Tuesday, August 17, 2010

Ada tiga kenyataan Dr. Chua Soi Lek yang perlu diulas. Jika tidak diulas, rakyat bukan sahaja
keliru, tetapi akan membiarkan Dr. Chua terus bercakap atas isu yang hanya membangkitkan rasa sakit hati orang Melayu.

Pertama, dia menuduh UMNO jangan ikut rentak PAS dalam isu agama. Dia mendakwa UMNO akan jadi parti konservatif kerana ikut cara PAS dan menggunakan hujah seorang penulis yang kontroversi. Kedua, dia membangkitkan perlunya isu kuota Bumiputra dihapuskan dan digantikan dengan dasar merit atau meritokrasi. Ketiga, dia mencadangkan agar kerajaan membina lebih banyak sekolah SJKC di negara ini.

Apakah Dr. Chua fikir UMNO ikut rentak PAS. Perjuangan UMNO cukup jelas. UMNO tidak hipokrit untuk memperjuangkan nasib orang Melayu dan agama Islam. UMNO tetap seperti dulu yang menggunakan cara kesederhanaan bukannya ekstrem. UMNO walaupun parti orang Melayu tetapi bersikap adil kepada kaum yang lain. UMNO komited mempertahankan apa yang termaktub dalam perlembagaan dan menghormati kontrak sosial yang wujud sekian lama. BN dibawah teraju UMNO dapat mengekalkan keamanan di negara ini. Sebab itu, tuduhan Hindraf bahawa UMNO banyak merobohkan kuil dan sekolah Tamil memang karut dan melampau.

Sebenarnya kita bimbang Dr Chua yang terikut ikut rentak DAP untuk meraih sokongan orang Cina kepada MCA. Umum tahu masalah MCA hari ini. Pilihanraya di Hulu Selangor dan Sibu bukti segalanya. Sokongan masyarakat Cina merosot. Dr. Chua tidak boleh mengambil jalan mudah, iaitu menuding jari kepada UMNO kerana kononnya sikap beberapa pemimpin UMNO yang memperjuangkan isu orang Melayu menyebabkan orang Cina lari daripada menyokong BN. Peliknya, di masa yang sama mereka pula termasuk Dr. Chua bebas sesuka hati membangkitkan isu isu sensitif yang menyakitkan hati orang Melayu.

Menjadikan Perkasa sebagai kambing hitam juga tidak adil, kerana terdapat pertubuhan Cina seperti Dong Zong yang selalu membangkitkan isu isu sensitif. Kenapa Dr. Chua berdiam diri terhadap mereka.

Perjuangan UMNO bukan baru, sejak dulu hingga kini ia tetap mengikut perlembagaan. Tidak ada masalah pun. UMNO tidak pernah mengubah pendekatannya. UMNO sendiri responsif terhadap perubahan, sebab itu selepas dua peristiwa hitam iaitu reformasi jalanan tahun 1999 dan kemerosotan sokongan dalam pilihanraya 2008, UMNO kembali mendapat sokongan orang Melayu. Tetapi bagaimana MCA? Selama mana ia mesti bergantung kepada UMNO untuk mempertahankan kerusinya. Apakah dengan membuat tuduhan liar dan membangkitkan isu isu kaum seperti yang diperjuangkan oleh DAP.

Menggunakan alasan ketirisan, alibaba dan ketidakcekapan bukan tiket untuk menghapuskan sistem kuota. Apakah tidak ada projek projek mega yang dilaksanakan oleh taukeh taukeh besar yang gagal disiapkan mengikut tempoh? Kenapa Dr. Chua mesti berdiam diri terhadap beberapa sektor yang hanya dimonopoli oleh satu kaum sahaja. Contohnya pemborongan, industri alat ganti, bekalan bahan bina, peruncitan dan lain lain. Kenapa Dr. Chua berdiam diri dan tidak mahu membela supaya syarikat syarikat Melayu boleh berkongsi dan bersaing.

Sebab itu apabila kerajaan melaksanakan dasar kuota bagi memastikan golongan Bumiputra tidak terpinggir, ia bukan kezaliman, penindasan atau ketidak adilan. Tetapi untuk memastikan golongan Bumiputra juga berpeluang dan berdaya saing. Memecahkan monopoli sesuatu kaum bukan mudah tanpa campur tangan kerajaan. Samalah juga dengan sektor hartanah. Berapa sangat pemilikan Bumiputra dalam sektor ini. Tanpa kuota kerajaan, sudah tentu orang Melayu lebih terpinggir daripada kawasan bandar.

Mengenai membanyakkan sekolah SJKC, Dr. Chua pun tahu usaha kerajaan selama ini. Beliau berada dalam kerajaan cukup lama. Baik semasa menjadi exco kerajaan Johor dan Menteri kerajaan Persekutuan. Kerajaan tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya walaupun terhadap sekolah SJKC. Cuma, Dr. Chua mesti adil, kerana sekolah bantuan modal bukan terhad kepada sekolah SJKC sahaja, tetapi meliputi SJKT, sekolah mubaligh dan sekolah agama rakyat. Sekolah sekolah ini juga patut dibela yang melibatkan perbelanjaan kerajaan yang tinggi.

Kerajaan sememangnya merancang untuk membina beberapa lagi SJKC. Tetapi isunya ialah isu tanah dan kos. Dr. Chua tahu mengenai perkara ini. Sudah tentu sekolah kebangsaan menjadi keutamaan kerana ia sekolah aliran utama untuk memenuhi hasrat Dasar Pelajaran Kebangsaan. Seperkara lagi sekolah kebangsaan bukan sekolah Melayu. Ia adalah sekolah untuk semua kaum. Banyak lagi sekolah sekolah Kebangsaan khususnya di pedalaman dan luar bandar yang daif. Sekolah ini dipenuhi oleh pelajar daripada berbagai keturunan seperti Iban, Kadazan, Penan, Murut dan Kayan. Apakah sekolah mereka yang daif itu mesti diabaikan hanya untuk memenuhi desakan Dr. Chua?

Tidakkah nanti kerajaan dianggap tidak adil. Sedangkan dengan bajet kerajaan yang terpaksa dipotong sebanyak RM12B, kerajaan juga perlu membina lebih banyak asrama desa, rumah guru dan meningkatkan bekalan elektrik dan air bersih di sekolah sekolah kebangsaan di kawasan pedalaman. Adalah wajar sekali sekala Dr. Chua masuk ke kawasan pedalaman ketika tidak lagi memegang jawatan Menteri supaya beliau mempunyai persepsi yang lebih terbuka, matang dan adil mengenai tuntutan tuntutan beliau itu.

Alangkah baiknya Dr. Chua turut sama bersuara dan membela sekolah kebangsaan termasuk pendidikan Orang Asli, Bumipurtra Sabah dan Sarawak. Maka akan teserlahlah lagi semangat 1Malaysia beliau dan tidak terikut ikut rentak DAP untuk kembali popular

0 comments: