Wednesday, November 4, 2009

128,000 mohon masuk SMKA setiap tahun

MUAR - Sebanyak 23 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dirancang dibina di seluruh negara dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) bagi melahirkan lebih ramai teknokrat Islam.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pihaknya menerima respons menggalakkan bagi usaha itu terutama daripada ibu bapa yang mahukan graduan Islam berkemampuan menguasai pelbagai bidang profesional.
"Mesyuarat bersama Bahagian Pendidikan Islam kementerian mengesyorkan 23 SMKA baru diwujudkan di seluruh negara.
"Kementerian akan berusaha untuk memenuhi permintaan ini namun pada masa sama mengimbangi keperluan pembangunan sekolah-sekolah lain terutama di kawasan pedalaman," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Graduasi Pelajar Tingkatan Lima SMKA Mahad Muar 2009 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muar, Bakri di sini semalam.
Pada majlis itu, 146 pelajar sekolah berkenaan menamatkan pengajian dengan 22 daripadanya menerima Anugerah Emas atas kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum.
Mohd. Puad berkata, sehingga kini, terdapat 55 buah SMKA di seluruh negara yang menempatkan 44,000 pelajar.
"Jumlah permohonan yang kita terima setiap tahun adalah 128,000 namun buat masa ini, kita hanya dapat menampung kira-kira 40,000 pelajar saja," katanya.
Beliau berkata, kementerian berharap SMKA di seluruh negara dapat menunjukkan prestasi cemerlang agar tersenarai dalam lingkungan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).
Dalam pada itu, Mohd. Puad memberitahu, kementeriannya pada tahun ini menyalurkan peruntukan RM281 juta bagi membiayai pengurusan sekolah-sekolah agama bantuan kerajaan di seluruh negara.
"Komitmen ini berterusan dan kerajaan akan sentiasa membantu Sekolah Agama Rakyat (SAR) serta Sekolah Agama Negeri yang berdaftar untuk bantuan kerajaan.

Jangan abai kebersihan masjid

BATU PAHAT - Jawatankuasa masjid digesa tidak mengabaikan kebersihan dan keindahan masjid terutamanya tandas dan bilik air. Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ini kerana aspek kebersihan bukan sahaja penting untuk kesihatan tetapi dituntut oleh Islam.
Menurutnya, pembinaan masjid yang besar dan indah tidak memberikan sebarang erti jika keadaan tandas dan sekelilingnya kotor dan tidak terurus.
"Pastikan masjid sentiasa berkeadaan bersih dan kemas agar kita dapat beribadat dengan selesa," katanya semasa merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Masjid Jamek Punggur Kecil, Rengit di sini kelmarin.
Pembinaan masjid berharga RM1.5 juta itu bagi menggantikan bangunan masjid lama yang telah usang dan tidak selamat digunakan.
Dalam pada itu, Mohd. Puad yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat mengingatkan kontraktor terbabit agar dapat menyiapkan masjid itu mengikut jadual yang ditetapkan oleh jawatankuasa berkenaan.
"Selain itu, kualiti pembinaan dan aspek keselamatan bangunan juga perlu diberikan keutamaan oleh kontraktor," katanya.
Pihaknya tidak teragak-agak untuk menyenaraihitamkan kontraktor yang didapati lewat menyiapkan sesuatu projek di kawasan Parlimen berkenaan, katanya.
"Ini kerana kelewatan menyiapkan projek akan merugikan rakyat dan kerajaan.

Kem latihan, pusat perkhemahan wajib didaftar

BATU PAHAT - Kem latihan dan pusat perkhemahan swasta yang menawarkan kemudahan kepada murid sekolah akan diwajibkan mendaftar dengan Kementerian Pelajaran.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zarkashi berkata, peraturan baru itu bagi membolehkan pihaknya membuat pemeriksaan dan memantau secara berterusan keselamatan di setiap kem atau pusat berkenaan.
Beliau berkata, langkah itu untuk memastikan hanya kem dan pusat perkhemahan yang diperakui selamat sahaja digunakan murid-murid untuk menjalani aktiviti kokurikulum.
"Pendaftaran boleh dibuat oleh pengusaha berkenaan di semua Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) di kawasan masing-masing," katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Masjid Jamek Punggur Kecil Rengit di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Ayub Jamil dan ADUN Senggarang, Jaafar Hashim.
Puad berkata, peraturan baru itu bagi memastikan tragedi jambatan gantung di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang, Kampar, Perak yang mengorbankan nyawa tiga murid baru-baru ini tidak berulang.
Menurutnya, ekoran tragedi tersebut, pihaknya kini lebih berhati-hati dan akan meneliti terlebih dahulu aspek keselamatan setiap kem atau pusat perkhemahan sebelum membenarkan murid menggunakannya.
''Jawatankuasa Teknikal Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) akan diminta menjalankan pemeriksaan tersebut,'' katanya.
Beliau berkata, hanya kem atau pusat perkhemahan yang diberikan perakuan selamat oleh Jawatankuasa Teknikal itu sahaja boleh digunakan pihak sekolah.
"Kini sampai masanya ciri keselamatan semua tempat ini diperiksa agar keselamatan murid-murid sentiasa terjamin," katanya.
Ekoran itu, beliau meminta sekolah yang telah menempah kem atau pusat perkhemahan untuk menjalankan aktiviti pada cuti sekolah hujung tahun ini agar mendapatkan pengesahan aspek keselamatannya terlebih dahulu.
"Jika tempat ini mempunyai perakuan keselamatan, maka ia boleh digunakan tetapi jika tidak aktiviti tersebut perlu ditangguhkan.

Friday, October 30, 2009

Kerajaan kaji kemungkinan perkenal j-QAF di sekolah menengah

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan memperkenalkan pengajian Jawi, al-Quran, Arab dan Fardu Ain (j-QAF) di peringkat sekolah menengah bagi memastikan pelajar memahami secara mendalam perkara asas yang terdapat di dalam ajaran Islam.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kajian itu dilakukan berikutan prestasi murid di sekolah rendah yang mengikuti pengajian itu amat menggalakkan.
''Purata kelulusan bagi ujian amali wuduk ialah 98.97 peratus, amali solat bacaan (90.26 peratus), amali solat perlakuan (99.25 peratus), bahasa Arab (81.24 peratus) dan Jawi (89.87 peratus),'' katanya menjawab soalan tambahan Datuk Lilah Yasin (BN-Jempol) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Lilah bertanya mengenai langkah kerajaan memperluaskan pembelajaran bahasa Arab di peringkat sekolah menengah.
Dalam pada itu, Mohd. Puad berkata, kerajaan akan membina lebih banyak sekolah menengah kebangsaan agama berikutan minat yang tinggi di kalangan ibu bapa menghantar anak-anak ke aliran itu.
Menjawab soalan asal Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang), beliau berkata, peruntukan untuk bidang pendidikan Islam dan bahasa Arab yang diagihkan Kementerian Pelajaran kepada Bahagian Perkembangan Kurikulum pada tahun ini ialah RM1.2 juta.
Menurut beliau, pendidikan Islam penting dihayati bagi membuktikan agama itu menekankan keamanan dan tidak menolak pembangunan.
''Langkah ini bagi menepis desakan Barat yang mahu pendidikan Islam dihentikan kerana ia akan melahirkan lebih ramai pengganas.

J-QAF diiperkenal di sekolah menengah

KUALA LUMPUR — Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan untuk memperkenalkan pengajian Jawi, Al-Quran, Arab dan Fardu Ain (j-QAF) di peringkat sekolah menengah sebagai langkah untuk memperluaskan pengajian bidang tersebut.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, setakat ini prestasi pelajar yang mengikuti program itu amat menggalakkan walaupun di kalangan pelajar yang belum mencecah tahun enam.
"Data pencapaian (lulus) adalah seperti berikut, amali wuduk 98.97 peratus, amali solat bacaan 90.26 peratus, amali solat perlakuan 99.25 peratus, bahasa arab 81.24 peratus, dan Jawi 89.87 peratus,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Lilah Yasin (BN-Jempol) yang bertanya mengenai langkah kerajaan dalam meluaskan pembelajaran bahasa Arab di peringkat sekolah menengah.
Dr. Mohd. Puad berkata, kerajaan juga akan membina lebih banyak sekolah menengah kebangsaan agama memandangkan minat dan permintaan yang tinggi di kalangan ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah aliran itu.

Isu guru pelatih gemuk selesai

KUALA LUMPUR - Hanya salah faham sahaja dan kes seorang pelatih guru di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Rajang, Sarawak yang mendakwa telah diminta berhenti kerana terlalu gemuk, selesai.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pelatih itu akan meneruskan latihannya seperti biasa untuk menjadi seorang guru kerana dasar kerajaan adalah jelas iaitu tidak pernah menetapkan syarat individu gemuk tidak boleh diterima menjadi guru.
Jelasnya, dalam setiap perkara berbangkit setiap pihak perlu merujuk kembali kepada peraturan sedia ada iaitu tiada syarat khusus berkenaan.
''Ia sebenarnya adalah salah faham sahaja, tidak timbul isu Kementerian Pelajaran memberi arahan supaya pelatih itu diberhentikan kerana terlalu gemuk.
''Kes ini dikira selesai dan tidak berbangkit lagi kerana dalam apa-apa perkara kena rujuk kepada peraturan sedia ada, dia akan teruskan latihan untuk menjadi guru,'' katanya.
Mohd. Puad berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran rancangan animasi kanak- kanak terbaru, Boo and Me oleh KidsCo di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas dakwaan pelatih di IPGM berkenaan, Joanna Gilbert Asson, 29, bahawa dia telah dimaklumkan oleh pegawai kanan institut itu bahawa dirinya tidak layak menjadi guru kerana terlalu gemuk.
Lulusan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten) itu juga mendakwa pegawai terbabit telah memintanya mendaftar semula sebagai pelatih hanya setelah dia dapat menguruskan badannya yang kini seberat 110 kilogram.
Ketika diminta mengulas apa yang dimaksudkan salah faham itu, Mohd. Puad menjelaskan bahawa berkemungkinan besar nasihat sedemikian diberikan kerana pihak berkenaan beranggapan Joanna tidak mampu menjalankan tugasnya dengan baik.
''Mungkin ia lebih kepada budi bicara Jabatan Pelajaran negeri atau IPGM, tetapi ia tidak berbangkit lagi kerana peraturan asalnya adalah tiada syarat orang gemuk tidak boleh menjadi guru,'' katanya.
Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa nasihat atau pandangan pihak jabatan akan terpakai jika ia diberikan semasa proses pengambilan guru pada peringkat awal lagi sebelum diterima memasuki IPGM.
''Contohnya pelatih yang sedang sarat mengandung, semasa datang untuk proses pemilihan pengambilan, panel biasanya akan menasihatkannya supaya memohon semula selepas bersalin,'' jelasnya.

Sistem lahirkan pelajar cemerlang diperkenal

IPOH – Kementerian Pelajaran memperkenalkan Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah yang lebih holistik bagi melahirkan generasi pelajar cemerlang di negara ini.
Timbalan Menterinya, Dr. Puad Zarkashi berkata, langkah itu membolehkan pencapaian pelajar dinilai dalam kokurikulum dan potensi kecerdikan mereka.
‘‘Kita percaya sistem ini lebih menyeluruh dan jika diamalkan di sekolah akan membolehkan sekolah melahirkan pelajar cemerlang.
‘‘Kecemerlangan itu seharusnya disokong kuat oleh warga sekolah bagi memastikan budaya cemerlang ditingkatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Jubli Perak dan Hari Anugerah Cemerlang 2009 di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Permaisuri Bainun (SMKRPB) di sini hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Puad berkata, kecemerlangan pelajar kini tidak lagi dinilai berdasarkan tahap kecerdikan semata-mata tetapi potensi kecerdikan yang dimiliki seseorang.