Tuesday, October 6, 2009

Banyak sekolah pedalaman Sabah, Sarawak masih daif, kekurangan

Pengorbanan golongan pendidik pastikan kualiti pendidikan diterima sama seperti di bandar bandar

TANYALAH guru yang pernah berkhidmat di pedalaman Sarawak sekitar 1990-an dulu dan pasti menyifatkan keadaan sekolah tempat mereka mengajar amat daif dan serba kekurangan. Bangunan sekolah dibina daripada kayu, tiada bekalan air serta elektrik, terpaksa menaiki bot atau melalui jalan balak untuk sampai selain murid yang terpaksa berjalan kaki berjam-jam lamanya, berikutan kampung mereka terletak jauh di atas gunung atau di hulu sungai.

Realitinya sekarang, keadaan itu belum banyak berubah. Hampir 90 peratus sekolah di pedalaman Bumi Kenyalang masih dalam keadaan asal ketika ia mula dibina dengan murid yang kebanyakannya berasal daripada keluarga yang hidup di bawah paras kemiskinan terpaksa bergantung kepada bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi mendapatkan makanan berzat.

Di Sarawak, sekolah dibahagikan kepada tiga kategori iaitu kawasan bandar serta luar bandar dan pedalaman yang dibezakan mengikut cara perhubungan ke lokasi itu sama ada ia boleh dihubungi melalui jalan darat atau terpaksa menempuh perjalanan sungai dan hutan tebal.

Bagi Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Lubok Tekurok, Limbang, Sumsu Jabat, cabaran berkhidmat di sekolah luar bandar atau pedalaman memberi pengertian sebenar pengorbanan yang terpaksa dilakukan golongan pendidik bagi memastikan ilmu pengetahuan dapat disampaikan kepada generasi muda.

Walaupun SK Lubok Tekurok hanya mempunyai enam kelas dengan jumlah murid tidak sampai 100 orang, Sumsu menganggap setiap mereka mempunyai potensi digilap menjadi permata yang dapat berjasa kepada keluarga dan negara suatu hari nanti.

"Ibu bapa di sekitar Lubok Tekurok bukan orang senang dengan kebanyakannya hanya bekerja sebagai nelayan atau petani kampung. Namun, sekurang-kurangnya mereka mempunyai keinginan melihat anak mereka menjadi insan yang lebih berjaya daripada mereka.

"Dengan bantuan kerajaan seperti bantuan buku teks, RMT dan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), ia secara tidak langsung banyak membantu memastikan murid miskin ini meneruskan pendidikan mereka walaupun terpaksa belajar dalam keadaan serba kekurangan.

"Pencapaian SK Lubok Tekurok juga boleh dibanggakan dengan kita mensasarkan lebih 70 peratus calon yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) akan lulus semua mata pelajaran selepas mencatatkan lebih 50 peratus kelulusan pada tahun lalu," katanya ketika ditemui Berita Harian.

SK Lubok Tekurok adalah antara sekolah luar bandar di Sarawak yang dilawati Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkarshi, baru-baru ini, yang meninjau keadaan sekolah di negeri ini yang ternyata agak terkebelakang berbanding sekolah di Semenanjung. Beliau menyaksikan sendiri bagaimana murid semuda usia tujuh tahun tidak kira lelaki atau perempuan terpaksa berkongsi semuanya di dua blok bangunan asrama kayu, berkata kemudahan itu perlu dipertingkatkan segera, namun mengakui ia memerlukan peruntukan besar.

"Kementerian Pelajaran sedia maklum kebanyakan murid dan pelajar sekolah di Sabah dan Sarawak terpaksa tinggal di asrama sepanjang tempoh pembelajaran mereka sehingga ada adik beradik seramai empat atau lima orang serentak duduk di asrama sama.

"Apa yang dirisaukan adalah struktur sekolah yang kekal dalam keadaan kayu kerana jika berlaku sesuatu masalah seperti kebakaran, ia dengan mudah akan merebak dan jika tiada pelan kecemasan dibuat, kita bimbang berlaku insiden lain pula.

"Pada peringkat saya, memang ada cadangan sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman ini dinaik taraf kepada bangunan yang lebih sempurna. Namun ia mengambil masa serta memerlukan perbelanjaan besar memandangkan ada sekolah yang terletak terlalu jauh di hulu sungai," katanya.

Atas sebab itu, timbul idea bagi menggabungkan beberapa sekolah rendah di kawasan luar bandar atau di kampung berdekatan kepada hanya satu sekolah baru yang lebih sempurna dan mempunyai kemudahan setanding sekolah di bandar. Cadangan itu sebenarnya sudah dilaksanakan di kawasan luar bandar di Semenanjung dengan Kementerian Pelajaran terpaksa bertindak menutup beberapa sekolah di kawasan kampung sebelum semua murid sekolah diserap ke sekolah baru serba lengkap.

Beliau berkata, cadangan itu dilihat lebih praktikal dalam konteks sekolah di Sabah dan Sarawak kerana ia hanya memerlukan kerajaan mengeluarkan kos pembinaan sebuah sekolah baru berbanding terpaksa menaik taraf setiap sekolah luar bandar yang uzur. "Bagaimanapun, dengan hanya menaik taraf sekolah luar bandar, kita masih belum mampu mencapai tahap kecemerlangan yang dikehendaki jika ada masalah seperti ibu bapa masih enggan menghantar anak ke sekolah atau apabila tiba musim menuai, anak-anak dipaksa membantu di ladang.

"Kerajaan memang mampu menyediakan infrastruktur tetapi pengisiannya pula bagaimana? Disebabkan itu kita pada peringkat kementerian akan mencadangkan penubuhan satu unit khas bagi memantau sekolah luar bandar untuk memastikan kualiti pendidikan yang diterima mereka sama seperti di bandar. "Saya yakin, murid di kawasan luar bandar juga mampu mencapai kecemerlangan sama seperti di bandar jika potensi mereka digilap oleh guru yang tidak terlalu membezakan siapa anak murid mereka," katanya.

0 comments: