Sunday, August 23, 2009

RM35j bina Sekolah Menengah Pekan Nabalu


TAMPARULI - Kementerian Pelajaran akan menyegerakan pembinaan sekolah menengah di pekan Nabalu yang terletak berdekatan kaki Gunung Kinabalu dekat sini bagi memenuhi keperluan pelajar di daerah ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, sekolah menengah bernilai RM35 juta itu akan dibina dalam waktu terdekat memandangkan daerah itu masih belum mempunyai sekolah menengah.

Katanya, pada masa ini tapak untuk tujuan itu sudah dikenal pasti dan diterima oleh Bahagian Pembangunan Kementerian Pelajaran.

"Sebelum saya datang ke sini saya telah menemui Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membincangkan perkara ini dan beliau mahu saya mencari jalan untuk menyegerakan projek ini.

"Peruntukan sudah tersedia dan saya berharap projek pembinaan Sekolah Menengah Nabalu akan dilaksanakan secepat mungkin iaitu kalau boleh dalam tempoh dua bulan dari sekarang," katanya berucap pada majlis bersama rakyat sempena lawatannya ke tapak sekolah itu di Dewan Pekan Nabalu di sini semalam.

Turut hadir, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Bumburing.

Pada 10 Disember 2007, Datuk Noh Omar yang merupakan Timbalan Menteri Pelajaran ketika itu telah memberi jaminan bahawa kerajaan akan membina sekolah di kawasan itu selepas melawat tapak sekolah berkenaan.

Bagaimanapun sehingga kini pembinaan sekolah berkenaan masih belum dimulakan bagi menampung keperluan pelajar daripada 16 sekolah rendah di sekitar kawasan pekan Nabalu.

Menurut Mohd. Puad, apabila siap sekolah itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti asrama pelajar, rumah guru dan padang permainan.

Dalam pada itu beliau berkata, langkah itu menunjukkan kerajaan tidak pernah mengabaikan penduduk luar bandar dan sentiasa mengutamakan pendidikan di kawasan luar bandar.

Beliau memberitahu, kelewatan pembinaan sekolah berkenaan disebabkan kementerian terpaksa melakukan kajian dan penelitian terperinci bagi memastikan tapak sekolah yang terletak di kawasan berbukit bukau itu betul-betul selamat.

Sementara itu, Bumburing berkata, langkah tersebut menunjukkan kesungguhan kerajaan mendahulukan kepentingan rakyat sesuai dengan gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tuesday, August 18, 2009

Pelajar sertai perhimpunan haram diberi amaran gantung sekolah

KUALA LUMPUR — Semua 29 murid dan pelajar, yang menyertai perhimpunan haram membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) anjuran Gerakan Mansuh ISA (GMI) di ibu kota pada 1 Ogos lepas, akan digantung sekolah jika didapati menyertai lagi aktiviti seumpama itu pada masa hadapan.
Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata selain amaran keras itu, mereka juga diberikan kaunseling oleh pihak sekolah masing-masing.
Menurutnya hasil siasatan mendapati ada di kalangan mereka diperalat golongan pembangkang untuk menyertai perhimpunan itu dengan bas disediakan untuk membawa mereka ke tempat perhimpunan selain diberikan wang.
“Kita tidak mahu mereka dipengaruhi unsur-unsur negatif kerana ada di kalangan mereka yang disoal siasat memberitahu mereka diupah. Budak-budak memanglah seronok apabila dapat upah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Majlis ke-54 Persatuan Sejarah Malaysia di sini, hari ini.
Dalam perhimpunan itu, kira-kira 5,000 penyokong GMI termasuk pemimpin pembangkang menyertai perhimpunan haram bagi menyatakan pandangan supaya ISA dimansuhkan.

2,000 laungkan Anwar pengkhianat

BATU PAHAT - Sokongan terhadap Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melabelkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat bangsa semakin memuncak apabila lebih 2,000 orang melaungkan perkataan sama di Dataran Penggaram, Padang Merdeka dekat sini hari ini.
Dalam perhimpunan yang berlangsung secara aman itu, mereka turut melaungkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sebagai pemimpin putar belit.
Perhimpunan anjuran UMNO Bahagian Kulai, Batu Pahat dan Sri Gading itu berlangsung selama sejam bermula pukul 5 petang.
Ketua UMNO bahagian tersebut, Datuk Adam Hamid, Dr. Puad Zarkashi dan Datuk Mohamed Aziz turut menyampaikan ucapan pada perhimpunan yang mengulangi sejarah 63 tahun lalu apabila pejuang kemerdekaan, Datuk Onn Jaafar mengumpulkan orang Melayu untuk membawa sepanduk menentang Malayan Union di tempat yang sama.
Puad yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO dalam ucapannya berkata, sikap Anwar yang masih tergila-gilakan jawatan Perdana Menteri menjadi punca penghinaan kepada kedudukan raja Melayu oleh pihak tertentu pada hari ini.
Beliau turut mempersoalkan Anwar yang menafikan label pengkhianat bangsa itu dan mahu menyaman Timbalan Perdana Menteri sebanyak RM100 juta kerana tindak-tanduknya yang tidak berani menegur rakan-rakannya apabila raja-raja Melayu dipermainkan.
"Cabaran besar yang dihadapi hari ini ialah apabila wujudnya orang Melayu yang lupa daratan selepas mendapat nikmat hasil daripada perjuangan UMNO dan diperalatkan oleh pihak lain.
"Namun UMNO akan terus mempertahankan agama dan bangsa walaupun sikap Anwar itu telah menyebabkan orang Melayu dan Islam dihina," katanya.
Mohamed pula menyifatkan Anwar sebagai pemimpin dayus apabila mahu menyaman Muhyiddin yang melabelkannya sebagai pengkhianat bangsa.
"Baru Timbalan Perdana Menteri cakap pengkhianat sudah hendak saman RM100 juta. Anwar pengkhianat bangsa kerana hina kedaulatan bangsa," katanya.
Sementara itu, Adam berharap masyarakat dapat menilai sikap Anwar yang penuh sandiwara.
"Jangan bagi Anwar berkuasa kerana fakta menunjukkan dia menggalakkan demonstrasi jalanan untuk menggambarkan Malaysia tidak selamat dan menyebabkan peniaga Melayu terjejas.
"Kita tengok di Perak apabila sesama Melayu bertelagah, orang lain seronok bertepuk tangan," katanya.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kulai, Ali Mazat yang turut menyampaikan ucapan menasihatkan ahli UMNO khususnya golongan pemuda agar berhati-hati dengan tindakan Anwar yang kini cuba mencari pengaruh di negeri itu.

Pengajian politik UMNO

KOTA BHARU – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr. Puad Zarkashi mencadangkan penubuhan Sekolah Pengajian Politik UMNO bagi melahirkan pemimpin politik yang mempunyai pengetahuan meluas dalam bidang politik dan undang-undang.
Menurutnya, sekolah itu berperanan sebagai pusat untuk semua ahli yang berjawatan dari peringkat cawangan sehingga Parlimen menambah ilmu pengetahuan, memantapkan kepimpinan serta melatih mereka menjadi pemidato yang baik.
Katanya, ia akan dapat membantu pemimpin parti berdebat di Parlimen berpandukan fakta bukannya didorong emosi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat seorang pelajar yang menjadi mangsa rogol sebelum ditikam dan disimbah asid oleh bapa tirinya di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Monday, August 10, 2009

Perjuangan UMNO bukan untuk kepentingan individu

SIPITANG 9 Ogos - Semua ahli UMNO harus kembali kepada perjuangan asal parti yang memperjuangkan nasib rakyat dan bukannya berlandaskan kepada kepentingan individu sekiranya mahu terus mendapat sokongan rakyat.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, selain itu pemimpin UMNO juga harus bersikap jujur dan tidak menabur janji kosong kepada masyarakat.
''Saya merasakan bahawa generasi muda masih menyokong UMNO tetapi mereka tidak menyukai dengan tingkah laku kita. Inilah perkara yang harus kita perbaiki.
''Perjuangan kita tidak harus emosi atau ikut perasaan. Kita harus kembali kepada perjuangan hati nurani,'' katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Sipitang di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Bahagian UMNO Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad; Timbalannya, Kamarlin Ombi; Ketua Wanita UMNO Sipitang, Datuk Surinam Sadikun; Ketua Pemuda UMNO Sipitang, Yamani Hafez Musa dan Ketua Puteri UMNO Sipitang, Maimunah Sidek.
Mohd. Puad berkata, beliau yakin generasi muda masih menyokong UMNO kerana parti itu mempunyai banyak keistimewaan berlandaskan kepada sejarah perjuangannya.
Bagaimanapun, katanya, tanpa adanya perjuangan yang ikhlas, kekuatan dan kemantapan UMNO pasti akan tergugat.

Best teachers to teach English from 2012

KUALA LUMPUR — Starting 2012, not only will the language hours in schools be extended but the best teachers will be teaching the subject, Deputy Prime Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin said today.
“Our students will then have experience to communicate with English native teachers and we hope that this will further improve their command of the language,” Muhyiddin, who is also Education Minister, said in his speech at the RHB-New Straits Times Spell-it-Right National Challenge competition here.
His speech was delivered by Deputy Education Minister Dr Mohd Puad Zarkashi.
“We can no longer ignore the importance of English as a factor in lending quality to our education system.
“Proficiency in English will give us a greater competitive advantage in our quest to become a major trading nation, and the time has now come to make the difference,” he said.
Touching on the competition, he said it complemented the effort to promote the English language and he hoped that the teachers would incorporate spelling contests into their academic and extra-curricular calendars, which would raise the bar on language acquisition and set higher proficiency standards across the country.

Opposition leaders should stop blaming others - Mohd Puad

BUTTERWORTH — Government leaders in Pakatan-ruled states should stop blaming others for their incapabilities in administering the state or solving the people’s problems, Umno Supreme Council member Dr Mohd Puad Zarkashi said today.
“They should cease the practice of blaming other people or the previous administrations. They should realise that they are the ones in power now and responsible for the state, not the previous government,” he added.
The people, he said, should open their eyes and realise the truth about the opposition pact, which lacked understanding among them.
He said the inability of leaders in the Selangor and Penang governments to resolve problems would affect the people’s livelihood.
“There is ceaseless fighting among the leaders with everybody expressing dissatisfaction with one another over issues on liquor, Kampung Buah Pala and about Jeff Ooi’s statement.
“Based on these controversies, it is only apt that Selangor Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim and Penang Chief Minister Lim Guan Eng give other leaders to take over their posts,” he told reporters after opening the Batu Kawan Umno divisional delegates meeting here today.
He said the inability of state government leaders to administer the state well could cause the people to suffer.
As such, he said, constituents in Permatang Pasir should give a clear signal to the opposition that it had failed to bring change to Penang, despite being in power for more than a year.
In another development, Mohd Puad, who is Deputy Education Minister, advised Umno members to discuss seriously on the proposed amendments to the party constitution.
“The proposed amendments are important because Umno has to keep abreast with current developments and not to focus on its members alone.
Umno is not only for the Malays, but it also has to be just to other races,” he added.

Tuesday, August 4, 2009

RM24 juta untuk bina empat sekolah

MERSING - Kerajaan memperuntukkan lebih RM24 juta bagi membina dan membaik pulih empat sekolah di beberapa pulau di daerah ini.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, sekolah tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Tinggi, SK Pulau Sibu, SK Pulau Aur dan SK Pulau Pemanggil.
Beliau berkata, sebanyak RM9.4 juta daripada peruntukan itu untuk membina bangunan baru tiga tingkat SK Pulau Tinggi yang dijangka siap tahun depan.
Bagi SK Pulau Sibu dan Pulau Aur, masing-masing diperuntukkan RM7.4 juta untuk bangunan sekolah baru yang sedang dalam pembinaan, manakala SK Pulau Pemanggil dinaik taraf atas permintaan masyarakat di sana.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa melawat projek pembinaan bangunan SK Pulau Tinggi di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu Mohd. Puad turut mengumumkan empat sekolah berkenaan sebagai sekolah angkat beliau dan meminta Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Johor untuk merancang program sepanjang tahun di sekolah-sekolah berkenaan.
"Program anak angkat maksudnya selain daripada menyediakan program khusus seperti motivasi, guru-guru dipertingkatkan semangat, kemahiran dan kemudahan sekolah juga akan diberi perhatian.
"Kita bawa mereka keluar dari pulau ini untuk melawat ke tempat lain. Ini adalah antara yang boleh difikirkan."

Monday, August 3, 2009

Jangan jadikan isu PPSMI untuk kepentingan peribadi

KUALA LIPIS - Pihak tertentu diminta tidak menjadikan isu pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) untuk kepentingan peribadi dan politik pembangkang.
Timbalan Menteri Pelajaran yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, isu tersebut telah selesai setelah kerajaan mengambil kira pelbagai aspek dan pandangan banyak pihak.
Beliau berkata, tugas Kementerian Pelajaran dan agensi berkaitan adalah untuk memperkasa bahasa Melayu dan meningkatkan pengupayaan bahasa Inggeris sebagai elemen pengetahuan menghadapi saingan global.
''Kerajaan kini akan merancang segera pelaksanaan kaedah pemantapan bahasa Melayu dan penguasaan bahasa Inggeris serta bahasa asing lain di institusi pendidikan negara ini,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Berkelompok Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Cameron Highlands di Sungai Koyan, dekat sini semalam.
Hadir sama, Ketua UMNO Cameron Highlands, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail; Ketua Pemuda UMNO Cameron Highlands, Azizi Ahmad; Ketua Wanita UMNO Bahagian, Ramizah Hussin dan Ketua Puteri, Jamilah Hassan.
Menurut Mohd. Puad, kerajaan bergerak di landasan yang betul iaitu memansuhkan PPSMI kerana mahu memperkasakan Bahasa Melayu yang merupakan akar budaya dan pembinaan tamadun bangsa.
''Kita mahu maju dengan acuan sendiri. Malah tidak ada negara di dunia yang maju dengan meminjam bahasa orang lain,'' katanya.
Beliau berkata, perjuangan bahasa dan budaya Melayu merupakan dasar yang perlu didokongi bersama kerana ia membabitkan soal membina jati diri dan kekuatan bangsa.
Sehubungan itu, beliau meminta pemimpin UMNO di semua peringkat menjelaskan kepada rakyat mengenai keputusan kerajaan itu terutama berhubung kedudukan Bahasa Melayu sebagai lingua franca.
Dalam pada itu, beliau berkata, pemimpin UMNO bahagian dan cawangan perlu berani dan berwatak 'Jebat' dengan menjadikan UMNO sebagai landasan untuk menangkis tohmahan pembangkang yang tidak suka pembangunan yang dilaksanakan kerajaan.
''Keberanian ini perlu ada agar UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional tidak diperlekehkan sesuka hati sedangkan apa yang kita (kerajaan) laksanakan untuk kepentingan penduduk di negara ini."

MoU punca bantuan SAR lewat

PARIT BUNTAR - Kelewatan dalam proses menandatangani perjanjian memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dengan Kementerian Pelajaran merupakan punca bantuan modal kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) menerusi pakej rangsangan ekonomi kedua tidak dapat disalurkan dengan segera.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, antara kerajaan negeri yang lambat menyelesaikan MoU itu ialah Pahang dan Johor.
''Kita minta kerajaan negeri segera menyelesaikan MoU tersebut bagi membolehkan bantuan disalurkan segera.
''Pihak kementerian tidak ada tujuan untuk mengambil alih SAR, tetapi mesti ada MoU bagi membolehkan bantuan itu diagihkan,'' katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan modal RM40,000 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Wai Sin dekat sini hari ini.
Mohd. Puad berkata, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM100 juta menerusi pakej tersebut untuk SAR di seluruh negara tahun ini dan setakat ini sebanyak 19 buah sekolah telah menerima bantuan.
Katanya, sebelum ini, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM50 juta dalam pakej rangsangan pertama bagi SJKC dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
Jelasnya, ekoran itu pihak sekolah yang terlibat dikehendaki membelanjakan segera peruntukan tersebut agar memberi manfaat kepada semua pihak khususnya pelajar.
''Kita tidak mahu semua sekolah yang menerima bantuan itu menyimpan peruntukan itu sebaliknya ia perlu dibelanjakan segera,'' katanya.

Ibu bapa jangan ambil ringan simptom H1N1

SEREMBAN - Ibu bapa dan penjaga dinasihati agar jangan mengambil ringan jika anak mereka menunjukkan sebarang simptom jangkitan selesema babi atau influenza A (H1N1) sebaliknya mendapatkan rawatan segera.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pemeriksaan dan rawatan awal mungkin dapat menyelamatkan nyawa pelajar yang dijangkiti wabak tersebut.
''Saya ingin mengingatkan ibu bapa agar tidak mengambil mudah sekiranya anak mereka menunjukkan tanda-tanda jangkitan H1N1 walaupun ia seolah-olah nampak seperti demam biasa.
''Ini kerana, kes kematian keempat disebabkan H1N1 yang melibatkan remaja perempuan dari Melaka berusia 20 tahun itu adalah berpunca daripada kelewatan mendapatkan rawatan di hospital,'' katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis Penyerahan Peruntukan Bantuan Modal Kepada SJKC Ladang Hillside di sini hari ini.
Tegas beliau, oleh yang demikian, ibu bapa diminta lebih berwaspada dan peka terhadap tahap kesihatan anak-anak walaupun mereka hanya demam, batuk atau selesema.
''Kita nasihatkan ibu bapa supaya membawa anak-anak mereka ke pusat perubatan dengan kadar segera jika mereka dilihat mempunyai tanda-tanda awal jangkitan H1N1.
''Kelewatan mengesan serta mendapat rawatan boleh mengakibatkan kesan buruk ke atas pelajar sehingga mampu menjuruskan kepada kematian,'' ujar beliau.
Ditanya adakah langkah penutupan sekolah ekoran ancaman H1N1 akan menjejaskan pembelajaran pelajar, Puad memberitahu, penutupan hanya dilakukan atas arahan Kementerian Kesihatan.
''Bagaimanapun, sekolah yang terlibat hanya akan ditutup selama seminggu dan ini dijangkakan tidak akan menjejaskan pelajaran, lagipun sekolah yang ditutup telah diarahkan menggantikan semula kelas sebaik sahaja sekolah dibuka semula,'' jelasnya.

RM310.5j tingkat prasarana sekolah luar bandar

BENTONG - Kementerian Pelajaran memperuntukkan RM310.5 juta bagi mewujudkan kemudahan dan prasarana di sekolah luar bandar dan kawasan pedalaman seluruh negara sepanjang tahun ini.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, peruntukan itu termasuk bagi menyalurkan bekalan elektrik, air, bangunan sekolah dan lain-lain prasarana.
Katanya, keutamaan diberi kepada sekolah luar bandar terutama di kawasan pedalaman Sabah yang sebahagian besar masih lagi ketinggalan khususnya dalam menikmati bekalan elektrik dan air.
"Sebahagian besar sekolah di pedalaman Sabah masih jauh ketinggalan berbanding sekolah di Semenanjung yang sebahagian besarnya sudahpun dilengkapi dengan prasarana, bilik pembelajaran termasuk pusat komputer yang lengkap.
"Kita akan memberikan tumpuan utama bagi melengkapkan kemudahan sekolah pedalaman terutamanya bekalan elektrik kerana tanpanya sukar bagi kerajaan untuk merapatkan jurang digital dan tidak boleh menyalurkan pendidikan berasaskan teknologi maklumat (IT)," katanya.
Mohd. Puad berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Portal e-Pembelajaran di Sekolah Menengah Sulaiman Bentong di sini, hari ini.
Menurut beliau, kerajaan memerlukan peruntukan yang lebih besar dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) supaya para pelajar dan guru dapat belajar serta mengajar dalam keadaan lebih selesa selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melahirkan rakyat berilmu dan berkualiti.
Katanya, kementerian mahu merapatkan jurang digital agar pelajar di kawasan pedalaman dan bandar menerima pembelajaran dan pendidikan yang sempurna terutamanya berasaskan IT.
''Bagi mengatasi masalah sekolah-sekolah pedalaman Sabah yang tidak mempunyai bekalan elektrik, kementerian akan membekalkan generator.
''Dengan adanya bekalan elektrik, kita berharap sekolah-sekolah di pedalaman sabah dapat menikmati kemudahan IT sama seperti sekolah di kawasan bandar,"

100 dipilih sekolah berprestij

PETALING JAYA – Kementerian Pelajaran akan memilih 100 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh negara termasuk sekolah harian dan sekolah berasrama penuh untuk diberi taraf sebagai sekolah berprestij tinggi (SBT).
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, guru-guru dan pengetua yang memimpin sekolah itu akan diberikan Indeks Prestasi Utama (KPI) dan penanda aras yang ditetapkan.
‘‘Saya yakin SBT akan memberikan daya saing yang tinggi di kalangan pengetua.
‘‘Mesyuarat mengenai SBT baru bermula hari ini dan konsep serta modus operandi mengenainya akan dibentangkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin yang juga Menteri Pelajaran pada 31 Julai ini,’’ katanya.
Mohd. Puad berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Cemerlang Kali Kedua dan Majlis Penganugerahan Watikah Pelantikan Pengetua Cemerlang DG52 Tahun 2009 di Hotel Summit di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan), Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim.
Tambah Mohd. Puad, selain konsep SBT perkara lain yang akan dibentangkan kepada Timbalan Perdana Menteri pada 31 Julai ini adalah pendidikan prasekolah sebagai pendidikan kebangsaan.
Sementara itu Noor Rezan ketika ditanya sama ada SBT akan melibatkan sebarang peruntukan, beliau berkata, setakat ini belum ada sebarang perbincangan mengenai peruntukan untuk SBT.
Pada majlis yang sama, Mohd. Puad turut melancarkan buku Amalan-Amalan Terbaik Pengurusan Pendidikan yang dikeluarkan oleh Majlis Pengetua Kanan Kebangsaan.