Friday, September 3, 2010

NAMEWEE: JANGAN JADIKAN 1MALAYSIA KAMBING HITAM

Mutakhir ini gagasan 1Malaysia cuba dijadikan sebagai kambing hitam, bagi melepaskan tengkuk masing masing atau untuk mencari alasan. Namewee mengatakan dia anti perkauman dan berpegang teguh kepada 1Malaysia. Ada pula yang berani menuduh, isu perkauman yang semakin panas sekarang ini berpunca daripada gagasan 1Malaysia. Terdapat pihak yang semakin berani menuntut beberapa perkara seperti menghapuskan kuota Bumiputra kerana ia tidak sesuai dengan gagasan 1Malaysia. Manakala parti pembangkang terutamanya DAP dan PKR menggunakan berbagai tektik untuk memburuk burukkan gagasan tersebut, kerana dikhuatiri akan menarik sokongan bukan Melayu. Sebab itu mereka menuduh 1Malaysia adalah idea Yahudi yang dibawa masuk melalui APCO.

Namewee menjadikan 1Malaysia sebagai perisai untuk melindungi dirinya yang tersepit akibat keterlanjuran video klipnya yang biadap itu. Setelah menghina negara dengan lagu rentak rap NEGARAKUKU sebelum ini, dia rupanya tidak serik dengan video klip terbaru itu. Namewee tidak boleh dimaafkan dan dilepaskan begitu sahaja. Sepatutunya dia direman, didakwa secepat mungkin dan dikenakan hukuman berat seperti kes bakar gereja dan mengarak kepala lembu. Video klipnya itu memang provokasi perkauman. Maka janganlah jadikan 1Malaysia sebagai kambing hitam.

Malang sekali, ada pula yang menuduh 1Malaysia sebagai punca isu perkauman semakin panas. Bagi mereka 1Malaysia menggalakkan bukan Melayu termasuk MCA dan Gerakan bertambah berani menuntut berbagai perkara seperti penghapusan sistem kuota Bumiputra dan biasiswa JPA.

Sebenarnya Perdana Menteri telah menjelaskan, 1Malaysia berpaksikan kepada Perlembagaan Persekutuan. Ini bermakna tidak timbul soal untuk menghapuskan Perkara 153 Hak Keistemewaan Orang Melayu. Sepatutnya bagi mereka yang suka menyalahkan dan bagi mereka yang cuba menuntut perkara yang bukan bukan wajib berpegang kepada prinsip yang sudah dijelaskan olehPerdana Menteri. Mereka menyalah ertikan maksud 'equality' sebagai kesamarataan seperti Malaysian Malaysia. Sedangkan Perdana Menteri dengan tegas menolak gagasan lapuk DAP itu yang sekarang ini cuba diganti dengan 'Middle Malaysia'.

Equality mesti ditafsir sebagai kesaksamaan bukan kesamarataan. Kesaksamaan tidak sama dengan kesemarataan. Kalau majoriti orang Melayu masih miskin, jauh tertinggal dalam berbagai bidang terutama dalam bidang perniagaan dan ekonomi, maka salahkah kerajaan memberi kesaksamaan melalui sistem kuota. Sedangkan itu pun yang dibenarkan dalam Perlembagaan.

Pembinaan negara Malaysia tidak sama dengan pembinanaan negara Amerika. Negara Amerika wujud melalui dua proses kezaliman iaitu perang saudara dan dasar perbezaan warna kulit. Dalam sejarahnya orang kulit hitam pernah tidak dibenarkan naik bas yang sama dengan orang kulit putih. Belajar di kolej yang sama turut tidak dibenarkan. Kumpulan ganas seperti Klu Klux Klan wujud sekian lama. Tetapi pernahkah ia berlaku di Malaysia. Pernahkah kita mengasingkan sebagai contohnya tandas orang Melayu dan bukan Melayu? Ia tidak beerlaku kerana kelahiran negara Malaysia berasaskan 'sosial kontrak'. Sebab itu syarat kewarnegaraan dilonggarkan dan dalam masa yang sama wujud fasal seperti Perkara 153 mengenai Hak Keistemewaan orang Melayu. Maka kenapa ia mahu dipersoalkan sekarang ini.

Matlamat 1Malaysia, di mana rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan cukup jelas. Apabila rakyat menjadi keutamaan melalui sistem yang effisien, maka negara akan maju dan bersatu padu. Maka tidak perlulah kita mempertikaikan apa yang sudah dipersetujui dalam perlembagaan. 1Malaysia berpaksikan perlembagaan, maka jangan jadikan 1Malaysia sebagai kambing hitam.

Oleh itu Namewee mesti bertanggungjawab. Rasa benci terhadap pengetua yang dituduh mengeleuarkan kata kata berbaur perkauman tidak boleh dibalas dengan cara yang tidak bertamadun dan kurang ajar, apatah lagi dengan kontroversi perkauman. 1Malaysia tidak mengajar cara sedemikian. Jangan jadikan 1Malaysia sebagai kambing hitam.. Terlajak perahu boleh ditarik, tetapi terlajak kata buruk padahnya.
Jangan ditutup isu Namewee dengan mengaitkannya dengan isu pengetua sekolah di Kulai itu. Kebiadapan Namewee adalah secara terbuka melalui blognya. Dan ia bukan kali pertama. Isu pengetua tersebut ramai yang tidak ada fakta sebenar. Ia disalah tafsir. Ini diakui sendiri oleh PIBG sekolah tersebut. Namewee benar benar menguji pendirian banyak pihak. Mahu bertegas atau berkrompomi.

0 comments: