Wednesday, May 27, 2009

Mahu imbangi nisbah guru lelaki, wanita

KLANG 26 Mei - Kekurangan guru lelaki adalah antara cabaran paling besar dihadapi Kementerian Pelajaran dan kementerian kini dalam usaha untuk mengimbangkan jurang itu.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pada masa ini hampir tiga perempat daripada setiap pengambilan tahunan guru-guru baru terdiri daripada wanita.
"Kebanyakan guru yang mengajar di pedalaman ialah guru lelaki. Jadi sebab itulah kita cuba imbangkan sedikit untuk dapatkan lebih ramai guru lelaki bagi memudahkan kita menghantar guru mengajar di pedalaman," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Mesra Rakyat dan Sambutan Hari Guru di Sekolah Kebangsaan Sungai Udang di sini, malam tadi.
Mohd. Puad turut mencadangkan supaya guru menandatangani akujanji bersetuju untuk mengajar di luar bandar dengan tempoh perkhidmatan mereka dinyatakan dengan jelas, umpamanya tiga tahun.
Beliau berkata, akujanji seumpama itu perlu bagi mengelakkan guru yang dihantar bertugas di luar bandar, memohon ditukarkan hanya selepas enam bulan mereka di sana.
Mohd. Puad berkata, selain itu ia juga bagi memastikan seseorang guru itu tidak berkhidmat terlalu lama di kawasan pedalaman.
"Saya sendiri menyaksikan kepayahan guru di pedalaman antaranya seorang guru wanita terpaksa memanjat pokok bagi mendapatkan gelombang telefon yang lebih baik untuk berhubung dengan suaminya.
"Ada juga kes seorang guru wanita dari sebuah sekolah di Marudi, Sarawak bersalin dalam bot ketika dalam perjalanan ke hospital kerana jarak antara sekolah dan hospital jauh," katanya

Tuesday, May 26, 2009

PPSMI: Keputusan enam bulan lagi

JOHOR BAHRU 25 Mei - Keputusan sama ada kerajaan meneruskan atau memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dijangka diketahui dalam tempoh enam bulan lagi.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, keputusan berkenaan akan dimuktamadkan segera bagi menyelesaikan polemik PPSMI selepas kajian pelbagai pihak diperhalusi.
''Tak perlu lama lagi hendak tengok, tak perlu enam tahun tetapi dalam tempoh tak lebih enam bulan ini kementerian akan boleh umumkan keputusannya sama ada untuk kekal (penggunaan bahasa Inggeris) atau kembali kepada bahasa ibunda,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perayaan Hari Guru 2009 peringkat Johor di Stadium Perbandaran Pasir Gudang, di sini baru-baru ini.
Turut hadir Pengarah Pelajaran negeri, Sufa'at Tumin.
Baru-baru ini, Gagasan Veteran Malaysia melalui Presidennya, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid mengadakan pertemuan dengan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai dasar PPSMI di pejabat Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya.
Dalam pertemuan kira-kira sejam itu, Ahmad Sarji mengemukakan hasil kajian dan pendapat pihaknya kepada Muhyiddin.
Mohd. Puad berkata, tempoh enam bulan adalah wajar kerana semua kajian mengenainya telah siap diteliti dan yang terbaru kementerian sedang melihat kajian Gagasan Veteran yang diserahkan itu.
Beliau berkata, semua pihak perlu akur dengan keputusan yang akan diumumkan nanti.
Menurutnya, Muhyiddin sebelum ini menolak hasil yang dikumpulkan oleh sesi meja bulat kerana ia mempunyai perbezaan amat ketara dengan hasil penyelidikan badan bebas.
Mohd. Puad berkata, selain itu, laporan meja bulat dianggap tidak lengkap apabila hanya mempunyai tiga opsyen untuk mengatasi masalah berkenaan dan tidak mengambil kira kajian tokoh bahasa.
''Opsyen sebelum ini antaranya memperkenalkan kaedah dwibahasa, meneruskan dasar tersebut di peringkat sekolah menengah dan menggunakan bahasa Melayu di sekolah rendah, tetapi tiada opsyen untuk mengembalikan semula pengajaran dan pembelajaran kepada dasar asal,'' katanya.
Ahli Parlimen Batu Pahat itu mengulangi pendirian beliau secara peribadi mahu pengajaran Sains dan Matematik dijalankan dalam bahasa ibunda tetapi pada masa yang sama penguasaan bahasa Inggeris perlu diperkukuhkan dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.
Mohd. Puad yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat berkata, tinjauan dan pemeriksaan mengejut di sekolah-sekolah rendah dan menengah terutama di luar bandar mendapati dasar PPSMI mempunyai kelemahan ketara untuk dilaksanakan.
''Hakikatnya ialah sekolah luar bandar masih kekurangan guru-guru PPSMI dan tenaga pengajar bahasa Inggeris, takkan guru agama pun kena ajar bahasa Inggeris, ini lebih menyedihkan jika dilihat di sekolah kawasan Orang Asli, pedalaman Sabah dan Sarawak.
''Guru-guru bahasa Inggeris banyak di bandar, ini menimbulkan masalah dari segi persediaan,'' katanya sambil menjelaskan hasil pertemuan dan perbincangan bersama para guru didapati bahasa ibunda tidak perlu dikorbankan dalam pengajaran Sains dan Matematik.
Terdahulu dalam ucapannya, Mohd. Puad berkata, bahasa Melayu mampu menjadi bahasa pelbagai cabang ilmu termasuk ekonomi, teknologi dan tidak sekali-kali boleh menjadi mangsa dalam persaingan dengan bahasa Inggeris dalam arus globalisasi.
Menurutnya, ia amat penting kerana bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan berperanan sebagai bahasa penyatuan kaum yang berkesan dalam membina negara bangsa.
Katanya, kerajaan menerusi kementerian amat komited dalam memelihara bahasa ibunda bersama-sama dengan hasrat warga pendidik termasuk guru-guru yang menjadi pejuang negara bangsa itu.

Monday, May 25, 2009

Subjek Sejarah tahun 1, 2 bermula 2012?

BATU PAHAT 24 Mei - Pengajaran mata pelajaran Sejarah kepada murid tahun 1 dan 2 di semua sekolah rendah termasuk jenis kebangsaan dijangka bermula sepenuhnya pada 2012.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ketika ini projek perintis mengenainya sedang dilaksanakan di seluruh negara membabitkan 500 buah sekolah.
Menurutnya, pengajaran Sejarah tidak dilakukan seperti mata pelajaran lain, sebaliknya menerusi kaedah interaksi yang menyeronokkan murid-murid seperti koir dan perbahasan.
"Jika projek ini berjalan dengan baik, maka kita mungkin melaksanakan sepenuhnya pengajaran itu pada 2012," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Program Slogan 'UMNO Perjuangan' sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-63 UMNO anjuran UMNO Bahagian Batu Pahat di sini hari ini.
Mohd. Puad berkata, transformasi kurikulum itu akan membabitkan latihan kepada guru-guru agar mereka memahami kaedah mengajar mata pelajaran tersebut.
"Ini juga untuk memastikan pengajaran mereka memberikan kesan mendalam kepada murid-murid," katanya.
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, Kementerian Pelajaran sedang mengkaji kemungkinan membenarkan guru-guru siswazah bergerak aktif dalam politik.
Menurutnya, kajian itu turut membabitkan kumpulan penting seperti pengetua, guru besar atau pentadbir di peringkat Jabatan Pelajaran.
"Kita kena melihat perkara ini lebih terperinci agar tidak timbul masalah kerana dikhuatiri ada pihak yang menyalahgunakan kebenaran tersebut," katanya.
Bagaimanapun, pihaknya mungkin membenarkan mereka bergerak aktif tetapi tidak memegang sebarang jawatan penting dalam parti.
"Mereka mesti terlebih dahulu mendapatkan kebenaran dan penglibatan mereka dalam parti pula perlu sentiasa dipantau," katanya.

Sunday, May 17, 2009

Guru tonggak negara bangsa

DR. MOHD. Puad Zakarshi (kanan) melancarkan majlis perasmian Festival Hari Guru 2009 di Pusat Dagangan Terengganu, Kuala Terengganu semalam. Turut hadir Alimuddin Mohd. Dom dan Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin (kiri)


KUALA TERENGGANU 15 Mei - Peranan guru dan pendidik amat diperlukan untuk menyemarakkan konsep negara bangsa di kalangan golongan muda kerana mereka insan yang paling rapat dengan pelajar.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, proses pembinaan negara bangsa tidak boleh dicapai dalam tempoh yang singkat dan peranan guru amat penting untuk memastikan kejayaannya.
''Kerajaan berharap golongan guru bekerja dengan lebih keras kerana mereka menjadi tonggak kejayaan konsep ini lantaran hubungan rapat dengan anak-anak khususnya di peringkat awal," katanya selepas merasmikan Festival Hari Guru Kebangsaan 2009 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini hari ini.
Festival anjuran bersama Kementerian Pelajaran dan Kumpulan Utusan itu bermula semalam sehingga Ahad ini.
Turut hadir Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom dan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Othman Mohamad.
Menurut Mohd. Puad, segala yang diimpikan oleh kerajaan boleh dicapai dengan mudah sekiranya semua pihak mendukung setiap usaha yang dilakukan.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau berharap pameran Zon Terowong Masa Perguruan oleh Kumpulan Utusan sempena festival kali ini dijadikan ruang pameran tetap kerana ia menjadi bahan penting dalam catatan pembangunan perguruan di negara ini.
Katanya, terowong masa akan mengingatkan masyarakat tentang perjuangan dan pengorbanan guru dari zaman sebelum, semasa dan selepas era deklarasi kemerdekaan bagi membangkitkan rasa insaf khususnya di kalangan generasi muda.

Thursday, May 14, 2009

Kenal pasti kemahiran pelajar

DR. Mohd. Puad Zarkashi bertanyakan sesuatu kepada Asyraf Hakim Azudin (dua dari kanan) mengenai model kereta solar selepas majlis Pelancaran Projek Inovasi Solar Kereta Suria di Sekolah Menengah Teknik Tuanku Ja'afar, Seremban, semalam.

SEREMBAN 13 Mei - Satu program khas bagi mengenal pasti pelajar yang berkemahiran tinggi dalam bidang teknikal dan vokasional akan diperkenalkan khusus bagi meningkatkan modal insan inovatif di negara ini.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, usaha itu bertujuan mewujudkan saluran terbaik kepada pelajar-pelajar yang berpotensi dalam bidang inovasi di negara ini untuk terus berkembang.
''Perkara ini menjadi perhatian saya dan akan dicadangkan nanti demi mengenalpasti tenaga-tenaga yang berbakat ini untuk terus maju ke depan sekali gus tidak mensia-siakan kemahiran yang ada pada mereka.
''Bidang pendidikan bergerak mengikut perkembangan arus, maka pembentukan strategi harus diselaraskan selari dengan peredaran masa dan trend masa kini," kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Pelancaran Projek Inovasi Solar Kereta Suria di Sekolah Menegah Teknik Tuanku Ja'afar di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS), Datuk Abdullah Mohamad.
Menurut beliau, pendekatan tersebut juga diyakini dapat meningkatkan penceburan modal insan tempatan dalam lingkungan industri inovasi negara ini.
''Ini amat penting kerana kita tidak mahu orang asing menguasai bidang ini disebabkan kita tidak mempunyai tenaga yang berkeupayaan dan berkemahiran untuk memacunya sendiri," jelas Puad.
Diminta mengulas mengenai bilangan pelajar yang menceburi bidang teknik dan vokasional di negara ini, Puad memberitahu, peratusannya sangat kecil dan beberapa pendekatan perlu dibincangkan untuk melihat perubahan kelak.
''Berdasarkan laporan, hanya enam peratus mewakili pelajar bidang teknik dan jika ditambah dengan pelajar vokasional jumlah keseluruhannya hanya sembilan peratus.
''Saya akan berbincang secara komprehensif berhubung semua pendekatan dan cadangan baru dengan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) nanti," katanya.
Tambah Puad, bagaimanapun, apa yang lebih penting adalah untuk melahirkan insan yang berkualiti dan seimbang dari segi rohani dan jasmani menerusi sebarang trend yang berubah dalam sistem pendidikan negara ini.

Wednesday, May 13, 2009

WI digesa atasi masalah wanita murtad

BATU PAHAT 12 Mei - Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Batu Pahat digesa mendirikan rumah perlindungan sementara bagi membantu wanita bermasalah termasuk mereka yang cuba keluar daripada agama Islam.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, masalah murtad di kalangan wanita di daerah ini agak serius dan memerlukan pendekatan bijak untuk menanganinya.
Menurutnya, beliau sendiri terkejut apabila menerima laporan daripada polis dan Pejabat Agama mengenai jumlah wanita Islam di daerah itu yang memohon untuk murtad.
''Kebanyakan mereka jatuh cinta dengan lelaki bukan Islam atau isteri yang menghadapi tekanan hidup kerana masalah rumah tangga," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung WI Batu Pahat Ke-54 di Dewan Jubli Intan di sini baru-baru ini.
Ekoran itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat menyarankan WI agar bekerjasama dengan Pejabat Agama daerah dan polis untuk mengesan kes murtad di kalangan wanita serta menyediakan pakar kaunseling untuk membimbing mereka.
Menurut Mohd. Puad, beliau pernah menemui seorang wanita dari Batu Pahat tinggal di rumah perlindungan Kristian di Kuala Lumpur kerana tidak tahan dengan tekanan keluarga ekoran menghidap AIDS yang dijangkiti daripada suaminya, seorang penagih dadah.
''Pelbagai usaha terpaksa dilakukan untuk mengeluarkan wanita itu dari rumah perlindungan berkenaan dan akhirnya akidah wanita terbabit berjaya dipulihkan," katanya.
Beliau berkata, selain murtad banyak lagi isu yang perlu ditangani termasuk remaja perempuan yang lari dari rumah dan wanita yang didera oleh suami atau keluarga.
''Mereka juga perlu diberi perhatian, jika tidak mereka akan terjerumus ke dalam aktiviti tidak bermoral," katanya.

Monday, May 11, 2009

Kembalikan hukuman rotan

BATU PAHAT – Hukuman rotan akan diperkenalkan semula ke atas pelajar yang didapati melanggar disiplin, terlibat dalam kes pergaduhan dan buli di sekolah.
Bagaimanapun, menurut Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi, hukuman tersebut hanya boleh dilaksanakan selepas mendapat persetujuan Peguam Negara.
Katanya, hukuman rotan itu juga jika diluluskan kelak, tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya.
Guru-guru yang hendak merotan pelajar, tegas beliau, perlu mematuhi garis panduan dan prosedur yang ditetapkan oleh Peguam Negara.
Langkah berhati-hati itu, katanya, untuk mengelak pihak sekolah atau guru disaman oleh ibu bapa.
‘‘Kita berharap cadangan yang telah dikemukakan kepada Peguam Negara itu mendapat maklum balas sebelum akhir tahun ini.
‘‘Hukuman ini bukan untuk mendera tetapi mendidik para pelajar,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Skim Khairat Percuma Sesi 2009/2010 anjuran Parlimen Batu Pahat di Dewan Senggarang di sini, hari ini.
Beliau berkata, walaupun sebelum ini majoriti ibu bapa menyokong agar hukuman merotan dikuatkuasakan semula namun ada beberapa pihak termasuk golongan peguam yang membantahnya.
“Sebab itu sebelum peraturan itu dikuatkuasakan semula, kerajaan merujuk kepada Peguam Negara untuk mendapatkan maklum balas dan cadangan terlebih dahulu,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat mengulas kejadian seorang pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Putera Tongkang Pechah Batu Pahat cedera di lutut kiri selepas diserang dan dibelasah sekumpulan 12 pelajar ketika di dalam kelas, baru-baru ini

Saturday, May 9, 2009

Sains, Matematik dalam BM

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zarkashi secara peribadi menyokong usaha mengembalikan semula pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik ke dalam bahasa Melayu.
Tegas beliau, kedua-dua subjek itu harus diajar semula ke dalam bahasa Melayu bagi memartabatkan semula bahasa kebangsaan selain meningkatkan jati diri generasi muda.
''Kita bimbang pada masa akan datang generasi hari ini khususnya orang Melayu akan tercari-cari identiti dan budaya bangsa yang hilang akibat mengagungkan bahasa Inggeris," katanya.
Isnin lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan kajian mengenai dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dilanjutkan kerana beliau tidak berpuas hati dengan hasil kajian yang telah dibuat.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementeriannya bersedia untuk 'menunggu lebih lama' bagi memastikan keputusan yang akan dibuat tidak flip flop.
Menurutnya, hasil kajian itu hanya akan dibentangkan ke Kabinet apabila beliau berpuas hati.
Selasa lalu, lima Sasterawan Negara buat pertama kalinya menyatakan pendirian bersama menolak PPSMI, malah dua daripada mereka iaitu Datuk A. Samad Said dan Profesor Muhammad Salleh sedia ditarik balik gelaran berkenaan jika keadaan memerlukan.
Mengulas lanjut, Puad memberitahu, bagaimanapun, segala keputusan berhubung PPSMI akan diumumkan oleh Kabinet selepas kajian mendalam berhubung perkara itu selesai.
''Satu pengumuman penting mengenai PPSMI akan dibuat tidak lama lagi setelah mengambil pandangan semua pihak termasuk intelektual Melayu dan pejuang bahasa.
"Saya mahu isu PPSMI ini segera diselesaikan kerana penangguhan akan merugikan semua pihak terutama generasi muda hari ini,"
Beliau menambah, segala keputusan yang dibuat oleh Kabinet berhubung PPSMI tidak akan menyebabkan perbelanjaan yang dikeluarkan selama ini sebagai membazir.
''Peruntukan besar untuk pengurusan dan pembelian peralatan komputer tidaklah membazir kerana ia masih boleh digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran,"

Kajian naikkan elaun guru di pedalaman




KUALA LIPIS 8 Mei - Kementerian Pelajaran sedang mengkaji untuk menaikkan kadar elaun guru yang berkhidmat di kawasan pedalaman selepas mengambil kira kepayahan yang terpaksa mereka lalui.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zarkashi berkata, kajian tersebut dibuat selepas pihaknya meninjau kesukaran hidup guru yang bertugas di pedalaman Pahang, Sabah dan Sarawak baru-baru ini.
Dalam kajian itu menurut beliau, kerajaan akan menambah kategori elaun kawasan pedalaman kepada lima berbanding hanya tiga pada masa ini.
''Selepas meninjau kehidupan mereka (guru pedalaman), sewajarnya mereka diberi elaun yang lebih munasabah berbanding sekarang ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Orang Asli Lenjang dan SK Titom, Hulu Jelai, dekat sini hari ini.
Katanya, pada masa ini, terdapat tiga jenis elaun bertugas di pedalaman iaitu RM500, RM1,000 dan RM1,500 yang dibayar kepada guru mengikut kategori kawasan yang ditetapkan.
Menurut beliau, kerajaan akan meminta Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (EPRD) membuat kajian menyeluruh untuk menentukan jumlah bayaran elaun bagi lima kategori yang akan diperkenalkan itu.
''Kenaikan elaun itu nanti merupakan insentif agar guru lebih bersemangat menjalankan tugas di pedalaman yang tersisih daripada segala kemudahan.
''Kita bangga dengan guru yang bertugas di pedalaman kerana mereka cukup kental dan menunjukkan kesungguhan mengharungi kesukaran untuk memberi pendidikan kepada anak bangsa," tegasnya.
Menceritakan pengalaman lawatannya ke kawasan pedalaman Sarawak baru-baru ini, Puad memberitahu, beliau berjumpa dengan seorang guru wanita yang sarat mengandung dan telah berkhidmat lebih lima tahun di kawasan yang jauh daripada keluarga.
''Namun guru wanita itu tetap menjalankan tugas tanpa rasa bosan dan kecewa," jelasnya.
Antara kes lain, katanya, ada guru yang terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan liputan talian telefon bimbit untuk menghubungi keluarganya.
''Saya terharu dan bangga kerana guru-guru di pedalaman berusaha mewujudkan persekitaran yang kondusif di sekolah dan kelas mereka agar setanding dengan di bandar.
''Mereka menggunakan sumber tempatan, kreativiti dan inovasi untuk melaksanakan tugas pengajaran dan pembelajaran dengan baik," ujarnya.

RM5.1j bina asrama desa di Hulu Jelai

KUALA LIPIS 8 Mei - Kementerian Pelajaran memperuntukkan sebanyak RM5.1 juta untuk pembinaan asrama desa yang baru di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Gahai, Hulu Jelai dekat sini.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, projek berkenaan bagi menggantikan asrama kayu sekolah itu yang musnah akibat kebakaran tahun lalu.
''Kita mengutamakan projek ini berasaskan keperluan pelajar di pedalaman Hulu Jelai yang tinggal berjauhan dengan sekolah berikutan ketiadaan asrama selepas musnah terbakar tahun lalu," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di SK Tanjong Gahai dekat sini hari ini.
Lawatan kerja itu bertujuan meninjau prasarana pendidikan di sekolah pedalaman termasuk sekolah Orang Asli di daerah ini.
Hadir sama, Pengarah Pelajaran negeri, Dato' Abdul Aziz Abdul Latiff, Ahli Dewan Negara, Senator Osman Bongsu dan Pegawai Pelajaran Daerah Lipis, Samsiah Suradin.
Puad berkata, projek pembinaan asrama desa di tapak baru berdekatan sekolah berkenaan akan dimulakan pada bulan ini dan dijangka siap mengikut jadual tidak lama lagi.
Asrama baru berkenaan, katanya, boleh menampung seramai 100 murid yang tinggal di Kampung Agropolitan Gahai, Kampung Lama Tanjong Gahai dan kampung tradisional di persisiran Sungai Jelai.
Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke SK Betau, SK Lenjang dan SK Titom yang merupakan sekolah yang menempatkan murid Orang Asli di pedalaman Jelai dekat sini.
Dalam lawatan di SK Tanjong Gahai, Fuad sempat meninjau program kelas tambahan di sekolah berkenaan.
''Saya dapati pencapaian di sekolah pedalaman Jelai meningkat menerusi komitmen yang bersungguh-sungguh daripada guru berijazah dan terlatih di sini berasaskan pemantapan pedagogi pengajaran dan pembelajaran di kelas," katanya.
Bagaimanapun, jelasnya, pihaknya belum berpuas hati dengan pencapaian pelajar di kalangan Orang Asli yang masih tercicir dan gagal menguasai subjek tertentu.

Friday, May 8, 2009

Keluarga mangsa dapat perhatian kementerian


Lipis - Nasib keluarga arwah Mohd Fakri Yahya,17, yang maut angkara bom buatan sendirinya, Jumaat minggu lalu, mendapat perhatian banyak pihak termasuk Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Selain kementerian terbabit, pihak lain turut menyumbangkan bantuan kewangan berjumlah RM1400 dan hamper makanan ialah ADUN Padang Tengku, Abdul Rahman Mohamad, Pejabat Pelajaran Daerah Lipis, SMK Padang Tengku dan SMA Padang Tengku.

Bantuan tersebut diberikan ketika kunjungan Mohd Puad bersama beberapa jabatan kerajaan lain ke rumah mangsa di Kampung Teha, Kuala Lipis sebagai tanda takziah kepada bapa mangsa, Yahya @ Mohd Ali Endek,77, ibu mangsa, Jah Endik,52, dan ahli keluarga lain.

Hadir sama kunjungan itu ialah Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Pahang (JPNP), Dato' Abdul Aziz Abdul Latiff, Pegawai Pelajaran Daerah Lipis, Samsiah Suradin dan Pengetua SMK Padang Tengku, Rozita Kamaluddin.

Dr Mohd Puad berkata kejadian yang menimpa arwah Mohd Fakri harus dijadikan iktibar kepada remaja lain supaya tidak mencuba sesuatu aktiviti yang boleh membahayakan keselamatan mereka.

Beliau berkata, sikap remaja yang ingin mencuba sesuatu perkara baru perlu mendapat perhatian ibu bapa supaya mengawasi anak-anak dalam setiap pergerakan mereka.

Dr Mohd Puad berada di Kuala Lipis dalam rangka lawatan ke beberapa sekolah Orang Asli di Betau, Lenjang dan Titom.


Monday, May 4, 2009

Tiada kompromi pelajar bermasalah

BATU PAHAT 3 Mei - Kementerian Pelajaran tidak akan berkompromi terhadap pelajar yang melanggar disiplin agar ia tidak berleluasa di semua sekolah di negara ini.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, tindakan tegas juga akan dikenakan terhadap guru yang didapati membelakangkan peraturan ketika menguatkuasakan disiplin ke atas pelajar mereka.
Menurutnya, ini bagi memastikan tidak berlaku penganiayaan ke atas mana-mana pihak khususnya guru yang banyak berkorban untuk mendidik para pelajar.
Ekoran itu, katanya, setiap aduan daripada mana-mana pihak berkaitan tindakan pihak sekolah ke atas pelajar yang tidak berdisiplin perlu dirujuk terlebih dahulu kepada jabatan atau Kementerian Pelajaran.
"Ini untuk membolehkan mereka mendapatkan gambaran dan penjelasan sebenar berhubung tindakan pihak sekolah itu," katanya.
Beliau diminta mengulas pendedahan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T. Murugiah bahawa seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Ipoh, Perak dikasari seorang guru baru-baru ini.
Mohd. Puad berkata, beliau kesal dengan tindakan Murugiah itu kerana tidak memberikan penjelasan sebenar berhubung kes tersebut selepas membawa krew media ke sekolah berkenaan.
"Kita tidak melarang beliau membawa krew televisyen ke sekolah kerana itu haknya tetapi beliau perlu bersikap adil agar tidak wujud persepsi yang guru mengambil tindakan tanpa mengikut peraturan," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya, guru disiplin sekolah terbabit terpaksa mengambil tindakan dengan mencubit pelajar tersebut selepas dia dilaporkan meraba seorang pelajar perempuan sekolah berkenaan.
"Tindakan guru itu pula tidak melahirkan sebarang kesan lebam yang teruk ke atas pelajar berkenaan," katanya.
Ekoran itu, beliau meminta Murugiah agar menggunakan Majlis Pemuafakatan sekolah itu untuk menyelesaikan perkara tersebut.