Thursday, November 5, 2009

Bantuan: Sistem e-Kasih tentukan kelayakan pelajar

KUALA LUMPUR – Sistem e-Kasih akan tetap menjadi panduan utama dalam menentukan seseorang pelajar itu layak menerima bantuan kewangan atau sebaliknya.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, sistem Jabatan Perangkaan Negara itu lebih adil kerana berjaya menghakis ketirisan dalam mengeluarkan wang untuk bantuan pelajar sekolah.
Katanya, ia terbukti berjaya apabila berdasarkan Bajet 2010 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, kerajaan hanya mengeluarkan sejumlah RM2.8 bilion berbanding RM3.6 bilion bagi 2009.
“Sebelum ini, bantuan disalurkan melalui Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin berjumlah RM650,000 tetapi kita belanja lebih daripada itu sehingga mencecah RM400 juta.
“Ia berlaku kerana pada waktu itu pelajar yang layak mendapat bantuan dikenal pasti oleh pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan disahkan penghulu atau ketua kampung,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff (PKR-Balik Pulau) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Mohd. Puad berkata, antara kriteria penerima bantuan itu ialah warganegara Malaysia, bersekolah di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan, mempunyai kelayakan khusus mengenai jenis bantuan dan tiada sempadan politik.
“Semua pelajar turut layak mendapat bantuan lain seperti yuran peperiksaan awam yang melibatkan perbelanjaan RM219 juta, yuran asrama dan makanan asrama.

0 comments: