Tuesday, August 18, 2009

Pelajar sertai perhimpunan haram diberi amaran gantung sekolah

KUALA LUMPUR — Semua 29 murid dan pelajar, yang menyertai perhimpunan haram membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) anjuran Gerakan Mansuh ISA (GMI) di ibu kota pada 1 Ogos lepas, akan digantung sekolah jika didapati menyertai lagi aktiviti seumpama itu pada masa hadapan.
Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata selain amaran keras itu, mereka juga diberikan kaunseling oleh pihak sekolah masing-masing.
Menurutnya hasil siasatan mendapati ada di kalangan mereka diperalat golongan pembangkang untuk menyertai perhimpunan itu dengan bas disediakan untuk membawa mereka ke tempat perhimpunan selain diberikan wang.
“Kita tidak mahu mereka dipengaruhi unsur-unsur negatif kerana ada di kalangan mereka yang disoal siasat memberitahu mereka diupah. Budak-budak memanglah seronok apabila dapat upah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Majlis ke-54 Persatuan Sejarah Malaysia di sini, hari ini.
Dalam perhimpunan itu, kira-kira 5,000 penyokong GMI termasuk pemimpin pembangkang menyertai perhimpunan haram bagi menyatakan pandangan supaya ISA dimansuhkan.

0 comments: