Saturday, January 30, 2010

YB ZAHARIN PKR TUDUH LIM GUAN ENG DIKTATOR, CAUVINIS DAN BERPEMIKIRAN KOMUNIS



Menuduh Lim Guan Eng sebagai diktator mungkin dianggap biasa untuk orang politik yang tidak berpuas hati. Tetapi menuduh beliau sebagai cauvinis dan berpemikiran komunis sudah tentu mengejutkan dan boleh dianggap ledakan bom atom. Tuduhan itu amat berbahaya, Lim Guan Eng layak buat laporan polis. Berpemikiran komunis bermaksud, Lim Guan Eng sudah tentu mahu menjadikan negara ini negara Republik, anti Raja, anti Perlembagaan Persekutuan dan anti sistem demokrasi. Itu barangkali yang menyebabkan YB Zahraian dari PKR menuduh beliau sebagai cauvinis.
2. Tuduhan itu menyebabkan kredibiliti Lim Guan Eng mengenai gagasan baru beliau 'Middle Malaysia' hancur berkecaii. Siapa mahu percaya, jika rakan kongsi dan orang penting dalam PKR seperti YB Zaharain sendiri yang membuat tuduhan berani dan boleh dianggap melampau itu.
3. Sebelum ini saya sudah mengulas konsep 'Middle Malaysia' Lim Guan Eng. Dia kata Middle Malaysia mengutamakan kesederhaan, inklusif, demokratik, berkongsi kekayaan dan bermuafakat. Tetapi dengan tiga ayat 'diktator, cauvinis dan komunis' membuktikan hujah saya sebelum ini adalah betul. Lim Guan Eng hanya retorik dan gagal menunaikan janji. Middle Malaysia hanya untuk mengalih pandangan rakyat yang semakin meyakini gagasan 1 Malaysia dan Juara Rakyat. Pelancaran Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) oleh Perdana Menteri membuktikan Barisan Nasional semakin jauh melakukan perubahan. Kita yakin Model Ekonomi Baru yang akan diumumkan tidak lama lagi oleh Perdana Menteri akan melengkapkan perubahan yang dijanjikan untuk rakyat.
4. Kemelut baru ini membuktikan Pakatan Rakyat tidak ada 'Chemistry' untuk dizahirkan. Ia tidak mampu untuk membentuk sebuah kerajaan yang kuat dan bersatu. Di peringkat negeri mereka sudah bertelegah. Maka bagaimana mereka boleh bekerjasama dan berkongsi kuasa di peringkat pusat. Paling mengejutkan apabila Zahrain berani mendedahkan, Lim Guan Eng gagal memenuhi janji pilihanraya dan suka menuduh orang yang mengkritiknya sebagai agen UMNO.
5. Tuduhan terbaru Zahrain itu menguatkan keyakinan kita untuk percaya bahawa tindakan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang iaitu Saudara Firdaus meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Adun Permatang Pasir adalah kerana tidak berpuas hati dengan Lim Guan Eng yang lebih mementingkan orang Cina dalam pentadbirannya . Dakwa Firdaus, orang dalam yang merancang menjatuhkan beliau dengan membuat berbagai tuduhan rasuah dan melaporkannya kepada SPRM.
6. Kemelut PKR dan DAP ini juga menjadi faktor penyebab kenapa bekas Setiausaha Agung PKR meletak jawatan baru baru ini. Sumber dalam mengatakan, beliau tidak berpuas hati dengan kelemahan pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim yang suka tunduk kepada tekanan dua exco DAP khususnya Ronald Liew. Rondal Liew dikatakan mahu menjadikan Subang Jaya sebagai bandar hiburan 24 jam. Ronald Liew juga orang yang bertanggungjawab memaksa pihak Majlis Perbandaran memulangkan arak yang dijual tanpa mematuhi peraturan.
7. Justeru, sampai bila DAP mahu berselindung untuk mengatakan bahawa dia adalah parti 'Middle Malaysia', sedangkan DAP sebenarnya adalah parti cauvinis seperti yang didakwa oleh YB Zaharain. Dalam kemelut ini, apa pula pendirian PAS. Apakah PAS tidak serik dengan gelagat DAP, sehingga tanpa maruah mempertahankan Elizabeth Wong seorang lagi exco DAP yang dikaitkan dengan isu moral.

Thursday, January 28, 2010

BEZA MIDDLE MALAYSIA DAP DAN REFORMASI PKR DENGAN GAGASAN 1 MALAYSIA, JUARA RAKYAT, PARTI WASATAN DAN PARTY CENTRIST.




Today at 12:50pm Edit Note Delete

Dalam ucapannya sempena Persidangan Kebangsaan DAP pada 17 Januari 2010 lalu, Lim Guan Eng mencadangkan DAP mebawa slogan baru 'Middle Malaysia'. Middle Malaysia pada beliau bermaksud, kesederhanaan, kerjasama bukan konflik, permuafakatan bukan konfrontasi, inklusif bukan eksklusif, menghormati diversiti, memberi peluang yang sama dan menolak diskriminasi. Dia menuduh UMNO mengamalkan Kroni Malaysia dan lebih mementingkan warna kulit. Tetapi dia juga menegaskan, Middle Malaysia turut bermaksud, segala kekayaan, peluang dan hasil mahsul adalah hak milik bersama rakyat Malaysia keseluruhannya.
2. Sebenarnya, Middle Malaysia adalah sama dengan Malaysian Malaysia. Isi sama cuma nama sahaja yang diperbarukan. Ayat terakhir itu kalau diteliti secara halus bermakna ia tidak akan berpaksikan kepada Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan cukup jelas menyebut Perkara 153 mengenai Hak Istimewa Melayu. Dasar affirmatif tersebut bertujuan keadilan, supaya kekayaan tidak dibolot oleh satu kaum sahaja.
3. Tetapi kenapakah Guan Eng membangkitkan soal 'Middle Malaysia' sekarang ini? Ia tidak sukar untuk difahami. DAP dan pembangkang tersepit dan menjadi defensif apabila Perdana Menteri membawa gagasan baru yang realistik iaitu 1 Malaysia dan Juara Rakyat. Sebelum ini mereka berbangga dengan slogan reformasi yang dianggap dapat menangkap imaginasi rakyat Malaysia khususnya orang muda. Tetapi slogan itu sudah mati apabila pembangkang terus bergelut berbagai masalah terutamanya di negeri yang mereka perintah.
4. DAP bimbang dengan senario ini. Kemelut dalaman PAS dan PKR mengancam kepercayaan orang Melayu terhadapnya. Oleh itu dia mengutarakan slogan baru 'Middle Malaysia untuk melawan gagasan Perdana Menteri yang semakin polular dan diterima. Dia menggunakan Middle Malaysia kerana tidak mahu meninggalkan Malaysian Malaysia yang menjadi ideologi politik mereka sekian lama.
5. Cuma Guan Eng agak ketinggalan. Sebenarnya apa yang disebut Middle Malaysia itu sudah disebut oleh Dato Najib dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung UMNO pada 15.10. 2009 tahun lalu. Dalam para 32 ucapan tersebut Dato Najib menyebut UMNO tidak boleh memperjuangkan nasib kelompok kecil sahaja. UMNO adalah parti inklusif yang mendahulukan rakyat. Sebab itu persepsi UMNO parti untuk cari makan mesti dibuang jauh jauh.
6. Dalam para 33 Dato Najib menjelaskan lagi, UMNO mesti bersifat sebagai parti 'Wasatan' iaitu 'bersederhana' atau katanya dalam istilah sains politik 'The Centrist Party' yang bukan ultra kiri atau ultra kanan. Ini bermakna UMNO bukan parti ekstrem atau mengutamakan warna kulit seperti dakwa Guan Eng. Jadi apakah benda baru yang mahu dibawa oleh Lim Guan Eng? Slogan Middle Malaysia sebenarnya sekadar untuk mengelakkan DAP tertekan dengan gagasan 1 Malaysia berbanding Malaysian Malaysia yang sebenarnya ekstrem. DAP mahu mengelak daripada menjadi terus defensif di atas kelemahan pentadbiran mereka dan rakan kongsi yang lain.
7. Sebenarnya Guan Eng telah meniru empat kerukunan hidup Rakyat Malaysia yang sudah menjadi amalan Barisan Nasional sekian lama. Empat rukun itu ialah, permufakatan atau consensus, kesederhanaan atau moderation, inklusif bukannya eksklusif dan keadilan kepada semua kaum. Amalan itulah yang menyebabkan BN dapat bertahan lama, mempunyai satu manifesto, satu lambang, satu slogan, satu nakhoda yang menyebabkan Malaysia menjadi aman damai dan membangun pesat selepas rusuhan kaum 1969.
8. Tetapi bagaimanakah Middle Malaysia DAP akan terlaksana, sedangkan mereka gagal mengatasi perbezaan sesama sendiri seperti konflik antara Khalid Samad dan Zulkifli Nordin. Zulkifli menuduh Anwar diktator kerana marah tindakannya membuat laporan polis terhadap Khalid atas isu kalimah Allah. DAP sendiri cakap lain buat lain. Kebanyakan isu yang dibawanya di parlimen ialah isu orang Cina sahaja seperti isu SJKC. Mereka tidak pernah membangkitkan isu sekolah Kebangsaan di pendalaman terutamanya di Sabah dan Sarawak yang masih menggunakan bangunan kayu dan daif. Kita tidak boleh melupakan isu ketuk ketampi yang mereka sangka perempuan berketurunan Cina. Riuh rendah DAP membela wanita itu di parlimen. Tetapi apabila sah perempuan itu sebenarnya berketurunan Melayu, DAP diam menyepi.
9. Begitu juga kalau ada penjenayah keturunan India atau Cina mati ditembak polis, DAP khusunya Kulasegaran akan sebok mengkritik polis dan berani menuduh polis pilih kasih dalam tindakannya. Penjenayah dibela seperti hero. Malangnya kalau kes seumpama itu melibatkan penjenayah Melayu, mereka berdiam diri. Jadi siapakah yang ekstrem di sini kalau bukan DAP. Siapakah yang berani menuduh MCA gagal membela kaum Cina kalau bukan DAP. DAP berbuat demikian kerana mahu dilihat sebagai pembela nasib orang Cina. Maksudnya DAP tahu ia bergantung hidup kepada sokongan orang Cina. Kalau begitu apakah DAP bukan parti warna kulit?
10. DAP bangga menjadikan penggunaan tulisan Cina, Tamil, Bahasa Melayu dan Jawi ke atas papan tanda jalan jalan di Pulau Pinang sebagai bukti amalan 'Middle Malaysia'. Tetapi kalau mahu dibuat perbandingan sudah tentu ia tidak dapat mengatasi sumbangan besar kerajaan BN yang terus mempertahankan kewujudan sekolah berbagai aliran termasuk memberikan peruntukan besar terhadap sekolah sekolah SJK dan SJKT. Inilah bukti kejayaan budaya kesederhanaan, mufakat, keadilan dan inklusif yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional.
11. Justeru, slogan Middle Malaysia bukan satu yang original. Ia sudah menjadi amalan kerajaan BN. Middle Malaysia umpama lipstik baru yang akan pudar apabila terkena air. Berbanding dengan 1 Malaysia dan Juara Rakyat, keduanya adalah gagasan yang realistik, ada NKRA, ada war room, ada program seperti Klinik 1 Malaysia, dan berbagai pendekatan hands on seperti walkabout.
12. Sedangkan Anwar Ibrahim juga sedang melakukan walkabout dan raod show atas isu peribadi iaitu kes mahkamahnya. Apaka kaitannya dengan kepentingan rakyat. Ia hanya membuang masa rakyat, hanya untuk membakar semangat, memanaskan emosi orang, penuh dengan tuduhan yang boleh mengheret kepada demonstrasi jalanan. Apakah ini 'Middle Malaysia' yang mahu dibawa oleh Lim Guan Eng. Apa untungnya kepada rakyat dan negara?

Monday, January 25, 2010

CAH KETING DALAM PKR ANGKARA SIAPA?

Dato Nik Aziz kata, dia mahu mendoakan supaya Perdana Menteri dilaknat Allah sampai pecah perut kerana isu wang ihsan. Tapi apakah doa sudah makan tuan. Kini PAS dan PKR pula yang dilanda musibah. Pemimpin PAS akui wujud 'cah keting' dalam parti tersebut. Orang dalam PKR juga mengakui perkara yang sama berlaku dalam PKR. Terbaru kes 13 ahli jawatankuasa PKR Bahagian Kuala Selangor meletakkan jawatan. Bahagian itu dianggap lumpuh kerana hanya tiga ahli jawatankuasa sahaja yang tinggal. Tan Sri Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar adalah Ketua PKR Bahagian Kuala Selangor. Beliau mesti malu dengan isu tersebut.
2. Tapi ada yang dakwa ini permainan Azmin. Azmin dilihat mahu mengukuhkan kedudukan untuk menjadi Timbalan Presiden PKR. PKR dijangka mengadakan pemilihan parti pada bulan Mei tahun ini. Mungkin Khalid dilihat sebagai pesaing utama untuk merebut jawatan Timbalan Presiden. Selepas itu mudahlah beliau untuk menjadi Menteri Besar Selangor yang baru. 3. Cah keting dalam PKR bukan perkara baru. Orang ramai tidak menyedarinya kerana selama ini ia berlindung disebalik kemenangannya dalam PRU ke 12 sebagai bukti rakyat menyokong parti tersebut. Ia juga dapat ditutup kerana kehebatan mereka mengeksploitasi banyak isu sehingga Barisan Nasional pula menjadi terlalu defensif. Tetapi sekarang mereka tidak lagi boleh bertahan.
3. Gagasan 1 Malaysia dan Juara Rakyat menjadi cabaran getir kepada Pakatan Rakyat yang selama ini suka berslogan. Ia medan penilaian terbaru selepas PRU ke 12 siapa sebenarnya 'Juara Rakyat Tulen' dan 'Juara Janji Bohong'. PKR tidak lagi boleh berselindung kerana mereka juga sudah ada kuasa mentadbir negeri. Sebelum ini mereka boleh berkata apa sahaja. Mereka juga boleh berjanji apa sahaja. Sekarang mereka mesti membuktikan apakah janji boleh ditunaikan dan apakah mereka cekap mentadbir negeri.
4. Tetapi berdasarkan rekod pentadbiran mereka terutamanya di Selangor memang mengecewakan. Sudahlah berbagai janji termasuk air percuma tidak dapat ditunaikan, kini kelemahan pentadbiran mereka semakin terserlah. Sebab itu PKR mahu kembali pendekatan lama iaitu menyalahkan kerajaan pusat. Apabila SPRM mahu menyiasat seorang pembantu exco kerajaan Selangor kerana kes mencuri pasir, cepat cepat mereka menuding jari ini adalah konspirasi kerajaan pusat.
5. Berapa lama mereka boleh bertahan dengan cara lapok itu. Apakah rakyat Selangor khasnya boleh diperbodohkan. Justeru isu 'cah keting' dalam PKR tidak boleh dipandang ringan oleh rakyat. Mereka boleh berkata apa sahaja sebelum berkuasa tetapi menjadi rakus setelah berkuasa. Isu Khalid Ibrahim bukan semata mata kelemahan peribadi dan pentadbirannya, tetapi kerana cah keting yang sememangnya wujud.
6. Azmin Ali adalah orang kanan Anwar Ibrahim. Dia setia dengan Anwar. Dia lebih lama bersama Anwar berbanding Khalid Ibrahim. Dia mungkin kecewa kerana kelemahan Khalid menyebabkan imej PKR semakin terjejas. Khalid adalah bebanan kepada masa depan PKR. Kelemahan pentadbiran Khalid Ibrahim dijadikan hujah bahawa PKR dan Anwar Ibrahim tidak akan mampu mentadbir negara. Cita cita pembentukan kerajaan baru 16 September 2009 menjadi jauh panggang daripada api. Justeru, Anwar mungkin mahu menggunakan Azmin supaya Khalid Ibrahim dapat diketepikan. Mereka tidak mahu mempertaruhkan Selangor sebagai kubu terakhir PKR jatuh sebelum atau semasa PRU ke 13. Anwar bimbang, yang dikejar tidak dapat yang dikendong keciciran.
7. Kalau pun kerajaan PKR di Selangor nanti tidak tumbang awal, tetapi kemelut parti dan pentadbiran lemah kerajaan negeri yang berterusan akan menyebabkan kerajaan Pakatan Rakyat tumbang dalam PRU ke 13. Dato Nizar bekas Menteri Besar Perak mengakui sokongan orang Melayu semakin merosot. Orang atas pagar juga kecewa dengan ketidakcekapan pentadbiran Khalid Ibrahim. Apabila ADUN Pelabuhan Kelang menjadi bebas, ia memalukan PKR. Khalid cukup lemah mengawal beberapa orang exconya seperti Ronald Liew, Dr. Xavier dan Theresa Kok.
8. Ini terbukti semasa sidang Dewan Undangan Negeri Selangor pada 9 Julai 2009 tahun lalu. Azmin mendesak supaya exco Selangor dirombak semula walaupun baru setahun memerintah. Dia kecewa kerana banyak rungutan terutamanya cara melantik ahli majlis perbandaran. Dia kesal sikap mereka yang tidak telus. Dia juga kesal birokrasi kerajaan negeri yang menghalang banyak pelaburan di negeri berkenaan. Dia mengkritik MTES atau Majlis Tindakan Ekonomi Selangor yang diwujudkan Khalid Ibrahim Selangor kerana bersikap prejudis dan suka menghukum bukannya membantu galakan pelaburan dan masyarakat peniaga.
9. Ketika itu lagi Azmin sudah membangkitkan isu hasil penjualan pasir dan bahan galian negeri Selangor. Oleh itu dia mencadangkan perlantikan exco tidak lagi berdasarkan kepada kuota parti dan kaum tetapi berasaskan kepada merit. Exco Kerajaan Tempatan adalah Ronald Liew yang kontroversi, manakala exco Pelaburan adalah Teresa Kok. Umum mengetahui Khalid Ibrahim sukar dan tidak mampu mengawal kedua dua exco dari DAP ini. Mencadangkan rombakan exco bermakna, hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar yang melantiknya. Dengan kata lain, Azmin juga hilang kepercayaan terhadap Khalid Ibrahim. Itulah signal Azmin kepada ahli PKR mengenai kedudukan Khalid Ibrahim.
10. Isu cah keting dalam PKR bukan baru. Dalam PKR ada empat kumpulan. Pertama, bekas ahli UMNO yang kuat menyokong Anwar. Kedua, bekas pimpinan ABIM yang pro Anwar. Ketiga bekas ahli Parti Sosialis Rakyat Malaysia pimpinan Dr. Syed Husin Ali dan keempat golongan middle class termasuk anak muda yang mahukan pembaharuan. Ketidak sepakatan menyebabkan cah keting berlaku. Akibatnya ramai bekas pemimpin ABIM menjadi 'low profile' dan ada yang menyertai PAS seperti Shaari Sungib dan Anuar Tahir. Isu kalimah Allah diyakini akan menyebabkan ramai penyokong ABIM dalam PKR akan meninggalkan parti tersebut. Ada yang timbul semula hanya kerana PKR menang banyak kerusi dalam PRU ke 12. Tokoh seperti Dr. Chandra Muzaffar dan Zainur Zakaria sudah lama meninggalkan PKR. Kini ramai bekas ahli UMNO turut meninggalkan PKR. Maka Anwar perlu menyelamatkan kubu terakhir mereka di Selangor.
11. Paling membimbangkan Anwar ialah, pengaruhnya dalam PAS dan DAP. Apakah mereka boleh bertahan dalam Pakatan Rakyat. Dato Nizar bekas Menteri Besar Perak mengakui sokongan orang Melayu terhadap Pakatan Rakyat merosot. Kalau Kerajaan Selangor terus berkocak dan tumbang harganya adalah mahal. Justeru tidak hairan, bahawa apa yang berlaku di Kuala Selangor dan pentadbiran kerajaan negeri sekarang ini sememangnya dirancang dan disengajakan oleh orang dalam parti itu untuk menjatuhkan Khalid Ibrahim.

Monday, January 18, 2010

SEGERAKAN MAJLIS PERUNDINGAN AGAMA

Nampaknya ramai pihak yang bersetuju dengan saranan Timbalan Perdana Menteri agar disegerakan penubuhan Majlis Perundingan Agama di Malaysia. Saya yakin fungsi majlis ini tidak sama dengan Interfaith Commission (Suruhanjaya Pelbagai Agama) yang pernah dicadangkan sebelumnya. Sebuah Majlis tidak sama dengan Suruhanjaya. Kalau suruhanjaya, sudah tentu ia ada kuasa. Maka tidak wajar Agama Islam diletakkan dengan kedudukan yang sama dengan ajaran agama lain kerana Islam adalah agama Persekutuan.
2. Memang benar isu penggunaan Kalimah Allah perlu diselesaikan segera. Kita tidak mahu pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk mengeruhkan lagi keadaan. Mungkin amaran yang dikeluarkan Kedutaan Amerika di Kuala Lumpur supaya rakyatnya tidak ke Pulau Sipadan dan Mabol ada kaitan dengan serangan terhadap beberapa gereja di Malaysia. Itulah musibahnya jika isu ini dibiarkan berlarutan. Kerajaan Malaysia wajar dipuji kerana cukup bertanggungjawab untuk mengatasinya.
3. Anwar Ibrahim dalam majlis ceramahnya di Kuantan menuduh, kontroversi kalimah Allah sengaja direka oleh UMNO. Seperti biasa dia akan menggunakan tokoh Maal Hijrah Dr Yusuf Qardawi sebagai sumber rujukannya. Apakah dia bertanya kepada Yusuf Qardawi mengenai hasrat kerajaan menubuhkan Majlis Perundingan Agama ini. Kita pun ingin tahu apakah agaknya jawapan Yusuf Qardawi. Saya yakin tokoh ulama itu akan bersetuju. Tetapi saya juga yakin Anwar Ibrahim tidak akan menyatakannya kepada orang ramai. Bahkan kenapa Anwar sendiri tidak menyatakan pendiriannya sama ada menyokong atau tidak menyokong penubuhan Majlis Perundingan ini. Jawapannya amat mudah, Anwar takut tidak mendapat political dividen. Justeru siapakah sebenarnya yang mahu mempolitikkan isu ini? Apa untungnya kerajaan mensensasikan isu kalimah Allah, jika ia boleh mengancam keselamatan negara? Ia juga boleh menjatuhkan kerajaan yang sedia ada. Sebenarnya pihak lain yang memang suka dengan budaya street demonstration lebih suka isu ini berlarutan kerana rakyat mudah dikelirukan apabila huru hara berlaku.
4. Majlis Peguam pula mencadangkan isu ini perlu diselesaikan di luar mahkamah. Proses mahkamah akan menyebabkan satu pihak sahaja yang menang. Yang kalah sudah tentu tidak berpuas hati. Bukankah dengan tertubuhnya Majlis Perundingan ini, maka penyelesaian di luar mahkamah lebih mudah dilaksanakan? Mungkin Majlis Perundingan Agama yang dicadangkan itu boleh menjadi pemandu bagaimana isu ini boleh diselesaikan di luar mahkamah. Justeru, saya menyokong mereka yang ada kredibiliti sahaja perlu menganggotai majlis ini. Mereka yang berkredibiliti boleh menjamin dialog berjalan dalam keadaan yang harmoni. Mereka juga mesti berkemampuan meyakinkan pengikut masing masing dan orang ramai untuk menerima jika cadangan Majlis ini diterima dan diguna pakai oleh kerajaan. Dengan kata lain Majlis ini mesti berkeupayaan menjadi satu badan yang dihormati oleh semua pihak, walaupun ia bukan bertaraf sebagai sebuah Suruhanjaya.
5. Melaui Majlis ini ini mungkin dapat difahamkan kepada bukan Islam bahawa Islam adalah agama Aqidah. Kalimah Allah adalah isu Aqidah. Sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, maka mereka sepatutnya bertolak ansur dan perlu faham kenapa dalam konteks Malaysia, penganut agama lain tidak wajar menggunakan kalimah Allah.
6. Bagi penganut Kristian, nama tuhan mereka boleh diubah ubah mengikut bahasa yang digunakan dalam upacara keagamaan masing masing. Ini diakui sendiri oleh Tan Sri Bernard Dompok. Katanya, 'komuniti Kristian di Sabah seperti juga Murut dan Kadazandusun mengadakan upacara keagamaan dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan bahasa ibunda mereka. Kalau dalam bahasa Inggeris perkataan Tuhan(God) digunakan. Jika dalam Bahasa Melayu Tuhan (Allah) digunakan. Sekiranya dalam bahasa Ibunda seperti Kadazandusun, Kinoingam digunakan.
7. Ini membuktikan, penggunaan nama Tuhan bagi penganut Kristian tidak sama seperti penganut Islam. Bagi penganut Islam, nama Tuhan mereka tidak boleh diubah ubah. Kalimah Allah adalah mesti dan wajib, walaupun upacara keagamaan itu dijalankan mengikut bahasa yang berbeza beza.
8. Sebab itu sebelum ini saya ada mencadangkan jalan kompromi. Mungkin ini boleh dibincangkan dalam Majlis Perundingan Agama itu. Bolehkah kalimah Allah pada orang Kristian dieja dengan Tuhan 'Ala' atau Tuhan 'Alah' (tiada H atau satu L)? Orang Islam menyebut Allah dengan tajwid. Orang Kristian tidak ada tajwid. Memang mereka menyebutnya dengan sebutan 'Ala' atau 'Alah". Ini bermakna Tuhan Ala atau Tuhan Alah yang ditulis dalam akhbar atau enjil mereka itu nanti akan bermakna Tuhan berkonsepkan Triniti. Iaitu tuhan yang beranak dan diperanakkan. Manakala Allah dalam konteks Islam yang disebut dengan tajwid ialah Tuhan yang Esa, tidak beranak dan tidak diperanakkan. Sebagai contoh, lagu Ala Mengerti dan Ala Peduli nyanyian Jeffry S Tjandra, yang disiarkan dalam U Tube, kalau didengar secara teliti memang disebut dengan 'Ala'.
9. Sebenarnya di negara kita ini, sejak ratusan tahun Kristian dikembangkan tanpa sebarang masalah. Mereka tidak memakai pun kalimah Allah. Ajaran Kristian dapat difahami dan dikembangkan berleluasa. Tetapi kenapa sekarang ini kalimah Allah mahu digunakan secara provokatif. Di Sabah dan Sarawak, pengaruh Indonesia yang sudah menterjemahkan Bible ke Bahasa Indonesia, menyebabkan wujud penggunaan kalimah Allah. Tetapi jika hujah Tan Sri Bernard Dompok itu digunakan, maka boleh dirumuskan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian khususnya di Sabah dan Sarawak bukan rigid dan tiada kaitan dengan Aqidah. Maka mampukah Majlis Perundingan Agama ini merundingkan supaya penggunaan Kalimah Allah dihadkan hanya kepada orang Islam.
10. Lagi pun di beberapa negeri seperti Selangor, Kelantan, Pahang dan Johor penggunaan Kalimah Allah dihadkan hanya untuk orang Islam sahaja. Jika Majlis Perundingan Agama yang dicadangkan itu mampu menyelesaikannya di luar mahkamah, ini bermakna penubuhan Majlis Perundingan ini adalah berbaloi.






Friday, January 8, 2010


ALLAH UNTUK ORANG ISLAM: TUHAN ALAH ATAU TUHAN ALA UNTUK PENGANUT LAIN?

Today at 12:20pm Edit Note Delete
Orang Islam sedikit lega kerana KDN telah memfailkan notis rayuan mengenai isu penggunaan kalimah Allah dalam mingguan Herald. Saya pasti KDN mahu mempertahankan keputusan awalnya yang tidak membenarkan akhbar mingguan itu menggunakan kalimah Allah.
2. Justeru, apakah agaknya hujah KDN dalam rayuannya itu nanti. Saya bersetuju dengan pandangan beberapa orang pengamal undang undang, bahawa realiti semasa mesti menjadi asas utama untuk memutuskan perkara yang begitu rumit dan boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan kaum di Malaysia. Realiti semasa bermaksud realiti Malaysia. Sebagai contoh, realiti Malaysia membabitkan isu 'Sosial Kontrak'. Sebab itu amat sukar untuk melaksanakan sekolah satu aliran. Ia menjadi isu yang sensitif dan boleh menjadi isu hasutan.
3. Realitinya, kebebasan beragama memang termaktub dalam perlembagaan. Tetapi perlembagaan juga memperuntukkan kebebasan beragama tidak boleh mewujudkan ketidak harmonian. Kenapakah Hakim Lau Ben Lan tidak menggunakan peruntukan tersebut. Perkara 11(5) menyatakan...'Perkara ini tidaklah membenarkan apa apa perbuatan yang berlawanan dengan mana mana undang undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral'. Maknanya adalah dilarang mana mana amalan agama jika amalan tersebut boleh menjejaskan ketenteraman awam (public disorder). Larangan ini termasuk amalan agama orang Islam sendiri.
4. Di sinilah saya hairan dengan pendirian Haji Hadi Awang, Khalid Samad termasuk Dr. Mohd Nor Manuty yang sekarang ini adalah penasihat agama PKR. Hujah mereka, penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain sudah berlaku sebelum kedatangan Islam lagi. Maka mereka menyokong penganut agama lain boleh menggunakan kalimah Allah selagi ia dikawal dan tidak disalah gunakan.
5. Apakah mereka ini tidak cerdik? Bukankah dengan kebenaran tersebut maka sebenarnya salah guna sudah berlaku. Dan sememangnya ia bertujuan untuk disalah gunakan. Dan apabila disalah gunakan, maka ketidak harmonian agama sudah berlaku. Oleh itu kenapakah peruntukan 11(5) tidak digunakan sebelum keputusan itu dibuat.
6. Kecelaruan dan salah guna pasti berlaku kerana Allah pada penganut kristian ditafsir dengan konsep triniti. Sebab itu di Indonesia disebut Bapa Allah. Jesus Christ (Isa) sebagai anak Allah. Sedangkan bagi kita Isa hanyalah seorang Nabi. Orang Islam melihat kalimah Allah seperti mana yang disebut dalam surah Al Ikhlas (112:1-4). 'Dialah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada Nya segala sesuatu. Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan, dan tiada ada seorang pun yang setara dengan Dia'.
7. Sebab itu cara terbaik untuk mengawal dan supaya ianya tidak disalah gunakan ialah dengan tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah. Inilah realiti Malaysia yang perlu diambil kira. Kesemua mereka yang menyokong itu adalah pendakwah Islam. Mereka juga sering berhujah bahawa dakwah Islam mesti melihat realiti Malaysia. Tetapi dalam soal kalimah Allah ini, apakah mereka melihat hanya realiti politik, iaitu benefit politik yang mereka akan dapat tanpa mengambil kira sentimen umat Islam dan salah guna yang pasti akan berlaku. Dr. Mohd Nor Manuty pernah menjadi Presiden ABIM. Tetapi pendirian ABIM, PKPIM dan Persatuan Peguam Syarie cukup jelas menolak penggunaan kalimah Allah oleh mingguan Herald itu.
8. Mungkin ramai yang lupa kes Halimatussadiah Kamaruddin pada tahun 1986. Beliau dipecat kerana memakai purdah di pejabat. Padanya sebagai seorang Islam dia berhak memakai purdah kerana ia tuntutan agama. Walau bagaimanapun rayuannya di Mahkamah Tinggi pada tahun 1992 gagal kerana Hakim memutuskan hak ramai mengatasi hak individu dengan alasan untuk mengekalkan disiplin di perkhidmatan awam.
9. Begitu juga pada tahun 1997, berlaku kes tiga orang pelajar di SK Felda Serting Hilir Jempol Negeri Sembilan yang dibuang sekolah kerana memakai serban. Apabila ketiga pelajar ini mencabarnya di Mahkamah Tinggi Seremban, mereka menang kes tersebut. Tetapi apabila dibicarakan semula di Mahkamah Rayuan pada tahun 2006, mahkamah memutuskan keputusan sekolah itu adalah betul.
10. Soalnya, kenapakah umat Islam tidak bangkit marah. Kenapa ia tidak menjadi isu yang mengancam keharmonian beragama walaupun ia melibatkan hak orang Islam untuk mengamalkan kepercayaan agamanya. Jawapannya amat mudah. Iaitu kedua kes tersebut hanya melibatkan isu cara berpakaian. Ia bukan isu Aqedah. Isu kalimah Allah adalah isu Aqedah. Iaitu isu Allah yang Esa dan tidak beranak pada umat Islam. Sedangkan Allah pada kefahaman penganut Kristian ialah ada bapa tuhan dan anak tuhan. Isu Aqedah boleh menimbulkan 'public disorder'. Sebab itu Perkara 11(5) Perlembagaan Persekutuan mesti diguna pakai.
11. Walau bagaimanapun apakah ada jalan kompromi? Bolehkah kalimah Allah pada orang Kristian dieja dengan Tuhan Alah atau pun Tuhan Ala (satu L atau tiada H). Manakala bagi umat Islam yang menyebutnya dengan tajwid maka ejaan yang digunakan ialah Allah. Oleh itu mudah membezakannya. Bila disebut Alah atau Ala maka itu bermaksud tuhan kepada orang Kristian. Sebenarnya penganut lain memang menyebut kalimah Allah bukan dengan tajwid yang betul. Sebagai contoh, lagu Alah Mengerti dan Alah Peduli nyanyian Jeffry S Tjandra, jika didengar memang disebut dengan 'Ala'.

Saturday, January 2, 2010

KENYATAAN MEDIA

UNTUK SIARAN SEGERA 02 JANUARI 2010

KENYATAAN MEDIA Y.B DR. HAJI MOHD PUAD BIN HAJI ZARKASHI
TIMBALAN MENTERI PELAJARAN MALAYSIA

Saya selaku Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia bertanggungjawab untuk menjelaskan isu yang dibangkitkan oleh Naib Canselor Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Prof. Dato’ Dr. Aminah Ayob dalam kiriman e-mel yang telah disiarkan oleh Buletin Utama pada 1 Januari 2010 jam 8.00 malam mengenai pengambilan guru-guru lulusan Sarjana Muda Pendidikan daripada IPTA termasuk daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

1. Ada sedikit kekeliruan pada kenyataan Naib Canselor tersebut mengenai isu lebihan guru. Beliau menggunakan data pengambilan pelajar barudi UPSI untuk semester 1 bulan Julai 2009 untuk menyatakan pengambilan pelajar tersebut mengikut unjuran yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Sebenarnya isu yang saya bangkitkan ialah masalah mereka yang telah tamat pengajian di seluruh negara yang masih lagi belum mendapat penempatan. Ini kerana berlaku lebihan pengambilan pelajar oleh IPTA pada tahun-tahun sebelumnya.

2. Beliau turut mempertikaikan jumlah yang diunjurkan oleh KPM adalah terlalu kecil dan tidak munasabah. Saya ingin menjelaskan bukan UPSI sahaja yang menawarkan program Sarjana Muda Pendidikan malah IPTA lain juga turut menawarkan kursus yang sama termasuk mereka yang mengambil Sarjana Muda Pendidikan di universiti swasta dan luar negara. Ini menyebabkan berlakunya lebihan penawaran apabila ianya tidak diselaraskan dengan baik.

3. Ada IPTA mendakwa, unjuran tersebut tidak ekonomikal untuk dilaksanakan sebab itu mereka menawarkan juga kepada pelajar-pelajar lain yang memohon untuk mengikuti program Sarjana Muda Pendidikan. Alasan IPTA tersebut ialah supaya mereka yang tidak mendapat tempat ini boleh bersaing di pasaran terbuka. Kesemua faktor ini menjadi penyumbang kepada isu lebihan penawaran guru untuk sekolah menengah.

4. Suka saya menegaskan memang benar Kabinet telah memutuskan latihan guru untuk sekolah rendah dikendalikan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM). Manakala IPTA termasuk UPSI melatih bakal guru untuk sekolah menengah. Namun Prof. Dato’ Dr Aminah Ayob, perlu telus dan mengakui terdapat juga IPTA termasuk UPSI sendiri yang menyediakan program Sarjana Muda Pendidikan untuk sekolah rendah dan pra-sekolah. Walau bagaimanapun KPM tetap menerima graduan tersebut untuk ditempatkan di sekolah rendah dan pra sekolah selagi terdapat kekosongan.

5. Untuk rekod, sebenarnya mereka yang diambil menjadi pelajar tajaan KPM baik dari IPTA mahupun IPGM semuanya mendapat penempatan untuk mengajar kerana mereka telah ditemu duga melalui proses Inventori Sahsiah Keguruan (INSAK) yang dikendalikan oleh guru-guru cemerlang dari KPM. Hanya mereka yang tidak melepasi proses ini sahaja yang perlu bersaing di pasaran terbuka.

6. Oleh itu tidak timbul soal para graduan pendidikan dari IPTA dianak tirikan dan merasa tidak bermotivasi. Mereka perlu bersedia untuk bersaing di pasaran terbuka dan di sektor swasta. Malah mereka perlu sedar bahawa menjadi guru memerlukan kecekalan kerana mereka mungkin akan dihantar ke kawasan pedalaman untuk mengajar. Jika kerana isu ini mereka telah menjadi lemah semangat bagaimanakah mereka mahu menghadapi cabaran di alam pekerjaan sebagai guru kelak.

Friday, January 1, 2010

HUKUM SYARIAH: ANTARA ANWAR IBRRAHIM, KARTIKA SARI DEWI DAN DR ROSLI

Tiba tiba isu permohonan Anwar Ibrahim, supaya kes tuduhan liwat beliau dibicarakan secara perundangan Islam kembali panas. Penyokong PKR, seperti yang tersiar dalam akhbar SUARA KEADILAN, menuntut supaya kes liwat Anwar hendaklah diselesaikan melalui pendekatan hukum syarak. Kehadiran tokoh ulamak terkenal Sheikh Yusuf Qardawi di Malaysia dipergunakan oleh PKR untuk menyuarakan pandangan ini. Sudah tentulah Sheikh Yusuf Qardawi akan bersetuju dengan pandangan tersebut.
2. Sebenarrnya ramai yang lupa, Anwar Ibrahim pernah memfailkan permohonan kes qazaf pada bulan Julai 2008 di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan. Ini berkaitan dengan kes liwat beliau. Di bawah perundangan Islam, sudah tentu sebarang pertuduhan memerlukan empat saksi yang melihat aksi tersebut berlaku. Oleh itu peluang Anwar memenangi kesnya lebih mudah.
3. Tetapi Mahkamah Syariah menangguhkan permohonan itu, sehinggalah kes Anwar selesai dibicarakan oleh mahkamah sivil yang akan bermula pada 25hb Januari 2010 ini. Anwar sudah tentu kecewa dengan keputusan itu. Perbicaraan di mahkamah biasa sudah tentu lebih rumit dan mencabar buatnya. Saya difahamkan YB Zulkifli Nordin ada berkata, PKR akan menghantar satu delegasi untuk mengadakan perbincangannya dengan Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Islam Sedunia supaya pertuduhan liwat terhadap Anwar di bawa ke peringkat antarabangsa dan menuntut kes itu diselesaikan secara perundangan Islam.
4. Isu yang berbangkit di sini ialah, kenapa PKR dan Anwar mahu kes ini dibicarakan menggunakan perundangan Islam. Memang sukar pihak pendakwa untuk mencari empat saksi utama. Mengikut Islam syarat untuk menjadi saksi amat ketat. Saya yakin inilah alasan utama mereka memilih undang undang Islam. Anwar boleh menang tanpa perlu dibicara. Kerana sukar mencari 4 saksi utama.
5. Persoalannya, apakah Pengerusi DAP, Karpal Singh akan bersetuju untuk dilaksanakan satu perbicaraan yang mengikut al Quran dan al Sunnah, sedangkan Mahkamah Tinggi Jenayah di Kuala Lumpur sudah pun menetapkan 25 Januari hingga 24 Febuari 2010 sebagai tarikh bermulanya perbicaraan? Bukankah Karpal Singh pernah berkata langkah mayatnya terlebih dahulu, sebelum dilaksanakan hukum Islam di Malaysia? Qazaf adalah satu daripada hukum Hudud dalam Islam.
6. Saya juga hairan dengan pendirian Anwar sebelum ini. Pada 18hb Julai 2009, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan telah menjatuhkan hukuman 6 kali sebatan ke atas Kartika Sari Dewi kerana minum arak di khalayak ramai. Hukuman sebat ini adalah mengikut kaedah syarie. Kenapakah Anwar memperlekehkan hukuman yang telah diputuskan ini? Rujuk bukti ini di http://video.aol.co.uk/video-detail/anwar-tak-setuju-kartika-dirotan/3775182011. Kartika setuju dia dihukum secara Islam. Tetapi Anwar tidak setuju. Dia mempolitikkan isu Kartika, kerana ada benefit politik. Dia tidak peduli pun soal hukum Islam.
7. Dan apa pula agaknya pendirian PKR dan Anwar termasuk di negeri negeri yang mereka perintah, jika ada penjenayah, termasuk perompak bank, perogol dan perasuah yang beragama Islam menuntut supaya mereka dibicarakan mengikut al Quran dan as Sunnah (yang memerlukan 4 saksi utama yang melihat aksi jenayah ketika merogol dan merompak) dengan alasan mereka juga mempunyai hak dari segi syariah untuk mempertahankan diri? Jika Anwar mendapat hak ini, kenapa tidak dengan penjenayah penjenayah lain. Sanggupkah YB Zulkifli Nordin bawa kes ini juga ke peringkat antarabangsa?
8. Kenapa agaknya dalam kes tuntutan penyokong penyokong Anwar Ibrahim ini, PAS yang selama ini memperjuangkan Hukum Hudud di Malaysia hanya mendiamkan diri? Apakah mereka tidak bersetuju kes Anwar dibicarakan mengikut perundangan Islam? Mungkin itu sebabnya Dr. Rosli, bekas Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan tidak mahu mengiktiraf keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu ke atas dirinya yang telah dibuat pada 21hb Disember 2009 yang lalu. Dia diperintah bermufarakah dengan isterinya. Tetapi rupanya penyokong kuat Husam ini bukan kecik anak. Pada 22hb disember mereka bernikah pula di Selatan Thailand dan terus menghilangkan diri tanpa hormat kepada ibu bapa, apatah lagi mahkamah syariah. Apakah ini ajaran Islam? Kenapa pemimpin PAS mendiamkan diri.
9. Kesimpulannya, semuanya kerana politik. Sebab itu konvensyen Pakatan Rakyat yang baru lalu hanya retorik. Mereka tidak berani pun untuk menyentuh perkara perundangan Islam. Maka bagaimana Pakatan Rakyat bersedia untuk didaftarkan, jika tidur sama bantal tetapi mimpi lain lain. Pakatan Rakyat diyakini lebih tertekan apabila UMNO nanti melancarkan gagasan baru ' UMNO JUARA RAKYAT' pada 9 januari ini, sedangkan PKR hanyalah parti 'JUARA INDIVIDU' iaitu Anwar Ibrahim. Sebab itu Zulkifli Nordin terpaksa pergi ke peringkat antarabangsa, hanya untuk memperjuangkan nasib 'individu' ini. Inilah dilema PAS dan DAP.