Thursday, July 8, 2010

PANDANGAN MUFTI PERAK TIDAK SESUAI

Baru-baru ini, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria ada mencadangkan supaya kerajaan mewajibkan matapelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral sebagai syarat lulus peperiksaan di peringkat UPSR, PMR dan SPM.
2. Beliau mencadangkan perkara tersebut sebagai respon terhadap kes kes buang bayi dan melahirkan anak luar nikah yang semakin meningkat khususnya di kalangan pelajar sekolah. Mufti Perak mungkin yakin melalui syarat wajib lulus itu pelajar sekolah akan mengambil berat terhadap kepentingan mata pelajaran tersebut sekaligus mengatasi masalah gejala sosial di kalangan pelajar sekolah dan anak muda.


3. Ia mungkin cadangan yang baik. Tetapi kita tidak boleh terlalu simplistik terhadap permasalahan yang lebih kompleks. Ini kerana pada pandangan saya, sekadar mewajibkan lulus peperiksaan bagi kedua-dua matapelajaran tersebut tidak akan menyelesaikan masalah. Isu yang sepatutnya ditangani ialah bagaimana pelajar sekolah dapat 'menghayati dan mengamalkan' apa yang diajar dalam kedua dua mata pelajaran tersebut. Dalam kata lain 'P & P' untuk kedua dua subjek tersebut mesti berkesan. Guru mesti cukup terlatih untuk mengindoktrin pemikiran, hati, jiwa dan tingkah laku pelajar. Jika setakat lulus tetapi hati dan jiwa tidak berubah, maka ia tidak berfaedah dan mimpi di siang hari. Sebab itu ada kes mereka yang berkelulusan tingga di bidang agama tetapi terlibat dengan kumpulan ajaran sesat dan ada juga yang terlibat dengan kes khalwat dan sebagainya.


4. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa sekarang ini pun, semua murid di peringkat UPSR, PMR dan SPM diwajibkan mengikuti Penilaian Asas Fardhu Ain (PAFA) dan keputusan PAFA akan dicatatkan di slip keputusan. Yang menariknya PAFA merupakan pentaksiran berbentuk formatif yang dilaksanakan semasa dan sepanjang proses pembelajaran dan pengajaran (P&P). Maksudnya PAFA tidak statik dan ia dinilai berdasarkan kepada kefahaman para pelajar.

5. Oleh kerana itulah saya berpandangan bahawa penyelesaian kepada masalah ini bukan hanya dengan mewajibkan syarat lulus peperiksaan bagi kedua-dua matapelajaran tersebut. Ia memerlukan kerjasama semua pihak terutamanya ibu bapa kerana merekalah sebenarnya individu yang berada paling dekat dengan anak-anak mereka. Justeru, apakah peranan ibu-bapa dalam hal ini?

0 comments: