Thursday, July 23, 2009

Bahasa etnik subjek elektif?

KOTA KINABALU - Kerajaan bersedia menyenaraikan bahasa etnik dan Orang Asli seperti Iban, Kadazandusun dan Semai sebagai subjek elektif di sekolah tambahan kepada beberapa bahasa antarabangsa yang boleh dipelajari kini.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, langkah itu bertujuan mengiktiraf kepentingan bahasa pelbagai kaum di negara ini setanding bahasa asing seperti Perancis, Jerman dan Jepun.
Bagaimanapun beliau menegaskan, keputusan itu bergantung kepada kesediaan guru untuk mengajar bahasa berkenaan.
''Kerajaan sedia membantu kerana untuk menyediakan buku teks, memang kita sudah ada kemampuan.
''Untuk bahasa antarabangsa seperti Perancis dan Jepun memang sudah diperkenalkan di sekolah berasrama penuh," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan buku Puralan Boros Kadazandusun Id Sikul (Pelajaran Bahasa Kadazandusun di Sekolah) di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Normah Gagoh dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Bahasa Kadazandusun, Tan Sri Simon Sipaun.
Mohd. Puad berkata, berdasarkan trend semasa, pengajaran bahasa etnik sebagai subjek elektif masih belum menyeluruh dan hanya bertumpu di kawasan atau daerah yang mempunyai ramai penutur bahasa berkenaan.
Bagaimanapun beliau menambah, pengajaran bahasa Kadazandusun sebagai subjek elektif telah menunjukkan peningkatan apabila seramai 700 pelajar yang mengambil kertas ujian bahasa berkenaan akan menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) Oktober ini.
''Mereka merupakan sebahagian daripada kira-kira 20,000 pelajar di negeri ini yang mengambil subjek Bahasa Kadazandusun sebagai elektif," katanya.
Berdasarkan statistik, Sabah kini mempunyai seramai 17,000 murid mengambil subjek Bahasa Kadazandusun di 205 sekolah kebangsaan manakala, 1,900 pelajar di sekolah menengah.
Selain itu, terdapat sebanyak 701 guru subjek Bahasa Kadazandusun kini bertugas di 621 sekolah rendah dan 80 sekolah menengah di negeri ini.
Sementara itu Mohd. Puad berkata, Kesusasteraan Inggeris yang akan diperkenalkan pada sesi persekolahan Januari depan diyakini lebih berkesan melahirkan pelajar fasih berbahasa Inggeris berbanding pelaksanaan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Ini kerana, jelasnya, subjek itu menjurus kepada 'didik hibur' yang lebih diminati pelajar dan dengan sendirinya memudahkan mereka mendalami bahasa antarabangsa itu.

Tuesday, July 21, 2009

Perlu aktif kokurikulum

ARAU - Para pelajar digesa supaya terlibat secara aktif dalam kegiatan kokurikulum sekolah agar dapat mempersiapkan diri dengan semangat juang yang tinggi dan lebih bermotivasi.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kewujudan golongan pelajar yang hanya menumpukan terhadap akademik semata-mata tanpa menghiraukan kegiatan kokurikulum hanya mewujudkan generasi yang 'mati sebelah tubuh'.
Katanya, kewujudan golongan yang hanya menjadi ulat buku tanpa menghiraukan kegiatan kokurikulum merupakan perkara yang tidak sihat kerana mereka tidak mempunyai daya saing yang tinggi.
''Sebab itu sejak tahun 2005 kementerian mengambil kira 10 peratus penglibatan pelajar dalam kokurikulum untuk memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
''Ini merupakan sebahagian transformasi kementerian yang tidak mahu pelajar hanya menumpukan perhatian kepada peperiksaan semata-mata kerana kita tak mahu mewujudkan pelajar yang 'mati sebelah tubuh' iaitu seperti hanya menggunakan satu anggota sahaja," katanya di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kokurikulum Matrikulasi 2009 (KAKOM 2009) di Kolej Matrikulasi Perlis di sini.
Lebih 1,000 pelajar matrikulasi seluruh negara terlibat dalam karnival tersebut yang berlangsung sehingga esok.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Puad berkata, pelajar matrikulasi merupakan golongan terpilih yang disediakan kementerian bagi pengkhususan dalam bidang kritikal seperti doktor, jurutera dan dalam bidang farmasi.
''Oleh itu pelajar matrikulasi perlu mempersiapkan diri dengan ciri-ciri yang lebih berketerampilan termasuk bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum yang ternyata boleh mewujudkan daya saing yang tinggi.
''Sejak 2003 sehingga tahun lalu, sebanyak 97,817 pelajar Melayu dan 9,743 bukan Melayu dipilih untuk melanjutkan pelajaran di sembilan kolej matrikulasi di seluruh negara,''

Monday, July 20, 2009

Puad Zarkashi bimbang wujud generasi "mati sebelah tubuh"

ARAU — Kewujudan generasi “mati sebelah tubuh” yang berpunca daripada ketaksuban para pelajar yang hanya berjuang untuk lulus peperiksaan akan merugikan negara, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.
Katanya, sikap pelajar menjadi “ulat buku” tanpa mengambil kira kepentingan kokurikulum perlu dihentikan supaya mereka tidak dianggap mati sebelah tubuh.
“Jika diibaratkan mati sebelah tubuh, mereka hanya dapat gunakan separuh anggota tubuh. Contohnya, mata ada dua tapi hanya dapat guna satu sahaja,” katanya.
Sikap kumpulan pelajar seperti itu banyak didorong ibu bapa mereka supaya lebih mengutamakan kecemerlangan akademik tanpa memikirkan kepentingan kokurikulum, katanya kepada para pemberita selepas merasmikan Karnival Kokurikulum Matrikulasi 2009 (KAKOM 2009) di Kolej Matrikulasi Perlis di sini malam tadi, Beliau berharap para pelajar tidak lagi mengabaikan kokurikulum yang kini menjadi sebahagian daripada asas pemilihan untuk ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Katanya kegiatan kokurikulum kini menjadi asas penilaian penting dan para pelajar matrikulasi juga telah diterap dengan semangat menyeimbangi keperluan akademik dan kokurikulum.
Puad berkata sejak 2003 sehingga tahun lalu, sebanyak 97,817 pelajar Melayu dan 9,743 bukan Melayu telah menyertai sembilan kolej matrikulasi di seluruh negara.
Mereka telah didedahkan dengan kegiatan-kegiatan kokurikulum dan kebolehan mereka antara lain dipaparkan pada KAKOM.
Sementara itu, pelbagai acara berlangsung sepanjang karnival lima hari yang disertai lebih 1,000 peserta itu termasuk sukan, kesenian dan pidato

Laranganbawa telefon bimbit diketat


KUANTAN - Golongan pelajar dilarang membawa telefon bimbit ke sekolah bagi mengelak sebarang perlakuan negatif mereka dirakam seterusnya disebarkan di Internet.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zarkashi berkata, kerajaan akan mengetatkan peraturan sedia ada terutama dalam memastikan alat komunikasi itu tidak lagi dibawa ke sekolah bagi mengelakkan gejala itu berterusan.
Katanya, kementerian melalui Jabatan Pelajaran di setiap negeri telah meminta ibu bapa turut memantau anak masing-masing daripada melakukan perkara itu.
''Pemantauan yang berterusan dapat mengelakkan segala perlakuan negatif di sekolah daripada menjadi tatapan umum,'' ujarnya ketika mengulas rakaman aksi pergaduhan pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Dungun, Terengganu baru-baru ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutup Festival Nasyid Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran Peringkat Kebangsaan Kali Keenam.
Tegas Puad, kementerian memandang serius kejadian tersebut kerana pelajar perempuan berkenaan bukan sahaja bergaduh malah merakamkan aksi tersebut dan menyebarkannya di Internet.
''Saya sendiri terkejut dengan perlakuan pelajar berkenaan kerana di sekolah setiap pelajar tidak dibenarkan membawa alat telekomunikasi seperti telefon bimbit,'' ujarnya.
Puad berkata, pihaknya bimbang gejala negatif pelajar masa kini yang sering disebarkan melalui Internet.
Ini kerana jelasnya, tindakan menyebarkan perlakuan jenayah pelajar yang lengkap berpakaian sekolah di Internet akan memberikan gambaran negatif terhadap pelajar di negara ini.
Sementara itu, kumpulan Izdan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Muar, Johor muncul johan kategori Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) manakala johan kategori Sekolah Kebangsaan (SK) pula diraih Kumpulan Soutul Imtiaz dari SK Bandar Pusat Jengka dekat sini.

j-QAF akan diperluas ke sekolah menengah


KUANTAN - Kerajaan akan menaik taraf guru-guru agama lepasan diploma ke peringkat ijazah dalam usaha memperluaskan pengajaran Jawi, al-Quran, Arab dan Fardu Ain (j-QAF) ke peringkat sekolah menengah tidak lama lagi.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zarkashi berkata, usaha itu diambil selepas mendapati program J-QAF memberi perkembangan positif kepada pelajar dalam penguasaan tulisan jawi dan bacaan al-Quran.
Menurut beliau, sejak program itu diperkenalkan pada tahun 2005 hingga Jun 2008, kira-kira 95.9 peratus murid tahun tiga di seluruh negara berjaya menguasai asas jawi dengan baik.

SKM tetap tidak ditutup

Dr. Mohd. Puad Zarkashi (dua dari kiri) bertanya sesuatu kepada Nur Hidayatul Emi Nadia Mat Zainal Abidin,10, satu-satunya murid Melayu di sekolah aliran Cina semasa melakukan lawatan ke Sekolah Jenis Kebangsaan, Cina, Yeong Hwa di Lenggong ,Perak

LENGGONG - Kerajaan tetap dengan pendirian tidak menutup sekolah kurang murid (SKM) di seluruh negara sebaliknya akan mencari jalan bagi mengatasi masalah berkenaan.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, antara yang difikirkan sesuai membina semula sekolah di kawasan baru yang mempunyai ramai penduduk dan amat memerlukan kemudahan itu.
''Kita akan dirikan sekolah di kawasan yang ada ramai anak bersekolah dan kerajaan akan terus membantu sekolah-sekolah bantuan modal termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil (SJKC dan SJKT).
''Tambahan pula pembinaan sekolah baru sekarang tidak memakan masa terlalu lama kerana kita sudah menggunakan teknologi sistem binaan industri (IBS), sekolah boleh siap dalam tempoh tujuh bulan sahaja dengan kualiti lebih baik berbanding sistem pembinaan konvensional," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat tiga sekolah daif iaitu SJKT Ladang Kota Lima, Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Ahmad dan SJKC Yeong Hwa di sini hari ini.
Mohd. Puad berkata, pada masa sama, kerajaan juga sedang mengkaji untuk menyediakan tambang untuk pelajar SKM supaya mereka dapat belajar di sekolah lain yang lebih selesa.
Beliau bagaimanapun berkata, langkah berkenaan hanya akan dilaksanakan sekiranya kosnya lebih murah daripada kos penyelenggaraan sekolah seperti gaji guru dan pembayaran bil bulanan.
''Langkah tersebut boleh dilaksanakan bagi SKM yang hanya ada seorang murid dengan enam orang guru. Kalau kos tambang lebih jimat berbanding gaji guru dan sebagainya maka kita boleh laksanakan," katanya.
sambil menambah 70 peratus daripada SKM adalah SJKT.
Beliau memberitahu kebanyakan sekolah daif seperti di SJKT Ladang Kota Lima sepatutnya dipindahkan ke lokasi baru supaya pelajarnya dapat belajar dengan lebih selesa.
Jelas beliau, sekolah itu yang hanya mempunyai 59 murid telah memaksa guru menggabungkan murid darjah satu hingga darjah tiga dalam satu kelas selain menumpang di kuil berhampiran bagi aktiviti perhimpunan dan menikmati makanan.
''Lokasinya pula sangat membahayakan pelajar jika berlaku kebakaran kerana terlalu rapat dengan bangunan lain malah sekolah itu juga kerap dilanda banjir, jadi saya fikir lebih baik sekolah itu dipindahkan," katanya.
Beliau menambah, pihak kementerian sudah membelanjakan sebanyak RM50 juta melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua bagi menaik taraf dan menyelenggara sekolah-sekolah daif seluruh negara.

Thursday, July 16, 2009

Kesusasteraan Inggeris diajar semula di sekolah rendah, menengah tahun depan

KOTA KINABALU - Kerajaan akan memperkenalkan semula mata pelajaran Kesusasteraan Inggeris di sekolah rendah dan menengah tahun depan bagi memantap penguasaan pelajar dalam bahasa itu.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, langkah tersebut selaras dengan pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) baru-baru ini.
''Langkah ini tepat pada masanya kerana Sains dan Matematik tidak akan diajar lagi dalam bahasa Inggeris, jadi kita memperkenal semula mata pelajaran Kesusasteraan Inggeris,'' katanya.
Beliau berucap pada Persidangan Profesionalisme Pengelola Sekolah-sekolah Malaysia (PPSSM) 2009 kali ke-31 di Hotel Beverly, di sini semalam.
Mohd. Puad berkata, usaha lain yang akan dilakukan kerajaan bagi meningkatkan penguasaan bahasa tersebut termasuk mengambil 600 guru pencen secara kontrak dan 1,000 guru asing dari Australia dan Britain.
Menurutnya, ketika ini, terdapat 38,000 guru bahasa Inggeris di seluruh negara dengan hanya 900 orang guru pakar dalam bahasa berkenaan.
Beliau memberitahu, daripada jumlah tersebut, 600 orang ditempatkan di sekolah menengah sementara bakinya di sekolah rendah.

Wednesday, July 15, 2009

Kerajaan tidak akan teruskan dasar PPSMI

KOTA KINABALU - Kerajaan tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak yang mahu dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diteruskan.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pemansuhan dasar itu dibuat setelah kajian terhadap keberkesanan pelaksanaannya dilakukan.
"Ini bukan keputusan yang dibuat dalam masa sehari, langkah ini diambil untuk kepentingan rakyat, buat apa kita teruskan dasar yang kurang berjaya.
"Contohnya kita lihat pencapaian Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sejak dilaksanakan pada 2003, telah jatuh daripada 85 peratus kepada 83 peratus," katanya.
Beliau berucap pada Persidangan Profesionalisme Pengelola Sekolah-sekolah Malaysia (PPSSM) 2009 kali ke-31 di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak termasuk media massa supaya berhenti memainkan isu tersebut kerana keputusan muktamad sudah dibuat untuk kepentingan semua.
Sementara itu, katanya, semua sekolah baru yang dirancang di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) tetapi tidak sempat dibina, akan diberi keutamaan dalam RMK-10.
Puad berkata, bagi mengatasi keperluan tersebut, sekolah kabin akan dibina bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran tidak terganggu.
"Di Sabah, beberapa sekolah baru tidak dapat dibina adalah kerana masalah tanah dan peruntukan seperti beberapa sekolah di Sukau, Kinabatangan dan Kudat," katanya.
Dalam perkembangan lain, kementeriannya sedia menimbang permintaan PPSSM supaya elaun khas diberi kepada para pengelola kerana mereka tidak pernah menikmati kemudahan tersebut.
Katanya, insentif itu adalah wajar kerana tugas dan tanggungjawab pengelola yang berat malah kadang kala terpaksa bertugas sepanjang minggu.

Tuesday, July 14, 2009

105 pelajar cemerlang SMKA JB terima anugerah

JOHOR BAHRU - Seramai 105 pelajar cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Johor Bahru di sini menerima Anugerah Cemerlang kelmarin.
Selain itu seramai 40 pelajar cemerlang tingkatan 1, 2 dan 4 tahun 2008 turut menerima penghargaan yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi.
Turut menerima Anugerah Ibnu Khaldun ialah Aiman Afiq Mohd. Shah, 18, pelajar terbaik SPM dan Ahmad Uzair Johan, 18, menerima Anugerah Al-Bukhari kerana kecemerlangannya dalam kepimpinan, akademi dan sahsiah secara keseluruhan.
Sementara itu, Nurul Khamisyatul Syafiqah Abd. Razak, 18, yang kini menuntut di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Nilam Putri, Kelantan dipilih sebagai penerima Anugerah Aisyah Al-Humara.
Pengetua SMK Agama Johor Bahru, Mariam Ibrahim berkata, pencapaian serta kejayaan yang diraih sepanjang tahun lalu adalah hasil kesepaduan pemikiran, perancangan dan tindakan seluruh warga pendidik dan pelajar sekolah berkenaan.
"Kecemerlangan yang diraih memerlukan pengorbanan, komitmen dan perancangan yang baik. Kecekalan dan kesungguhan dalam menimba ilmu di samping bergiat aktif serta memberikan komitmen yang baik dalam semua aktiviti kurikulum dan kokurikulum dapat melahirkan pelajar yang hebat dan mantap," katanya.
Menurutnya, para pelajar perlu berbangga kerana kejayaan yang diraih setanding dengan pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK).
Dalam pada itu, Mohd. Puad dalam ucapannya berkata, kini ramai ibu bapa yang 'berlumba-lumba' menghantar anak mereka ke sekolah agama sehingga ada yang terpaksa menggunakan surat sokongan kerana kemasukan yang terhad.
Bagi mengatasi masalah tersebut, kerajaan bercadang menambah sekolah menengah agama dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).
"Sekarang ini nak masuk SMK Agama saingan sengit dan ada yang terpaksa minta surat sokongan. Ramai ibu bapa yang sudah melihat kecemerlangan sekolah agama.
"Kerajaan akan mempertimbangkan keperluan untuk membina sekolah agama sejajar dengan permintaan. Ini kerana sekolah agama bukan sahaja melahirkan pelajar cemerlang akademik tapi pembentukan modal insan yang seimbang."

Timbang guru aktif berpolitik

PUTRAJAYA - Guru- guru Kumpulan A dipertimbangkan untuk aktif semula dalam politik termasuk memegang jawatan setelah hampir dua dekad tidak dibenarkan berbuat demikian.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zarkashi berkata, pihaknya sedang menjalankan kajian berhubung kebaikan dan implikasinya jika kelonggaran yang dimansuhkan sebelum ini itu dikembalikan.
Menurutnya, kajian itu dibuat berikutan permintaan pertubuhan-pertubuhan guru agar mereka dibenarkan memegang jawatan dalam politik untuk bersama-sama membantu kepimpinan politik tempatan.
''Dalam pertemuan dengan kira-kira 26 pertubuhan utama guru bulan lalu, mereka mengemukakan resolusi agar guru dibenarkan berpolitik.
''Pertubuhan yang antaranya terdiri daripada Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Majlis Guru-Guru Besar dan Majlis Pengelola Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) berhujah mengenai ketandusan pimpinan politik tempatan untuk bergiat aktif di kalangan masyarakat.
''Dan mereka minta hanya kumpulan berjawatan DG41 sahaja dibenarkan dan bukannya guru besar atau pengetua," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia dalam pertemuan di pejabatnya di sini hari ini.
DG41 merupakan pangkat untuk guru siswazah yang telah disahkan dalam jawatan.
Puad berkata, banyak perkara perlu dipertimbangkan jika guru dibenarkan berpolitik antaranya dikhuatiri akan berlaku penyebaran ideologi oleh pihak tidak bertanggungjawab.
''Apa akan jadi jika wujud dua kumpulan yang bertentangan ideologi, kesannya kepada pelajar cukup kritikal tetapi pada masa sama kita tidak dapat nafikan ketandusan kepimpinan politik tempatan.
''Apa pun kita akan buat kajian untuk mempertimbangkan perkara ini," katanya.
Cadangan supaya guru dibenarkan aktif semula dalam politik pernah dibangkitkan pada 1996 oleh UMNO kerana guru dikatakan asas kepimpinan intelektual yang penting di peringkat akar umbi.
Ketika itu disarankan agar kira-kira 50,000 guru Kumpulan A yang menjadi ahli UMNO boleh bergiat aktif dan memegang jawatan dalam parti.
Namun kelonggaran yang dicadangkan itu tidak melibatkan pengetua sekolah, pengawai pendidikan daerah dan pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
Bagaimanapun Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang bermesyuarat kemudian membuat keputusan mengekalkan status quo sedia ada.

Pemimpin jangan egoistik

UTUSAN MALAYSIA: Ada pihak melihat pemansuhan PPSMI seolah-olah menjadikan murid bahan uji kaji?
DR. PUAD: Kalau hendak kata pelajar jadi bahan eksperimen, itu tidak betul. Ini kerana pendidikan adalah satu proses berterusan di mana kita perlu tingkatkan tambahan nilai pada sistem pendidikan kita. Maka, ia perlu dilakukan pembaharuan demi pembaharuan, transformasi demi transformasi, pembaikan demi pembaikan berasaskan kepada tuntutan semasa.
Kita mesti responsif kepada tuntutan semasa dalam membangunkan kualiti pendidikan negara, kita tidak boleh statik. Jika didapati tidak berkesan, maka perlu lakukan pembetulan.
Saya yakin PPSMI bertujuan meningkatkan penguasaan ilmu dan bahasa Inggeris (BI) di kalangan pelajar supaya pendidikan kita semakin berkualiti. Namun kita kena terima hakikat jika tidak berjaya, kita kena perbaiki.
Pendidikan maksudnya kita tidak boleh mengorbankan pelajar itu sendiri jika satu dasar itu tidak berjaya dan kita tidak boleh korbankan masa depan pelajar, jika kita tidak mencuba suatu yang baru.
Berdasarkan kajian terakhir PPSMI, kita dapati pencapaian akademik murid minimum bahkan tidak dilaksanakan pun PPSMI. Memang betul saya melawat sekolah-sekolah luar bandar atau di bandar pun saya dengar mereka ajar dwi bahasa, tidak ajar sepenuhnya dalam BI.
Mengapa kita tidak menerima hakikat ini bahawa mesti dilakukan pembetulan, kalau tidak pelajar jadi mangsa iaitu sudahlah hanya lapan peratus guru mengajar sepenuhnya PPSMI dan kebanyakan dwi bahasa, sekarang ini ada sesetengah sekolah bahkan di luar bandar guna bahasa Melayu.
Saya pergi pedalaman Sabah dan Sarawak. Di kementerian, diperkenalkan Pedalaman 1 (P1), Pedalaman (P2) dan Pedalaman (P3). Guru yang mengajar di P1 akan terima elaun RM500, P2 (RM1,000) dan P3 (RM1,500). Namum, realitinya saya tidak jumpa di sekolah tersebut yang ajar PPSMI malah dalam BI campur pun tidak jumpa.
Benarkah dalam PPSMI, murid hendak memahami soalan Matematik pun payah, inikan pula mahu menjawab dengan betul?
Berdasarkan kajian, pencapaian ternyata merosot di sekolah rendah daripada 85.1 peratus untuk subjek Sains jatuh kepada 82 peratus. Demikian juga Matematik di sekolah rendah atau menengah, semuanya jatuh.
Didapati pelajar tidak jawab pun dalam BI. Dan kita bimbang kegagalan itu berpunca apabila dia tidak faham guru mengajar bercampuraduk bahasa.
Sebab itu saya risau melihat mereka yang menyokong PPSMI. Apa motif sebenar mereka? Adakah kerana ilmu? Kalau kerana ilmu, lebih baik kita belajar dalam bahasa ibunda yang lebih mudah kita faham. Macam kita belajar al-Quran, adakah kita belajar al-Quran, kita kena faham bahasa Arab sebab al-Quran itu bahasa Arab.
Hakikatnya, lebih mudah kita ajar dalam bahasa kita, maka baru kita boleh belajar al-Quran dengan betul apatah lagi untuk memahami tafsirnya.
Kadang kala kita salah dari segi berhujah. Kita dapati keputusan sekolah kebangsaan jatuh menjunam sedangkan SJKC naik mendadak, sebab sekolah mereka guna Mandarin, langsung tidak guna BI.
Jadi, saya ingin mencabar andaian bahawa penguasaan BI pelajar meningkat kerana PPSMI. Adakah mereka fasih BI kerana belajar Sains dan Matematik dalam BI. Majoriti anak bangsa kita tidak dapat kuasai BI dengan baik. Banyak kekurangan guru BI di luar bandar, guru tidak mencukupi dan latihan guru tidak ditingkatkan.
Jadi, bila sebut bilingualism kalau tengok contoh negara yang menjadikan bilingualism sebagai bahasa rasmi mereka seperti di Cameroon yang menjadikan BI dan Perancis sebagai bahasa rasmi, namun negara mereka tidak maju pun. Sama seperti di Surinam yang menjadikan BI dan bahasa Belanda sebagai bahasa rasmi. Adakah kedua-duanya negara maju.
Adakah PPSMI dipraktikkan di negara lain?
Saya tidak pasti, namun UNESCO menetapkan seseorang itu mesti diajar dalam bahasa ibunda mereka. Di Jepun, diajar dalam bahasa Jepun sebab ia lebih mudah. Dan siapa kata Jepun tertinggal dalam pelajaran. Di universiti negara ini yang bermula 1983, kita gunakan sepenuhnya dalam BM dan ini melahirkan ribuan doktor dan jurutera. Apakah mereka ini gagal menjadi pakar yang berjaya?
Kita berbelanja RM5 bilion untuk tingkatkan penguasaan BI dan kerana ilmunya? Lebih baik kita tingkatkan BI dengan mengambil guru berkualiti. Sebab itu kita nak ambil 1,000 guru dari luar negara dan bersara untuk mengajar subjek ini.
Apakah masalah makro yang sangat ketara dalam PPSMI?
Guru yang mengajar pun tidak dapat menguasai BI dengan baik, jadi macam mana nak ajar Sains dan Matematik kalau dia sendiri tidak fasih. Penguasaan BI di kalangan guru amat rendah walaupun kita berikan elaun khas kepada guru PPSMI.
Dan kita dapati mereka tidak menggunakan wang tersebut untuk tingkatkan penguasaan BI (peruntukan 10 peratus diberi untuk guru sekolah menengah serta 5 peratus sekolah rendah). Daripada jumlah gaji mereka sebulan, kita belanjakan hampir RM4 juta setahun untuk membayar elaun tersebut.
Saya tidak mahu berhujah telah berlaku pembaziran - kerana pembaziran akan berlaku jika kita meneruskan (PPSMI) setelah kita dapati ia tidak berjaya. Untuk pendidikan, adalah lebih baik kita berbelanja. Ia bukan suatu bentuk pembaziran tetapi pelaburan untuk pendidikan anak-anak.
Pemansuhan PPSMI ibarat membuka lembaran baru, bermaksud orang dalam kerajaan kini sudah berani berkata tidak, jika mereka nampak sesuatu dasar itu tidak boleh diteruskan?
Ya, sebenarnya ini dikatakan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Bila kita buat keputusan mansuhkan PPSMI, kita tidak sebut pun pemansuhan tetapi soal memartabatkan BM serta memperkukuhkan BI.
Kita buat keputusan penuh bertanggungjawab kerana contohnya kita akan mansuhkan pada 2012. Bukannya kita buat keputusan hari ini, esok kita tutup terus. Kita akan benarkan kohort sedia ada hingga 2012.
Apa pun, saya hairan dengan kenyataan yang dibuat oleh Sasterawan Negara, Datuk A.Samad Said (yang menolak pemansuhan PPSMI sebaliknya menyifatkan sebagai penangguhan sementara). Adakah dia hanya dinilai kerana dia menulis cerpen atau novel dengan baik.
Dia mestilah seseorang yang mempunyai minda dan jiwa terbuka, berfikiran matang dan strategis dalam memahami tuntutan semasa dan memahami hikmah. Saya baca kenyataan dia semalam itu. Apa maksud dia? Dia juga berkata orang yang mengamalkan PPSMI sebagai peludah bahasa.
Adakah itu ciri-ciri Sasterawan Negara sedangkan pendirian kita jelas. Kita penuh hikmah dan strategi. DBP juga akan diperkasakan untuk menterjemahkan buku-buku ilmu. Jangan kerana ada dua kertas dalam nano teknologi, kita tidak boleh guna bahasa Melayu. Akhirnya nanti, kita tidak boleh puaskan hati semua.
Bagaimana pula dengan kedudukan elaun guru PPSMI?
Ia sedang dikaji oleh pihak kementerian. Mungkin sementara proses ini sedang berjalan, maka elaun guru masih berjalan kerana dasar PPSMI ini tamat berkuat kuasa 2012.
Selepas ini kerajaan kenalah buang sikap ego kalau sesuatu dasar itu memang terbukti tidak berjaya?
Ya, kerana sesuatu yang berkaitan dengan pendidikan kita memang tidak boleh bersikap egoistik bahawa apa yang kita buat itu selama-lamanya betul atau benar. Sebab itu kalau dulu kita belajar BI dengan tata bahasa, kemudian BI berbentuk komunikasi dan nampak ia berjaya.
Namun, kita tidak boleh ego bahawa selamanya hendakkan BI komunikasi. Sebab itu kita nak wujudkan makmal bahasa di sekolah seperti di universiti mengajar BI dengan pendekatan modul keseronokan bahasa seni supaya mereka belajar dengan seronok, di samping kita tingkatkan keupayaan institut perguruan kita untuk melahirkan guru BI.
Dalam tempoh enam tahun pelaksanaan PPSMI ini, apakah mesej daripada golongan guru?
Ya, kajian mendapati guru-guru sendiri tidak menyokong kerana mereka sukar mengajar dalam BI. Bulan lalu, saya pergi ke perjumpaan guru dan apabila saya sebut PPSMI akan dimansuhkan, mereka semua bertepuk tangan. Saya tidak tahu mereka tidak sokong pun sebab mereka berada di medan sebenarnya iaitu hanya dilatih mengajar Sains dan Matematik dalam BM bukannya BI.
Mungkin peranan guru akan lebih mencabar dan besar selepas ini?
Sebenarnya telah banyak kerajaan usahakan untuk memartabatkan golongan guru seperti menyediakan elaun guru pedalaman atau elaun kesusahan untuk dia pergi ke tempat mengajar. Maksudnya dia nak keluar mengajar ke pedalaman contohnya di Sekolah Menengah Kebangsaan Abai, Sabah. Bila sudah masuk ke situ, nak keluar payah.
Dia kena sewa bot orang kampung kalau nak pergi ke pekan dan kena bayar tambang bot pergi-balik sebanyak RM500. Ini mencabar tugas seorang guru.
Pernah saya berjumpa dengan lapan guru dari Semenanjung yang rumah mereka agak daif. Terus saya minta pihak berkuasa bina semula rumah mereka. Juga ada rumah guru yang berbantalkan beg pakaian saja sebab dia nak beli bantal pun satu masalah.
Di Mulu, Sarawak pula, saya temui bot yang digunakan untuk ke kedai yang datang sekali sekala. Dan sebaliknya apa yang berlaku ialah guru-guru di situ terpaksa pula berkongsi melalui guru besar yang pergi ke Miri untuk membayar denda kerana membawa barang lebih lima kilogram.
Sebenarnya tugas guru amat mencabar, justeru masyarakat kena tahu peranan guru. Masyarakat terlupa akan peranan guru sehingga timbul soal disiplin di kalangan anak masing-masing, disaman pula guru itu. Kita tahu tekanan dan emosi guru. Malaysia pada keseluruhan ada 385,000 guru. Sebab itu kita mahu memartabatkan peranan guru supaya kerjaya guru dilihat sebagai kerjaya yang bermartabat tinggi.
Agaknya jika Datuk tidak turun padang, bagaimanakah permasalahan guru diketengahkan ke pengetahuan kementerian?
Sebenarnya mungkin pegawai-pegawai tahu tetapi ada kalanya dalam soal pendidikan ini memerlukan political wheel seperti PPSMI. Saya yakin Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat keputusan berdasarkan political wheel leadership dan bukan kerana keputusan politik. Dan kerana kesungguhan politiklah sebagai contoh beliau melihat pelajar kita terlalu obses dengan pengambilan 20 subjek dalam SPM, maka dibuat keputusan cukup 10 subjek sahaja diambil selain wajib lulus BI.
Ramai mengakui bahawa pentadbiran sekarang ini lebih melihat kepada permasalahan rakyat yang mahu ia diketengahkan untuk penyelesaian awal?
Sebab itu pada saya, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai tanggapan politik yang tepat terutama apabila beliau buat keputusan. Seorang pemimpin mesti ada banyak idea kerana hasil idea itu sebenarnya dia akan cari jalan bagaimana nak pimpin negara, nak selesai masalah serta bagaimana nak fokus kepada apa yang nak dilakukan.
Kehebatan Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana beliau memiliki banyak idea dan begitu juga dengan Najib yang mempunyai banyak idea. Idea beliau bukan bertujuan populis tetapi idea yang berisi serta boleh diaplikasikan untuk kepentingan rakyat.
Adakah ini bermakna rakyat sekarang tidak lagi suka pemimpin yang retorik dan sloganis?
Saya sebenarnya kecewa ada yang tidak menyambut baik apabila Perdana Menteri menyatakan beliau ikhlas membuat itu dan ini. Saya yakin rakyat di peringkat bawah dan pertengahan suka benda ini (pembaharuan yang dilaksanakan).
Cuma saya tidak faham apabila ada yang bercakap kononnya orang UMNO ini nasionalisme. Apa yang saya faham tentang nasionalisme ini adalah juga yang memahami tentang Islam.
Saya tidak mahu menerima politik emosi tetapi politik hati nurani. Ia tidak menguntungkan sesiapa pun dalam soal meningkatkan martabat pendidikan, lebih-lebih lagi dalam memperkasakan orang Islam khususnya orang Melayu.

Monday, July 13, 2009

Pemansuhan tak jejas generasi muda

JOHOR BAHRU 11 Julai - Pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak akan menjejaskan masa depan generasi akan datang.
Timbalan Menteri Pelajaran. Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, penguasaan ilmu anak-anak lebih berkesan jika diajar dalam bahasa ibunda kerana yang penting adalah ilmu dan bukan bahasanya.
Beliau berkata, kajian menunjukkan peratusan keputusan para pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) dan Tamil (SJKT) meningkat dalam kedua-dua subjek tersebut kerana ia diajar dalam bahasa ibunda.
''Keputusan pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) semakin menurun kerana mereka diajar dalam dua bahasa. Sebenarnya penguasaan ilmu anak kita lebih berkesan jika diajar dalam bahasa ibunda kerana yang penting adalah ilmu dan bukan bahasanya," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Johor Bahru di sini hari ini.
Jelasnya, kerajaan tidak akan melayan kehendak golongan yang tidak setuju dengan pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris kerana masalah itu tidak akan selesai.
Sebaliknya, kata Mohd. Puad, kerajaan lebih memikirkan kesan dari segi jangka panjang setelah melihat hasil pelaksanaan PPSMI dan keputusan yang dibuat untuk kembali kepada asal adalah tepat pada waktunya.
''Sesiapa sahaja boleh memberi pendapat tidak setuju, tapi adakah mereka melihatnya secara menyeluruh. Segala keputusan yang dibuat adalah berdasarkan fakta dan bukan sekadar andaian seperti yang diutarakan oleh beberapa individu," katanya.

Friday, July 10, 2009

Hampir RM5b tingkat penguasaan bahasa Inggeris

KUALA LUMPUR 9 Julai - Kerajaan memperuntukkan hampir RM5 bilion bagi mengukuhkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah, kata Timbalan Menteri Pelajaran. Dr. Mohd. Puad Zarkashi.
Beliau memberitahu Dewan Negara hari ini bahawa kementerian sentiasa memberi latihan kepada guru mata pelajaran Bahasa Inggeris bagi memantapkan lagi penguasaan bahasa itu kepada murid sekolah.
"Kita akan menggunakan pelbagai modul seperti mendengar dan bercakap, modul penulisan dan modul seni bahasa yang akan menekankan tatabahasa. Kita akan betulkan penguasaan Bahasa Inggeris bukan setakat boleh bertutur tetapi menggunakannya dengan betul," katanya menjawab soalan Senator Datuk Samsiah Samsudin.
Mohd. Puad berkata, kerajaan juga bercadang untuk mengambil sejumlah 13,933 guru bahasa Inggeris sebagai satu daripada usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid.
Menjawab soalan Senator Zaitun Mat mengenai jumlah guru pakar dalam bahasa Inggeris yang disediakan kementerian di sekolah luar bandar, Mohd. Puad berkata, sehingga 9 Julai ini, terdapat 9,293 guru cemerlang dalam pelbagai gred jawatan dan bidang kepakaran.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 954 orang guru adalah guru cemerlang bahasa Inggeris dan 622 orang ditempatkan di sekolah menengah manakala 332 orang guru di sekolah rendah di seluruh negara sama ada di bandar ataupun di luar bandar," katanya.
Beliau berkata, kementerian berusaha memastikan khidmat kepakaran guru-guru itu tidak tertumpu di satu-satu sekolah atau kawasan sahaja tetapi diagihkan kepada semua sekolah.
Tambah beliau, langkah memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) berkuat kuasa tahun 2012 akan menjimatkan peruntukan kerajaan sebanyak RM40 juta setahun.
Jelasnya, penjimatan itu berlaku kerana kerajaan tidak perlu menyediakan peruntukan Bayaran Insentif Subjek Penting (BISP) kepada guru yang mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
''Sekarang pembayaran BISP adalah RM40 juta setahun membabitkan lima peratus daripada gaji pokok diberikan kepada guru lepasan universiti dan 10 peratus kepada guru bukan lepasan universiti.
''Ini adalah bagi membolehkan mereka membeli buku rujukan atau menghadiri tuisyen bahasa Inggeris," katanya.
Menurut Mohd. Puad, pemberhentian bayaran itu akan dilakukan kerana pihaknya mendapati hanya sebahagian kecil guru yang menerima BISP menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.

Kekejaman komunis diperinci

KUALA LUMPUR 9 Julai - Kementerian Pelajaran sedang mengkaji kemungkinan memperincikan segala kekejaman yang dilakukan oleh Parti Komunis Malaya (PKM) dan pemimpinnya dalam teks mata pelajaran Sejarah yang diajar di sekolah menengah.
Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kajian semula itu perlu dilakukan kerana Kurikulum Sejarah Sekolah Menengah Rendah (Semakan) yang mula dilaksanakan pada 2003 tidak lagi menyentuh kegiatan PKM secara terperinci.
''Ini disebabkan ada pandangan daripada individu, ahli politik dan badan-badan berkepentingan yang menyarankan agar kementerian tidak memberi fokus kepada pemimpin PKM dalam teks kandungan Sejarah di peringkat sekolah," katanya pada sidang Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Idris Buang yang bertanyakan sama ada mata pelajaran Sejarah akan dikaji semula agar memberi maklumat betul mengenai PKM dan bekas Setiausaha Agungnya, Chin Peng supaya pelajar tahu perbuatan membunuh, memperkosa dan menganiaya rakyat yang dilakukan pertubuhan haram itu.
Menurut Mohd. Puad, pihaknya akan mengkaji kemungkinan memperkenalkan semula Kurikulum Sejarah di bawah Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang dilaksanakan sebelum ini tetapi dihentikan setelah kementerian mewujudkan Kurikulum Sejarah Sekolah Menengah Rendah (Semakan).

Thursday, July 9, 2009

PPSMI dimansuh 2012

MUKTAMAD...Muhyiddin Yassin berkata sesuatu selepas mengumumkan keputusan Kabinet mengenai dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik pada sidang akhbar di Kementerian Pelajaran, Putrajaya, semalam. Turut hadir Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi (tengah) dan Ketua Pengarah Pelajaran, Alimuddin Mohd. Dom.



PUTRAJAYA 8 Julai – Mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mulai 2012.
Keputusan Kabinet hari ini mengubah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilaksanakan pada 2003.
Serentak itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan strategi untuk memartabatkan bahasa Melayu (MBM) serta memantapkan penguasaan bahasa Inggeris (MBI) di semua peringkat persekolahan.
Kerajaan juga menawarkan pendekatan baru dalam pengajaran Sains dan Matematik bagi meningkatkan keupayaan murid untuk menguasai kedua-dua cabang ilmu itu dan teknologi demi masa depan negara.
Kata beliau, keputusan memansuhkan PPSMI dibuat setelah kerajaan meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai dasar itu yang menunjukkan ia tidak dapat dilaksanakan seperti dihasratkan.
Justeru untuk memastikan pemansuhan itu tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti PPSMI, pengajaran dan peperiksaan untuk kedua-dua mata pelajaran itu akan dibuat dalam dwi bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada 2014.
“Pelaksanaan (sepenuhnya dalam bahasa Melayu) akan dibuat secara bertahap di tahun satu dan tahun empat di sekolah rendah dan tingkatan satu dan empat di sekolah menengah bermula pada 2012.
“Perubahan ini bagaimanapun tidak melibatkan tingkatan enam dan matrikulasi,” katanya pada sidang akhbar di sini.
Menurut Muhyiddin, pemantauan Kementerian Pelajaran tahun lalu mendapati hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.
Begitu juga secara purata peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53 hingga 58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.
Pada masa sama, kata beliau, peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar.
“Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus.
“Jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar semasa PPSMI dilaksanakan,” katanya.
Muhyiddin berkata, selain pemantauan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran, Laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam mata pelajaran Sains merosot daripada tangga ke-20 pada 2003 ke tangga ke-21 pada 2007.
“Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid merosot daripada tangga ke-10 pada 2003 ke tangga ke-20 pada 2007,” katanya.
Muhyiddin memberitahu, kajian universiti-universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal, iaitu tidak lebih tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI.
“Tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.
“Berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid iaitu bahasa Melayu di sekolah kebangsaan, bahasa Cina di SJKC dan bahasa Tamil (SJKT),” katanya.

Memartabat BM, memantap BI

Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Timbalannya, Dr. Puad Zarkashi dan Datuk Dr Wee Ka Siong semasa sidang akhbar pengumuman pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains menggunakan bahasa ibunda di Kementerian Pelajaran, Putrajaya, semalam


TEKS kenyataan akhbar Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai dasar memartabatkan bahasa Melayu, memantapkan bahasa Inggeris dan tawaran baru sistem pendidikan Malaysia di Putrajaya, semalam.
Muhyiddin Yassin bersama Timbalannya, Dr. Puad Zarkashi dan Wee Ka Siong semasa sidang akhbar pengumuman pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains menggunakan bahasa ibunda di Kementerian Pelajaran, Putrajaya, semalam.
KABINET hari ini meluluskan cadangan strategi Kementerian Pelajaran untuk memartabatkan Bahasa Malaysia dan memantapkan Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.
Strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran mengenai pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak dasar ini mula dilaksanakan pada tahun 2003.
Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran ingin mengumumkan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah kebangsaan akan dilaksanakan dalam Bahasa Malaysia. Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil pula akan dilaksanakan dalam bahasa ibunda masing-masing.
Keputusan Kabinet untuk pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik ini akan mula berkuat kuasa pada tahun 2012. Perlaksanaan akan diadakan secara bertahap di Tahun Satu dan Tahun Empat di sekolah rendah dan Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat di sekolah menengah bermula pada tahun 2012.
Perubahan ini bagaimanapun tidak melibatkan Tingkatan Enam dan Matrikulasi. Untuk memastikan pelaksanaan ini tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), pengajaran dan peperiksaan untuk kedua-dua mata pelajaran ini akan dibuat dalam dwi bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada tahun 2014.
Kerajaan mengambil keputusan ini setelah meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai PPSMI yang menunjukkan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan sebagaimana yang dihasratkan.
Apa yang dilaksanakan ialah PPSMI/BM, iaitu guru-guru mengajar pelajaran Sains dan Matematik dalam dwi bahasa, iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia. Pemantauan Kementerian Pelajaran pada tahun 2008 mendapati:
- Hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.
- Secara purata peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53-58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.
- Hanya sebahagian guru Matematik dan Sains di sekolah menengah dan rendah yang mengambil ujian Penilaian Tahap Profisiensi bahasa Inggeris pada tahun 2008 mencapai tahap profisiensi.
n Peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 telah merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar. Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar telah merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus.
- Jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar semasa PPSMI dilaksanakan.
Selain daripada pemantauan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran, Laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam mata pelajaran Sains telah merosot dari tangga ke-20 pada tahun 2003 ke tangga ke-21 pada tahun 2007. Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid kita telah merosot dari tangga ke-10 pada tahun 2003 ke tangga ke-20 pada tahun 2007.
Kajian universiti-universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal, iaitu tidak lebih tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI. Tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.
Berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin bahawa Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid, iaitu bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan, bahasa Cina di SJK(C) dan bahasa Tamil di SJK (T).
Kerajaan juga telah memutuskan agar pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan dimantapkan.
Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran akan melaksanakan langkah-langkah berikut untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid:
n Menambah bilangan guru bahasa Inggeris seramai 13,933 orang untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid. Ini termasuklah 1,000 orang guru luar negara, 600 orang guru bersara dan 12,333 guru tambahan daripada IPGM, IPTA dan IPTS. Keutamaan akan diberikan kepada sekolah luar bandar dan pedalaman untuk mendapatkan guru terbaik. Pihak Kementerian juga akan menyediakan guru penolong bahasa Inggeris gred DG 41 bagi kelas besar seperti kelas yang melebihi 35 murid di Tahun Satu dan Dua untuk meningkatkan 'contact time' antara guru dan murid.
n Peruntukan waktu bahasa Inggeris bagi SK Tahap I ditambah sebanyak 90 minit daripada 240 minit menjadi 330 minit seminggu manakala bagi tahap II ditambah sebanyak 90 minit daripada 210 minit menjadi 300 minit seminggu.
- Peruntukan waktu bahasa Inggeris bagi SJKC/T Tahap I ditambah 100 peratus iaitu daripada 60 minit menjadi 120 minit seminggu manakala bagi Tahap II ditambah sebanyak 30 minit daripada 60 minit menjadi 120 minit seminggu.
- Peruntukan waktu bahasa Inggeris bagi Tingkatan Satu hingga Enam ditambah sebanyak 80 minit daripada 200 minit menjadi 280 minit seminggu.
- Peruntukan waktu bagi MUET untuk Tingkatan Enam ditambah sebanyak 80 minit daripada 320 minit menjadi 400 minit seminggu.
- Peruntukan waktu bahasa Inggeris bagi Matrikulasi ditambah 100 peratus iaitu dari tiga jam menjadi enam jam seminggu.
- Program Sastera Kontemporari Kanak-Kanak Bahasa Inggeris diperkenalkan kepada semua murid Tahap II untuk mengukuhkan minat membaca di kalangan murid di samping memperkenalkan unsur-unsur sastera.
- Makmal bahasa Inggeris akan diwujudkan di sekolah-sekolah untuk memudahkan murid mempelajari bahasa Inggeris dengan lebih berkesan.
- Teknologi maklumat akan dimanfaatkan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris melalui penggunaan perisian komputer yang sesuai.
- Pelajaran tatabahasa Inggeris akan diberikan penekanan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.
- Untuk mendedahkan murid dengan istilah-istilah sains dan teknologi dalam bahasa Inggeris, elemen sains dan teknologi akan diserapkan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.
Selaras dengan hasrat untuk memartabatkan bahasa Malaysia, Kementerian Pelajaran akan melaksanakan transformasi kurikulum bahasa Malaysia di sekolah rendah dan menengah dengan memberi fokus kepada penguasaan asas kemahiran berbahasa di kalangan murid melalui pendekatan modular yang bersepadu, seimbang dan holistik.
Modul yang disediakan meliputi aspek kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis serta penguasaan tatabahasa dan seni bahasa. Pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa diberi penekanan dalam kurikulum BM sekolah rendah.
Di peringkat sekolah menengah, transformasi kurikulum bahasa Malaysia akan memberikan penekanan kepada penghayatan dan apresiasi aspek kesusasteraan Melayu di samping memantapkan kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis serta penguasaan tatabahasa dan seni bahasa.
Penekanan terhadap aspek Kesusasteraan Melayu bertujuan memperkayakan aspek kebahasaan di samping menonjolkan aspek pemikiran, nilai, budaya masyarakat Malaysia.
Dengan keputusan ini, kerajaan menawarkan pendekatan baru dalam pengajaran Sains, Matematik dan Bahasa Malaysia.
Kerajaan percaya akan dapat memartabatkan bahasa Malaysia, memantapkan penguasaan bahasa Inggeris dan meningkatkan keupayaan murid untuk menguasai ilmu sains dan teknologi yang amat penting untuk masa depan negara.

Hadkan subjek SPM tidak jejas pelajar agama

KUALA LUMPUR 8 Julai - Syarat mewajibkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengambil maksimum 10 mata pelajaran mulai tahun depan tidak akan menjejaskan pelajar aliran agama sains kerana mereka masih dibenarkan mempelajari subjek tambahan jika bukan untuk peperiksaan.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, langkah mengehadkan subjek itu selaras dengan matlamat kerajaan memastikan pelajar tidak belajar semata-mata untuk lulus peperiksaan.
"Dakwaan pembangkang bahawa langkah terbaru menjejaskan matlamat mewujudkan demokrasi dalam penguasaan ilmu adalah tidak benar kerana pelajar agama sains boleh belajar apa saja subjek jika bukan untuk tujuan peperiksaan.
"Adalah lebih baik pelajar menghayati sesuatu subjek bagi mendapat ilmu, bukan sekadar memikirkan untuk berjaya dalam peperiksaan dan mendapat sijil sahaja," katanya pada sidang Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Zainun Abu Bakar mengenai rasional kerajaan mengehadkan calon SPM supaya mengambil 10 mata pelajaran sahaja terutama pelajar aliran agama sains.
Langkah mengehadkan mata pelajaran itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 17 Jun lalu tetapi pelajar aliran agama sains dibenarkan mengambil maksimum 11 mata pelajaran pada tahun depan dan hanya perlu mematuhi peraturan baru itu mulai tahun 2011.
Sebanyak 11 mata pelajaran yang perlu diambil pelajar aliran agama sains ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah, Pengajian Syariah, Bahasa Arab Tinggi, Fizik, Biologi, Kimia dan Matematik Tambahan

Monday, July 6, 2009

BM juga bakal diwajibkan lulus peringkat kredit

KUALA LUMPUR - Kerajaan bersedia pada masa hadapan untuk mewajibkan pelajar lulus di peringkat kredit bagi subjek Bahasa Melayu sebagai syarat layak memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata pertimbangan itu dibuat selepas kajian mendapati pelajar bukan Melayu dan Melayu gagal menguasai bahasa kebangsaan itu dengan baik terutamanya dalam penulisan.
"Kerajaan memang menyedari kelemahan ini. Bahkan saya yakin ia akan dibuat (wajib lulus kredit) kerana ramai pelajar gagal menguasai bahasa Melayu dengan baik. Pelajar Melayu sendiri berdepan dengan masalah ini, apatah lagi bukan Melayu.
"Kita bukan sahaja menumpukan usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, tetapi pada masa yang sama, bahasa kebangsaan perlu diletakkan pada tahap yang sepatutnya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas syarat Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) yang hanya bersetuju dengan cadangan untuk mewajibkan calon SPM perlu lulus bahasa Inggeris jika kerajaan memenuhi lapan tuntutan mereka.
Antara kandungan tuntutan tersebut ialah Gapena mahu bahasa Melayu diwajibkan lulus peringkat kredit untuk mendapat SPM.
Mengulas lanjut, Puad memberitahu, Kementerian Pelajaran telah bersetuju untuk menambah masa pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (T) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (C).
"Pelajar di SJKT dan SJKC perlu belajar bahasa Melayu lebih lama dari masa sekarang. Mereka akan belajar bagi tempoh masa yang sama seperti bahasa Tamil mahu pun Mandarin.
"Buat masa ini mereka hanya belajar selama 260 minit bagi tempoh seminggu," katanya.
Bagaimanapun, Puad enggan menjelaskan jumlah tambahan masa yang bakal diwajibkan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan cadangan syarat wajib bahasa Inggeris tidak akan dilaksanakan secara tergesa-gesa.
Menurutnya, kerajaan hanya akan melaksanakan syarat tersebut apabila negara mempunyai guru bahasa Inggeris terlatih yang mencukupi serta mempunyai pusat latihan guru bahasa Inggeris.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mengambil guru asing bagi menampung kekurangan guru bahasa Inggeris yang berkualiti terutamanya di kawasan luar bandar.
Kepada soalan sama ada kerajaan bersedia untuk memansuhkan Pembelajaran Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Puad menjelaskan perkara itu akan diputuskan dalam masa dua atau tiga minggu lagi.
"Semua pihak tidak perlu khuatir kerana kerajaan telah memberi jaminan untuk menyelesaikan isu PPSMI dalam masa terdekat," katanya.

Kontraktor gagal siap projek disenarai hitam

KEPALA BATAS – Kementerian Pelajaran sedang mengenal pasti kontraktor yang gagal menyiapkan pembinaan sekolah dan makmal di seluruh negara untuk disenarai hitam daripada menerima sebarang projek kementerian itu pada masa depan.
Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mengumpul nama-nama kontraktor terbabit berdasarkan laporan projek pembinaan sekolah terbengkalai.
Menurutnya, ia termasuk pemantauan ke atas kontraktor yang terlibat dalam 148 projek pembinaan sekolah dan makmal terbengkalai di seluruh negara setakat ini.
“Saya sudah mencatatkan maklumat mengenai kontraktor berkenaan dan mereka ini tidak layak diberi kontrak lagi pada masa akan datang.
“Kami tidak mahu lagi berkompromi dengan kontraktor begini kerana ia hanya menyusahkan banyak pihak selain menjejaskan pelajaran anak-anak,” katanya selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Bertam pada 20 Jun 2009.
Beliau mengulas kes projek pembinaan bangunan baru di SK Paya Keladi di sini yang terbengkalai sejak dua tahun lalu sehingga memaksa sekolah itu dibahagi kepada dua sesi selain khemah digunakan sebagai kantin sementara.
Mohd. Puad berkata, pihaknya akan bertindak tegas dalam menyenaraihitamkan nama kontraktor terbabit bagi memastikan isu projek sekolah terbengkalai dapat ditangani secara bersungguh-sungguh.
“Kami tidak berkompromi dalam hal ini kerana berdasarkan pengalaman kontraktor terbabit hanya berdalih tanpa memberi alasan yang munasabah. Cukuplah, kami tidak mahu dengar terlalu banyak dalih,” tegasnya.

Cadang biasiswa johan bahas

PUTRAJAYA 5 Julai - Kementerian Pelajaran bercadang memberi biasiswa penuh kepada peserta yang muncul johan Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri apabila mereka melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan.
Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ia bertujuan menggalakkan pelajar lebih berdaya saing selain mengasah bakat-bakat muda dalam perbahasan.
Menurutnya, naib johan dicadangkan mendapat 70 peratus tanggungan biasiswa berbanding pasukan yang muncul johan.
''Selama ini mereka diberikan piala pusingan dan sijil, jadi saya akan cadangkan dalam mesyuarat pasca Kabinet kementerian untuk memberi biasiswa penuh kepada mereka yang mendapat keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-36 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini semalam.
Dalam pertandingan tersebut, Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang muncul johan mengalahkan pasukan dari Sekolah Menengah Sains Selangor bagi kategori Bahas Bahasa Malaysia.
Pasukan bahas Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya muncul johan menewaskan pasukan dari Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Kedah bagi kategori Bahas Bahasa Inggeris.
Mohd. Nur Afiq Mohd. Yasim dari SMAP Kajang berjaya menambat hati juri apabila diumumkan sebagai pembahas terbaik bagi kategori Bahasa Malaysia dengan tajuk perbahasan Kuasa Merotan Wajar Dikembalikan Kepada Semua Guru.
Ameera Natasha Moore dari Sekolah Seri Puteri pula dipilih pembahas terbaik bagi kategori Bahas Bahasa Inggeris dengan tajuk perbahasan This House Believes That Bloggers Are A Threat To Our National Security.

Bina sekolah baru guna IBS

SEPANG 2 Julai – Pembinaan sekolah-sekolah baru akan diberi keutamaan menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi mengatasi masalah pembinaan sekolah yang tergendala.
Di bawah sistem itu, komponen pembinaan dibuat secara terkawal kerana ia disiapkan di kilang sebelum dipasang siap di tapak sekolah.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zarkashi berkata, dengan menggunakan sistem itu, sekolah mampu disiapkan dalam masa singkat di samping kualiti tinggi serta reka bentuk yang menjamin keselesaan pelajar.
‘‘Pembinaannya juga tidak memerlukan pekerja yang ramai bagi menghasilkan komponen atau untuk menyiapkan binaan di sekolah terbabit.
‘‘Ia boleh disiapkan hanya dalam tempoh tujuh bulan bagi pembinaan blok darjah manakala 12 hingga 15 bulan untuk sekolah baru,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Putra Perdana yang menjadi sekolah pertama dibina menggunakan IBS.
Menurut Puad, Kementerian Pelajaran sedang melaksanakan 138 projek pembinaan sekolah baru dan blok tambahan menggunakan kaedah itu di seluruh negara yang melibatkan kos RM1.4 bilion bagi tempoh sehingga 2010.
Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 117 buah projek dibina secara pakej dengan melantik empat kontraktor utama manakala 21 projek lagi melalui kontraktor terpilih.
‘‘Setakat ini semua projek disiapkan mengikut jadual. Sebanyak tujuh buah sekolah sudah siap termasuk SMK Putra Perdana yang sudah mula beroperasi 15 Jun lalu dengan permulaan 531 pelajar bagi tingkatan 1 dan 2 membabitkan kos RM26 juta.
‘‘Selepas meninjau sekolah ini, saya amat berpuas hati dengan kualiti pembinaan termasuk reka bentuk yang memberi keselesaan kepada pelajar yang hanya disiapkan selama 10 bulan,” katanya.