Wednesday, September 7, 2011

MAT SABU: AYAM SABUNG PONDAN




Mat Sabu pernah digelar sebagai ayam sabung PAS. Dia menghentam siapa sahaja ikut sedap mulutnya. Dia pernah mencarut terhadap perangai Anwar. Tapi bab kata, kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa, PAS sedang menggali lubang kubur sendiri.

Sejak jadi Timbalan Presiden, ramai kawan dalam PAS merungut, Mat Sabu semakin tidak boleh dikawal. Mereka risau PAS bertukar wajah, daripada parti ulama’ kepada parti juhala’ (jahil), termasuk jahil sejarah. Tapi itulah Mat Sabu, suka berbohong dan layak menjadi pelakon tambahan kepada Anwar Ibrahim. Sebelum ini dia berlakon kononnya dilanggar kenderaan polis sehingga terpaksa berkerusi roda.

Dalam isu Bukit Kepong dia cuba berlakon lagi. Setelah menuduh anggota polis yang terkorban itu sebagai tali barut British, dia berlakon bawa peguam kononnya untuk saman kerajaan British kerana tidak bagi pampasan. Tapi kerana dia pelakon amatur, maka dia dihalau begitu sahaja oleh kaum keluarga yang sakit hati dengan kenyataannya.

Isu Bukit Kepong adalah isu pentafsiran sejarah. Ia layak dilakukan oleh mereka yang ahli padanya. Apakah Mat Sabu layak mentafsir sejarah? Mat Sabu adalah penglipurlara ceramah umum PAS. Dia ada rekod mentafsir apa sahaja termasuk agama atas kejahilan, nafsu politik dan mulutnya yang celupar.

Dia menuduh UMNO gali lubang kubur dengan merujuk buku ‘Pengukir Nama Johor’ yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor. Sedangkan penyunting buku berkenaan Prof. Bakar Hamid menjelaskan, penulis artikel mengenai Mat Indera iaitu Hj Ismail Adnan tidak membuat kesimpulan bahawa Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan. Menjadi persoalan juga, kerana dalam buku yang sama terdapat satu lagi artikel yang ditulis oleh Sahgidon Dirhan yang dengan jelas menyebut Mat Indera adalah pemimpin komunis Melayu yang kejam terhadap bangsanya sendiri. Kenapa Mat Sabu tidak merujuk artikel tersebut. Apakah dia baca habis buku tersebut sebelum buat kesimpulan.

Dia mengagungkan Mat Indera kononnya Mat Indera penentang British. Kita patut membezakan antara penentang British dengan pejuang kemerdekaan. Mat Indera memang penentang British tapi bersekongkol dengan pengganas komunis. Apa akan jadi kalau PKM menang. Apakah negara akan bebas merdeka daripada pengaruh Komunis Cina atau Russia? Bagaimana kedudukan Raja Raja Melayu dan agama Islam bila Malaysia menjadi republik. Mat Sabu dan Mat Indera memang bukan adik beradik. Tetapi mereka ada persamaan, iaitu matlamat menghalalkan cara. Itu yang bahaya.

Mat Sabu turut mengaibkan Dato On sebagai tali barut British. Oleh kerana Dato On pengasas UMNO, maka memburukkan Dato On boleh memburukkan nama UMNO. Dato On adalah tokoh yang menyedarkan rakyat tentang bahayanya Malayan Union. Dia berani menegur Raja Raja Melayu supaya memulaukan perjanjian tersebut. Dia menyatukan orang Melayu di bawah parti siasah UMNO untuk terus membantah Malayan Union. Apakah itu bermakna dia tali barut British? Itu yang membezakan dia dengan Mat Indera. Dato On pejuang kemerdekaan tulen, sebab itu dia menolak gagasan Melayu Raya puak kiri kerana tidak mahu duduk di bawah pemerintahan Sukarno.

Bukti jelas Dato On bukan tali barut British ialah apabila dia hadir mesyuarat membincangkan Perlembagaan Persekutuan 1948 atas tiket Presiden UMNO bukan sebagai Menteri Besar Johor yang dilantik British. Alasan beliau ialah mahu bebas bercakap dan memastikan isu kuasa Raja Melayu dikembalikan, dan British tidak meminggirkan hak istemewa Melayu dan agama Islam. Perlembagaan Persekutuan adalah simbol terkuburnya Malayan Union dan asas kepada Perlembagaan Persekutuan 1957. Apakah fakta sejarah ini perlu ditulis semula seperti yang diminta oleh PAS?

Sebab itu kalau betul Mat Sabu ayam sabung PAS, dia tidak perlu berdebat dengan Pemuda UMNO atau mencabar pula Timbalan Perdana Menteri. Semua orang faham lakonannya. Dia bukan mencari kebenaran. Dia mahu melepas tengkuknya. Dia sedar, dia tergali lubang kubur sendiri.

Isu sejarah melibatkan harga sesebuah bangsa. Kalau mahu mencari kebenaran berdebatlah dengan mereka yang arif. Samalah, kalau tidak mendalam tentang agama, rujuklah kepada alim agama. Maka dalam soal sejarah, sewajarnya dia berdebat dengan pakar sejarah seperti Prof Khoo Kay Kim dan Prof. Bakar Hamid yang membidas beliau. Yang penting dia tidak terus merapu, mengelirukan rakyat dan generasi akan datang.

Kalau dia tidak berani bersemuka dengan pakar sejarah, maka sahlah Mat Sabu bukan pencari kebenaran. Dia hanyalah pelakon dua kali lima seperti Anwar Ibrahim. Ini bermakna, Mat Sabu adalah ‘ayam sabung pondan’.

0 comments: