Sunday, November 15, 2009

POLITIK TANAHAIR SEMAKIN PANAS

Assalamualaikum, salamsejahtera dan salam 1 Malaysia.


Minggu ini saya akan mula menulis untuk memberi pandangan dan kritik atas berbagai isu yang menjadi perhatian rakyat. Saya memang sudah lama tidak menulis. Untuk dikatakan sebok memang sebok. Alhamdulillah sekarang sudah boleh menyesuaikan masa setelah hampir 7 bulan dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelajaran dan ahli Majlis Tertinggi UMNO. Dalam tempoh itu saya berjaya melawat 89 buah sekolah khususnya di pendalaman. Untuk makluman, di Malaysia ada lebih kurang 10,000 buah sekolah.


Bayangkan bolehkah saya melawat kesemua sekolah tersebut? Sudah tentu mustahil. Tetapi sekurang kurangnya 89 buah sekolah itu sudah dapat membantu saya memahami cabaran pendidikan di negara kita terutamanya untuk merapatkan jurang pendidikan bandar dan luar bandar.


Saya sudah sampai di Kinabatangan, Tawau, Sandakan, Ranau, Kundasang, Beufort, Papar, Sipitang termasuklah sekolah di Long Pasia yang bersempadan dengan Sarawak dan Indonesia, di Sukau, Pulau Bumbum dan Pulau Sebatek yang juga bersempadan dengan Indonesia.


Di Sarawak, saya ke Baram, Marudi, Miri dan Limbang. Saya sampai ke Sekolah Kebangsaan Gadong Limbang yang bersempadan dengan Brunei. Saya juga melawat ke sekolah di pulau pulau seperti Pulau Aur, Pulau Tinggi, Pulau Sibu, Pulau Pemanggil dan Pulau Tuba. Saya juga tidak lupa untuk melawat sekolah sekolah orang asli seperti di SK Peta, SK Sedohok, SK Lenjan dan SK Titum.


Kebanyakan perjalanan ke sekolah sekolah tersebut memang mencabar. Merentasi hutan melalui jalan balak, meredah sungai menggunakan bot dan 4 wheel drive seperti untuk ke SK Titum yang mengambil masa 5 jam.


Tetapi sebagai Timbalan Menteri Pelajaran saya bangga dengan semangat guru guru kita yang berbakti di kawasan pendalaman. Kerajaan sendiri menghargai pengorbanan mereka itu dengan memberikan elaun tambahan. Jika pendalaman 3 (P3) guru dapat RM 1500, P2 dapat RM1000 dan P1 dapat RM 500.


Tetapi dalam kesebokan tugas itu saya tidak boleh mengenepikan perhatian saya terhadap isu politik. Ini kerana saya juga orang politik. Saya Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat. Saya dipilih sebagai calon parlimen Batu Pahat kerana kedudukan saya dalam politik UMNO. Bahkan saya sekarang ini juga adalah ahli Majlis Tertinggi UMNO.


Falsafah politik saya adalah jelas iaitu 'Politik Hati Nurani'. Roh kerakyatan adalah inspirasi perjuangan saya. Sebab itu saya tidak taksub kepada orang. Saya taksub kepada perjuangan. Saya setia kepada pemimpin selagi dia setia kepada perjuangan. Ketaksuban kepada perjuangan itulah menjadi sumber kekuatan saya dalam berpolitik. Iaitu berani dan yakin.


Justeru, saya tidak terganggu dengan suasana politik panas yang masih berterusan minggu ini. Isu baiah talak tiga, ADUN PKR berpaling tadah, kes liwat Anwar di Mahkamah, Azmin Ali beli saham RM 8 juta, isu Lim Guan Eng berbohong mengenai 'land conversion' di Pulau Pinang, Zulkifli Nordin cabar Sivarasa supaya letak jawatan, Nik Aziz ditaja oleh kontraktor untuk menunaikan haji dengan kos RM 65,000, perbalahan MCA yang terus dramatik, dan aduan mengenai salahlaku menantu Nik Aziz sebagai CEO syarikat kerajaan negeri Kelantan semuanya itu ada kaitan dengan politik hati nurani.


Politk di Malaysia adalah politik mencari 'siapa yang salah' bukannya 'apa yang salah'. Oleh itu siapa yang lebih bijak, pantas dan sanggup pula berputar belit terhadap sesuatu isu maka dialah yang menang. Politik persepsi buruk semakin membudaya di Malaysia. Bagi pihak pembangkang, inilah kelebihan yang menjadi kekuatan kepada mereka. Mereka berjaya mengujudkan 'persepsi buruk' terhadap kerajaan.


Bagi pihak kerajaan teruatamanya Barisan Nasional inilah yang menjadi ancaman kepadanya kerana terlalu defensif tidak ofensif terhadap pembangkang. Soalnya perlukah BN mengambil kesempatan di atas kecelaruan pembangkang sekarang ini untuk mengujudkan 'persepsi buruk' terhadap pakatan mereka.


Dari segi hukum politik memang perlu. Apatah lagi, masalah yang dihadapi oleh pembangkang adalah atas fakta yang benar bukannya rekaan. Maka bagi saya menyerang pembangkang untuk untuk tujuan 'persepsi buruk' tidak bertentangan dengan politik hati nurani saya.


Contohnya, baiah talak tiga. Ia adalah kemungkaran. Khalid Samad ahli parlimen Shah Alam sendiri yang mengaku. Bahkan isteri beliau seorang Prof Madya di Universiti turut mengaku wujudnya baiah itu. Kenapa ini berlaku? Tentu kita hairan sebagai sebuah parti Islam, mereka tidak dapat mengawal tingkah laku ahlinya. Pendedahan itu menimbulkan keraguan terhadap keupayaan PAS kerana masih wujud cabang cabang kefahaman politik dan dan amalan hukum di kalangan kepimpinannya sendiri.


Satu perkara yang tidak boleh dinafikan oleh PAS ialah kewujudan kabilah kabilah dalam parti tersebut. Khalid Samad sendiri aktif dengan kumpulan 'Suara Islam' sebelum menyertai PAS. Kumpulan ini pernah menubuhkan Parti Negara Islam (PNIM). Awal tahun 80an mereka meletakkan calon dibandar bandar besar seperti Kuala Lumpur. Kononnya orang cina boleh menyokong gagasan negara Islam mereka. Ternyata mereka hilang wang pertaruhan. Khalid Samad menyertai PAS dan menjadi seorang yang semakin liberal terhadap politik Islamnya. Sebab itu dia kata guna perkataan Allah tidak salah walaupun rakannya dari Baling, YB Taib Azamuddin kata tidak sesuai. Khalid juga boleh menjadi terlalu ekstrem sehingga sanggup melakukan baiah talak 3.


Dalam PAS ada pula kumpulan IRC (Islamic Representative Council). Mereka dulu pengkritik kuat PAS. Tapi sekarang menyertai PAS dan kebanyakannya menjadi wakil rakyat. Mereka inilah yang menjadi penyokong kuat Anwar dalam UMNO. Mereka lebih yakin Anwar layak jadi PM. Sebab itu mereka tidak bersetuju kerajaan perpaduan yang pernah dibangkitkan oleh Ustaz Hadi. Mereka gunakan Nik Aziz untuk menentang idea tersebut. Dengan kata lain Anwar berjaya mengujudkan satu lagi kabilah dalam PAS.


Hari ini (16/11/2009) dalam parlimen Anwar mempertahankan Nik Aziz. Dia kata tidak salah orang sponsor Nik Aziz menunaikan haji walaupun dengan kos RM65,000. Dia kata itu teknikal. Saya bangun mencelah, kalau begitu kenapa Nik Aziz batalkan pemergiannya itu. Apakah jika isu itu tidak didedahkan, maka Nik Aziz tidak akan membatalkannya. Dari segi moral wajarkah Nik Aziz menerima tawaran menunaikan haji yang ditaja oleh seorang kontraktor yang mungkin dapat projek di Kelantan. Pada saya tidak manis dan tidak sesuai. Kalau ditaja oleh ahli ahlinya yang beribu orang katakanlah seorang seringgit, mungkin boleh diterima. Tetapi pergi haji dengan kos RM65,000 juga boleh dipersoalkan kerana Nik Aziz mendakwa dia seorang yang sederhana dan tawaddhu'. Itulah hujahnya bila dia tidak mahu tinggal di rumah rasmi Menteri Besar dulu.
Apa yang lebih membengongkan kita ialah, apabila Nik Aziz kata, mereka yang mainkan isu ini umpama orang Quraish yang cuba menghalang Rasulullah menunaikan haji. Wajarkah perbandingan tersebut? Nik Aziz memang terkenal sebagai seorang yang suka menggunakan perbandingan logik. Dan hujah beliau sering dianggap betul oleh pengikutnya walaupun meragukan.
Contohnya, Nik Aziz pernah berkata, Allah juga mencarut. Meminta pertolongan syaitan dibolehkan. Mengumpat juga dibenarkan dan lain lain lagi yang pelik pelik. Ia bertambah pelik, kalau orang lain bawa isu itu dianggap sesat. Tetapi kalau Nik Aziz yang kata, tidak mengapa pula.
Isunya, kenapa Anwar bawa perkara ini dalam parlimen ketika berbahas diperingkat jawatan kuasa. Apakah Anwar bercakap atas hati nurani. Kalau isu itu berkaitan dengan pemimpin UMNO, sudah tentu dia akan hentam habis habisan. Nik Aziz adalah penyokong kuat Anwar. Maka sudah tentulah Anwar mesti mempertahankan Nik Aziz. Anwar tentu marah apabila Zaid Ibrahim mencadangkan supaya Nik Aziz dilantik sebagai ketua kepada Pakatan Rakyat. Zaid menyebabkan Anwar semakin pening kepala.
Sebenarnya banyak isu yang menjadikan pembangkang menjadi pening kepala. Kalau diikutkan, BN boleh mengeksploitasinya supaya 'persepsi buruk' terkena kepada pembangkang. Hari ini sahaja, YB dari Bandar Kucing (DAP) bawa usul di parlimen agar gaji Tan Seri Nor Yaakop Menteri di JPM dipotong sebanyak RM10. Tujuannya ialah untuk memberi persepsi buruk terhadap kerajaan. Alasan beliau ialah ada peruntukan yang sepatutnya dihantar ke bandar Kucing tetapi di hantar ke kawasan parlimen lain dan digunakan pula untuk baik pulih masjid. Dia kata tidak adil.
Tetapi apakah jawapan YB Bandar Kucing itu apabila Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga dari DAP menyampaikan bantuan fakir miskin orang Islam dari Tasek Gelugor di tempat lain iaitu di Tokong Cina Teluk Air Tawar. Untuk fakir miskin Bagan pula diadakan di Tokong Cina depan mahkamah. Apakah ini betul. Apakah persepsi rakyat di Pulau Pinang. Bolehkah ia menjadi negatif kepada Pakatan Rakyat di Pulau Pinang? Semoga rakyat semakin cerdik menilainya.
Terima kasih.


















0 comments: