tidur sama bantal tetapi mimpi lain lain. Pakatan Rakyat diyakini lebih tertekan apabila UMNO nanti melancarkan gagasan baru ' UMNO JUARA RAKYAT' pada 9 januari ini, sedangkan PKR hanyalah parti 'JUARA INDIVIDU' iaitu Anwar Ibrahim. Sebab itu Zulkifli Nordin terpaksa pergi ke peringkat antarabangsa, hanya untuk memperjuangkan nasib 'individu' ini. Inilah dilema PAS dan DAP.

0 comments: