Wednesday, November 4, 2009

Kem latihan, pusat perkhemahan wajib didaftar

BATU PAHAT - Kem latihan dan pusat perkhemahan swasta yang menawarkan kemudahan kepada murid sekolah akan diwajibkan mendaftar dengan Kementerian Pelajaran.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zarkashi berkata, peraturan baru itu bagi membolehkan pihaknya membuat pemeriksaan dan memantau secara berterusan keselamatan di setiap kem atau pusat berkenaan.
Beliau berkata, langkah itu untuk memastikan hanya kem dan pusat perkhemahan yang diperakui selamat sahaja digunakan murid-murid untuk menjalani aktiviti kokurikulum.
"Pendaftaran boleh dibuat oleh pengusaha berkenaan di semua Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) di kawasan masing-masing," katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Masjid Jamek Punggur Kecil Rengit di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Ayub Jamil dan ADUN Senggarang, Jaafar Hashim.
Puad berkata, peraturan baru itu bagi memastikan tragedi jambatan gantung di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang, Kampar, Perak yang mengorbankan nyawa tiga murid baru-baru ini tidak berulang.
Menurutnya, ekoran tragedi tersebut, pihaknya kini lebih berhati-hati dan akan meneliti terlebih dahulu aspek keselamatan setiap kem atau pusat perkhemahan sebelum membenarkan murid menggunakannya.
''Jawatankuasa Teknikal Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) akan diminta menjalankan pemeriksaan tersebut,'' katanya.
Beliau berkata, hanya kem atau pusat perkhemahan yang diberikan perakuan selamat oleh Jawatankuasa Teknikal itu sahaja boleh digunakan pihak sekolah.
"Kini sampai masanya ciri keselamatan semua tempat ini diperiksa agar keselamatan murid-murid sentiasa terjamin," katanya.
Ekoran itu, beliau meminta sekolah yang telah menempah kem atau pusat perkhemahan untuk menjalankan aktiviti pada cuti sekolah hujung tahun ini agar mendapatkan pengesahan aspek keselamatannya terlebih dahulu.
"Jika tempat ini mempunyai perakuan keselamatan, maka ia boleh digunakan tetapi jika tidak aktiviti tersebut perlu ditangguhkan.

0 comments: