Friday, October 30, 2009

Isu guru pelatih gemuk selesai

KUALA LUMPUR - Hanya salah faham sahaja dan kes seorang pelatih guru di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Rajang, Sarawak yang mendakwa telah diminta berhenti kerana terlalu gemuk, selesai.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pelatih itu akan meneruskan latihannya seperti biasa untuk menjadi seorang guru kerana dasar kerajaan adalah jelas iaitu tidak pernah menetapkan syarat individu gemuk tidak boleh diterima menjadi guru.
Jelasnya, dalam setiap perkara berbangkit setiap pihak perlu merujuk kembali kepada peraturan sedia ada iaitu tiada syarat khusus berkenaan.
''Ia sebenarnya adalah salah faham sahaja, tidak timbul isu Kementerian Pelajaran memberi arahan supaya pelatih itu diberhentikan kerana terlalu gemuk.
''Kes ini dikira selesai dan tidak berbangkit lagi kerana dalam apa-apa perkara kena rujuk kepada peraturan sedia ada, dia akan teruskan latihan untuk menjadi guru,'' katanya.
Mohd. Puad berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran rancangan animasi kanak- kanak terbaru, Boo and Me oleh KidsCo di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas dakwaan pelatih di IPGM berkenaan, Joanna Gilbert Asson, 29, bahawa dia telah dimaklumkan oleh pegawai kanan institut itu bahawa dirinya tidak layak menjadi guru kerana terlalu gemuk.
Lulusan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten) itu juga mendakwa pegawai terbabit telah memintanya mendaftar semula sebagai pelatih hanya setelah dia dapat menguruskan badannya yang kini seberat 110 kilogram.
Ketika diminta mengulas apa yang dimaksudkan salah faham itu, Mohd. Puad menjelaskan bahawa berkemungkinan besar nasihat sedemikian diberikan kerana pihak berkenaan beranggapan Joanna tidak mampu menjalankan tugasnya dengan baik.
''Mungkin ia lebih kepada budi bicara Jabatan Pelajaran negeri atau IPGM, tetapi ia tidak berbangkit lagi kerana peraturan asalnya adalah tiada syarat orang gemuk tidak boleh menjadi guru,'' katanya.
Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa nasihat atau pandangan pihak jabatan akan terpakai jika ia diberikan semasa proses pengambilan guru pada peringkat awal lagi sebelum diterima memasuki IPGM.
''Contohnya pelatih yang sedang sarat mengandung, semasa datang untuk proses pemilihan pengambilan, panel biasanya akan menasihatkannya supaya memohon semula selepas bersalin,'' jelasnya.

0 comments: