Tuesday, July 13, 2010

TUBUH JAWATANKUASA KAJI PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN.

Mutakhir ini isu mengenai perlembagaan negara semakin hangat dibangkit, diungkit bahkan dipersoalkan. Semua perbahasan dan polemik itu tidak dapat lari daripada emosi kaum sehingga menjadi terlalu perkauman. Ia mengancam perpaduan nasional. Semangat sosial kontrak seperti tidak lagi wujud di hati rakyat Malaysia apatah lagi di kalangan generasi muda. Ini menyebabkan orang Melayu tersinggung kerana banyak perkara dalam perlembagaan yang tidak lagi dihormati. Orang Cina pula tidak berpuas hati kerana menganggap peruntukan dalam perlembagaan seperti Perkara 153 menafikan hak mereka sebagai warganegara.

2. Antara isu yang hangat diperdebatkan sekarang ini ialah isu pemberian biasiswa JPA. Ia turut dipolitikkan oleh pembangkang. Kes seorang pelajar Cina yang lulus cemerlang SPM dengan keputusan 13A tetapi gagal mendapat biasiswa JPA dijadikan isu bahawa kerajaan tidak adil. Sedangkan terdapat juga pelajar Melayu yang dapat keputusan cemerlang yang sama tetapi gagal mendapatkan biasiswa JPA. Akhirnya Perlembagaan Persekutuan jadi sasaran dan dipolitikkan.


3. Saya setuju dengan pandangan seorang tokoh akademik, bahawa tiga tiang seri orang Melayu ialah bahasa, Raja Melayu dan agama. Manakala tiga tiang seri orang Cina pula ialah bahasa, persatuan dan media. Yang membezakan antara tiang seri dua kaum ini ialah, tiang seri kaum Cina semakin kuat dan berpengaruh, manakala tiga tiang seri orang Melayu sedang digoncang kuat dan cuba dilemahkan.

4. Melalui dua tiang seri orang Cina iaitu persatuan dan media, mereka telah memberikan tafsiran tersendiri terhadap Perlembagaan Persekutuan sehingga menimbulkan persepsi bahawa peruntukan-peruntukan seperti Perkara 153 Hak Keistimewaan Orang Melayu sudah tidak sesuai dan ketinggalan zaman. Tafsiran orang Melayu pula baik pemimpin dan medianya tidak artikulat. Dong Zong adalah antara persatuan Cina yang cukup berpengaruh. Mereka sering membangkitkan isu-isu yang berkaitan dengan SJKC. Tetapi bila wujud pertubuhan seperti Perkasa yang memperjuangkan isu biasiswa, Raja Melayu dan hak istimewa Melayu, pertubuhan ini dianggap sebagai perkauman. Ini mendorong Dato Donald Lim, Naib Presiden MCA mencadangkan supaya diwujudkan Perkasa Cina untuk bersaing dengan Perkasa Ibrahim Ali.

5. Sebab itu DEB dipersoalkan. Kelemahan perlaksanaan dijadikan hujah bahawa DEB adalah perkauman dan wajar dihapuskan. Mereka lupa bahawa 100 tahun sebelum DEB diperkenalkan kaum Cina sudah pun mengaut keuntungan di negara ini melalui penjajah. Bahkan ada orang Cina turut mendapat manafaat daripada DEB terutamanya melalui kegiatan Ali Baba. J. Stiglitz pemenang Nobel Prize Winner 2001 menjelaskan DEB adalah penting untuk kestabilan negara. 'DEB is not just a matter of economy but it is a matter of survival of a nation'.

6. Mereka lupa belajar daripada sejarah bahawa kestabilan Melayu penting untuk kestabilan negara. Rosak perpaduan Melayu rosaklah perpaduan negara. Kestabilan Melayu umpama graviti. Ia penting untuk kestabilan negara. Sebab itu tidak wajar tiga tiang seri Melayu digoncang seperti peristiwa di Perak di mana institusi Raja dicemar oleh pihak pembangkang yang tidak berpuas hati terhadap perlantikan Menteri Besar.

7. Atas isu inilah, amat wajar diwujudkan satu jawatankuasa khas untuk melihat kembali Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan itu diisi, diguna dan dilaksanakan. Jawatankuasa ini juga boleh menilai peruntukan manakah yang cuba dilemahkan dan diberi tafsiran yang salah. Rakyat perlu dibendung daripada menerima tafsiran yang salah mengenai Perlembagaan Persekutuan sehinggakan Lim Guan Eng berani mencadangkan gagasan 'Middle Malaysia' yang sebenarnya adalah Malaysian Malaysia. Diharap pemimpin Melayu lebih peka kepada isu ini agar Perlembagaan Persekutuan tidak terus dipersoalkan.
8. Perlembagaan Persekutuan cukup inklusif. Untuk golongan minoriti Perkara 8 dan untuk majoriti Perkara 153 adalah penuh kesaksamaan dan keadilan. Persefahaman itu memudahkan kita menjadi bangsa merdeka dan hidup aman damai memajukan negara ini. Justeru, kenapa sekarang ia mahu dipersoalkan? Gagasan 1Malaysia sendiri kata Perdana Menteri bertunjangkan Perlembagaan Persekutuan, tetapi gagasan itu tetap menjadikan rakyat sebagai agenda utama tanpa mengira kedudukan kaum dan agama.

0 comments: