Sunday, November 15, 2009

POLITIK TANAHAIR SEMAKIN PANAS

Assalamualaikum, salamsejahtera dan salam 1 Malaysia.


Minggu ini saya akan mula menulis untuk memberi pandangan dan kritik atas berbagai isu yang menjadi perhatian rakyat. Saya memang sudah lama tidak menulis. Untuk dikatakan sebok memang sebok. Alhamdulillah sekarang sudah boleh menyesuaikan masa setelah hampir 7 bulan dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelajaran dan ahli Majlis Tertinggi UMNO. Dalam tempoh itu saya berjaya melawat 89 buah sekolah khususnya di pendalaman. Untuk makluman, di Malaysia ada lebih kurang 10,000 buah sekolah.


Bayangkan bolehkah saya melawat kesemua sekolah tersebut? Sudah tentu mustahil. Tetapi sekurang kurangnya 89 buah sekolah itu sudah dapat membantu saya memahami cabaran pendidikan di negara kita terutamanya untuk merapatkan jurang pendidikan bandar dan luar bandar.


Saya sudah sampai di Kinabatangan, Tawau, Sandakan, Ranau, Kundasang, Beufort, Papar, Sipitang termasuklah sekolah di Long Pasia yang bersempadan dengan Sarawak dan Indonesia, di Sukau, Pulau Bumbum dan Pulau Sebatek yang juga bersempadan dengan Indonesia.


Di Sarawak, saya ke Baram, Marudi, Miri dan Limbang. Saya sampai ke Sekolah Kebangsaan Gadong Limbang yang bersempadan dengan Brunei. Saya juga melawat ke sekolah di pulau pulau seperti Pulau Aur, Pulau Tinggi, Pulau Sibu, Pulau Pemanggil dan Pulau Tuba. Saya juga tidak lupa untuk melawat sekolah sekolah orang asli seperti di SK Peta, SK Sedohok, SK Lenjan dan SK Titum.


Kebanyakan perjalanan ke sekolah sekolah tersebut memang mencabar. Merentasi hutan melalui jalan balak, meredah sungai menggunakan bot dan 4 wheel drive seperti untuk ke SK Titum yang mengambil masa 5 jam.


Tetapi sebagai Timbalan Menteri Pelajaran saya bangga dengan semangat guru guru kita yang berbakti di kawasan pendalaman. Kerajaan sendiri menghargai pengorbanan mereka itu dengan memberikan elaun tambahan. Jika pendalaman 3 (P3) guru dapat RM 1500, P2 dapat RM1000 dan P1 dapat RM 500.


Tetapi dalam kesebokan tugas itu saya tidak boleh mengenepikan perhatian saya terhadap isu politik. Ini kerana saya juga orang politik. Saya Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat. Saya dipilih sebagai calon parlimen Batu Pahat kerana kedudukan saya dalam politik UMNO. Bahkan saya sekarang ini juga adalah ahli Majlis Tertinggi UMNO.


Falsafah politik saya adalah jelas iaitu 'Politik Hati Nurani'. Roh kerakyatan adalah inspirasi perjuangan saya. Sebab itu saya tidak taksub kepada orang. Saya taksub kepada perjuangan. Saya setia kepada pemimpin selagi dia setia kepada perjuangan. Ketaksuban kepada perjuangan itulah menjadi sumber kekuatan saya dalam berpolitik. Iaitu berani dan yakin.


Justeru, saya tidak terganggu dengan suasana politik panas yang masih berterusan minggu ini. Isu baiah talak tiga, ADUN PKR berpaling tadah, kes liwat Anwar di Mahkamah, Azmin Ali beli saham RM 8 juta, isu Lim Guan Eng berbohong mengenai 'land conversion' di Pulau Pinang, Zulkifli Nordin cabar Sivarasa supaya letak jawatan, Nik Aziz ditaja oleh kontraktor untuk menunaikan haji dengan kos RM 65,000, perbalahan MCA yang terus dramatik, dan aduan mengenai salahlaku menantu Nik Aziz sebagai CEO syarikat kerajaan negeri Kelantan semuanya itu ada kaitan dengan politik hati nurani.


Politk di Malaysia adalah politik mencari 'siapa yang salah' bukannya 'apa yang salah'. Oleh itu siapa yang lebih bijak, pantas dan sanggup pula berputar belit terhadap sesuatu isu maka dialah yang menang. Politik persepsi buruk semakin membudaya di Malaysia. Bagi pihak pembangkang, inilah kelebihan yang menjadi kekuatan kepada mereka. Mereka berjaya mengujudkan 'persepsi buruk' terhadap kerajaan.


Bagi pihak kerajaan teruatamanya Barisan Nasional inilah yang menjadi ancaman kepadanya kerana terlalu defensif tidak ofensif terhadap pembangkang. Soalnya perlukah BN mengambil kesempatan di atas kecelaruan pembangkang sekarang ini untuk mengujudkan 'persepsi buruk' terhadap pakatan mereka.


Dari segi hukum politik memang perlu. Apatah lagi, masalah yang dihadapi oleh pembangkang adalah atas fakta yang benar bukannya rekaan. Maka bagi saya menyerang pembangkang untuk untuk tujuan 'persepsi buruk' tidak bertentangan dengan politik hati nurani saya.


Contohnya, baiah talak tiga. Ia adalah kemungkaran. Khalid Samad ahli parlimen Shah Alam sendiri yang mengaku. Bahkan isteri beliau seorang Prof Madya di Universiti turut mengaku wujudnya baiah itu. Kenapa ini berlaku? Tentu kita hairan sebagai sebuah parti Islam, mereka tidak dapat mengawal tingkah laku ahlinya. Pendedahan itu menimbulkan keraguan terhadap keupayaan PAS kerana masih wujud cabang cabang kefahaman politik dan dan amalan hukum di kalangan kepimpinannya sendiri.


Satu perkara yang tidak boleh dinafikan oleh PAS ialah kewujudan kabilah kabilah dalam parti tersebut. Khalid Samad sendiri aktif dengan kumpulan 'Suara Islam' sebelum menyertai PAS. Kumpulan ini pernah menubuhkan Parti Negara Islam (PNIM). Awal tahun 80an mereka meletakkan calon dibandar bandar besar seperti Kuala Lumpur. Kononnya orang cina boleh menyokong gagasan negara Islam mereka. Ternyata mereka hilang wang pertaruhan. Khalid Samad menyertai PAS dan menjadi seorang yang semakin liberal terhadap politik Islamnya. Sebab itu dia kata guna perkataan Allah tidak salah walaupun rakannya dari Baling, YB Taib Azamuddin kata tidak sesuai. Khalid juga boleh menjadi terlalu ekstrem sehingga sanggup melakukan baiah talak 3.


Dalam PAS ada pula kumpulan IRC (Islamic Representative Council). Mereka dulu pengkritik kuat PAS. Tapi sekarang menyertai PAS dan kebanyakannya menjadi wakil rakyat. Mereka inilah yang menjadi penyokong kuat Anwar dalam UMNO. Mereka lebih yakin Anwar layak jadi PM. Sebab itu mereka tidak bersetuju kerajaan perpaduan yang pernah dibangkitkan oleh Ustaz Hadi. Mereka gunakan Nik Aziz untuk menentang idea tersebut. Dengan kata lain Anwar berjaya mengujudkan satu lagi kabilah dalam PAS.


Hari ini (16/11/2009) dalam parlimen Anwar mempertahankan Nik Aziz. Dia kata tidak salah orang sponsor Nik Aziz menunaikan haji walaupun dengan kos RM65,000. Dia kata itu teknikal. Saya bangun mencelah, kalau begitu kenapa Nik Aziz batalkan pemergiannya itu. Apakah jika isu itu tidak didedahkan, maka Nik Aziz tidak akan membatalkannya. Dari segi moral wajarkah Nik Aziz menerima tawaran menunaikan haji yang ditaja oleh seorang kontraktor yang mungkin dapat projek di Kelantan. Pada saya tidak manis dan tidak sesuai. Kalau ditaja oleh ahli ahlinya yang beribu orang katakanlah seorang seringgit, mungkin boleh diterima. Tetapi pergi haji dengan kos RM65,000 juga boleh dipersoalkan kerana Nik Aziz mendakwa dia seorang yang sederhana dan tawaddhu'. Itulah hujahnya bila dia tidak mahu tinggal di rumah rasmi Menteri Besar dulu.
Apa yang lebih membengongkan kita ialah, apabila Nik Aziz kata, mereka yang mainkan isu ini umpama orang Quraish yang cuba menghalang Rasulullah menunaikan haji. Wajarkah perbandingan tersebut? Nik Aziz memang terkenal sebagai seorang yang suka menggunakan perbandingan logik. Dan hujah beliau sering dianggap betul oleh pengikutnya walaupun meragukan.
Contohnya, Nik Aziz pernah berkata, Allah juga mencarut. Meminta pertolongan syaitan dibolehkan. Mengumpat juga dibenarkan dan lain lain lagi yang pelik pelik. Ia bertambah pelik, kalau orang lain bawa isu itu dianggap sesat. Tetapi kalau Nik Aziz yang kata, tidak mengapa pula.
Isunya, kenapa Anwar bawa perkara ini dalam parlimen ketika berbahas diperingkat jawatan kuasa. Apakah Anwar bercakap atas hati nurani. Kalau isu itu berkaitan dengan pemimpin UMNO, sudah tentu dia akan hentam habis habisan. Nik Aziz adalah penyokong kuat Anwar. Maka sudah tentulah Anwar mesti mempertahankan Nik Aziz. Anwar tentu marah apabila Zaid Ibrahim mencadangkan supaya Nik Aziz dilantik sebagai ketua kepada Pakatan Rakyat. Zaid menyebabkan Anwar semakin pening kepala.
Sebenarnya banyak isu yang menjadikan pembangkang menjadi pening kepala. Kalau diikutkan, BN boleh mengeksploitasinya supaya 'persepsi buruk' terkena kepada pembangkang. Hari ini sahaja, YB dari Bandar Kucing (DAP) bawa usul di parlimen agar gaji Tan Seri Nor Yaakop Menteri di JPM dipotong sebanyak RM10. Tujuannya ialah untuk memberi persepsi buruk terhadap kerajaan. Alasan beliau ialah ada peruntukan yang sepatutnya dihantar ke bandar Kucing tetapi di hantar ke kawasan parlimen lain dan digunakan pula untuk baik pulih masjid. Dia kata tidak adil.
Tetapi apakah jawapan YB Bandar Kucing itu apabila Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga dari DAP menyampaikan bantuan fakir miskin orang Islam dari Tasek Gelugor di tempat lain iaitu di Tokong Cina Teluk Air Tawar. Untuk fakir miskin Bagan pula diadakan di Tokong Cina depan mahkamah. Apakah ini betul. Apakah persepsi rakyat di Pulau Pinang. Bolehkah ia menjadi negatif kepada Pakatan Rakyat di Pulau Pinang? Semoga rakyat semakin cerdik menilainya.
Terima kasih.


















Tuesday, November 10, 2009

Pindaan Akta DBP elak bahasa rojak

KUALA LUMPUR — Pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 akan dibawa ke kabinet sebelum dibentang ke Parlimen pada tahun depan bagi memberikan penguatkuasaan kepada badan itu dalam memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.
Beliau berkata draf pindaan Akta DBP 1959 itu sedang disemak oleh Penasihat Undang-undang Kementerian Pelajaran. "Bahasa rojak kini semakin menggerunkan kita, saya semakin risau dengan masalah ini, dan melihat kepada penggunaan bahasa Melayu yang semakin parah di dalam masyarakat.
"Jika sebelum ini DBP tidak berpeluang untuk menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu dalam masyarakat, dengan pindaan ini diharap keadaan tersebut berubah,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan sambutan Hari Kualiti DBP di sini hari ini.

Thursday, November 5, 2009

Bantuan: Sistem e-Kasih tentukan kelayakan pelajar

KUALA LUMPUR – Sistem e-Kasih akan tetap menjadi panduan utama dalam menentukan seseorang pelajar itu layak menerima bantuan kewangan atau sebaliknya.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, sistem Jabatan Perangkaan Negara itu lebih adil kerana berjaya menghakis ketirisan dalam mengeluarkan wang untuk bantuan pelajar sekolah.
Katanya, ia terbukti berjaya apabila berdasarkan Bajet 2010 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, kerajaan hanya mengeluarkan sejumlah RM2.8 bilion berbanding RM3.6 bilion bagi 2009.
“Sebelum ini, bantuan disalurkan melalui Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin berjumlah RM650,000 tetapi kita belanja lebih daripada itu sehingga mencecah RM400 juta.
“Ia berlaku kerana pada waktu itu pelajar yang layak mendapat bantuan dikenal pasti oleh pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan disahkan penghulu atau ketua kampung,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff (PKR-Balik Pulau) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Mohd. Puad berkata, antara kriteria penerima bantuan itu ialah warganegara Malaysia, bersekolah di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan, mempunyai kelayakan khusus mengenai jenis bantuan dan tiada sempadan politik.
“Semua pelajar turut layak mendapat bantuan lain seperti yuran peperiksaan awam yang melibatkan perbelanjaan RM219 juta, yuran asrama dan makanan asrama.

Wednesday, November 4, 2009

Empat sub NKRA pendidikan tumpuan RMK-10

SUBANG JAYA - Perancangan pendidikan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) ditumpukan kepada empat sub Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang ditetapkan bagi pendidikan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, empat sub NKRA itu ialah memperluas dan memantapkan pendidikan prasekolah, meningkatkan kadar literasi dan numerasi, mewujudkan sekolah berprestasi tinggi dan guru besar berprestasi cemerlang.
Katanya, amat tepat jika peruntukan diperoleh kelak dilaburkan bagi keempat-empat sub NKRA itu kerana ia akan memberi kesan besar kepada pencapaian pembelajaran.
"Objektif pelaburan ini ialah memastikan murid mendapat pembelajaran optimum mengikut kemampuan mereka.
"Ia juga memberi sumbangan berguna kepada masyarakat dan negara hasil persekolahan dan pendidikan yang mereka peroleh," katanya.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Pembangunan Pendidikan RMK-10 di sebuah hotel di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi; Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr. Zulkarnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Mohd. Alimuddin Mohd. Dom.
Muhyiddin menambah, pihaknya akan menyediakan pelan perancangan pendidikan bagi RMK-10 bermula pada 2011, yang dirangka bagi membangunkan model ekonomi baru berasaskan inovasi, kreativiti serta nilai tambah tinggi seperti yang dinyatakan Perdana Menteri.
Katanya, bagi menjayakan misi membangunkan model ekonomi baru itu, aspek pembangunan modal insan dijadikan teras utama perancangan pembangunan pendidikan sepanjang RMK-10.
"Pembangunan modal insan dilaksanakan melalui pendekatan holistik merangkumi segala usaha meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran.
"Ini termasuk membentuk individu berintelek dalam bidang sains dan teknologi, menggilap keupayaan keusahawanan serta memupuk sikap, nilai dan etika positif," jelasnya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, RMK-9 yang berakhir tahun depan menyaksikan pelbagai kemajuan yang dicapai kementerian bagi melahirkan modal insan berkualiti.
Katanya, setakat ini 98 peratus projek pembangunan pendidikan dilaksanakan dengan 47 peratus daripadanya siap manakala selebihnya dalam proses akhir pelaksanaan.
"Bagi RMK-10, fokus kerajaan menjurus kepada perancangan berasaskan keputusan memastikan peruntukan sumber efisien dan pelaksanaan program pendidikan yang efektif," ujarnya.

128,000 mohon masuk SMKA setiap tahun

MUAR - Sebanyak 23 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dirancang dibina di seluruh negara dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) bagi melahirkan lebih ramai teknokrat Islam.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pihaknya menerima respons menggalakkan bagi usaha itu terutama daripada ibu bapa yang mahukan graduan Islam berkemampuan menguasai pelbagai bidang profesional.
"Mesyuarat bersama Bahagian Pendidikan Islam kementerian mengesyorkan 23 SMKA baru diwujudkan di seluruh negara.
"Kementerian akan berusaha untuk memenuhi permintaan ini namun pada masa sama mengimbangi keperluan pembangunan sekolah-sekolah lain terutama di kawasan pedalaman," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Graduasi Pelajar Tingkatan Lima SMKA Mahad Muar 2009 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muar, Bakri di sini semalam.
Pada majlis itu, 146 pelajar sekolah berkenaan menamatkan pengajian dengan 22 daripadanya menerima Anugerah Emas atas kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum.
Mohd. Puad berkata, sehingga kini, terdapat 55 buah SMKA di seluruh negara yang menempatkan 44,000 pelajar.
"Jumlah permohonan yang kita terima setiap tahun adalah 128,000 namun buat masa ini, kita hanya dapat menampung kira-kira 40,000 pelajar saja," katanya.
Beliau berkata, kementerian berharap SMKA di seluruh negara dapat menunjukkan prestasi cemerlang agar tersenarai dalam lingkungan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).
Dalam pada itu, Mohd. Puad memberitahu, kementeriannya pada tahun ini menyalurkan peruntukan RM281 juta bagi membiayai pengurusan sekolah-sekolah agama bantuan kerajaan di seluruh negara.
"Komitmen ini berterusan dan kerajaan akan sentiasa membantu Sekolah Agama Rakyat (SAR) serta Sekolah Agama Negeri yang berdaftar untuk bantuan kerajaan.

Jangan abai kebersihan masjid

BATU PAHAT - Jawatankuasa masjid digesa tidak mengabaikan kebersihan dan keindahan masjid terutamanya tandas dan bilik air. Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ini kerana aspek kebersihan bukan sahaja penting untuk kesihatan tetapi dituntut oleh Islam.
Menurutnya, pembinaan masjid yang besar dan indah tidak memberikan sebarang erti jika keadaan tandas dan sekelilingnya kotor dan tidak terurus.
"Pastikan masjid sentiasa berkeadaan bersih dan kemas agar kita dapat beribadat dengan selesa," katanya semasa merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Masjid Jamek Punggur Kecil, Rengit di sini kelmarin.
Pembinaan masjid berharga RM1.5 juta itu bagi menggantikan bangunan masjid lama yang telah usang dan tidak selamat digunakan.
Dalam pada itu, Mohd. Puad yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat mengingatkan kontraktor terbabit agar dapat menyiapkan masjid itu mengikut jadual yang ditetapkan oleh jawatankuasa berkenaan.
"Selain itu, kualiti pembinaan dan aspek keselamatan bangunan juga perlu diberikan keutamaan oleh kontraktor," katanya.
Pihaknya tidak teragak-agak untuk menyenaraihitamkan kontraktor yang didapati lewat menyiapkan sesuatu projek di kawasan Parlimen berkenaan, katanya.
"Ini kerana kelewatan menyiapkan projek akan merugikan rakyat dan kerajaan.

Kem latihan, pusat perkhemahan wajib didaftar

BATU PAHAT - Kem latihan dan pusat perkhemahan swasta yang menawarkan kemudahan kepada murid sekolah akan diwajibkan mendaftar dengan Kementerian Pelajaran.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zarkashi berkata, peraturan baru itu bagi membolehkan pihaknya membuat pemeriksaan dan memantau secara berterusan keselamatan di setiap kem atau pusat berkenaan.
Beliau berkata, langkah itu untuk memastikan hanya kem dan pusat perkhemahan yang diperakui selamat sahaja digunakan murid-murid untuk menjalani aktiviti kokurikulum.
"Pendaftaran boleh dibuat oleh pengusaha berkenaan di semua Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) di kawasan masing-masing," katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Masjid Jamek Punggur Kecil Rengit di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Ayub Jamil dan ADUN Senggarang, Jaafar Hashim.
Puad berkata, peraturan baru itu bagi memastikan tragedi jambatan gantung di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang, Kampar, Perak yang mengorbankan nyawa tiga murid baru-baru ini tidak berulang.
Menurutnya, ekoran tragedi tersebut, pihaknya kini lebih berhati-hati dan akan meneliti terlebih dahulu aspek keselamatan setiap kem atau pusat perkhemahan sebelum membenarkan murid menggunakannya.
''Jawatankuasa Teknikal Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) akan diminta menjalankan pemeriksaan tersebut,'' katanya.
Beliau berkata, hanya kem atau pusat perkhemahan yang diberikan perakuan selamat oleh Jawatankuasa Teknikal itu sahaja boleh digunakan pihak sekolah.
"Kini sampai masanya ciri keselamatan semua tempat ini diperiksa agar keselamatan murid-murid sentiasa terjamin," katanya.
Ekoran itu, beliau meminta sekolah yang telah menempah kem atau pusat perkhemahan untuk menjalankan aktiviti pada cuti sekolah hujung tahun ini agar mendapatkan pengesahan aspek keselamatannya terlebih dahulu.
"Jika tempat ini mempunyai perakuan keselamatan, maka ia boleh digunakan tetapi jika tidak aktiviti tersebut perlu ditangguhkan.