Friday, October 30, 2009

Kementerian perlu maklumat pelatih gemuk diberhentikan

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelajaran memerlukan lebih banyak maklumat sebelum membuat ulasan mengenai dakwaan terdapat seorang pelatih di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Rajang, Sarawak diminta berhenti kerana terlalu gemuk.
Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, sehingga kini tiada sebarang maklumat diterima pihaknya daripada pengurusan IPGM itu walaupun berita mengenai perkara berkenaan telah disiarkan oleh akhbar.
"Saya tidak boleh membuat komen mengenai perkara ini kerana kita masih menunggu maklumat daripada pengurusan IPGM," katanya ringkas selepas mewakili kerajaan Malaysia menandatangani memorandum persefahaman dalam bidang pendidikan dengan kerajaan Republik Demokratik Timor Leste di Bangunan Parlimen di sini hari ini.
Republik itu diwakili Duta Besarnya ke Malaysia, Juvencio De Jesus Martins.
Martins sebelum itu membuat kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin di pejabatnya di Bangunan Parlimen.
Beliau mengulas laporan akhbar hari ini mengenai dakwaan pelatih di IPGM berkenaan, Joanna Gilbert Asson, 29, bahawa dia telah dimaklumkan pegawai kanan institut itu bahawa dirinya tidak layak menjadi guru kerana terlalu gemuk.
Lulusan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten) itu juga mendakwa pegawai terbabit telah memintanya mendaftar semula sebagai pelatih hanya setelah dia dapat menguruskan badannya yang kini seberat 110 kilogram.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Puad berkata, kerajaan Malaysia akan membantu melatih guru-guru dari Timor Leste di IPGM memandangkan republik itu tidak mempunyai kemudahan sedemikian.
"Bagi jangka masa panjang, kita juga akan turut membantu mewujudkan insitut pendidikan guru di negara berkenaan bagi memastikan ia dapat mengeluarkan lebih ramai guru terlatih," katanya.
Tambah beliau, kerjasama lain dengan republik itu akan melibatkan bidang latihan teknik serta vokasional, pembangunan kurikulum dan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam bilik darjah.

0 comments: