Wednesday, February 17, 2010

SALAH PILIH CALON ATAU MEREKA BOSAN DENGAN KEYAKINAN PALSU ANWAR?



1. Ketika mengulas kemelut terbaru PKR, DS Anwar mengakui bahawa beliau tersalah pilih calon dalam pilihanraya umum 2008. Selain YB Zahrain yang keluar parti, empat ADUN PKR telah pun menjadi Adun Bebas, manakala dua lagi telah letak jawatan sehingga berlaku pilihanraya kecil di Permatang Pasir dan Bukit Selambau. Anwar berjanji, ianya tidak akan berulang lagi.

2. Bolehkah janji Anwar dipegang? Satu kelebihan Anwar ialah dia pandai meyakinkan orang. Dia ada karisma. Tapi sampai bila karisma itu boleh bertahan, jika ia hanyalah karisma ‘keyakinan palsu’. Satu daripada alasan Zahrain keluar PKR ialah janji kerajaan alternatif 16 september yang tidak terlaksana. Zahrain cukup yakin ia akan berlaku, mungkin dia pernah diberitahu nama nama MP Barisan Nasional yang ‘confirm’ untuk melompat parti. Kesudahannya seorang pun tidak melompat. Dua MP dari Sabah iaitu Sepanggar dan Tawau memang keluar dari BN tetapi tidak pula menyertai Pakatan Rakyat.

3. Justeru, yang jelas di sini ialah bukan Anwar yang tersalah pilih calon, tetapi Zahrain dan enam lagi rakannya itu sudah bosan dengan kepimpinan Anwar yang hanya berkarismakan kepada keyakinan palsu. Sebab itu mereka meninggalkan PKR. Bukan mudah untuk meninggalkan parti yang menang banyak kerusi dan bakal membentuk Kerajaan Alternatif 16 september. Sekurang kurangnya mereka berpeluang untuk memegang satu daripada banyak jawatan dalam kerajaan ‘kongsi kuasa’ yang bakal wujud nanti. Tetapi nampaknya mereka tidak mahu menunggu lama kerana Anwar sendiri gagal membuktikan kemampuannya mengurus ‘kerajaan kongsi kuasa’ di negeri negeri yang mereka memerintah.

4. Pada mereka Anwar berjaya digunakan oleh DAP untuk mendapatkan sokongan orang Melayu. Iaitu berkongsi untuk mendapat kuasa. Tetapi apabila sudah berkuasa, ‘kongsi kuasa’ tidak wujud. Bahkan menurut ahli parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng wakil rakyat PKR dilayan seperti anjing. Sebelum ini mereka boleh bertahan dengan ‘keyakinan palsu’ Anwar. Anwar berjaya meyakinkan mereka bahawa dia sudah cukup bilangan 30 MP dari BN yang akan melompat parti. Dia turut mendakwa Raja Raja Melayu pun menyokong PKR. Maka tidak ada masalah untuk mengistiharkan Anwar sebagai Perdana Menteri yang baru tanpa perlu pembubaran parlimen atau proses undi tidak percaya di parlimen.

5. Tetapi apa sudah jadi sekarang? Beberapa orang sedang menanti giliran untuk mengikut jejak YB Zahrain. Nada kritikan Zulkifli Nordin dan Tan Tee Beng mudah ditafsir, mereka tidak lagi percaya kepada Anwar. Apatah lagi apabila Zulkifli Nordin mendakwa wujud Firaun kecil dalam PKR.

6. Sebab itu apabila 40 orang ahli parlimen Australia mendesak agar tuduhan kes liwat Anwar digugurkan, maka kepada siapakah sebenarnya kemarahan rakyat Malaysia wajar ditujukan. Apakah wajar kita marah hanya kepada 40 orang ahli parlimen Australia tersebut. Bukankah lebih wajar kita marah kepada Anwar. Sudah tentu Anwar berjaya menggunakan karisma keyakinan palsunya untuk mempengaruhi 40 ahli parlimen tersebut. Bahkan sudah tentu Anwar yang merayu kepada mereka supaya campur tangan dan mendesak kerajaan Malaysia supaya kesnya digugurkan.

7. Terbaru Anwar baru balik daripada Persidangan Dialog Islam di Doha. Tetapi dia ambil kesempatan di persidangan itu untuk meminta simpati daripada Hillary Clinton, Perdana Menteri Turki dan Dr Yusof Qardawi supaya percaya bahawa kes liwatnya adalah satu konspirasi. Bahkan bila balik ke Malaysia dia menyebarkan cerita bahawa ketiga tiga tokoh itu menyokongnya dan tidak percaya tuduhan liwat tersebut. Mengenali Anwar mungkin ada dua kemungkinan. Pertama, memang dia bercakap dengan ketiga tokoh tersebut. Atau kedua, sebenarnya dia hanya mereka reka cerita untuk mengujudkan keyakinan palsu kepada penyokongnya.

8. Apakah itu tujuan Anwar melewatkan kes mahkamahnya? Mencari jalan terakhir iaitu simpati antarabangsa untuk membelanya supaya dia tidak dibicarakan di mahkamah sehingga tidak peduli dengan nasib wakil rakyat PKR yang di anak tirikan dan ditekan rakan kongsi kuasa Pakatan Rakyat. Difahamankan Pemuda PAS pusat menolak pelawaan Angkatan Muda Keadilan untuk menyertai raodshow PKR bagi menjelaskan isu liwat Anwar.

9. Terbaru tindakan PKR menangguhkan pemilihan parti yang dijangkakan pada bulan Mei 2010. Apakah Anwar takut menghadapi kenyataan. Anwar mungkin bimbang dia akan dikritik hebat dalam persidangan itu. Anwar juga bimbang jika berlaku pertandingan jawatan Timbalan Presiden antara Azmin Ali dan Syed Husin Ali, parti mungkin berpecah dan akan menghakis kepercayaan ahli terhadapnya. Anwar bimbang rakan rakan kongsi kuasanya juga akan meninggalkannya, atau mula hilang kepercayaan kepadanya atau tidak lagi dapat dibohongi, walaupun PAS dan DAP sebenarnya sedar bahawa mereka sudah lama dibohongi. Itulah punca kenapa Zahrain dan enam rakan wakil tersebut meninggalkan PKR, kerana sudah bosan dengan ‘keyakinan palsu’ Anwar Ibrahim.

1 comments:

Hapi said...

hello... hapi blogging... have a nice day! just visiting here....