Friday, September 3, 2010

NAMEWEE: JANGAN JADIKAN 1MALAYSIA KAMBING HITAM

Mutakhir ini gagasan 1Malaysia cuba dijadikan sebagai kambing hitam, bagi melepaskan tengkuk masing masing atau untuk mencari alasan. Namewee mengatakan dia anti perkauman dan berpegang teguh kepada 1Malaysia. Ada pula yang berani menuduh, isu perkauman yang semakin panas sekarang ini berpunca daripada gagasan 1Malaysia. Terdapat pihak yang semakin berani menuntut beberapa perkara seperti menghapuskan kuota Bumiputra kerana ia tidak sesuai dengan gagasan 1Malaysia. Manakala parti pembangkang terutamanya DAP dan PKR menggunakan berbagai tektik untuk memburuk burukkan gagasan tersebut, kerana dikhuatiri akan menarik sokongan bukan Melayu. Sebab itu mereka menuduh 1Malaysia adalah idea Yahudi yang dibawa masuk melalui APCO.

Namewee menjadikan 1Malaysia sebagai perisai untuk melindungi dirinya yang tersepit akibat keterlanjuran video klipnya yang biadap itu. Setelah menghina negara dengan lagu rentak rap NEGARAKUKU sebelum ini, dia rupanya tidak serik dengan video klip terbaru itu. Namewee tidak boleh dimaafkan dan dilepaskan begitu sahaja. Sepatutunya dia direman, didakwa secepat mungkin dan dikenakan hukuman berat seperti kes bakar gereja dan mengarak kepala lembu. Video klipnya itu memang provokasi perkauman. Maka janganlah jadikan 1Malaysia sebagai kambing hitam.

Malang sekali, ada pula yang menuduh 1Malaysia sebagai punca isu perkauman semakin panas. Bagi mereka 1Malaysia menggalakkan bukan Melayu termasuk MCA dan Gerakan bertambah berani menuntut berbagai perkara seperti penghapusan sistem kuota Bumiputra dan biasiswa JPA.

Sebenarnya Perdana Menteri telah menjelaskan, 1Malaysia berpaksikan kepada Perlembagaan Persekutuan. Ini bermakna tidak timbul soal untuk menghapuskan Perkara 153 Hak Keistemewaan Orang Melayu. Sepatutnya bagi mereka yang suka menyalahkan dan bagi mereka yang cuba menuntut perkara yang bukan bukan wajib berpegang kepada prinsip yang sudah dijelaskan olehPerdana Menteri. Mereka menyalah ertikan maksud 'equality' sebagai kesamarataan seperti Malaysian Malaysia. Sedangkan Perdana Menteri dengan tegas menolak gagasan lapuk DAP itu yang sekarang ini cuba diganti dengan 'Middle Malaysia'.

Equality mesti ditafsir sebagai kesaksamaan bukan kesamarataan. Kesaksamaan tidak sama dengan kesemarataan. Kalau majoriti orang Melayu masih miskin, jauh tertinggal dalam berbagai bidang terutama dalam bidang perniagaan dan ekonomi, maka salahkah kerajaan memberi kesaksamaan melalui sistem kuota. Sedangkan itu pun yang dibenarkan dalam Perlembagaan.

Pembinaan negara Malaysia tidak sama dengan pembinanaan negara Amerika. Negara Amerika wujud melalui dua proses kezaliman iaitu perang saudara dan dasar perbezaan warna kulit. Dalam sejarahnya orang kulit hitam pernah tidak dibenarkan naik bas yang sama dengan orang kulit putih. Belajar di kolej yang sama turut tidak dibenarkan. Kumpulan ganas seperti Klu Klux Klan wujud sekian lama. Tetapi pernahkah ia berlaku di Malaysia. Pernahkah kita mengasingkan sebagai contohnya tandas orang Melayu dan bukan Melayu? Ia tidak beerlaku kerana kelahiran negara Malaysia berasaskan 'sosial kontrak'. Sebab itu syarat kewarnegaraan dilonggarkan dan dalam masa yang sama wujud fasal seperti Perkara 153 mengenai Hak Keistemewaan orang Melayu. Maka kenapa ia mahu dipersoalkan sekarang ini.

Matlamat 1Malaysia, di mana rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan cukup jelas. Apabila rakyat menjadi keutamaan melalui sistem yang effisien, maka negara akan maju dan bersatu padu. Maka tidak perlulah kita mempertikaikan apa yang sudah dipersetujui dalam perlembagaan. 1Malaysia berpaksikan perlembagaan, maka jangan jadikan 1Malaysia sebagai kambing hitam.

Oleh itu Namewee mesti bertanggungjawab. Rasa benci terhadap pengetua yang dituduh mengeleuarkan kata kata berbaur perkauman tidak boleh dibalas dengan cara yang tidak bertamadun dan kurang ajar, apatah lagi dengan kontroversi perkauman. 1Malaysia tidak mengajar cara sedemikian. Jangan jadikan 1Malaysia sebagai kambing hitam.. Terlajak perahu boleh ditarik, tetapi terlajak kata buruk padahnya.
Jangan ditutup isu Namewee dengan mengaitkannya dengan isu pengetua sekolah di Kulai itu. Kebiadapan Namewee adalah secara terbuka melalui blognya. Dan ia bukan kali pertama. Isu pengetua tersebut ramai yang tidak ada fakta sebenar. Ia disalah tafsir. Ini diakui sendiri oleh PIBG sekolah tersebut. Namewee benar benar menguji pendirian banyak pihak. Mahu bertegas atau berkrompomi.

Tuesday, August 17, 2010

Ada tiga kenyataan Dr. Chua Soi Lek yang perlu diulas. Jika tidak diulas, rakyat bukan sahaja
keliru, tetapi akan membiarkan Dr. Chua terus bercakap atas isu yang hanya membangkitkan rasa sakit hati orang Melayu.

Pertama, dia menuduh UMNO jangan ikut rentak PAS dalam isu agama. Dia mendakwa UMNO akan jadi parti konservatif kerana ikut cara PAS dan menggunakan hujah seorang penulis yang kontroversi. Kedua, dia membangkitkan perlunya isu kuota Bumiputra dihapuskan dan digantikan dengan dasar merit atau meritokrasi. Ketiga, dia mencadangkan agar kerajaan membina lebih banyak sekolah SJKC di negara ini.

Apakah Dr. Chua fikir UMNO ikut rentak PAS. Perjuangan UMNO cukup jelas. UMNO tidak hipokrit untuk memperjuangkan nasib orang Melayu dan agama Islam. UMNO tetap seperti dulu yang menggunakan cara kesederhanaan bukannya ekstrem. UMNO walaupun parti orang Melayu tetapi bersikap adil kepada kaum yang lain. UMNO komited mempertahankan apa yang termaktub dalam perlembagaan dan menghormati kontrak sosial yang wujud sekian lama. BN dibawah teraju UMNO dapat mengekalkan keamanan di negara ini. Sebab itu, tuduhan Hindraf bahawa UMNO banyak merobohkan kuil dan sekolah Tamil memang karut dan melampau.

Sebenarnya kita bimbang Dr Chua yang terikut ikut rentak DAP untuk meraih sokongan orang Cina kepada MCA. Umum tahu masalah MCA hari ini. Pilihanraya di Hulu Selangor dan Sibu bukti segalanya. Sokongan masyarakat Cina merosot. Dr. Chua tidak boleh mengambil jalan mudah, iaitu menuding jari kepada UMNO kerana kononnya sikap beberapa pemimpin UMNO yang memperjuangkan isu orang Melayu menyebabkan orang Cina lari daripada menyokong BN. Peliknya, di masa yang sama mereka pula termasuk Dr. Chua bebas sesuka hati membangkitkan isu isu sensitif yang menyakitkan hati orang Melayu.

Menjadikan Perkasa sebagai kambing hitam juga tidak adil, kerana terdapat pertubuhan Cina seperti Dong Zong yang selalu membangkitkan isu isu sensitif. Kenapa Dr. Chua berdiam diri terhadap mereka.

Perjuangan UMNO bukan baru, sejak dulu hingga kini ia tetap mengikut perlembagaan. Tidak ada masalah pun. UMNO tidak pernah mengubah pendekatannya. UMNO sendiri responsif terhadap perubahan, sebab itu selepas dua peristiwa hitam iaitu reformasi jalanan tahun 1999 dan kemerosotan sokongan dalam pilihanraya 2008, UMNO kembali mendapat sokongan orang Melayu. Tetapi bagaimana MCA? Selama mana ia mesti bergantung kepada UMNO untuk mempertahankan kerusinya. Apakah dengan membuat tuduhan liar dan membangkitkan isu isu kaum seperti yang diperjuangkan oleh DAP.

Menggunakan alasan ketirisan, alibaba dan ketidakcekapan bukan tiket untuk menghapuskan sistem kuota. Apakah tidak ada projek projek mega yang dilaksanakan oleh taukeh taukeh besar yang gagal disiapkan mengikut tempoh? Kenapa Dr. Chua mesti berdiam diri terhadap beberapa sektor yang hanya dimonopoli oleh satu kaum sahaja. Contohnya pemborongan, industri alat ganti, bekalan bahan bina, peruncitan dan lain lain. Kenapa Dr. Chua berdiam diri dan tidak mahu membela supaya syarikat syarikat Melayu boleh berkongsi dan bersaing.

Sebab itu apabila kerajaan melaksanakan dasar kuota bagi memastikan golongan Bumiputra tidak terpinggir, ia bukan kezaliman, penindasan atau ketidak adilan. Tetapi untuk memastikan golongan Bumiputra juga berpeluang dan berdaya saing. Memecahkan monopoli sesuatu kaum bukan mudah tanpa campur tangan kerajaan. Samalah juga dengan sektor hartanah. Berapa sangat pemilikan Bumiputra dalam sektor ini. Tanpa kuota kerajaan, sudah tentu orang Melayu lebih terpinggir daripada kawasan bandar.

Mengenai membanyakkan sekolah SJKC, Dr. Chua pun tahu usaha kerajaan selama ini. Beliau berada dalam kerajaan cukup lama. Baik semasa menjadi exco kerajaan Johor dan Menteri kerajaan Persekutuan. Kerajaan tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya walaupun terhadap sekolah SJKC. Cuma, Dr. Chua mesti adil, kerana sekolah bantuan modal bukan terhad kepada sekolah SJKC sahaja, tetapi meliputi SJKT, sekolah mubaligh dan sekolah agama rakyat. Sekolah sekolah ini juga patut dibela yang melibatkan perbelanjaan kerajaan yang tinggi.

Kerajaan sememangnya merancang untuk membina beberapa lagi SJKC. Tetapi isunya ialah isu tanah dan kos. Dr. Chua tahu mengenai perkara ini. Sudah tentu sekolah kebangsaan menjadi keutamaan kerana ia sekolah aliran utama untuk memenuhi hasrat Dasar Pelajaran Kebangsaan. Seperkara lagi sekolah kebangsaan bukan sekolah Melayu. Ia adalah sekolah untuk semua kaum. Banyak lagi sekolah sekolah Kebangsaan khususnya di pedalaman dan luar bandar yang daif. Sekolah ini dipenuhi oleh pelajar daripada berbagai keturunan seperti Iban, Kadazan, Penan, Murut dan Kayan. Apakah sekolah mereka yang daif itu mesti diabaikan hanya untuk memenuhi desakan Dr. Chua?

Tidakkah nanti kerajaan dianggap tidak adil. Sedangkan dengan bajet kerajaan yang terpaksa dipotong sebanyak RM12B, kerajaan juga perlu membina lebih banyak asrama desa, rumah guru dan meningkatkan bekalan elektrik dan air bersih di sekolah sekolah kebangsaan di kawasan pedalaman. Adalah wajar sekali sekala Dr. Chua masuk ke kawasan pedalaman ketika tidak lagi memegang jawatan Menteri supaya beliau mempunyai persepsi yang lebih terbuka, matang dan adil mengenai tuntutan tuntutan beliau itu.

Alangkah baiknya Dr. Chua turut sama bersuara dan membela sekolah kebangsaan termasuk pendidikan Orang Asli, Bumipurtra Sabah dan Sarawak. Maka akan teserlahlah lagi semangat 1Malaysia beliau dan tidak terikut ikut rentak DAP untuk kembali popular

Tuesday, July 13, 2010

TUBUH JAWATANKUASA KAJI PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN.

Mutakhir ini isu mengenai perlembagaan negara semakin hangat dibangkit, diungkit bahkan dipersoalkan. Semua perbahasan dan polemik itu tidak dapat lari daripada emosi kaum sehingga menjadi terlalu perkauman. Ia mengancam perpaduan nasional. Semangat sosial kontrak seperti tidak lagi wujud di hati rakyat Malaysia apatah lagi di kalangan generasi muda. Ini menyebabkan orang Melayu tersinggung kerana banyak perkara dalam perlembagaan yang tidak lagi dihormati. Orang Cina pula tidak berpuas hati kerana menganggap peruntukan dalam perlembagaan seperti Perkara 153 menafikan hak mereka sebagai warganegara.

2. Antara isu yang hangat diperdebatkan sekarang ini ialah isu pemberian biasiswa JPA. Ia turut dipolitikkan oleh pembangkang. Kes seorang pelajar Cina yang lulus cemerlang SPM dengan keputusan 13A tetapi gagal mendapat biasiswa JPA dijadikan isu bahawa kerajaan tidak adil. Sedangkan terdapat juga pelajar Melayu yang dapat keputusan cemerlang yang sama tetapi gagal mendapatkan biasiswa JPA. Akhirnya Perlembagaan Persekutuan jadi sasaran dan dipolitikkan.


3. Saya setuju dengan pandangan seorang tokoh akademik, bahawa tiga tiang seri orang Melayu ialah bahasa, Raja Melayu dan agama. Manakala tiga tiang seri orang Cina pula ialah bahasa, persatuan dan media. Yang membezakan antara tiang seri dua kaum ini ialah, tiang seri kaum Cina semakin kuat dan berpengaruh, manakala tiga tiang seri orang Melayu sedang digoncang kuat dan cuba dilemahkan.

4. Melalui dua tiang seri orang Cina iaitu persatuan dan media, mereka telah memberikan tafsiran tersendiri terhadap Perlembagaan Persekutuan sehingga menimbulkan persepsi bahawa peruntukan-peruntukan seperti Perkara 153 Hak Keistimewaan Orang Melayu sudah tidak sesuai dan ketinggalan zaman. Tafsiran orang Melayu pula baik pemimpin dan medianya tidak artikulat. Dong Zong adalah antara persatuan Cina yang cukup berpengaruh. Mereka sering membangkitkan isu-isu yang berkaitan dengan SJKC. Tetapi bila wujud pertubuhan seperti Perkasa yang memperjuangkan isu biasiswa, Raja Melayu dan hak istimewa Melayu, pertubuhan ini dianggap sebagai perkauman. Ini mendorong Dato Donald Lim, Naib Presiden MCA mencadangkan supaya diwujudkan Perkasa Cina untuk bersaing dengan Perkasa Ibrahim Ali.

5. Sebab itu DEB dipersoalkan. Kelemahan perlaksanaan dijadikan hujah bahawa DEB adalah perkauman dan wajar dihapuskan. Mereka lupa bahawa 100 tahun sebelum DEB diperkenalkan kaum Cina sudah pun mengaut keuntungan di negara ini melalui penjajah. Bahkan ada orang Cina turut mendapat manafaat daripada DEB terutamanya melalui kegiatan Ali Baba. J. Stiglitz pemenang Nobel Prize Winner 2001 menjelaskan DEB adalah penting untuk kestabilan negara. 'DEB is not just a matter of economy but it is a matter of survival of a nation'.

6. Mereka lupa belajar daripada sejarah bahawa kestabilan Melayu penting untuk kestabilan negara. Rosak perpaduan Melayu rosaklah perpaduan negara. Kestabilan Melayu umpama graviti. Ia penting untuk kestabilan negara. Sebab itu tidak wajar tiga tiang seri Melayu digoncang seperti peristiwa di Perak di mana institusi Raja dicemar oleh pihak pembangkang yang tidak berpuas hati terhadap perlantikan Menteri Besar.

7. Atas isu inilah, amat wajar diwujudkan satu jawatankuasa khas untuk melihat kembali Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan itu diisi, diguna dan dilaksanakan. Jawatankuasa ini juga boleh menilai peruntukan manakah yang cuba dilemahkan dan diberi tafsiran yang salah. Rakyat perlu dibendung daripada menerima tafsiran yang salah mengenai Perlembagaan Persekutuan sehinggakan Lim Guan Eng berani mencadangkan gagasan 'Middle Malaysia' yang sebenarnya adalah Malaysian Malaysia. Diharap pemimpin Melayu lebih peka kepada isu ini agar Perlembagaan Persekutuan tidak terus dipersoalkan.
8. Perlembagaan Persekutuan cukup inklusif. Untuk golongan minoriti Perkara 8 dan untuk majoriti Perkara 153 adalah penuh kesaksamaan dan keadilan. Persefahaman itu memudahkan kita menjadi bangsa merdeka dan hidup aman damai memajukan negara ini. Justeru, kenapa sekarang ia mahu dipersoalkan? Gagasan 1Malaysia sendiri kata Perdana Menteri bertunjangkan Perlembagaan Persekutuan, tetapi gagasan itu tetap menjadikan rakyat sebagai agenda utama tanpa mengira kedudukan kaum dan agama.

Thursday, July 8, 2010

PANDANGAN MUFTI PERAK TIDAK SESUAI

Baru-baru ini, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria ada mencadangkan supaya kerajaan mewajibkan matapelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral sebagai syarat lulus peperiksaan di peringkat UPSR, PMR dan SPM.
2. Beliau mencadangkan perkara tersebut sebagai respon terhadap kes kes buang bayi dan melahirkan anak luar nikah yang semakin meningkat khususnya di kalangan pelajar sekolah. Mufti Perak mungkin yakin melalui syarat wajib lulus itu pelajar sekolah akan mengambil berat terhadap kepentingan mata pelajaran tersebut sekaligus mengatasi masalah gejala sosial di kalangan pelajar sekolah dan anak muda.


3. Ia mungkin cadangan yang baik. Tetapi kita tidak boleh terlalu simplistik terhadap permasalahan yang lebih kompleks. Ini kerana pada pandangan saya, sekadar mewajibkan lulus peperiksaan bagi kedua-dua matapelajaran tersebut tidak akan menyelesaikan masalah. Isu yang sepatutnya ditangani ialah bagaimana pelajar sekolah dapat 'menghayati dan mengamalkan' apa yang diajar dalam kedua dua mata pelajaran tersebut. Dalam kata lain 'P & P' untuk kedua dua subjek tersebut mesti berkesan. Guru mesti cukup terlatih untuk mengindoktrin pemikiran, hati, jiwa dan tingkah laku pelajar. Jika setakat lulus tetapi hati dan jiwa tidak berubah, maka ia tidak berfaedah dan mimpi di siang hari. Sebab itu ada kes mereka yang berkelulusan tingga di bidang agama tetapi terlibat dengan kumpulan ajaran sesat dan ada juga yang terlibat dengan kes khalwat dan sebagainya.


4. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa sekarang ini pun, semua murid di peringkat UPSR, PMR dan SPM diwajibkan mengikuti Penilaian Asas Fardhu Ain (PAFA) dan keputusan PAFA akan dicatatkan di slip keputusan. Yang menariknya PAFA merupakan pentaksiran berbentuk formatif yang dilaksanakan semasa dan sepanjang proses pembelajaran dan pengajaran (P&P). Maksudnya PAFA tidak statik dan ia dinilai berdasarkan kepada kefahaman para pelajar.

5. Oleh kerana itulah saya berpandangan bahawa penyelesaian kepada masalah ini bukan hanya dengan mewajibkan syarat lulus peperiksaan bagi kedua-dua matapelajaran tersebut. Ia memerlukan kerjasama semua pihak terutamanya ibu bapa kerana merekalah sebenarnya individu yang berada paling dekat dengan anak-anak mereka. Justeru, apakah peranan ibu-bapa dalam hal ini?

SIASAT JUGA TIGA PEGUAM BALASUBRAMANIAM


Sekarang ini isu Raja Petra Kamaruddin (RPK) kembali hangat. Walau bagaimanapun dia tetap bebas dan hidup mewah di Kota London. Polis pula terus gagal membawa dia pulang untuk dibicarakan. Sama juga dengan Balasubramaniam. Kedua duanya melarikan diri ke London. Bagaimana mereka melepaskan diri, juga satu hal. Berbagai alasan diberikan. Tetapi kita semakin muak untuk mendengarnya. Kedua dua anasir subversif ini ketawakan kita. Ada pihak mendakwa RPK dan Bala adalah aset kebenaran, hero dan pejuang.



2. Dalam kehangatan isu tersebut tidak ramai yang mempersoalkan mengenai tiga peguam yang menjadi pembela kepada Balasubramaniam. Siapa yang membayar kos guaman, pengangkutan dan hotel penginapan mereka di London. Sudah tentu bukan Bala. Bala hanyalah seorang penyiasat persendirian di Malaysia. Dia mesti tidak mampu, apatah lagi untuk membayar kos hidupnya di London yang begitu mahal.



3. Sebab itu kita mesti fokus kepada ketiga-tiga peguam tersebut. Mesti ada pihak ketiga turut terlibat. Mustahil mereka memberikan khidmat secara percuma kepada Bala. Jabatan Hasil Dalam Negeri boleh membantu siasatan. Periksa sumber bayaran kepada ketiga-tiga peguam tersebut sama ada dibayar dari dalam negeri atau luar negara.



4. Kalau kita boleh tegas kepada mereka yang menaja pengganas kenapa tidak kepada mereka yang menaja 'si pengkhianat' seperti RPK dan Balasubramaniam? RPK dan Bala adalah 'traitor'. Menaja traitor sama seperti menaja pengganas. Bala dan RPK banyak membuat tuduhan palsu dan pembohongan mengenai kerajaan Malaysia.



5. Jadi jangan hanya tumpu atau terperangkap kepada soal untuk membawa balik dan mendakwa Bala atau PKR di Malaysia, tetapi juga isu akar umbinya. Iaitu dalang sebenar yang menaja mereka. Maka menyiasat sumber kewangan ketiga tiga peguam kepada Balasubramaniam adalah cukup penting.

Thursday, July 1, 2010

CABARAN NIK AZIZ UMPAMA ANJING MENYALAK BUKIT

Sebenarnya Datuk Nik Aziz tidak perlu mencabar Karpal Singh mengenai perlaksanaan Negara Islam di Kelantan. Pertama, semua orang pun tahu konsep negara Islam tidak dilaksanakan di Kelantan. Kedua, Datuk Nik Aziz sudah tentu sedar bahawa Karpal Singh sejak berkurun sememangnya membantah pelaksanaan negara Islam di Malaysia.
Justeru, cabaran Datuk Nik Aziz itu adalah membuang masa dan umpama anjing menyalak bukit. Karpal Singh tentu tidak takut dengan cabaran Nik Aziz. DAP tidak takut kehilangan PAS untuk meraih undi orang Melayu. Mereka ada PKR dan orang seperti Zaid Ibrahim yang boleh meraih undi Melayu untuk DAP. DAP yakin PKR sendiri menolak penubuhan sebuah negara Islam di Malaysia.
Beza PAS dan DAP ialah, PAS bernafsu besar untuk memerintah negara, sedangkan DAP lebih berminat meningkatkan jumlah kerusinya di Parlimen dan menawan beberapa negeri seperti Perak dan Negeri Sembilan. DAP lebih selesa menjadi 'The King Maker' di negeri-negeri yang akan ditawan seperti mana yang berlaku di Selangor. Khalid Ibrahim hanya menjadi “puppet” kepada Exco-exco DAP. Sebab itu wujud komplot dalam kalangan wakil rakyat PKR yang mahu menjatuhkan Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar.
Kerana nafsu besar dan untuk menyedapkan hati, Datuk Nik Aziz terpaksa mengatakan pendirian Karpal Singh itu adalah pendirian peribadi. Apa hak Nik Aziz berkata sedemikian? Orang yang berhak, ialah pemimpin dalam DAP sendiri. Mereka sahaja yang layak untuk membuat keputusan samada kenyataan Karpal itu adalah kenyataan peribadi.
Datuk Nik Aziz bukan tidak tahu Karpal Singh adalah Pengerusi DAP, dia bukan ahli biasa, bukan pemimpin bahagian atau cawangan. Lagi pun tidak ada seorang pun pemimpin DAP termasuk Setiausaha Agung atau penasihatnya yang mendakwa pendirian Karpal itu adalah pendirian peribadi bukan pendirian parti. Rasionalnya, DAP adalah parti yang sememangnya menentang pembentukan sebuah Negara Islam walaupun terpaksa di kerat dua. Oleh itu Nik Aziz umpama 'hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong'.

CABARAN NIK AZIZ UMPAMA ANJING MENYALAK BUKIT

Sebenarnya Datuk Nik Aziz tidak perlu mencabar Karpal Singh mengenai perlaksanaan Negara Islam di Kelantan. Pertama, semua orang pun tahu konsep negara Islam tidak dilaksanakan di Kelantan. Kedua, Datuk Nik Aziz sudah tentu sedar bahawa Karpal Singh sejak berkurun sememangnya membantah pelaksanaan negara Islam di Malaysia.

Justeru, cabaran Datuk Nik Aziz itu adalah membuang masa dan umpama anjing menyalak bukit. Karpal Singh tentu tidak takut dengan cabaran Nik Aziz. DAP tidak takut kehilangan PAS untuk meraih undi orang Melayu. Mereka ada PKR dan orang seperti Zaid Ibrahim yang boleh meraih undi Melayu untuk DAP. DAP yakin PKR sendiri menolak penubuhan sebuah negara Islam di Malaysia.

Beza PAS dan DAP ialah, PAS bernafsu besar untuk memerintah negara, sedangkan DAP lebih berminat meningkatkan jumlah kerusinya di Parlimen dan menawan beberapa negeri seperti Perak dan Negeri Sembilan. DAP lebih selesa menjadi 'The King Maker' di negeri-negeri yang akan ditawan seperti mana yang berlaku di Selangor. Khalid Ibrahim hanya menjadi “puppet” kepada Exco-exco DAP. Sebab itu wujud komplot dalam kalangan wakil rakyat PKR yang mahu menjatuhkan Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar.

Kerana nafsu besar dan untuk menyedapkan hati, Datuk Nik Aziz terpaksa mengatakan pendirian Karpal Singh itu adalah pendirian peribadi. Apa hak Nik Aziz berkata sedemikian? Orang yang berhak, ialah pemimpin dalam DAP sendiri. Mereka sahaja yang layak untuk membuat keputusan samada kenyataan Karpal itu adalah kenyataan peribadi.

Datuk Nik Aziz bukan tidak tahu Karpal Singh adalah Pengerusi DAP, dia bukan ahli biasa, bukan pemimpin bahagian atau cawangan. Lagi pun tidak ada seorang pun pemimpin DAP termasuk Setiausaha Agung atau penasihatnya yang mendakwa pendirian Karpal itu adalah pendirian peribadi bukan pendirian parti. Rasionalnya, DAP adalah parti yang sememangnya menentang pembentukan sebuah Negara Islam walaupun terpaksa di kerat dua. Oleh itu Nik Aziz umpama 'hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong'.