Showing posts with label Parlimen Hari Ini. Show all posts
Showing posts with label Parlimen Hari Ini. Show all posts

Thursday, December 10, 2009

POTONG GAJI MENTERI RM10

Today at 12:43pm Edit Note Delete

1. Pada 7.12.2009 yang lalu ahli parlimen DAP Dato Ngeh Koo Ham dari Beruas membawa usul di bawah peraturan mesyuarat 66(9) untuk memotong gaji YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran sebanyak RM10. Tiga alasan dikemukakan. Pertama kerana tragedi jambatan runtuh di Kuala Dipang yang mengakibatkan tiga pelajar India terkorban.

2. Kedua, kerana kementerian membatalkan PPSMI dan ketiga kerana kementerian tidak membantu SJKC dan SJKT. Oleh kerana YAB Menteri berada di Jepun, maka saya mewakili beliau untuk menolak usul tersebut. Usul itu kemudiannya ditolak. Bahkan pembangkang tidak berani untuk mengundi menggunakan undi blok atau undi belah bagi. Takut dimalukan sekali lagi.

3. Pada 8.12.2009 YB Micheal Jayakumar (DAP) sekali lagi membawa usul untuk memotong gaji Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebanyak RM10. Usul ini juga gagal. Isnin depan 14.12.2009 DAP melalui YB Tian Chua akan membawa usul atas peraturan yang sama 66(9) untuk memotong pula gaji Menteri Dalam Nengeri Dato Seri Hishamuddin sebanyak RM100. Untuk makluman, seminggu sebelum itu DAP sudah membawa usul untuk memotong gaji Menteri di Jabatan Perdana Menteri TS Mohd Nor Yaacop.

4. Saya rasa sudah sampai masanya pembetulan dan pindaan dibuat terhadap peraturan mesyuarat 66(9) tersebut. Jika tidak ia akan disalah gunakan untuk mempolitik dan mensensasikan sesuatu isu. Kebanyakan isu itu pula sudah dijawab dan dibahaskan berulang kali disesi perbahasan dan sesi soal jawab lisan. Pembangkang khususnya DAP menggunakan peraturan tersebut hanya untuk mengulang ulang sesuatu isu. Matlamat mereka ialah untuk memalukan seseorang Menteri. Untuk menyerang peribadi seseorang menteri dan cuba menjadi hero secara mudah.

5. Sebagai contohnya, usul untuk memotong gaji Menteri Pelajaran. Alasan yang dikemukakan adalah amat lemah. Mengenai jambatan runtuh di Kuala Dipang, semua peguam yang terlibat membela ibubapa mangsa korban itu adalah daripada DAP. Peguam DAP tersebut yang memfailkan writ saman di mahkamah pada 20.11.2009. Mereka tahu dan arif bahawa jika kes sudah menjadi kes mahkamah, maka ia tidak lagi boleh dibahaskan di parlimen kerana ia dianggap 'subjudice'. Justeru kenapa mereka bawa juga usul tersebut di parlimen? Apatah lagi YB Beruas itu sendiri seorang peguam.

6. Mengenai alasan kedua, iaitu PPSMI, sebenarnya pembangkang sendiri yang tidak setuju dengan PPSMI. Apatah lagi DAP. Mereka tetap mempertahankan pengajaran sains dan matematik dalam Bahasa Mandarin di SJKC. Mereka terlibat dengan demonstrasi di Istana Negara sehingga berlaku keributan yang menyusahkan orang ramai di ibu kota. Tetapi kenapa ia menjadi alasan untuk memotong gaji menteri? Sedangkan kementerian sendiri menggunakan pendekatan 'sof landing' untuk memansuhkan PPSMI pada tahun 2011. Tidak terburu buru pun. Itu pun ada juga yang menuntut supaya ianya dilaksanakan SEGERA, kalau boleh esok.

7. Alasan ketiga lagi tidak munasabah. Kerajaan sebenarnya sudah membelanjankan hampir RM1.6 billion untuk membantu sekolah sekolah SJKC untuk tahun 2009. Bukan itu sahaja dalam Pakej Ransangan Ekonomi 1 dan 2, kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM100 juta kepada SJKC bantuan modal. Oleh itu mana logiknya, tuduhan yang kerajaan menganak tirikan sekolah SJKC? DAP harus sedar, bahawa banyak lagi sekolah sekolah kebangsaan di pendalaman terutamanya di Sabah dan Serawak yang berada dalam keadaan yang daif. Sekolah ini juga perlu diberi perhatian.

8. Untuk makluman, kerajaan akan membina 6 buah lagi SJKC baru, satu SJKT baru dan 13 perpindahan sekolah SJKC ke tempat baru yang melibatkan perbelanjaan hampir RM100 juta.

9. Justeru apa perlunya usul potong gaji tersebut. Maka adalah wajar Peraturan Mesyuarat 66(9) itu diperbaiki dan dikaji balik, supaya ianya tidak disalah gunakan. Ia boleh mencemarkan kredibaliti parlimen yang pembangkang sendiri kata, perlu dilonjakkan sebagai 'Parlimen bertaraf dunia'.

TIDAK SETUJU PENGETUA DAN GURU BESAR ADA KUASA 'HIRE AND FIRE'

Today at 8:17am Edit Note Delete
1.Banyak pihak yang memberi komen atas kenyataan saya, di mana Pengetua dan Guru Besar mungkin diberi kuasa untuk mengambil dan memecat (fire and hire) guru yang tidak berprestasi.Tidak kurang juga yang menyatakan rasa kecil hati dan tersinggung. NUTP antara pihak yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

2.Sebenarnya ada sedikit kekeliruan mengenai kenyataan saya itu. Ia timbul apabila saya menggulung bagi pihak Kementerian Pelajaran di parlimen pada 7.12.2009 yang lalu. Ada 33 orang YB yang bangkit berbahas dan terdapat 44 pencelahan semasa saya menjawab.

3.Sewaktu pencelahan tersebut, ada yang bertanya mengenai ciri 20 sekolah berprestasi tinggi (SBT) yang akan diumumkan mungkin pada bulan januari 2010. Saya kata, 20 sekolah tersebut akan dipilih daripada sekolah berasrama penuh, sekolah premier, sekolah cemerlang dan sekolah harian termasuk sekolah di luar bandar. Bahkan SJKC dan SJKT termasuk dalam persaingan tersebut.

4.Pemilihan tersebut akan menggunakan kriteria 'Standard Kualiti Pendidikan Malaysia' (SKPM). Ini termasuk kebersihan tandas, landskap, ko kurikulum dll. Ini bermakna prestasi akademik bukan kayu ukur utama. Sebab itu ada kemungkinan sekolah di luar bandar akanmengalahkan sekolah premier seperti MCKK.

5.Oleh itu saya kata ada kemungkinan 20 sekolah SBT itu jika terpilih nanti, maka Pengetua atau Guru Besarnya akan diberi kuasa untuk melakukan 'Hire and Fire' tersebut. Tujuannya ialah supaya sekolah SBT tersebut dapat mengekalkan ranking SBT mereka selamanya. Tidak ada makna ia terpilih pada tahun tersebut tetapi setahun dua selepas itu ia gagal mengekalkan rankingnya.

6.Melalui kaedah tersebut dia boleh membawa masuk guru yang beliau yakin dapat mengekalkan teamwork sekolah tersebut. Fire disini bukan bermaksud pecat daripada jawatan guru. Tetapi dipindahkan ke sekolah lain. Justeru guru berkenaan mesti mengekalkan prestasi dan kerjasama mereka agar mereka tidak dipindahkan.

7.Dengan kata lain, saya tidak bermaksud kuasa 'fire and hire' diberikan kepada semua Pengetua dan Guru Besar bagi 10,000 sekolah yang terdapat di negara kita. Fire and Hire pun tidak boleh dilakukan sewenang wenangnya. Kementerian akan memantaunya. Lagi pun ini hanya cadangan yang baru dibincangkan.

Wednesday, November 25, 2009

PARLIMEN HARI INI

Hari ini saya menjawab dua soalan lisan di parlimen. Soalan pertama dari YB Balik Pulau (PKR). Beliau ingin tahu sama ada kerajaan akan menubuhkan Suruhanjaya Pendidikan, supaya tidak wujud campur tangan politik di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Saya jawab, 'suruhanjaya pendidikan memang amat..amat..tidak diperlukan'. Sebabnya,KPM di terajui oleh seorang menteri dan dua timbalan menteri dan dibantu oleh pegawai pegawai yang sememangnya pakar dalam bidang pendidikan. NKRA ke 3 negara menyebut, kerajaan komited untuk memberikan akses kepada pendidikan yang berkualiti dan berkemampuan kepada rakyat. Ini bermakna kerajaan mahu memberikan keadilan kepada rakyat tidak kira keturunan, kepercayaan apatah lagi faham politik mereka.
Kalau buat suruhanjaya pun, pembangkang akan kata macam macam juga. Contohnya SPRM. Dulu mereka yang mendesak supaya BPR ditukar kepada suruhanjaya. Tetapi setelah ditukar kepada SPRM, mereka tetap tidak berpuas hati. Mereka tetap tuduh SPRM tidak bebas. Dalam jawapan itu saya beri jaminan, KPM tidak akan mempolitikkan murid murid sekolah. Tetapi saya difahamkan banyak tadika yang dikendalikan oleh pembangkang seperti PASTI dipolitikkan. Jadi saya tanya balik, siapa sebenarnya yang mempolitikkan pendidikan?
Soalan kedua datang dari YB Sungai Siput (DAP). Dia kata polis termasuk mahkamah masa kini zalim kerana mereka tidak dididik dengan nilai hak asasi terutamanya ketika belajar di sekolah dulu. Pada saya ini soalan yang tidak rasional.Oleh itu dia mencadangkan supaya mata pelajaran mengenai hak hak manusia seperti yang termaktub dalam perlembagaan diajar di sekolah menengah.
Sebenarnya subjek itu memang diajar di sekolah tetapi dimasukkan sebagai isi kandungan dalam beberapa mata pelajaran khususnya sejarah, pendidikan sivik, kewarganegaraan serta pendidikan moral. Di Tingkatan 5 diajar melalui subjek sejarah. Manakala di Tingkat 4 diajar melalaui subjek pendidikan sivik dan kewarganegaraan. Lebih khusus lagi elemen elemen mengenai hak asasi banyak diajar dalam subjek pendidikan moral. Jadi saya ingatkan YB Sungai Siput itu, memang ada, semuanya ada, cuma yang tidak ada ialah, YB Sungai Siput itu tidak ada masa untuk melihat apa yang diajar di sekolah sekarang ini. Maksudnya sebelum buat tuduhan periksa dulu 'fact and figure'.

Saturday, November 21, 2009

CHIN PENG ( KETUA PARTI KOMUNIS MALAYA) IDOLA SAYA

Dalam sidang parlimen khamis lalu (19/11), YB Kulasegaran ahli parlimen Ipoh Barat, kata, Chin Peng adalah idola beliau sejak di bangku sekolah. Dia turut memaklumkan, telah berjumpa Chin Peng sebulan lalu. Oleh itu beliau menggesa pihak kerajaan, supaya benarkan Chin Peng balik ke Malaysia. Chin Peng kata beliau, sudah lanjut usia dan mahu mati di Malaysia. Mengetahui gelagat Kulasegaran, saya tidak perlu mengulas, sama ada dia ikhlas, apabila menyatakan Chin Peng idolanya. Di parlimen, Kulasegaran lantang mengkritik polis. Beliau menuduh kadar jenayah meningkat kerana polis tidak cekap. Tetapi kalau ada penjenayah penjenayah yang mati ditemba polis, dia akan bising. Dia akan kata, polis melanggar undang undang. Tetapi beliau hanya bising jika penjenayah itu berketurunan India, sehingga penjenayah dilihat seperti hero. Kalau penjenayah itu orang Melayu, dia diam seribu bahasa.
Bukan sukar mentafsir sikap Kulasegaran itu. Dia hanya mencari dividen politik. Dia harap dia dilihat sebagai hero orang India. Oleh itu sokongan terhadap DAP bertambah. Sebab itu bila dia kata Chin Peng adalah idolanya, itulah politik beliau. Dia harap mereka yang bersimpati dengan Chin Peng akan menyokong DAP. Dengan kata lain, sama ada penjenayah, pengganas komunis atau apa sahaja, kalau ada dividen politik, beliau akan mempolitikkannya.
Apakah sebenarnya pendirian Kulasegaran jika salah seorang anggota keluarganya dibunuh oleh PKM. Adakah Chin Peng tetap idolanya? Tetapi melihat gelagat DAP, saya tidak hairan Kulasegaran masih sanggup untuk mempertahankan pendiriannya itu. Persoalannya, wajarkah Chin Peng dibenarkan balik ke Malaysia. Apakah rekod keganasan PKM yang lalu dan pendiriannya sekarang yang saya yakin masih berfahaman komunis, menyebabkan kita memaafkannya begitu sahaja. Sebab itu penjenayah perang Nazi, yang menghilangkan diri selama 50 tahun dan usianya sudah lanjut, tetapi bila dia ditemui, dia tetap didakwa di mahkamah perang antarabangsa. Itulah yang berlaku kepada Radovan Karadzik. Penjenayah Serbia yang kejam. Bila ditangkap dia dibicarakan di mahkamah jenayah perang di Hague.
Dalam kes Chin Peng, saya ingin menyebut mengenai Abdullah C.D. Beliau adalah pemimpin utama PKM. Beliau pengasas Regimen ke 10 PKM. Antara orang penting dalam rejimen itu ialah Rashid Maidin. Abdullah C.D. telah menulis tiga buku sejak perjanjian damai Haadnyai 1989. Yang terbaru ialah 'Memoir Abdullah C.D. (Bahagian ke 3) Perjuangan di Sempadan dan Penamatan Terhormat'. Saya membaca buku terbitan 2009 itu sebanyak dua kali. Ini saya lakukan supaya saya tidak tersalah fakta apabila mahu mengulas buku tersebut. Berdasarkan buku tersebut, saya berani mengatakan Abdullah C.D. tidak menyesal dengan perjuangan PKM. Dia tetap menganggap perjuangan bersenjata PKM adalah perjuangan kemerdekaan. Pada saya dia tetap berpendirian, fahaman komunis adalah betul. Dengan kata lain, saya yakin, Chin Peng mempunyai pandangan yang sama dan tidak membuang faham komunisnya.
Kalau mereka berdua menganggap PKM berjuang untuk kemerdekaan, kenapa setelah negara merdeka pada tahun 1957, mereka masih berada di hutan, meneruskan penentangan bersenjata, mensabotaj ekonomi negara dan lain lain selama 32 tahun hingga perjanjian damai 1989 ditanda tangani? Dalam tempoh tersebut, Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Perak dibunuh. Ramai anggota keselamatan terkorban. Ramai yang cacat anggota, wang negara dibazirkan untuk menghalang keganasan mereka, termasuk kerosakan harta benda. Siapa yang mereka tentang selepas kemerdekaan 1957? Sudah tentu bukan British tetapi kerajaan sah yang menang pilihanraya melalui proses demokrasi.
Mereka kata PKM mahu menghalau penjajah British. Tetapi semua orang tahu PKM mahu menjadikan negara ini negara komunis. Malaysia akan jadi boneka yang ikut telunjuk negara Republik China. Ini bermakna, keluar mulut buaya masuk mulut harimau. Jadi kemerdekaan apa yang diperjuangkan oleh PKM. Yang pasti kalau Malaysia jadi negara komunis, ia akan mengamalkan sistem republik. Sistem beraja akan dihapuskan. Apakah ini yang kita mahu.
Di muka surat 27 buku tersebut, Abdullah C.D. tuduh Dato On tali barut penjajah. Katabeliau, Slogan 'Hidup Melayu' Dato On adalah anti kemerdekaan. Bahkan Perlembagaan Persekutuan 1948 yang melibatkan Dato On dan British dianggap pemusnah kepada 10 Fasal Perlembagaan Rakyat yang dikemukakan oleh golongan kiri PUTRA-AMCJA. Hakikatnya, Dato On adalah orang yang bertanggungjawab menyedarkan khususnya orang Melayu untuk menentang Malayan Union. Malayan Union adalah idea British, di mana Gabnor Jeneral akan diberi kuasa pentadbiran dan kuasa raja akan dihapuskan. Justeru, adalah tidakbenar untuk menuduh Dato On adalah tali barut penjajah. Dan tidak benar untuk menuduh beliau sebagai anti kemerdekaan. PKMlah sebenarnya tali barut China. Latihan, senjata, logistik, station radio semuanya datang dari China. Semua orang tahu, pemimpin PKM, seperti Chin Peng, Musa Ahmad, Shamsiah Fakeh tinggal lama di Beijing sejak tahun 1960 an lagi.
Untuk menentang Malayan Union, Dato On perlu menyatupadukan orang Melayu yang berpecah ketika itu. Semangat kenegerian, kedaerahan, kesukuan dan keturunan menyebabkan orang Melayu berpecah belah. Tetapi dengan slogan' Hidup Melayu' mereka bersatu sehingga tertubuhnya UMNO untuk menentang Malayan Union. 'Hidup Melayu' adalah slogan penyatuan yang membawa jalan kepada kemerdekaan.
kewujudan Perlembagaan Persekutuan 1948, menamatkan riwayat Malayan Union. Ia adalah manifestasi perjuangan yang berasaskan kepada kebijaksanaan. Kuasa Raja Raja Melayu dikembalikan. Itu sumbangan besar Dato On menentang penjajah. Bahkan beliau hadir dalam perundingan Perlembagaan Persekutuan 1948 sebagai Presiden UMNO, bukan sebagai Menteri Besar Johor. Kalau hadir sebagai Menteri Besar dia tidak bebas bercakap, kerana beliau adalah Menteri Besar ketika British masih menjajah. Perlembagaan Persekutuan 1948 mengandungi spirit 'kontrak sosial' yang diguna pakai hingga ke hari ini. Perlembagaan inilah yang menjadi asas kepada Perlembagaan Persekutuan 1957 di mana Malaysia mencapai kemerdekaan.
Justeru, apa sumbangan PKM? Apakah Malaysia akan menjadi negara komunis dan boneka kepada Beijing, jika perjuangan bersenjata PKM itu berjaya. Apa jadi kepada Raja Raja Melayu. Bahasa Melayu, Agama Islam dan reserve Melayu? Perlembagaan Persekutuan turut melindungi SJKC dan SJKT yang tidak dinikmati oleh negara seperti Singapura, Amerika, United Kingdom, Perancis dan Sri Lanka. Kalau Chin Peng kata dia hanya mahu memerangi British, maka dia tidak boleh melupakan 'Peristiwa Bukit Kepong'. Yang dibunuh oleh PKM semuanya anggota polis Melayu. Dia tidak boleh melupakan pergaduhan di Batu Pahat. Itu adalah angkara PKM apabila Jepun keluar dari tanah Melayu. Inilah idola Kulasegaran.








Thursday, November 19, 2009

MACAM MACAM DI PARLIMEN

Hari ini Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang merah muka bila kena belasah oleh Speaker Dewan Rakyat iaitu Tan Sri Pandikar Amin Hj Mulia. Lim Kit Siang (LKS) bangun membantah kerana usul beliau di bawah perkara 18(1) ditolak oleh speaker dalam kamar. Tolak dalam kamar bermakna, tidak ada peluang untuk disebut atau dibahas dalam dewan. Maka tidaklah mereka dapat peluang cari publisiti. Hilanglah peluang untuk terus hentam kerajaan. Pembangkang selalu bawa usul di bawah peraturan 18(1). Walapun mereka tahu usul itu mungkin ditolak kerana remeh temeh, tetapi pada mereka kalau ditolak dalam dewan bukannya dalam kamar adalah lebih baik.
Tolak dalam dewan bermakna, usul itu dapat dibaca dalam dewan. Oleh itu ia masuk dalam hansard parlimen. Ia jadi bahan dokumentasi yang boleh dirujuk dalam perpustakaan. Ia akan dicetak dan disebarkan kepada orang ramai sama ada melalui internet, blog, facebook dan surat. Maka mereka akan dilihat sebagai hero kerana membangkitkan isu tersebut. Itulah strategi mereka. Pada mereka walaupun usul itu tidak dapat dibahas dan tidak perlu dijawab oleh menteri, tetapi itulah tujuan mereka apabila ia dapat dibaca dalam dewan.
Usul 18(1) mesti memenuhi tiga kriteria penting. Pertama ia berkaitan isu tertentu. Kedua ia berkaitan kepentingan ramai. Dan ketiga isu itu perlu disegerakan. Tetapi kebanyakan usul yang dibawa oleh pembangkang ditolak kerana tidak perlu disegerakan.
Sebab itu Lim Kit Siang marah apabila usul beliau ditolak. Apatah lagi ditolak dalam kamar. Beliau disokong oleh Anwar. Anwar berhujah, kalau begitu tidak perlu ada parlimen., kalau isu isu seperti rasuah tidak dapat dibahas dalam parlimen dengan menggunakan usul tersebut. Bahkan Lim Kit Siang dengan kurang ajar menyatakan bahawa speaker sebenarnya ikut telunjuk kerajaan. Kerana semua usul yang mereka bawa melalui perkara 18(1) ditolak.
Tetapi apabila speaker menjelaskan dengan berbagai hujah mengikut peraturan termasuk bukti bukti. Kedua dua tokoh pembangkang itu malu dan terdiam. Speaker menjelaskan adalah bohong semua usul mereka ditolak lantas mengemukakan beberapa contoh, seperti usul pembangkang mengenai wabak H1N1 yang dibawa oleh Gopeng, usul tanah runtuh yang dibawa oleh Gombak, usul Palestin yang di bawa oleh Kubang Kerian, usul beras yang dibawa oleh Kubang Kerian juga, semuanya diterima dan dibenarkan oleh speakerr untuk dibahaskan.
Mereka bertambah malu apabila speaker membuktikan termasuk tarikhnya sekali bahawa usul yang dibawa itu telah pun mereka bahaskan ketika berbahas di peringkat dasar dan jawatankuasa berulangkali bahkan berkali kali sejak dua tiga penggal yang lalu. Jadi apa perlunya usul itu dibawa? Bertambah malu, apabila speaker menyindir kedua dua tokoh putar belit itu bahawa, dia tahu tujuan, usul itu dikemukakan. Iaitu hanya mencari publisiti dan bermain politik.

Wednesday, November 18, 2009

PARLIMEN HARI INI

Assalamualaikum wr.wb. dan salam 1 Malaysia.


Hari ini saya menjawab dua soalan. Satu soalan nombor 7 oleh ahli parlimen Kalabakan, mengenai agihan buku teks yang beliau anggap tidak effisien dan soalan nombor 3 mengenai integriti mahkamah syariah. Soalan nombor 3 itu sepatutnya dijawab oleh menteri agama. Tetapi oleh kerana kedua dua menteri dan timbalan menteri ada urusan lain. Maka saya diminta oleh JPM untuk menjawab bagi pihak mereka.




Seperti biasa, sudah tentu pihak pembangkang terkejut apabila mereka melihat saya berdiri untuk menjawab. Ini isu agama. Bagi mereka yang layak untuk menjawab mestilah orang agama juga. Saya beritahu mereka jangan bimbang. Saya pun cukup tarbiyyah. Oleh kerana Permatang Pauh ada dalam dewan ketika itu, saya beritahu mereka, saya pelajaran pun boleh agama pun boleh. Samalah saya kata macam Permatang Pauh, agama pun boleh ekonomi pun boleh, sebab itu beliau jadi penasihat ekonomi kerajaan negeriSelangor.



Mahkamah syariah kita memang bebas dan berintergriti. Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah telah menetapkan kod kod Etika yang perlu dipatuhi oleh pegawai pegawai mahkamah seperti Kod Etika Pegawai Sulh, Kod Etika Peguam Syarie dan Kod Etika Hakim. Hakim Syarie seperti juga hakim mahkamah sivil tidak boleh bergaul secara bebas yang boleh menimbulkan syak wasangka. mereka juga tidak boleh meminjam wang, menerima hadiah atau memberi pandangan yang berkaitan dengan kedudukannya sebagai hakim.
Kemudian ada dua soalan tambahan dikemukakan.. Dato Mohamad Aziz bertanya kes Kartika yang dikenakan hukum sebat kerana minum arak manakala DS Anwar Ibrahim bertanya mengenai intergriti JAIS kerana mendakwa bekas mufti Perlis yang berceramah tanpa tauliah. Tetapi ketika soalan soalan itu dikemukakan, Dato Dr. Mashitah Ibrahim, Timbalan Menteri telah masuk ke dalam dewan. Maka hilanglah peluang saya untuk menjawab soalan tambahan tersebut.
Dalam kes Kartika, Timbalan Menteri itu menjelaskan Mahkamah Syariah juga mempunyai kuasa mendakwa mereka yang 'menghina mahkamah' seperti di Mahakamah Sivil. Sebab itu sesiapa yang mempersoalkan keputusan denda sebat terhadap Kartika, boleh didakwa kerana menghina mahkamah. Mengenai soalan DS Anwar Ibrahim, Dato Mashitah menjelaskan, orang bawa kereta, walaupun cermat, tidak langgar lampu merah dan tidak melanggar had laju, tetapi kalau dia memandu tanpa lesen, maka dia tetap bersalah dan mesti didakwa juga. Jawapan itu menyebabkan Anwar jadi emosional. Sepatutnya Dato Mashitah tambah sikit lagi, kalau mahu mahkamah ada intergriti, maka Anwar sepatutnya tidak melengah lengahkan kesnya di mahkamah. Pembangkang sering mempersoalkan kelewatan kes kes di mahkamah yang berlambak lambak sehingga menyusahkan mereka yang didakwa. Tetapi Anwar sendiri yang melambat lambat kes beliau untuk dibicarakan. Tidakkah itu menganggu intergriti mahkamah?
Mengenai soalan buku teks, saya menjelaskan, kali ini buku teks akan diedarkan ke sekolah lebih awal iaitu mulai 15 Disember. Ini bermakna jika berlaku kekurangan maka kementerian sempat mengatasinya sebelum sesi persekolahan bermula pada bulan januari. Kekurangan buku teks berlaku kerana ada buku teks yang dipulangkan sudah rosak. Dan ada juga yang yang tidak bertanggungjawab kerana tidak memulangkan buku buku tersebut kepada sekolah. Saya juga menyatakan bahawa buku teks dipinjam secara percuma kepada semua pelajar tanpa mengira jumlah pendapatan keluarga. Untuk tahun 2009 kerajaan berbelanja sebanyak RM 180 juta yang melibatkan lebih 6 juta pelajar bagi skim pinjaman buku teks ini. Inilah saya kata negara kebajikan kerana Malaysia masih mengamalkan pendidikan percuma hingga ke hari ini.