Monday, January 18, 2010

SEGERAKAN MAJLIS PERUNDINGAN AGAMA

Nampaknya ramai pihak yang bersetuju dengan saranan Timbalan Perdana Menteri agar disegerakan penubuhan Majlis Perundingan Agama di Malaysia. Saya yakin fungsi majlis ini tidak sama dengan Interfaith Commission (Suruhanjaya Pelbagai Agama) yang pernah dicadangkan sebelumnya. Sebuah Majlis tidak sama dengan Suruhanjaya. Kalau suruhanjaya, sudah tentu ia ada kuasa. Maka tidak wajar Agama Islam diletakkan dengan kedudukan yang sama dengan ajaran agama lain kerana Islam adalah agama Persekutuan.
2. Memang benar isu penggunaan Kalimah Allah perlu diselesaikan segera. Kita tidak mahu pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk mengeruhkan lagi keadaan. Mungkin amaran yang dikeluarkan Kedutaan Amerika di Kuala Lumpur supaya rakyatnya tidak ke Pulau Sipadan dan Mabol ada kaitan dengan serangan terhadap beberapa gereja di Malaysia. Itulah musibahnya jika isu ini dibiarkan berlarutan. Kerajaan Malaysia wajar dipuji kerana cukup bertanggungjawab untuk mengatasinya.
3. Anwar Ibrahim dalam majlis ceramahnya di Kuantan menuduh, kontroversi kalimah Allah sengaja direka oleh UMNO. Seperti biasa dia akan menggunakan tokoh Maal Hijrah Dr Yusuf Qardawi sebagai sumber rujukannya. Apakah dia bertanya kepada Yusuf Qardawi mengenai hasrat kerajaan menubuhkan Majlis Perundingan Agama ini. Kita pun ingin tahu apakah agaknya jawapan Yusuf Qardawi. Saya yakin tokoh ulama itu akan bersetuju. Tetapi saya juga yakin Anwar Ibrahim tidak akan menyatakannya kepada orang ramai. Bahkan kenapa Anwar sendiri tidak menyatakan pendiriannya sama ada menyokong atau tidak menyokong penubuhan Majlis Perundingan ini. Jawapannya amat mudah, Anwar takut tidak mendapat political dividen. Justeru siapakah sebenarnya yang mahu mempolitikkan isu ini? Apa untungnya kerajaan mensensasikan isu kalimah Allah, jika ia boleh mengancam keselamatan negara? Ia juga boleh menjatuhkan kerajaan yang sedia ada. Sebenarnya pihak lain yang memang suka dengan budaya street demonstration lebih suka isu ini berlarutan kerana rakyat mudah dikelirukan apabila huru hara berlaku.
4. Majlis Peguam pula mencadangkan isu ini perlu diselesaikan di luar mahkamah. Proses mahkamah akan menyebabkan satu pihak sahaja yang menang. Yang kalah sudah tentu tidak berpuas hati. Bukankah dengan tertubuhnya Majlis Perundingan ini, maka penyelesaian di luar mahkamah lebih mudah dilaksanakan? Mungkin Majlis Perundingan Agama yang dicadangkan itu boleh menjadi pemandu bagaimana isu ini boleh diselesaikan di luar mahkamah. Justeru, saya menyokong mereka yang ada kredibiliti sahaja perlu menganggotai majlis ini. Mereka yang berkredibiliti boleh menjamin dialog berjalan dalam keadaan yang harmoni. Mereka juga mesti berkemampuan meyakinkan pengikut masing masing dan orang ramai untuk menerima jika cadangan Majlis ini diterima dan diguna pakai oleh kerajaan. Dengan kata lain Majlis ini mesti berkeupayaan menjadi satu badan yang dihormati oleh semua pihak, walaupun ia bukan bertaraf sebagai sebuah Suruhanjaya.
5. Melaui Majlis ini ini mungkin dapat difahamkan kepada bukan Islam bahawa Islam adalah agama Aqidah. Kalimah Allah adalah isu Aqidah. Sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, maka mereka sepatutnya bertolak ansur dan perlu faham kenapa dalam konteks Malaysia, penganut agama lain tidak wajar menggunakan kalimah Allah.
6. Bagi penganut Kristian, nama tuhan mereka boleh diubah ubah mengikut bahasa yang digunakan dalam upacara keagamaan masing masing. Ini diakui sendiri oleh Tan Sri Bernard Dompok. Katanya, 'komuniti Kristian di Sabah seperti juga Murut dan Kadazandusun mengadakan upacara keagamaan dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan bahasa ibunda mereka. Kalau dalam bahasa Inggeris perkataan Tuhan(God) digunakan. Jika dalam Bahasa Melayu Tuhan (Allah) digunakan. Sekiranya dalam bahasa Ibunda seperti Kadazandusun, Kinoingam digunakan.
7. Ini membuktikan, penggunaan nama Tuhan bagi penganut Kristian tidak sama seperti penganut Islam. Bagi penganut Islam, nama Tuhan mereka tidak boleh diubah ubah. Kalimah Allah adalah mesti dan wajib, walaupun upacara keagamaan itu dijalankan mengikut bahasa yang berbeza beza.
8. Sebab itu sebelum ini saya ada mencadangkan jalan kompromi. Mungkin ini boleh dibincangkan dalam Majlis Perundingan Agama itu. Bolehkah kalimah Allah pada orang Kristian dieja dengan Tuhan 'Ala' atau Tuhan 'Alah' (tiada H atau satu L)? Orang Islam menyebut Allah dengan tajwid. Orang Kristian tidak ada tajwid. Memang mereka menyebutnya dengan sebutan 'Ala' atau 'Alah". Ini bermakna Tuhan Ala atau Tuhan Alah yang ditulis dalam akhbar atau enjil mereka itu nanti akan bermakna Tuhan berkonsepkan Triniti. Iaitu tuhan yang beranak dan diperanakkan. Manakala Allah dalam konteks Islam yang disebut dengan tajwid ialah Tuhan yang Esa, tidak beranak dan tidak diperanakkan. Sebagai contoh, lagu Ala Mengerti dan Ala Peduli nyanyian Jeffry S Tjandra, yang disiarkan dalam U Tube, kalau didengar secara teliti memang disebut dengan 'Ala'.
9. Sebenarnya di negara kita ini, sejak ratusan tahun Kristian dikembangkan tanpa sebarang masalah. Mereka tidak memakai pun kalimah Allah. Ajaran Kristian dapat difahami dan dikembangkan berleluasa. Tetapi kenapa sekarang ini kalimah Allah mahu digunakan secara provokatif. Di Sabah dan Sarawak, pengaruh Indonesia yang sudah menterjemahkan Bible ke Bahasa Indonesia, menyebabkan wujud penggunaan kalimah Allah. Tetapi jika hujah Tan Sri Bernard Dompok itu digunakan, maka boleh dirumuskan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian khususnya di Sabah dan Sarawak bukan rigid dan tiada kaitan dengan Aqidah. Maka mampukah Majlis Perundingan Agama ini merundingkan supaya penggunaan Kalimah Allah dihadkan hanya kepada orang Islam.
10. Lagi pun di beberapa negeri seperti Selangor, Kelantan, Pahang dan Johor penggunaan Kalimah Allah dihadkan hanya untuk orang Islam sahaja. Jika Majlis Perundingan Agama yang dicadangkan itu mampu menyelesaikannya di luar mahkamah, ini bermakna penubuhan Majlis Perundingan ini adalah berbaloi.






0 comments: