Monday, June 22, 2009

Sekolah ditutup jika H1N1 merebak

KEPALA BATAS 20 Jun - Kementerian Pelajaran tidak menolak kemungkinan akan menutup Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Davidson, Kuala Lumpur jika berlaku penularan penyakit influenza A (H1N1) ekoran salah seorang muridnya telah disahkan dijangkiti wabak itu.
Timbalan Menterinya, Dr. Puad Zarkashi berkata, pihaknya sedang menunggu arahan daripada Kementerian Kesihatan jika wujud keperluan menutup sekolah berkenaan bagi mengelak penularan wabak tersebut.
"Kita percaya Kementerian Kesihatan akan memaklumkan apa tindakan yang perlu dibuat dan akan patuh dan memberi sokongan pada sebarang cadangan dan arahan," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Keladi di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kes seorang murid perempuan berusia 11 tahun SJKC Jalan Davidson yang disahkan antara tujuh kes terbaru yang dijangkiti wabak itu hari ini.
Ekoran perkembangan terbaru itu, 51 rakan sekelas murid tersebut dikuarantin di rumah masing-masing.
Puad berkata, pihaknya difahamkan bahawa Kementerian Kesihatan sudah membuat tindakan lanjut termasuk mengadakan pemeriksaan di sekolah tersebut bagi memastikan wabak itu tidak merebak.
Beliau bagaimanapun menasihatkan ibu bapa murid sekolah berkenaan supaya tidak panik kerana pihaknya dan Kementerian Kesihatan sedang berusaha menangani kes tersebut sebaik mungkin.
"Pada masa sama, Kementerian Kesihatan juga akan diminta membuat pemeriksaan rambang ke atas beberapa lagi sekolah di ibu negara yang mungkin turut dijangkiti wabak tersebut.
"Tetapi kita minta ibu bapa supaya tidak bimbang kerana kita sedang dan akan melakukan tindakan sewajarnya bagi memastikan perkembangan ini ditangani dengan sebaik mungkin," tambahnya.
Beliau turut menggesa semua sekolah supaya membuat laporan kepada Kementerian Kesihatan jika mendapati ada murid mereka yang mengalami simptom H1N1.

Wednesday, June 10, 2009

Masalah, beban 350,000 guru diberi perhatian

LANGKAWI: Kementerian Pelajaran memberi perhatian serius terhadap pandangan 25 kesatuan dan persatuan yang mewakili kira-kira 350,000 guru seluruh negara, khususnya berkaitan isu beban tugas, kenaikan pangkat dan elaun di pedalaman. Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata kementerian akan memperincikan setiap permasalahan sebelum menyiapkan kertas cadangan untuk dibentangkan kepada kerajaan bagi penilaian.
"Isu beban tugas, kenaikan gred perkhidmatan dan elaun yang menjadi topik hangat dalam perbincangan bersama pemimpin kesatuan guru selama dua hari berakhir hari ini (semalam) akan diberi perhatian. "Ketika ini warga guru turut dibebankan dengan kerja perkeranian dan aktiviti kokurikulum, sekali gus menjejaskan tumpuan mereka di bilik darjah," katanya pada sidang media selepas menutup Mesyuarat Wacana Profesional Kesatuan Guru di sini, semalam. Terdahulu, Mohd Puad turut menyertai bengkel bagi membincangkan isu itu secara mendalam bersama lebih 50 pemimpin dan ahli jawatankuasa mewakili 21 kesatuan dan persatuan guru dari seluruh negara.
Beliau berkata, selepas merasai sendiri keperitan guru di kawasan pedalaman khususnya di Pahang, Sarawak dan Sabah, beberapa perkara yang diketengahkan pemimpin kesatuan dan persatuan guru itu wajar dikaji semula. "Ketika ini kementerian membayar elaun guru di pedalaman iaitu RM500, RM1,000 dan RM1,500 mengikut kategori kawasan. "Beberapa perkara lain yang turut dibincangkan ialah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), kurikulum sekolah rendah, pemberian insentif bagi guru yang berkelulusan sarjana dan doktor falsafah," katanya.

Monday, June 8, 2009

Pemaju Sek Men Sains Batu Pahat diberi tempoh hingga hari ini

BATU PAHAT 7 Jun - Kementerian Pelajaran akan menamatkan kontrak syarikat kontraktor yang membina Sekolah Menengah Sains (SMS) Batu Pahat jika masih gagal mengemukakan laporan kelewatan menyiapkan projek tersebut sehingga esok.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, tindakan tegas terpaksa diambil memandangkan sesi persekolahan sekolah berasrama penuh itu akan bermula tahun depan sedangkan kerja-kerja pembinaan masih pada peringkat 49.9 peratus siap.
Beliau berkata, pemaju kontraktor tersebut sepatutnya melipatgandakan lagi tenaga kerja mereka termasuk bekerja waktu malam untuk menyempurnakan projek tersebut mengikut jadual.
''Tetapi lawatan terbaru saya ke tapak itu beberapa hari lalu mendapati kerja-kerja tidak begitu rancak seperti yang sepatutnya,'' katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, ekoran kelewatan itu, pihak pemaju berjanji mengemukakan laporan kelewatan itu kepada Kementerian Pelajaran selewat-lewatnya esok (8 Jun).
Minggu lalu, Mohd. Puad yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat mengadakan lawatan mengejut ke tapak projek sekolah bernilai RM46.5 juta itu selepas mendapati ia tidak menepati tempoh siap September ini.
Sebaliknya, menurut beliau, pemaju merayu supaya tempoh menyiapkan projek itu dilanjutkan sehingga Disember ini atas alasan menghadapi beberapa masalah termasuk kekurangan pekerja.
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak yakin projek itu dapat disiapkan walaupun tempoh itu dilanjutkan hingga Disember ini.

Tuesday, June 2, 2009

Amaran kontraktor gagal siap sekolah

BATU PAHAT 1 Jun - Siapkan ikut jadual atau kontrak ditamatkan.
Itu amaran Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi kepada syarikat kontraktor yang terlibat dalam pembinaan bangunan sekolah baru di seluruh negara yang gagal menyiapkan projek mengikut jadual ditetapkan.
Menurutnya, kelewatan menyiapkan sekolah berkenaan akan mendatangkan masalah kepada pendaftaran pelajar baru tahun depan yang semakin meningkat.
Beliau berkata, daripada 58 buah sekolah kebangsaan (SK) di seluruh negara yang sedang dibina dan sepatutnya siap tahun ini, masih ada sembilan sekolah lagi gagal disiapkan mengikut jadual.
"Begitu juga dengan sekolah menengah (SM) iaitu daripada 128 buah yang dibina, masih ada 54 buah lagi tidak dapat disiapkan mengikut jadual," katanya.
Beliau berkata demikian setelah melawat tapak pembinaan Sekolah Menengah Sains Batu Pahat (SMSBP) bersama beberapa pegawai tinggi kementerian itu di Jalan Tanjong Labuh dekat sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau memberi tempoh seminggu kepada GLR Builders Sdn. Bhd., untuk meyakinkan Kementerian Pelajaran sama ada ia mampu menyiapkan pembinaan sekolah berasrama penuh pertama di daerah ini atau kontrak mereka ditamatkan.
Beliau berkata, pembinaan sekolah yang membabitkan kos RM46.5 juta di kawasan seluas 20 hektar itu sepatutnya siap September ini, tetapi kini hanya 49.9 peratus sahaja telah disiapkan dengan kelewatan ialah 12.38 peratus.
Sambil melahirkan perasaan amat dukacita dengan apa yang berlaku, Mohd. Puad meminta kontraktor terbabit mencari jalan penyelesaian secepat mungkin atau tindakan tegas diambil terhadap mereka.
Sementara itu, Pengarah Urusan GLR Builders, Datuk Ismail Ibrahim yang turut hadir di tapak projek berkenaan berkata, pihaknya akan berusaha sedaya upaya untuk menyiapkan sekolah berkenaan mengikut tempoh yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Masalah itu dakwanya berpunca daripada kelewatan empat bulan memulakan projek dari tarikh yang sepatutnya sehingga menyebabkan ia tidak dapat disiapkan mengikut jadual.