Thursday, February 4, 2010

PENYOKONG ANWAR TERAKHIR


Anwar tentu sedih melihat saki baki penyokong ‘hardcore’ yang masih tinggal. Ketika zaman reformasi bermula tahun 1998, beribu penyokongnya berhimpun di jalan raya. Penyokong tegarnya begitu ramai dan terdiri dari tokoh yang dikenali. Ketika perbicaraan Sodomi 1 bermula, tokoh tokoh terkenal ini turut hadir memberikan sokongan moral mereka. Tetapi bila perbicaraan Sodomi 2 bermula pada 2.2.2010 yang lalu, Anwar tidak lagi dikelilingi oleh tokoh -tokoh yang hebat ini. Hanya beberapa kerat tokoh pembangkang dari DAP dan PAS yang hadir. Ketidak hadiran Ustaz Hadi dan Timbalanya Nasaruddin Mat Isa sedikit sebanyak mencacatkan suasana bersatu padu pembangkang pada hari tersebut.

2. Seorang penyokong beliau yang berumur lingkungan 70 an dari Permatang Pauh membuat kecoh sehingga pengsan. Dia datang kembali ke mahkamah setelah diberi rawatan. Dia datang berkaki ayam kerana tertinggal kasut dalam van ambulans. Itulah sahaja barangkali kualiti penyokong ‘hardcore’ Anwar yang sanggup datang dari jauh untuk memberikan sokongan moral kepadanya. Mana yang lain? Mana tokoh tokoh terbilang sebelum ini? Jawapannya mudah. Setengah daripada mereka sudah lama meninggalkan Anwar. Dato Seri Zahrain dan Tan Tee Beng sebuk bergaduh dengan Lim Guan Eng. Kelibat Zulkifli Nordin juga tidak nampak. Dalam interviu terbarunya, Zulkifli mengakui bahawa ketika bertanding dalam pilihanraya 2008 yang lalu dia sebenarnya ahli PAS tetapi bertanding atas tiket PKR.

3. Itulah nasib orang politik. Mereka perlu bersedia untuk ditinggalkan dan dipinggirkan. Ini yang menimpa Tengku Razaleigh. Tetapi tidak semua mengalami nasib yang sama. Tun Mahathir masih popular. Orang masih mahu mendengar pandangannya walaupun dia pernah dipecat dari UMNO bahkan pernah keluar dari UMNO.

4. Kenapakah ramai penyokong ‘hardcore’ yang dikenali ramai ini meninggalkannya. Anwar mungkin tuduh bahawa mereka ini tidak ada daya juang, tidak tahan lasak, lembik, takut, pentingkan bisnes atau pentingkan diri sendiri. Dengan kata lain bila tidak dapat apa apa maka mereka lari lintang pukang. Tetapi mereka datang dari berbagai latar belakang yang hebat. Setengahnya bekas orang politik terkenal, ahli akademik, tokoh perniagaan, pembela fanatik dan anak muda yang bersemangat tinggi. Ambil contoh berbagai nama seperti Dr. Chandra Muzaffar, Zainur Zakaria, Dato Nalla dan Ezam Mohd Nor. Anwar bertambah kecewa kerana setengah daripada mereka ini yang menyokongnya sebelum ini mengambil jalan selamat dengan menyertai PAS. Pada mereka lebih baik menyertai PAS daripada duduk dalam PKR yang tidak ada ideologi khusus.

5. Oleh itu apabila perbicaraan Tsunami 2 bermula, penyokong hardcore yang hadir kurang dikenali. Dewasa ini pun Anwar hanya memiliki dua sahaja pembela yang hebat seperti Saifuddin Nasution dan Azmin Ali. Bayangkan jika kedua dua mereka ini turut meninggalkan Anwar keseorangan? Bahkan tanpa Anwar pakatan pembangkang akan turut terkubur.

6. Justeru, memahami faktor kenapa mereka meninggalkan Anwar amat penting. Mereka mungkin jemu dengan isu peribadi Anwar yang berlarutan begitu lama. Ia menjejaskan fokus perjuangan parti. Anwar terpaksa menggunakan seluruh jentera kekuatan parti lebih untuk membela isu peribadinya. Beliau turut mengadakan roadshow mengenainya. Tidak semua penyokong PKR mahu terheret dengan masalah peribadi. Mereka bimbang lama-kelamaan, rakyat tentu merasa bosan dan menganggap ia membuang masa.

7. Oleh kerana sibuk dengan isu peribadi, bukan sahaja Anwar gagal menubuhkan kerajaan alternatif. Pakatan Rakyat juga kehilangan kerajaan negeri di Perak. Bahkan satu demi satu wakil rakyat PKR meletakkan jawatan atau menjadi ADUN Bebas. Kemuncaknya ialah Anwar masih gagal merealisasikan penubuhan Pakatan Rakyat sebagai gabungan sah. Disiplin yang longgar dan sikap beberapa orang wakil rakyatnya yang tidak akur kepada amaran parti menyebabkan Anwar akan kehilangan lebih ramai penyokong ‘hardcore dan diehard’.

8. Kesudahannya, Anwar tidak akan ada lagi penyokong ‘diehard’ yang boleh merancang, berfikir, komited, berwibawa dan mahir berpolitik. Anwar tidak boleh bergantung kepada penyokong yang bertaraf ‘symphatisers’. Dia perlukan penyokong ‘hardcore’ dan ‘diehard’. Apakah mereka ini akan pupus kerana arus perubahan yang dibawa oleh Najib? Gelombang 1 Malaysia melindungi populariti Anwar. Maka strategi Anwar melambat lambatkan kes perbicaraannya adalah senjata makan tuan. Lambat laun mereka akan keletihan untuk hadir mengiringi Anwar setiap hari. Maka tinggallah saki baki yang tidak boleh diharapkan kecuali kaum keluarga yang tetap membelanya kerana ikatan kasih sayang keluarga bukan kerana ikatan perjuangan politik kerakyatan. Perbicaraan ini benar benar menguji Anwar. Ia umpama ‘Perjuangan Anwar Terakhir’.

0 comments: