Wednesday, November 4, 2009

128,000 mohon masuk SMKA setiap tahun

MUAR - Sebanyak 23 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dirancang dibina di seluruh negara dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) bagi melahirkan lebih ramai teknokrat Islam.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pihaknya menerima respons menggalakkan bagi usaha itu terutama daripada ibu bapa yang mahukan graduan Islam berkemampuan menguasai pelbagai bidang profesional.
"Mesyuarat bersama Bahagian Pendidikan Islam kementerian mengesyorkan 23 SMKA baru diwujudkan di seluruh negara.
"Kementerian akan berusaha untuk memenuhi permintaan ini namun pada masa sama mengimbangi keperluan pembangunan sekolah-sekolah lain terutama di kawasan pedalaman," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Graduasi Pelajar Tingkatan Lima SMKA Mahad Muar 2009 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muar, Bakri di sini semalam.
Pada majlis itu, 146 pelajar sekolah berkenaan menamatkan pengajian dengan 22 daripadanya menerima Anugerah Emas atas kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum.
Mohd. Puad berkata, sehingga kini, terdapat 55 buah SMKA di seluruh negara yang menempatkan 44,000 pelajar.
"Jumlah permohonan yang kita terima setiap tahun adalah 128,000 namun buat masa ini, kita hanya dapat menampung kira-kira 40,000 pelajar saja," katanya.
Beliau berkata, kementerian berharap SMKA di seluruh negara dapat menunjukkan prestasi cemerlang agar tersenarai dalam lingkungan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).
Dalam pada itu, Mohd. Puad memberitahu, kementeriannya pada tahun ini menyalurkan peruntukan RM281 juta bagi membiayai pengurusan sekolah-sekolah agama bantuan kerajaan di seluruh negara.
"Komitmen ini berterusan dan kerajaan akan sentiasa membantu Sekolah Agama Rakyat (SAR) serta Sekolah Agama Negeri yang berdaftar untuk bantuan kerajaan.

0 comments: