Friday, July 10, 2009

Hampir RM5b tingkat penguasaan bahasa Inggeris

KUALA LUMPUR 9 Julai - Kerajaan memperuntukkan hampir RM5 bilion bagi mengukuhkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah, kata Timbalan Menteri Pelajaran. Dr. Mohd. Puad Zarkashi.
Beliau memberitahu Dewan Negara hari ini bahawa kementerian sentiasa memberi latihan kepada guru mata pelajaran Bahasa Inggeris bagi memantapkan lagi penguasaan bahasa itu kepada murid sekolah.
"Kita akan menggunakan pelbagai modul seperti mendengar dan bercakap, modul penulisan dan modul seni bahasa yang akan menekankan tatabahasa. Kita akan betulkan penguasaan Bahasa Inggeris bukan setakat boleh bertutur tetapi menggunakannya dengan betul," katanya menjawab soalan Senator Datuk Samsiah Samsudin.
Mohd. Puad berkata, kerajaan juga bercadang untuk mengambil sejumlah 13,933 guru bahasa Inggeris sebagai satu daripada usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid.
Menjawab soalan Senator Zaitun Mat mengenai jumlah guru pakar dalam bahasa Inggeris yang disediakan kementerian di sekolah luar bandar, Mohd. Puad berkata, sehingga 9 Julai ini, terdapat 9,293 guru cemerlang dalam pelbagai gred jawatan dan bidang kepakaran.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 954 orang guru adalah guru cemerlang bahasa Inggeris dan 622 orang ditempatkan di sekolah menengah manakala 332 orang guru di sekolah rendah di seluruh negara sama ada di bandar ataupun di luar bandar," katanya.
Beliau berkata, kementerian berusaha memastikan khidmat kepakaran guru-guru itu tidak tertumpu di satu-satu sekolah atau kawasan sahaja tetapi diagihkan kepada semua sekolah.
Tambah beliau, langkah memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) berkuat kuasa tahun 2012 akan menjimatkan peruntukan kerajaan sebanyak RM40 juta setahun.
Jelasnya, penjimatan itu berlaku kerana kerajaan tidak perlu menyediakan peruntukan Bayaran Insentif Subjek Penting (BISP) kepada guru yang mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
''Sekarang pembayaran BISP adalah RM40 juta setahun membabitkan lima peratus daripada gaji pokok diberikan kepada guru lepasan universiti dan 10 peratus kepada guru bukan lepasan universiti.
''Ini adalah bagi membolehkan mereka membeli buku rujukan atau menghadiri tuisyen bahasa Inggeris," katanya.
Menurut Mohd. Puad, pemberhentian bayaran itu akan dilakukan kerana pihaknya mendapati hanya sebahagian kecil guru yang menerima BISP menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.

1 comments:

calvin said...

Minta maaf la Datuk Timbalan Menteri. Saya berniat nak mencelah ni. Harap Datuk meluangkan seminit dua untuk melihat ke daifan asrama SMK Sebauh ini.

http://www.youtube.com/watch?v=WXae9egYvJC

Jika Datuk terkejut melihat batang balak terdampar di tengah padang boleh sekolah sg Selad.

Mungkin Datuk akan pengsan jika melawat asrama SMK Sebauh ini. Bau lebih teruk dari tempat pembuangan sampah dan sampah bertaburan.

Jika ya sekolah ini akan berpindah ke kawasan baru (mungkin dalm masa 24 bulan lagi) janganlah biarkan murid tinggal di asrama seperti diatas.

Harap datuk ambil perhatian.

CALVIN
Bintulu Sarawak