Showing posts with label Komentar Dan Isu. Show all posts
Showing posts with label Komentar Dan Isu. Show all posts

Friday, January 1, 2010

HUKUM SYARIAH: ANTARA ANWAR IBRRAHIM, KARTIKA SARI DEWI DAN DR ROSLI

Tiba tiba isu permohonan Anwar Ibrahim, supaya kes tuduhan liwat beliau dibicarakan secara perundangan Islam kembali panas. Penyokong PKR, seperti yang tersiar dalam akhbar SUARA KEADILAN, menuntut supaya kes liwat Anwar hendaklah diselesaikan melalui pendekatan hukum syarak. Kehadiran tokoh ulamak terkenal Sheikh Yusuf Qardawi di Malaysia dipergunakan oleh PKR untuk menyuarakan pandangan ini. Sudah tentulah Sheikh Yusuf Qardawi akan bersetuju dengan pandangan tersebut.
2. Sebenarrnya ramai yang lupa, Anwar Ibrahim pernah memfailkan permohonan kes qazaf pada bulan Julai 2008 di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan. Ini berkaitan dengan kes liwat beliau. Di bawah perundangan Islam, sudah tentu sebarang pertuduhan memerlukan empat saksi yang melihat aksi tersebut berlaku. Oleh itu peluang Anwar memenangi kesnya lebih mudah.
3. Tetapi Mahkamah Syariah menangguhkan permohonan itu, sehinggalah kes Anwar selesai dibicarakan oleh mahkamah sivil yang akan bermula pada 25hb Januari 2010 ini. Anwar sudah tentu kecewa dengan keputusan itu. Perbicaraan di mahkamah biasa sudah tentu lebih rumit dan mencabar buatnya. Saya difahamkan YB Zulkifli Nordin ada berkata, PKR akan menghantar satu delegasi untuk mengadakan perbincangannya dengan Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Islam Sedunia supaya pertuduhan liwat terhadap Anwar di bawa ke peringkat antarabangsa dan menuntut kes itu diselesaikan secara perundangan Islam.
4. Isu yang berbangkit di sini ialah, kenapa PKR dan Anwar mahu kes ini dibicarakan menggunakan perundangan Islam. Memang sukar pihak pendakwa untuk mencari empat saksi utama. Mengikut Islam syarat untuk menjadi saksi amat ketat. Saya yakin inilah alasan utama mereka memilih undang undang Islam. Anwar boleh menang tanpa perlu dibicara. Kerana sukar mencari 4 saksi utama.
5. Persoalannya, apakah Pengerusi DAP, Karpal Singh akan bersetuju untuk dilaksanakan satu perbicaraan yang mengikut al Quran dan al Sunnah, sedangkan Mahkamah Tinggi Jenayah di Kuala Lumpur sudah pun menetapkan 25 Januari hingga 24 Febuari 2010 sebagai tarikh bermulanya perbicaraan? Bukankah Karpal Singh pernah berkata langkah mayatnya terlebih dahulu, sebelum dilaksanakan hukum Islam di Malaysia? Qazaf adalah satu daripada hukum Hudud dalam Islam.
6. Saya juga hairan dengan pendirian Anwar sebelum ini. Pada 18hb Julai 2009, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan telah menjatuhkan hukuman 6 kali sebatan ke atas Kartika Sari Dewi kerana minum arak di khalayak ramai. Hukuman sebat ini adalah mengikut kaedah syarie. Kenapakah Anwar memperlekehkan hukuman yang telah diputuskan ini? Rujuk bukti ini di http://video.aol.co.uk/video-detail/anwar-tak-setuju-kartika-dirotan/3775182011. Kartika setuju dia dihukum secara Islam. Tetapi Anwar tidak setuju. Dia mempolitikkan isu Kartika, kerana ada benefit politik. Dia tidak peduli pun soal hukum Islam.
7. Dan apa pula agaknya pendirian PKR dan Anwar termasuk di negeri negeri yang mereka perintah, jika ada penjenayah, termasuk perompak bank, perogol dan perasuah yang beragama Islam menuntut supaya mereka dibicarakan mengikut al Quran dan as Sunnah (yang memerlukan 4 saksi utama yang melihat aksi jenayah ketika merogol dan merompak) dengan alasan mereka juga mempunyai hak dari segi syariah untuk mempertahankan diri? Jika Anwar mendapat hak ini, kenapa tidak dengan penjenayah penjenayah lain. Sanggupkah YB Zulkifli Nordin bawa kes ini juga ke peringkat antarabangsa?
8. Kenapa agaknya dalam kes tuntutan penyokong penyokong Anwar Ibrahim ini, PAS yang selama ini memperjuangkan Hukum Hudud di Malaysia hanya mendiamkan diri? Apakah mereka tidak bersetuju kes Anwar dibicarakan mengikut perundangan Islam? Mungkin itu sebabnya Dr. Rosli, bekas Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan tidak mahu mengiktiraf keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu ke atas dirinya yang telah dibuat pada 21hb Disember 2009 yang lalu. Dia diperintah bermufarakah dengan isterinya. Tetapi rupanya penyokong kuat Husam ini bukan kecik anak. Pada 22hb disember mereka bernikah pula di Selatan Thailand dan terus menghilangkan diri tanpa hormat kepada ibu bapa, apatah lagi mahkamah syariah. Apakah ini ajaran Islam? Kenapa pemimpin PAS mendiamkan diri.
9. Kesimpulannya, semuanya kerana politik. Sebab itu konvensyen Pakatan Rakyat yang baru lalu hanya retorik. Mereka tidak berani pun untuk menyentuh perkara perundangan Islam. Maka bagaimana Pakatan Rakyat bersedia untuk didaftarkan, jika tidur sama bantal tetapi mimpi lain lain. Pakatan Rakyat diyakini lebih tertekan apabila UMNO nanti melancarkan gagasan baru ' UMNO JUARA RAKYAT' pada 9 januari ini, sedangkan PKR hanyalah parti 'JUARA INDIVIDU' iaitu Anwar Ibrahim. Sebab itu Zulkifli Nordin terpaksa pergi ke peringkat antarabangsa, hanya untuk memperjuangkan nasib 'individu' ini. Inilah dilema PAS dan DAP.

Friday, December 11, 2009

JANGAN TIRU BINATANG LAUT INI - UNDUR UNDUR

Today at 10:40pm Edit Note Delete


1. Ada sejenis binatang laut. Namanya Undur Undur. Tetapi binatang ini hanya hidup di kawasan pantai sahaja, bukannya di laut. Tepatnya di daerah pesisir pantai yang berpasir kering. Mereka juga boleh dijumpai di pinggiran sungai yang tidak berpasir.
2. Ukuran bintang ini amat kecil. Kecil sedikit daripada sebiji kacang tanah. Warnaya bintik bintik hitam-putih atau kelabu, tergantung habitatnya. Saya suka menjadikan cara hidup binatang ini sebagai contoh dalam ceramah ceramah saya terutamanya di kalangan guru. Binatang ini tidak berbahaya kerana ia cinta kedamaian.
3. Binatang ini dipanggil Undur-Undur (mundur-mundur) kerana ia bergerak atau berjalan undur ke belakang.Bagi binatang ini, berjalan undur ke belakang bermakna ia berjalan ke depan seperti manusia dan binatang yang lain berjalan maju ke depan. Kalau kita berjalan dengan cara undur ke belakang, sudah tentu orang akan ketawakan kita. Mereka akan kata, kita GILA.
4. Tetapi binatang Undur Undur ini mempunyai perangan yang aneh. Walaupun ia bergerak undur ke belakang, tetapi jika kita tarik dia ke belakang dia akan melawan untuk bergerak ke depan. Dan sebaliknya bila ditarik ke depan dia akan melawan untuk bergerak undur ke belakang.Diarah ke kiri, dia akan melawan ke kanan. Dan jika di arah ke kanan dia akan melawan ke kiri.
5. Bila dia bergerak laju, dia akan membalikkan badan, menelentang dan berputar putar tidak keruan. Pendek kata, hanya jika dipaksa, binatang yang dainggap lemah dan sederhana ini tidak akan tunduk pada perintah dan peraturan orang lain. Dia hidup dan bergerak menurut kehendaknya sahaja.
6. Persoalan dan pengajaran yang mahu kita berkongsi di sini ialah, apakah kita juga mempunyai tabiat seperti undur-undur. Susah mahu berubah, susah mahu maju, ikut kepalanya sahaja, tidak boleh berunding, semua ikut tafsirannya dan dia sahaja yang betul. Seperti cara pihak tertentu mentafisr Perlembagaan Persekutuan.
7. Kita rasa kita maju, tetapi sebenarnya mundur seperti undur-undur. Dulu jalan kampung, sekarang berubah jadi jalan 4 lorong dan bertol. Tetapi cara berlalu lalang amat primitif. Gila gilaan. Sebab itu saya sedih melihat banyak nyawa yang terkorban di jalan raya. Sedih bila menonton berita perdana TV3 sebentar tadi, seorang pengantin dan kedua ibunya terkorban. Majulah rakyatku.

Tuesday, December 1, 2009

PEMIMPIN DAP PIJAK GAMBAR - GAMBAR SIAPA YANG WAJAR DIPIJAK

1. Akhbar Utusan hari ini menyiarkan di muka hadapan, tindakan beberapa orang pemimpin DAP termasuk Lim Kit Siang memijak gambar tiga ADUN Perak yang keluar parti dan menjadi bebas. Mereka marah kerana angkara tiga ADUN tersebut, kerajaan PR di Perak berjaya ditumbangkan.
2. Setelah menggunakan berbagai cara, termasuk bersidang di bawah pokok, menderhaka pada Sultan Perak (Nizar kata 'Patek Mohon Derhaka') dan mencabarnya di mahkamah, akhirnya pemimpin DAP terpaksa pijak gambar ADUN tersebut untuk melepaskan geram.
3. Wajarkah perbuatan tersebut? Pada mereka sudah tentu wajar. Pada saya memang wajar kerana selama ini pun pemimpin DAP sering bertindak seperti tidak berakal dan tidak bermaruah.
4. Di Parlimen mereka sering berhujah bahawa rakyat mahukan perubahan politik. Mereka dengan bangga mengatakan, merekalah pejuang 'politik bermaruah'. Sebab itu kononnya mereka menang banyak kerusi dalam PRU ke 12.
5. Sepatutnya ahli-ahli DAP memijak gambar pemimpin mereka seperti Lim Ki Siang. Merekalah yang bertanggungjawab dan memberi kepercayaan kepada YB Hee Yit Fong supaya bertanding di DUN Jelapang. Ini bermakna mereka cuai dan mungkin pilih kasih sehingga YB Hee terpilih sebagai calon. Di atas kecuaian dan salah pilih calon itu, maka Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng patut disalahkan.
6. Oleh itu gambar mereka wajar dipijak. Bahkan Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng wajar memijak gambar mereka sendiri sebagai tanda kekesalan di atas kesilapan tersebut.
7. Di samping itu, kenapa mereka tidak berani memijak gambar Anwar Ibrahim? Anwar Ibrahimlah yang memilih kedua-dua wakil rakyat iaitu Kapten (B) Mohd Osman (Changkat Jering) dan Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) sebagai calon PKR di kawasan tersebut. Sepatutnya mereka lebih marah kepada Anwar dengan kerenah wakil-wakil rakyat daripada PKR yang letak jawatan dan menjadi bebas termasuk di tempat-tempat lain yang mencemarkan imej Pakatan Rakyat.
8. Oleh itu siapa yang tidak bermaruah? Tiga ADUN bebas itu atau pemimpin utama DAP dan PKR? Bahkan belum tentu ketiga-tiga ADUN itu tidak bermaruah. Mungkin kerana maruah politik, maka mereka bertindak keluar daripada parti dan menjadi ADUN bebas. Kebenarannya ada.
9. Pembangkang kini dilanda berbagai isu. Contohnya di Pulau Pinang, mana maruah Lim Guan Eng apabila menyampaikan bantuan kepada rakyat miskin termasuk orang Islam yang di buat di dalam kawasan Tokong. Apakah tidak ada tempat lain. Kenapa beliau tidak sensitif. Paling nyata di Selangor, Ronnie Liu (Exco kerajaan Selangor) bertindak mengarahkan majlis perbandaran memulangkan balik arak-arak yang dirampas. Orang PAS diam seribu bahasa. Akhirnya Dr. Hassan Ali (Exco agama) pula disalahkan dan disoal siasat oleh Jawatankuasa Disiplin PAS kerana mempertikaikan peranan SELCAT. Mungkin orang PAS tidak tergamak memijak gambar pemimpin DAP. Tetapi kenapa tidak tergamak? Apakah kerana larangan agama, atau takut kehilangan DAP sebagai kawan politik atau memang tidak seberani dulu kerana ikut telunjuk Anwar Ibrahim.
10. Saya harap orang UMNO tidak melakukan perbuatan keji tersebut. Kita kena ikut teladan Dato' Sri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri yang sememangnya komited dengan politik baru yang lebih bermaruah. Sebab itu Perdana Menteri kata, Nik Aziz tidak perlu minta maaf kepada beliau. Beliau menyerahkan kepada rakyat untuk menilai. Rakyat yang akan menentukan siapa yang patut dihukum. Tidak perlu pijak-pijak gambar.
11. Betapa bermaruahnya Perdana Menteri apabila bersetuju memberikan wang ihsan kepada kerajaan Kelantan walaupun Kelantan tidak ada hak. Tidak ada hak kerana minyak tidak ditemui dalam perairan Kelantan. Ia ditemui di luar kawasan tiga batu nautika. Tetapi budi baik dan ihsan Perdana Menteri itu dibalas dengan doa yang tidak bermaruah.
12. Jadi siapakah yang mengamalkan politik tidak bermaruah. Marilah kita menyokong Dato' Sri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri yang serius, bersopan santun, bertimbang rasa, cepat responsif kepada setiap masalah dan tidak emosi menyuruh orang MEMIJAK-MIJAK GAMBAR dan mendoakan orang Islam yang baik hati supaya dilaknat. Tetapi mungkin kita boleh membenarkan gambar Perdana Menteri Israel dipijak kerana beliau kejam dan sememangnya pengganas.

Friday, November 27, 2009

TAKUT KEPADA BTN KERANA PERTAMBAHAN AHLI BARU CUMA 1000 ORANG.

Kebanyakan media hari ini melaporkan, kerajaan Selangor melarang kakitangan awam dan pelajar IPT milik negeri tersebut daripada mengikuti kursus yang dianjurkan oleh BTN. Alasannya ialah, kursus itu menanamkan semangat perkauman dan rasa benci terhada kaum dan agama tertentu. Sebenarnya ada perbezaan antara rasa perkauman dengan nasionalisme Melayui. Perkauman adalah perasaan di mana kita curiga, membenci, memusuhi, bahkan cuba menyisihkan kaum kaum tertentu. Ia boleh membawa kepada pergaduhan dan 'ethnic cleansing' seperti yang dilakukan oleh Etnik Serb terhadap orang Islam di Bosnia.

BTN adalah agensi kerajaan. Mana mungkin agensi kerajaan mahu menanamkan semangat perkauman terhadap kaum lain. Jika tidak,Malaysia sudah tentu menjadi negara yang tidak aman, berlaku pembunuhan kaum, kuil kuil dirobohkan, sami sami Budha disembelih dan sebagainya.Semua orang tahu bahkan dunia menerima hakikat Malaysia negara yang aman. Yang suka menjadikan negara ini kecoh dan huru hara melalui demonstrasi jalanan ialah pihak pembangkang. Pendirian kerajaan adalah jelas iaitu adil kepada semua kaum. Sebab itu kerajaan menubuhkan jawatankuasa kabinet mengenai orang India.

Sebenarnya yang suka menimbulkan rasa benci dan perkauman ialah pertubuhan Hindraf. Mereka mengemukakan saman di Mahkamah London. Hindraf menuduh berlaku ethnic cleansing di Malaysia. Kuil dan sekolah Tamil dirobohkan dan berbagai lagi tuduhan dan fitnah yang tidak masuk akal. Tetapi kenapa PKR dan DAP menyokong Hindraf. Sedangkan jelas, Hindraf bermain api dengan tuduhan palsu mereka itu. Hindraf banyak melakukan demonstrasi jalanan sebelum ini sehingga menganggu ketenteraman awam. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab kerajaan bertindak tegas terhadap kumpulan haram tersebut.

Kerajaan Selangor yang diterajui oleh PKR juga patut sedar bahawa DAP juga suka bermain dengan isu perkauman. Lim Kit Siang pernah berhujah di parlimen apabila Barack Obama yang berketuruan negro dan berkulit hitam dipilih sebagai Presiden Amerika. Dia memuji rakyat Amerika dan mengatakan Malaysia tertinggal ke belakang kerana rasa perkauman yang menebal dan tidak menerima orang Cina menjadi Perdana Menteri. DAP adalah rakan baik PKR. Membandingkan Amerika yang sudah 200 tahun merdeka berbanding dengan Malaysia yang baru 52 tahun memang tidak tepat.

Di Amerika adakah orang Cina mememgang jawatan tinggi dalam pentadbiran Obama. Adakah orang India dilantik menjadi menteri dalam pentadbiran di negara China. Begitu juga di UK dan Perancis. Kenapa mahu dibandingkan dengan Malaysia. Di Malaysia, kita boleh saksikan ramai anggota kabinet daripada kaum Cina dan India. Jadi kalau agensi kerajaan seperti BTN dituduh perkauman maka itu tidak benar. Kalau BTN hanya menanamkan semangat kebangsaan Melayu, itu tidak salah. Memang pemimpin Melayu dalam PKR sendiri selalu bercakap mengenai semangat kebangsaan Melayu. Mereka tidak boleh berbohong.

Mengenai jawatan Perdana Menteri, Lim Kit Siang patut bertanya kepada Anwar Ibrahim. Sanggupkah Anwar menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada beliau jika sekiranya Pakatan Rakyat memerintah negara? Saya yakin PKR dan Dr. Halimah Ali (exco kerajaan negeri) termasuk PAS tidak bersetuju. Jawapannya mudah, mereka memang tahu DAP perkauman dan DAP akan menjalankan dasar yang akan mengenepikan orang Melayu dan Islam. Ini yang berlaku di Selangor sekarang sehingga menyebabkan berlaku krisis antara Dr. Hassan Ali (exco agama Selangor) dengan MB Selangor, Dr Xavier dan Ronald Liu exco kerajaan negeri daripada DAP.

Bahkan PAS sendiri bimbang, jika sekiranya Pakatan Rakyat memerintah, siapakah yang memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri. PAS sudah tentu tidak mahu menyerahkannya kepada DAP. Sebab itu PAS mahu memujuk beberapa orang ahli parlimen UMNO menyertai PAS jika sekiranya kerajaan BN tumbang pada 16 September tahun lepas. PAS cuma ada 22 kerusi di parlimen sedangkan DAP 28 kerusi. Sudah tentu DAP lebih berhak mendapat jawatan Timbalan Perdana Menteri. Justeru Lim Kit Siang harus melihat sebenarnya rasa perkauman memang wujud dalam Pakatan Rakyat.

Kalau begitu apakah sebenarnya motif kerajaan Selangor membuat larangan mengikuti kursus BTN itu? Jawapannya mudah. Mereka bimbang sokongan terhadap Pakatan Rakayat khususnya PKR yang semakin merosot. Mereka bertambah bimbang apabila parti Makkal Sakthi ditubuhkan ditubuhkan oleh beberapa orang bekas pemimpin Hindraf. Parti ini dilancarkan oleh Perdana Menteri. Bahkan parti tersebut menyatakan sokongan terbuka mereka kepada Barisan Nasional.

Pertambahan undi dan sokongani orang India kepada BN di pilihanraya kecil Bagan Pinang semakin membimbangkan PKR khususnya Anwar. Selama ini peralihan undi orang India kepada PKR amat menguntungkan Anwar. Tetapi menurut sumber kawan kawan dalam PKR, pertambahan ahli baru dalam PKR untuk tahun 2009 cuma seramai 1000 orang sahaja. Bahkan permohonan ahli baru daripada orang India terlalu kecil. Ditambah dengan masalah dalaman yang dihadapi oleh PKR, perpecahan dalam PAS akibat pengaruh Anwar dan kes mahkamah yang sedang dihadapi oleh Anwar, menyebabkan tidak sukar untuk memahami apa yang tersirat di sebalik larangan kerajaan Selangor itu.

Cuma tektiknya tidak berubah. Tuduh orang lain perkauman. Sedangkan membangkitkan sentimen kaum lain untuk meraih sokongan atas alasan kononnya untuk membela mereka yang terpinggir juga sebenarnya adalah bermain isu perkauman. Pokoknya gagasan 1 Malaysia membuktikan komitmen Perdana Menteri bahawa, kerajaan BN bukan perkauman tetapi melaksanakan dasar seperti yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Pakatan Rakyat cukup takut jika sekiranya BTN memberikan penerangan lebih lanjut dan mendalam mengenai 1 Malaysia dalam kursus kursus tersebut. Pembangkang menjadi defensif apabila 1 Malaysia semakin difahami dan dilaksanakan seperti yang terdapat dalam 6 NKRA (keberhasilan negara) menjelang 2012.

Monday, November 23, 2009

GURU CEMERLANG - GURU SEMBERONO

Hari ini saya merasmikan Persidangan Kebangsaan Guru Cemerlang ke 7 di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur. Jawatan guru cemerlang diwujudkan sejak tahun 1994. Sekarang ini terdapat lebih kurang 14,000 jawatan guru cemerlang. Yang telah diisi hanya 9293 jawatan dari gred DGA 32 hingga ke Gred Khas C. Ini bermakna masih ada lebih kurang 4,000 kekosongan jawatan guru cemerlang. Kenapa berlaku kekosongan ini? Sebenarnya tidak ramai yang memohon jawatan guru cemerlang. Jawatan guru cemerlang perlu dipohon. Tahun ini cuma ada lebih kurang 8,000 orang guru sahaja yang memohon.




Satu sebab kenapa mereka tidak memohon ialah mereka merasakan belum layak untuk digelar sebagai guru cemerlang. Sebab lain ialah, setengah daripada mereka percaya jika menjadi guru cemerlang, maka beban kerja guru akan semakin bertambah. Ada juga yang beranggapan, jika dipilih sebagai guru cemerlang mereka mungkin akan dipindahkan ke sekolah lain. Apatah lagi jika ditukarkan ke kawasan pendalaman khususnya di Sabah atau Serawak.










Sunday, November 22, 2009

SAYA MUNDUR KE BELAKANG

Hari ini akhbar STAR menyiarkan, pandangan mereka yang tidak bersetuju dengan saya mengenai isu penggunaan Bahasa Melayu disektor swasta dan GLC. Sebenarnya semasa merasmikan Persidangan Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu' saya mencadangkan supaya GLC dan sektor swasta menggunakan Bahasa Melayu dalam mesyuarat Lembaga Pengarah mereka. Bahkan saya juga menyebut, akan memulangkan surat surat sektor swasta yang dihantar ke pejabat saya yang menggunakan Bahasa Inggeris.
Pada saya, kenapa mereka mesti menggunakan bahasa Inggeris? Kalau bermesyuarat sesama rakyat Malaysia gunakanlah Bahasa Melayu. Barulah pembudayaan bahasa Melayu dapat ditingkatkan. Mustahil rakyat Malaysia tidak boleh berbahasa Melayu. Mereka tuduh, saya mundur ke belakang. Hujah mereka lagi, ini bertentangan dengan seranan Perdana Menteri untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi. Pelabur asing tidak akan datang ke negara kita dan Malaysia akan dipinggirkan. Ini yang saya kata budaya orang Malaysia amat pelik. Kenapa bila kita berjumpa sesama kita rakyat Malaysia mesti berbual dalam bahasa Inggeris. Apakah itu life style untuk menunjukkan kita maju. Atau menunjuk nunjuk kita adalah educated. Salahkah kita menunjuk nunjuk dan rasa bangga bila menggunakan bahasa kebangsaan kita sendiri. Kenapa bila kita bermesyuarat sesama kita mesti menggunakan bahasa Inggeris? Apa kena mengena dengan usaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia.
Kalau nak tarik pelabur asing atau bermesyuarat dengan pelabur asing, gunalah bahasa Inggeris. Memang itu pun kegunaan bahasaInggeris. Kerana ia bahasa antarabangsa. Saya pun tidak membantahnya. Yang saya tegur, mesyuarat mesyuarat rasmi GLC dan sektor swasta, termasuk mesyuarat senate di universiti universiti tempatan. Gunalah Bahasa Melayu. Taatlah sikit kepada bahasa kebangsaan sendiri. Apa kena mengena dengan produktiviti kita. Bahkan apabila ia menjadi modal sosial dan modal budaya kita, semangat kekitaan itulah yang menjadikan kita lebih bedaya saing dan ada jati diri.
Perancis, Jepun, China dan Korea begitu taat kepada bahasanya. Keempat empat negara tersebut adalah negara maju. Kita sendiri kagum dengan mereka. Saya tidak membangkitkan pun isu patriotisme. Itu bukan hujah saya. Taat yang saya maksudkan ialah keyakinan kepada jati diri sendiri. Saya tidak kata mereka tidak patriotik, tetapi mereka mungkin kabur soal pentingnya bahasa sendiri sebagai modal sosial dan modal budaya. Sebab itu saya setuju dengan tokoh bahasa seperti Dato Hassan Ahmad bila berhujah kaitan bahasa dan kemajuan.
Sekarang ini ada 45 negara yang menggunakan bahasa Inggeris. Tolak Britain, Amerika, Australia, New Zealand dan Kanada tinggal 40 negara. Kebanyakan 40 negara yang menjadikan Inggeris sebagai bahasa rasmi seperti Ghana, Zambia dan Zimbabwe adalah cukup miskin. Bahasa Perancis digunakan di 30 negara. Tolak Perancis, Queebec, Belgium dan Switzerland, tinggal 26 negara. Tetapi apakah negara negara seperti Ivory Coast, Mali, Togo, Haiti dan Chad adalah negara maju? Begitu juga bahasa Sepanyol. 30 negara menjadikannya bahasa rasmi, terutamanya di Amerika Selatan. Kebanyakannya adalah negara yang berpendapatan rendah. Cameroon menjadikan Inggeris dan Perancis sebagai bahasa rasmi, manakala Surinam menjadikan Inggeris dan Belanda sebagai bahasa rasmi. Tetapi kedua duanya tidak dianggap sebagai negara maju.
Jadi belum tentu menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi menjadikan negara itu negara maju, meningkatkan pendapatan negara, atau jaminan pelabur asing akan masuk. Menggunakan bahasa Melayu bila bermesyuarat dan berbual sesama kita sendiri bukan langkah mundur ke belakang. Bahkan ia langkah maju ke depan. Beribu doktor dan jurutera yang dilahirkan oleh UKM yang ketika itu menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya.

Tuesday, November 17, 2009

ORANG MALAYSIA TERMASUK ORANG MELAYU TIDAK TAAT PADA BAHASANYA

Assalamualaikum wr.wb. dan salam 1 Malaysia.

Hari ini saya merasmikan Persidangan Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu. Persidangan ini dianjurkan oleh UPM dengan kerjasama DBP. Tema seminar ini ialah 'Pemerkesaan Bahasa Melayu sebagai jati diri pembinaan negara bangsa'. Saya ambil kesempatan dalam ucapan perasmian itu untuk membangkitkan perkara pokok iaitu 'pembudayaan Bahasa Melayu' di Malaysia.
Bahasa adalah modal sosial dan juga modal budaya. Bangsa yang meminggirkan bahasanya adalah bangsa yang tidak bernyawa dan bangsa yang tidak ada jati diri. Oleh sebab itu pembudayaan bahasa amat penting. Ia akan melahirkan bangsa yang bergerak secara kolektif. Rasa kebertanggungjawaban kental. Macam orang Jepun. Ini yang Francis Fukuyama sebut, kenapa orang Jepun ada budaya Japanaese Incorporated. Mereka ada budaya kepada bahasanya sendiri. Tetapi budaya bahasa rakyat Malaysia khususnya orang Melayu amat menyakitkan hati, mengecewakan dan kadang kadang membimbangkan. Lihat sahaja bahasa sms dan bahasa di internet. Pelik sungguh budaya bahasa orang Melayu hari ini.
Contoh pertama, apabila orang Melayu berbual bual sesama mereka khususnya golongan elit, mereka suka berbual dalam Bahasa Inggeris. Apa perlunya mereka berbual dalam bahasa Inggeris. Kita tidak macam orang Perancis, orang Jepun dan orang Korea. Kalau berbual sesama sendiri, mereka tetap menggunakan bahasa mereka, bukan bahasa Inggeris. Pelik kedua ialah kita suka berbual bual terutamanya golongan kelas menengah menggunakan bahasa rojak yang bercampur campur antara Bahasa Melayu dengan Bahasa Inggeris. Ini cukup jelas dalam drama drama TV termasuk yang disiarkan dalam TV 1 dan TV 2. TV 3 jangan kira. Kita lihat skripnya adalah skrip bahasa yang bercampur campur. Budaya ketiga ialah rakyat Malaysia tidak taat kepada bahasa seperti orang Perancis yang begitu taat pada bahasanya. Orang Perancis walaupun tahu dan fasih berbahasa Inggeris, tetapi mereka tetap bercakap bahasa Perancis.
Bagi mereka bahasa Perancis mempunyai sejarah yang lama. Mereka mendakwa bahasa Perancis bahasa diplomatik di Erofah berbanding bahasa Inggeris. Sebenarnya Bahasa Melayu juga telah berusia 2000 tahun. Bahasa Melayu telah mengalami 6 peringkat evolusi dari bahasa purba hingga menjadi bahasa moden. Tetapi apakah masalah kita sebenarnya. Masalahnya ialah kita tidak dapat membezakan perana bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Kita melihat peranan bahasa Melayu sebagai bahasa urusan rasmi sahaja. Itu pun dinodai. Masalah seterusnya ialah kita seperti tidak lagi berkeupayaan bahkan tidak mahu mengawal pun tindakan pihak swasta dan GLC yang menggunakan sepenuhnya bahasa Inggeris dalam mesyuarat mesyuarat lembaga pengarah mereka. Dengan perkembangan sektor swasta yang pesat, maka dikhuatiri, budaya tidak taat pada bahasa ini semakin menjadi jadi.
Masalahnya, bukan masalah bahasa Melayu, tetapi masalah sikap kita. Kita sendiri yang mengkhianati dasar negara atau mencemarkan citra budaya Malaysia. Sebab itu ada mesyuarat mesyuarat di peringkat fakulti dan senat universiti yang tetap menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya. Inilah yang mencabar pembudayaan bahasa Melayu di Malaysia.
Oleh itu kepimpinan melalui teladan adalah penting. Mesyuarat kabinet dan pasca kabinet mestilah dilaksanakan dalam Bahasa Melayu sepenuhnya, sebab mesyuarat itu adalah di kalangan rakyat Malaysia yang sudah bersetuju bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Perserkutuan. Sebagai kesimpulan dalam ucapan perasmian itu, saya tegaskan jika saya menerima surat daripada mana mana agensi kerajaan, syarikat swasta, GLC dan rakyat Malaysia yang menggunakan Bahasa Inggeris, maka saya akan memulangkan surat itu kepada pengirimnya supaya ditulis kembali dalam bahasa Melayu. 'Bahasa Jiwa Bangsa'

Sunday, November 15, 2009

POLITIK TANAHAIR SEMAKIN PANAS

Assalamualaikum, salamsejahtera dan salam 1 Malaysia.


Minggu ini saya akan mula menulis untuk memberi pandangan dan kritik atas berbagai isu yang menjadi perhatian rakyat. Saya memang sudah lama tidak menulis. Untuk dikatakan sebok memang sebok. Alhamdulillah sekarang sudah boleh menyesuaikan masa setelah hampir 7 bulan dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelajaran dan ahli Majlis Tertinggi UMNO. Dalam tempoh itu saya berjaya melawat 89 buah sekolah khususnya di pendalaman. Untuk makluman, di Malaysia ada lebih kurang 10,000 buah sekolah.


Bayangkan bolehkah saya melawat kesemua sekolah tersebut? Sudah tentu mustahil. Tetapi sekurang kurangnya 89 buah sekolah itu sudah dapat membantu saya memahami cabaran pendidikan di negara kita terutamanya untuk merapatkan jurang pendidikan bandar dan luar bandar.


Saya sudah sampai di Kinabatangan, Tawau, Sandakan, Ranau, Kundasang, Beufort, Papar, Sipitang termasuklah sekolah di Long Pasia yang bersempadan dengan Sarawak dan Indonesia, di Sukau, Pulau Bumbum dan Pulau Sebatek yang juga bersempadan dengan Indonesia.


Di Sarawak, saya ke Baram, Marudi, Miri dan Limbang. Saya sampai ke Sekolah Kebangsaan Gadong Limbang yang bersempadan dengan Brunei. Saya juga melawat ke sekolah di pulau pulau seperti Pulau Aur, Pulau Tinggi, Pulau Sibu, Pulau Pemanggil dan Pulau Tuba. Saya juga tidak lupa untuk melawat sekolah sekolah orang asli seperti di SK Peta, SK Sedohok, SK Lenjan dan SK Titum.


Kebanyakan perjalanan ke sekolah sekolah tersebut memang mencabar. Merentasi hutan melalui jalan balak, meredah sungai menggunakan bot dan 4 wheel drive seperti untuk ke SK Titum yang mengambil masa 5 jam.


Tetapi sebagai Timbalan Menteri Pelajaran saya bangga dengan semangat guru guru kita yang berbakti di kawasan pendalaman. Kerajaan sendiri menghargai pengorbanan mereka itu dengan memberikan elaun tambahan. Jika pendalaman 3 (P3) guru dapat RM 1500, P2 dapat RM1000 dan P1 dapat RM 500.


Tetapi dalam kesebokan tugas itu saya tidak boleh mengenepikan perhatian saya terhadap isu politik. Ini kerana saya juga orang politik. Saya Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat. Saya dipilih sebagai calon parlimen Batu Pahat kerana kedudukan saya dalam politik UMNO. Bahkan saya sekarang ini juga adalah ahli Majlis Tertinggi UMNO.


Falsafah politik saya adalah jelas iaitu 'Politik Hati Nurani'. Roh kerakyatan adalah inspirasi perjuangan saya. Sebab itu saya tidak taksub kepada orang. Saya taksub kepada perjuangan. Saya setia kepada pemimpin selagi dia setia kepada perjuangan. Ketaksuban kepada perjuangan itulah menjadi sumber kekuatan saya dalam berpolitik. Iaitu berani dan yakin.


Justeru, saya tidak terganggu dengan suasana politik panas yang masih berterusan minggu ini. Isu baiah talak tiga, ADUN PKR berpaling tadah, kes liwat Anwar di Mahkamah, Azmin Ali beli saham RM 8 juta, isu Lim Guan Eng berbohong mengenai 'land conversion' di Pulau Pinang, Zulkifli Nordin cabar Sivarasa supaya letak jawatan, Nik Aziz ditaja oleh kontraktor untuk menunaikan haji dengan kos RM 65,000, perbalahan MCA yang terus dramatik, dan aduan mengenai salahlaku menantu Nik Aziz sebagai CEO syarikat kerajaan negeri Kelantan semuanya itu ada kaitan dengan politik hati nurani.


Politk di Malaysia adalah politik mencari 'siapa yang salah' bukannya 'apa yang salah'. Oleh itu siapa yang lebih bijak, pantas dan sanggup pula berputar belit terhadap sesuatu isu maka dialah yang menang. Politik persepsi buruk semakin membudaya di Malaysia. Bagi pihak pembangkang, inilah kelebihan yang menjadi kekuatan kepada mereka. Mereka berjaya mengujudkan 'persepsi buruk' terhadap kerajaan.


Bagi pihak kerajaan teruatamanya Barisan Nasional inilah yang menjadi ancaman kepadanya kerana terlalu defensif tidak ofensif terhadap pembangkang. Soalnya perlukah BN mengambil kesempatan di atas kecelaruan pembangkang sekarang ini untuk mengujudkan 'persepsi buruk' terhadap pakatan mereka.


Dari segi hukum politik memang perlu. Apatah lagi, masalah yang dihadapi oleh pembangkang adalah atas fakta yang benar bukannya rekaan. Maka bagi saya menyerang pembangkang untuk untuk tujuan 'persepsi buruk' tidak bertentangan dengan politik hati nurani saya.


Contohnya, baiah talak tiga. Ia adalah kemungkaran. Khalid Samad ahli parlimen Shah Alam sendiri yang mengaku. Bahkan isteri beliau seorang Prof Madya di Universiti turut mengaku wujudnya baiah itu. Kenapa ini berlaku? Tentu kita hairan sebagai sebuah parti Islam, mereka tidak dapat mengawal tingkah laku ahlinya. Pendedahan itu menimbulkan keraguan terhadap keupayaan PAS kerana masih wujud cabang cabang kefahaman politik dan dan amalan hukum di kalangan kepimpinannya sendiri.


Satu perkara yang tidak boleh dinafikan oleh PAS ialah kewujudan kabilah kabilah dalam parti tersebut. Khalid Samad sendiri aktif dengan kumpulan 'Suara Islam' sebelum menyertai PAS. Kumpulan ini pernah menubuhkan Parti Negara Islam (PNIM). Awal tahun 80an mereka meletakkan calon dibandar bandar besar seperti Kuala Lumpur. Kononnya orang cina boleh menyokong gagasan negara Islam mereka. Ternyata mereka hilang wang pertaruhan. Khalid Samad menyertai PAS dan menjadi seorang yang semakin liberal terhadap politik Islamnya. Sebab itu dia kata guna perkataan Allah tidak salah walaupun rakannya dari Baling, YB Taib Azamuddin kata tidak sesuai. Khalid juga boleh menjadi terlalu ekstrem sehingga sanggup melakukan baiah talak 3.


Dalam PAS ada pula kumpulan IRC (Islamic Representative Council). Mereka dulu pengkritik kuat PAS. Tapi sekarang menyertai PAS dan kebanyakannya menjadi wakil rakyat. Mereka inilah yang menjadi penyokong kuat Anwar dalam UMNO. Mereka lebih yakin Anwar layak jadi PM. Sebab itu mereka tidak bersetuju kerajaan perpaduan yang pernah dibangkitkan oleh Ustaz Hadi. Mereka gunakan Nik Aziz untuk menentang idea tersebut. Dengan kata lain Anwar berjaya mengujudkan satu lagi kabilah dalam PAS.


Hari ini (16/11/2009) dalam parlimen Anwar mempertahankan Nik Aziz. Dia kata tidak salah orang sponsor Nik Aziz menunaikan haji walaupun dengan kos RM65,000. Dia kata itu teknikal. Saya bangun mencelah, kalau begitu kenapa Nik Aziz batalkan pemergiannya itu. Apakah jika isu itu tidak didedahkan, maka Nik Aziz tidak akan membatalkannya. Dari segi moral wajarkah Nik Aziz menerima tawaran menunaikan haji yang ditaja oleh seorang kontraktor yang mungkin dapat projek di Kelantan. Pada saya tidak manis dan tidak sesuai. Kalau ditaja oleh ahli ahlinya yang beribu orang katakanlah seorang seringgit, mungkin boleh diterima. Tetapi pergi haji dengan kos RM65,000 juga boleh dipersoalkan kerana Nik Aziz mendakwa dia seorang yang sederhana dan tawaddhu'. Itulah hujahnya bila dia tidak mahu tinggal di rumah rasmi Menteri Besar dulu.
Apa yang lebih membengongkan kita ialah, apabila Nik Aziz kata, mereka yang mainkan isu ini umpama orang Quraish yang cuba menghalang Rasulullah menunaikan haji. Wajarkah perbandingan tersebut? Nik Aziz memang terkenal sebagai seorang yang suka menggunakan perbandingan logik. Dan hujah beliau sering dianggap betul oleh pengikutnya walaupun meragukan.
Contohnya, Nik Aziz pernah berkata, Allah juga mencarut. Meminta pertolongan syaitan dibolehkan. Mengumpat juga dibenarkan dan lain lain lagi yang pelik pelik. Ia bertambah pelik, kalau orang lain bawa isu itu dianggap sesat. Tetapi kalau Nik Aziz yang kata, tidak mengapa pula.
Isunya, kenapa Anwar bawa perkara ini dalam parlimen ketika berbahas diperingkat jawatan kuasa. Apakah Anwar bercakap atas hati nurani. Kalau isu itu berkaitan dengan pemimpin UMNO, sudah tentu dia akan hentam habis habisan. Nik Aziz adalah penyokong kuat Anwar. Maka sudah tentulah Anwar mesti mempertahankan Nik Aziz. Anwar tentu marah apabila Zaid Ibrahim mencadangkan supaya Nik Aziz dilantik sebagai ketua kepada Pakatan Rakyat. Zaid menyebabkan Anwar semakin pening kepala.
Sebenarnya banyak isu yang menjadikan pembangkang menjadi pening kepala. Kalau diikutkan, BN boleh mengeksploitasinya supaya 'persepsi buruk' terkena kepada pembangkang. Hari ini sahaja, YB dari Bandar Kucing (DAP) bawa usul di parlimen agar gaji Tan Seri Nor Yaakop Menteri di JPM dipotong sebanyak RM10. Tujuannya ialah untuk memberi persepsi buruk terhadap kerajaan. Alasan beliau ialah ada peruntukan yang sepatutnya dihantar ke bandar Kucing tetapi di hantar ke kawasan parlimen lain dan digunakan pula untuk baik pulih masjid. Dia kata tidak adil.
Tetapi apakah jawapan YB Bandar Kucing itu apabila Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga dari DAP menyampaikan bantuan fakir miskin orang Islam dari Tasek Gelugor di tempat lain iaitu di Tokong Cina Teluk Air Tawar. Untuk fakir miskin Bagan pula diadakan di Tokong Cina depan mahkamah. Apakah ini betul. Apakah persepsi rakyat di Pulau Pinang. Bolehkah ia menjadi negatif kepada Pakatan Rakyat di Pulau Pinang? Semoga rakyat semakin cerdik menilainya.
Terima kasih.