Monday, October 3, 2011

PEMBANGKANG CARI JALAN JAGA AIR MUKA

DUN Bentayan berada dalam kawasan Parlimen Bakri Johor. Kedua duanya dimenangi oleh DAP. Dalam PRU ke 12, mereka dianggap sebagai calon tangkap muat. Katanya, mereka sendiri macam tidak percaya bila diumumkan menang sehingga berkata 'aiyya gua menang kah'? Barangkali kerana terkejut, MP Bakri tersebut sampai lupa menghantar soalan Dewan, semasa sidang parlimen pertama diadakan.

Kini giliran ADUN Bentayan pula menconteng arang di muka DAP. Dia digantung enam bulan kerana pecah amanah. Sebab itu, bila dia buat lawak kononnya cuba dibeli oleh BN, tidak ada siapa yang akan percaya kepadanya. Kalau dia sendiri tidak ada kredibiliti, pecah amanah dan YB tangkap muat, maka berharga sangatkah ADUN itu untuk dibeli oleh BN?

Yang pasti, BN tidak akan melakukan politik tidak bermaruah itu. Keutamaan BN dalam transformasi politiknya ialah meletakkan 'winnable candidate' dalam PRU ke 13 akan datang. Zaman meletakkan calon tangkap muat atau calon 'liabliti' macam ADUN Bentayan sudah berakhir. Bakal calon BN pilihanraya akan datang perlu ada KPI sebelum terpilih.

Sebab itu dakwaan ADUN Bentayan wajar diketawakan. Rakyat lebih percaya, bahawa sebenarnya dia dibeli dan diupah oleh DAP untuk membuat dakwaan tersebut sebagai syarat untuk dilepaskan daripada penggantungan dan diterima semula sebagai ADUN DAP. Di samping itu, DAP jugai tertekan kerana kebiadapan Lim Guan Eng. Bila Sultan Johor murka dan rakyat juga turut marah, DAP bimbang matlamat untuk menawan lebih banyak kerusi di Johor akan terbantut.

Justeru, dakwaan ADUN Bentayan itu hanyalah usaha untuk menyelamatkan air muka Lim Guan Eng yang menjadi beban kepada Pakatan Rakyat. Ada kemungkinan juga, ADUN Bentayan berkenaan telah mengugut keluar parti dan menjadi ADUN Bebas. Maka untuk mengelak mala petaka tersebut, ADUN berkenaan dipujuk untuk membuat dakwaan karut itu.

Pokoknya, politik pembangkang masih mundur dan tidak terbuka. Mereka tetap menggunakan politik sentimen. Perbuatan Mat Sabu dan Lim Guan Eng adalah contoh terbaik. Mereka menganggap rakyat masih boleh diputarbelitkan. Sebab itu apabila berbagai lapisan rakyat bangkit marah terhadap isu Mat Indera dan tuduhan Bandaraya Johor Bahru tidak selamat, ia menjadi senjata makan tuan.

Pembangkang masih sukar menerima kenyataan terhadap transformasi politik oleh Dato Najib. Diperingkat awal Anwar menolak menyertai Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya. Pembangkang sebenarnya memang mengharapkan jawatankuasa ini tidak wujud. Mereka juga mengharapkan ISA tidak dihapuskan supaya isu ini boleh terus dieksploit dan sentimen rakyat dipermainkan. Mereka sebenarnya cukup yakin, Najib tidak akan berbuat apa apa terhadap tuntutan tertsebut. Apa yang berlaku adalah sebaliknya. Kini mereka lemas dengan transformasi yang dilaksanakan oleh Najib.

Menurut maklumat dalaman, hanya apabila beberapa peguam pro pembangkang mendesak supaya Pakatan Rakyat menghantar wakil ke dalam jawatankuasa Pilihan Khas tersebut, maka barulah Anwar bersetuju menyertainya. Menolak, bermakna imej pembangkang akan tercalar teruk. Sebagai 'damage control' dan menyelamatkan air muka, maka sepanjang perbahasan bermula hari ini, pembangkang mainkan isu supaya pilihanraya diadakan hanya selepas segala syor oleh jawatankuasa tersebut diterima, dilulus dan dilaksanakan. Jadi pembangkang masih mencari jalan untuk bermain politik.

Lim Kit Siang sebagai contohnya,masih memainkan isu Bersih dalam perbahasannya. Kenapa? Dia tidak mahu penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas itu akan menenggelamkan isu perhimpunan Bersih yang mereka dakwa telah berjaya menjatuhkan imej kerajaan. Yang mereka perjuangankan bukan penyelesaian. Mereka tidak mahu penyelesaian. Takut kehabisan modal.

Walau bagaimanapun ketika berbahas pada hari pertama di Dewan Rakyat hari ini, Anwar ditempelak oleh YB Gobalakrishnan bekas MP dari PKR sama ada Anwar dan Azmin Ali layak menjadi ahli dalam Jawatankuasa Pilihan Khas itu. Gobala mendakwa Anwar dan Azmin sendiri tidak bersikap adil dan menutup 160 aduan semasa pemilihan parti PKR yang lepas. Cakap tak serupa bikin.

Wednesday, September 7, 2011

MAT SABU: AYAM SABUNG PONDAN




Mat Sabu pernah digelar sebagai ayam sabung PAS. Dia menghentam siapa sahaja ikut sedap mulutnya. Dia pernah mencarut terhadap perangai Anwar. Tapi bab kata, kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa, PAS sedang menggali lubang kubur sendiri.

Sejak jadi Timbalan Presiden, ramai kawan dalam PAS merungut, Mat Sabu semakin tidak boleh dikawal. Mereka risau PAS bertukar wajah, daripada parti ulama’ kepada parti juhala’ (jahil), termasuk jahil sejarah. Tapi itulah Mat Sabu, suka berbohong dan layak menjadi pelakon tambahan kepada Anwar Ibrahim. Sebelum ini dia berlakon kononnya dilanggar kenderaan polis sehingga terpaksa berkerusi roda.

Dalam isu Bukit Kepong dia cuba berlakon lagi. Setelah menuduh anggota polis yang terkorban itu sebagai tali barut British, dia berlakon bawa peguam kononnya untuk saman kerajaan British kerana tidak bagi pampasan. Tapi kerana dia pelakon amatur, maka dia dihalau begitu sahaja oleh kaum keluarga yang sakit hati dengan kenyataannya.

Isu Bukit Kepong adalah isu pentafsiran sejarah. Ia layak dilakukan oleh mereka yang ahli padanya. Apakah Mat Sabu layak mentafsir sejarah? Mat Sabu adalah penglipurlara ceramah umum PAS. Dia ada rekod mentafsir apa sahaja termasuk agama atas kejahilan, nafsu politik dan mulutnya yang celupar.

Dia menuduh UMNO gali lubang kubur dengan merujuk buku ‘Pengukir Nama Johor’ yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor. Sedangkan penyunting buku berkenaan Prof. Bakar Hamid menjelaskan, penulis artikel mengenai Mat Indera iaitu Hj Ismail Adnan tidak membuat kesimpulan bahawa Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan. Menjadi persoalan juga, kerana dalam buku yang sama terdapat satu lagi artikel yang ditulis oleh Sahgidon Dirhan yang dengan jelas menyebut Mat Indera adalah pemimpin komunis Melayu yang kejam terhadap bangsanya sendiri. Kenapa Mat Sabu tidak merujuk artikel tersebut. Apakah dia baca habis buku tersebut sebelum buat kesimpulan.

Dia mengagungkan Mat Indera kononnya Mat Indera penentang British. Kita patut membezakan antara penentang British dengan pejuang kemerdekaan. Mat Indera memang penentang British tapi bersekongkol dengan pengganas komunis. Apa akan jadi kalau PKM menang. Apakah negara akan bebas merdeka daripada pengaruh Komunis Cina atau Russia? Bagaimana kedudukan Raja Raja Melayu dan agama Islam bila Malaysia menjadi republik. Mat Sabu dan Mat Indera memang bukan adik beradik. Tetapi mereka ada persamaan, iaitu matlamat menghalalkan cara. Itu yang bahaya.

Mat Sabu turut mengaibkan Dato On sebagai tali barut British. Oleh kerana Dato On pengasas UMNO, maka memburukkan Dato On boleh memburukkan nama UMNO. Dato On adalah tokoh yang menyedarkan rakyat tentang bahayanya Malayan Union. Dia berani menegur Raja Raja Melayu supaya memulaukan perjanjian tersebut. Dia menyatukan orang Melayu di bawah parti siasah UMNO untuk terus membantah Malayan Union. Apakah itu bermakna dia tali barut British? Itu yang membezakan dia dengan Mat Indera. Dato On pejuang kemerdekaan tulen, sebab itu dia menolak gagasan Melayu Raya puak kiri kerana tidak mahu duduk di bawah pemerintahan Sukarno.

Bukti jelas Dato On bukan tali barut British ialah apabila dia hadir mesyuarat membincangkan Perlembagaan Persekutuan 1948 atas tiket Presiden UMNO bukan sebagai Menteri Besar Johor yang dilantik British. Alasan beliau ialah mahu bebas bercakap dan memastikan isu kuasa Raja Melayu dikembalikan, dan British tidak meminggirkan hak istemewa Melayu dan agama Islam. Perlembagaan Persekutuan adalah simbol terkuburnya Malayan Union dan asas kepada Perlembagaan Persekutuan 1957. Apakah fakta sejarah ini perlu ditulis semula seperti yang diminta oleh PAS?

Sebab itu kalau betul Mat Sabu ayam sabung PAS, dia tidak perlu berdebat dengan Pemuda UMNO atau mencabar pula Timbalan Perdana Menteri. Semua orang faham lakonannya. Dia bukan mencari kebenaran. Dia mahu melepas tengkuknya. Dia sedar, dia tergali lubang kubur sendiri.

Isu sejarah melibatkan harga sesebuah bangsa. Kalau mahu mencari kebenaran berdebatlah dengan mereka yang arif. Samalah, kalau tidak mendalam tentang agama, rujuklah kepada alim agama. Maka dalam soal sejarah, sewajarnya dia berdebat dengan pakar sejarah seperti Prof Khoo Kay Kim dan Prof. Bakar Hamid yang membidas beliau. Yang penting dia tidak terus merapu, mengelirukan rakyat dan generasi akan datang.

Kalau dia tidak berani bersemuka dengan pakar sejarah, maka sahlah Mat Sabu bukan pencari kebenaran. Dia hanyalah pelakon dua kali lima seperti Anwar Ibrahim. Ini bermakna, Mat Sabu adalah ‘ayam sabung pondan’.

Wednesday, June 15, 2011

ANWAR 'OUT OF THE RACE'

Tali barut Anwar iaitu Lim Kit Siang dakwa BN sedang panik. Tetapi kenapakah perhimpunan Bersih pada 9 Julai 2011 mahu diadakan? Jawapannya amat mudah, iaitu pembangkang khususnya Anwar tidak yakin untuk menumbangkan BN melalui proses pilihanraya. Pilihan yang ada ialah tumbangkan BN melalui demonstrasi jalanan. Realitinya, pembangkang yang panik.

Anwar sendiri sedang mengejar masa. Dia sebenarnya 'out of the race' untuk menjadi Perdana Menteri. Justeru, dia perlu mencari jalan singkat lain untuk memenuhi cita cita menawan Putrajaya. Percubaan demonstrasi jalanan pada tahun 1999 gagal. Percubaan membentuk kerajaan 16 september juga gagal. Selain untuk mengalih perhatian terhadap isu mahkamahnya, maka perhimpunan Bersih adalah usaha kelam kabut untuk mengulangi perhimpunan Hindraf yang pada mereka membawa hasil sehingga berlakunya tsunami politik 2008.

Anwar 'out of the race' bukan sahaja kerana masalah peribadinya yang melonggok, tetapi kerana beberapa keputusan pilihanraya kecil mutakhir yang semuanya dimenangi BN. Sokongan kepada BN khususnya UMNO semakin bertambah. Begitu juga sokongan daripada pengundi muda. Kegagalan menawan Sarawak menghantui Anwar kerana PKR cuma menang tiga kerusi sahaja. PKR dapat kuah, DAP sapu bersih lauknya. Gejala 'defection' dalam parti menjadikan PKR parti minoriti dalam Pakatan Rakyat.

Untuk menutup malu di atas kekalahan tersebut dan mengalih perhatian terhadap isu perbadinya, maka perhimpunan Bersih dirancang. Perhimpunan itu juga ada muslihat lain. Iaitu mahu meneruskan perang polemik. Perang polemik diharap dapat memanjangkan jangka hayat politik Anwar. Dia dan pembangkang hidup atas isu. Isu dan polemik digunakan untuk mempermainkan sentimen rakyat. Dengan kata lain, momentum kebencian rakyat terhadap kerajaan BN mesti dikekalkan.

Perhimpunan Bersih dijadikan alat untuk mengekalkan momentum panas, marah, keliru, benci dan tidak tenteram. Sebab itu ia mahu diadakan di tengah kota dan di tempat yang sebok. Kalau diadakan dalam Stadium matlamat itu tidak akan tercapai. Nanti dikatakan syok sendiri. Oleh itu matlamat utama perhimpunan Bersih ialah supaya rakyat bangun seperti apa yang berlaku di beberapa buah negara Arab di mana rakyat memberontak di jalan jalan raya. Maka mudahlah kerajaan BN yang kembali mendapat sokongan rakyat ditumbangkan.

Inilah jalan singkat terbaru setelah jalan singkat sebelumnya seperti kerajaan 16 september gagal. Kejayaan perhimpunan sejuta Belia di Putrajaya dilawan dengan perhimpunan sejuta Bersih. BN menghimpunkan belia dengan cara yang positif, pembangkang menghimpunkan belia dengan cara yang negatif iaitu berdemonstrasi. Jelas sekali Anwar yang panik. Dia 'out of the race' untuk menjadi PM.

Monday, December 20, 2010

SIAPA SEBENARNYA PELESIT 3R

Guan Eng kata UMNO memperalatkan isu 3R iaitu race(kaum), religion(agama) dan Raja untuk kepentingan politik murahan.

Tetapi siapa yang berani menafikan DAP adalah parti perkauman. Hidup mati DAP adalah bergantung kepada putar belit mereka mempolitikkan isu 3R itu. DAPlah bapa salah guna 3R.

Keutamaan DAP ialah undi kaum Cina. Bolehkah mereka mendapat undi Cina tanpa menyalahgunakan isu 3R itu? Undi Melayu hanyalah bonus yang diperolehi melalui ehsan PAS dan PKR.

Menuduh penyokong BN dan mereka yang membaca akhbar Utusan Malaysia sebagai bukan warganegara tulen, samalah menuduh mereka itu sebagai pendatang dan penumpang. Mengenai majlis sambutan peristiwa hitam 13 Mei, DAP kena buyktikan siapa yang mahu merayakannya. Mengingati peristiwa sejarah itu sebagai muhasabah diri, apa salahnya? Bukankah kita pastut belajar dari sejarah.

DAP memang mahu memadamkannya daripada buku sejarah dan ingatan ramai, kerana DAP turut terlibat. Beberapa orang pemimpin DAP terlibat dalam perhimpunan meraikan kemenangan DAP dalam pilihanraya 1969 di mana sedikit sebanyak telah memanaskan lagi keadaan dan menjadi pencetus kepada peristiwa hitam itu.

DAP tidak henti henti menuduh 1Malaysia adalah tiruan kepada1 Israel melalui APCO. walaupun APCO menafikannya, tetapi mereka terus memainkan isu tersebut. Jangan kita lupa, DAPlah bapa peniru kepada satu fahaman yang berbahaya. Malaysian Malaysia yang dibawa oleh DAP adalah tiruan kepada Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh Lee Kuan Yew. Nama parti DAP itu sendiri mengambil semangat nama PAP Singapura.

Itulah DAP, parti itu akan terus hidup jika ia terus kekal sebagai parti perkauman. Jangka hayatnya bergantung selagi mana PAS dan PKR sedia diperbodohkan oleh DAP untuk memberi undi Melayu kepada parti perkauman itu.

Saturday, December 11, 2010

PKR: PARTI KELUAR RAMAI RAMAI

Prof Dr. Redzuan Othman dari Universirti Malaya mendedahkan sokongan terhadap parti PKR semakin merosot. Sebenarnya tidak ada apa yang mahu dihairankan dengan kajian tersebut. Centre of gravity kepada PKR ialah Anwar. Tiada Anwar maka tiadalah PKR.
Semakin banyak Anwar buat silap maka semakin merudumlah parti itu. Pendedahan wikileaks mengenai kes mahkamahnya menyebabkan Anwar bengang kepala. Ia disiarkan oleh akhbar di Australia. Harapkan pagar pagar makan padi. Anwar berharap MPs Australia pertahankan dia, tetapi sebaliknya berlaku. Kalau bersalah, Anwar menjadi liabiliti dan PKR akan gulung tikar.

Terbaru Anwar menjaja seorang senator Autralia ke parlimen untuk membela kes mahkamahnya. Tetapi semua orang tahu Senator Nick Xenaphon adalah penyokong kuat kumpulan gay di Australia. Itulah Anwar, apa sahaja yang boleh menguntungkan dia, akan digunakan, termasuk tokoh tokoh Yahudi Amerika.


Kini PKR dilanda sindrom baru 3F iaitu family, fraud(penipuan) dan forgery(pemalsuan). Semua orang tahu PKR adalah parti keluarga. Sebagai ketua umum beliau lebih berkuasa daripada isterinya Wan Azizah yang menjadi presiden. Sekarang anaknya Nurul Azizah (Naib Presiden) dan anak emasnya Azmin (Timbalan Presiden) turut mengukuhkan cengkaman Anwar dalam PKR.
Satu lagi center of gravity kepada PKR ialah hubungan baik antara DAP dan PAS. Kalau kedua dua parti itu bergaduh dan berpisah PKR akan bungkus. Anwar takut perkara ini berlaku. Ia bertambah rumit kerana hingga hari ini PR belum dapat didaftarkan. PR tidak ada piagam seperti BN. Segala galanya bergantung bagaimana Anwar bermain wayang.
Apabila Anwar kata Lim Kit Siang akan dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri, ramai pemimpin PAS membantah. Pada mulanya Nik Aziz sanggup bercanggah dengan Ketua Dewan Ulamak PAS, tetapi kemudiannya membuat u turn dengan mengatakan bahawa Lim Kit Siang layak tetapi mesti memeluk Islam dan tidak meninggalkan sholat.
Sudah tentu Lim Kit Siang dan orang Cina akan kecil hati. Sanggupkah Lim Kit Siang masuk Islam hanya kerana mahu menjadi Timbalan Perdana Menteri? Macam mana dia mahu masuk Islam, bila melihat perangai Anwar dan cara PAS berdakwah.
Semua ini menyusahkan Anwar dan kalau PAS dan DAP tidak lagi sanggup bertahan untuk berpura pura dan berlakon kononnya hubungan mereka erat, mimpi Anwar untuk menjadi Perdana Menteri akan musnah dan PKR akan menjadi 'Parti Keluar Ramai Ramai'.

Monday, December 6, 2010

CHUA SOI LEK: JUARA MCA ATAU JUARA RAKYAT.

Dalam Konvensyen BN yang lalu, Dato Seri Mohd Najib mengulas panjang mengenai 'winnable candidate'. Menurut beliau, calon tersebut tidak semestinya popular di dalam parti, tetapi popular di kalangan rakyat. Calon seperti itu akan diberi keutamaan. Justeru, Najib memberi amaran, jangan pilih calon hanya untuk menguatkan kedudukan Presiden parti, sedangkan calon itu tidak menang dalam pilihanraya.




Pepatah Melayu mengatakan, siapa makan cili maka dialah yang terasa pedasnya. Dalam konteks ucapan Najib itu semua pemimpin komponen di atas pentas bertepuk tangan tanda bersetuju dengan Najib, hanya Soi Lek yang yang tidak senyum dan tidak bertepuk tangan. Kenapa?




Terpilihnya dewan San Choon milik MCA sebagai tempat berlansungnya Konvensyen BN menunjukkan kesungguhan BN untuk bermuafakat. Malangnya tanpa mengira sensitiviti pihak lain Soi Lek meminta secara terbuka supaya UMNO tidak bersikap seperti 'Big Brother'. Dalam BN katanya tidak ada abang sulong atau adik bungsu. Dia turut menuntut supaya pemimpin UMNO jangan menggunakan perkataan 'ketuanan Melayu' kerana ia berkaitan dengan konsep hamba dan tuan. Dia juga meminta supaya sebarang polisi jangan di umum dalam MT UMNO atau Perhimpunan Agung UMNO.




Kalau Chua Soi Lek berkata demikian untuk tujuan menguatkan kedudukannya di kalangan ahli MCA dan menjadi popular hanya di dalam partinya, maka ia sudah bercanggah dengan apa yang disarankan oleh Dato Seri Najib. Sikap beliau tidak selari dengan Presiden parti parti komponen yang lain. Apa yang beliau katakan itu adalah 'unnecessary'. Tidak patut dan tidak perlu. Menunjuk keberanian di hadapan penyokong atas isu yang tidak wujud, tidak berbangkit dan tidak relevan amatlah tidak wajar dan tidak bijaksana.




Apakah UMNO bersikap 'big brother' yang mendiskriminasi dan menzalimi parti parti komponen yang lain. Sudah tentu tidak. Sebab itu UMNO sanggup mengorbankan banyak kerusi yang majoriti Melayu untuk ditandingi oleh calon dari parti komponan lain seperti MCA dan Gerakan. Lihat sahaja di Wangsa Maju, Bandar Tun Razak, Air Hitam, Labis, Simpang Renggam dan lain lain. Secara kebetulan kerusi yang dimenangi oleh UMNO lebih banyak, maka atas prinsip BN yang mengutamakan konsensus, permufakatan dan rundingan, maka Presiden dan Timbalan Presiden UMNOlah yang menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Itulah yang dipersetujui sekian lama.




Tidak wujud soal buli atau abang sulong yang zalim. Semuanya atas dasar muafakat sebab itu bukan mudah untuk mengagihkan kerusi di kalangan parti parti komponen yang begitu banyak. Dan bukan mudah pula untuk mengagihkan kerusi anggota kabinet walaupun ada parti tersebut kehilangan banyak kerusi di PRU ke 12 termasuk MCA. Dalam pilihanraya kecil Hulu Selangor walaupun ada desakan daripada pemimpin UMNO bahagian, kerusi itu tetap diserahkan kepada MIC dan UMNO bekerja kuat untuk memastikan kemenangan YB Kamalanathan. Dan ini turut dibuktikan di Batu SAPI. Walaupun Timbalan Ketua PBS Batu Sapi adalah Bumiputra Islam dan kawasan itu majoriti Bumiputra Melayu, calon berketurunan Cina daripada PBS tetap diberi keutamaan.




Bahkan untuk menyelamatkan BN, UMNO segera melakukan transformasi parti. Bukan untuk kepentingan UMNO seorang tetapi untuk kesinambungan tradisi perjuangan BN. Walaupun program 'Juara Rakyat' kurang dapat dokongan daripada beberapa rakan tertentu dalam BN, tetapi UMNO tidak pernah patah semangat untuk meneruskan dan menjayakannya. Chua Soi Lek harus melihat pendedahan Pengerusi SPR mengenai trend daftar pemilih di mana DAP lebih agresif berbanding dengan MCA. Apakah ia berpunca kerana UMNO bersikap 'big brother'?




Mengenai 'Ketuanan Melayu', istilah ini timbul apabila Dato Abdullah Ahmad bekas MP Kok Lanas membentangkan kertas kerja di Singapura. Dia menyebut tentang Malay dominance yang diterjemahkan oleh media sebagai ketuanan Melayu. Seorang penulis bukan Melayu pada tahun 2007 juga menulis mengenai 'Malay Hegemony' dan 'Malay Supremacy'. Ia turut diterjemahkan sebagai 'Ketuanan Melayu'.




Kenapa Soi Lek mahu melihat konsep itu dalam karangka barat yang dikaitkan dengan 'Lord and Serf' atau 'Master dan Slave'. Orang Melayu melihat ketuanan Melayu dalam karangka pemikiran orang Melayu yang berkaitan dengan bahasa, budaya, agama Islam dan kedudukan raja raja Melayu dan semunya itu dengan jelas termaktub dalam perlembagaan negara. Ia sama dengan perjuangan Soi Lek mengenai Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Bahasa Mandarin dan terbaru mengenai pengiktirafan sijil UEC. Apakah itu bukan perjuangan 'Ketuanan Cina'?
Maka kenapa pemimpin seperti Soi Lek mahu mempolimikkannya. 'Ketuanan Melayu' tidak ada kena mengena langsung dengan konsep 'supremacy atau hegemony'. Soi Lek patut menyalahkan dirinya sendiri kerana terperangkap dengan konsep yang cuba diputarbelitkan oleh Anwar Ibrahim.




Ketuanan Melayu tidak menghalang pun untuk kaum bukan Melayu berniaga, membeli tanah, termasuk hartanah. Kalau UMNO bersikap 'big brother' dan 'ketuanan Melayu' itu zalim bagaimana pula orang Cina lebih dominan berbanding dengan orang Melayu dalam bidang perniagaan?




Oleh itu di mana soal hamba dan tuan, atau 'big brother' yang arrogant yang dimaksudkan oleh Chua Soi Leki itu? Untuk memastikan kemenangan BN, apakah keutamaan beliau. Menjadi popular hanya di kalangan penyokong parti atau di kalangan rakyat keseluruhannya? Di situlah kejayaan Najib. Beliau serius mahu rakyat didahulukan. Menjadi juara rakyat adalah keutamaan. Sebab itu undi BN semakin meningkat di Manek Urai, Bagan Pinang, Hulu Selangor, Galas dan Batu Sapi. Itu tanda mereka menyokong kesungguhan Dato Seri Najib.




Semoga Presiden MCA itu tidak terperangkap dengan Anwar. Pada 14 April 2008 Anwar mengisitharkan PKR menolak 'Ketuanan Melayu' dan digantikan dengan 'Ketuanan Rakyat'. Dulu dialah yang lantang bercakap mengenai ketuanan Melayu. Sekarang dia mengaitkan ketuanan Melayu dengan konsep tuan dan hamba. Dia cuba membunuh UMNO dengan cara tersebut. Sedangkan dialah yang mempraktikkan dasar tuan dan hamba dalam PKR. Apakah Soi Lek tidak nampak itu semua.



Sunday, September 26, 2010

DILEMA ANTARA MALAY FIRST DAN MALAYFOBIA

Lim Kt Siang puji mereka yang berani mengistiharkan dirinya, 'i am Malaysian first, Malay second'. Iaitu mengutamakan dirinya sebagai rakyat Malaysia terlebih dahulu dan bangsa sebagai perkara kedua penting.



Isu ini mula dibangkitkan oleh Lim Kit Siang dalam sidang Parlimen yang lalu. Katanya dia sokong 1Malaysia, dengan syarat bangsa mestilah diletakkan sebagai perkara kedua, seperti 'i am Malaysian first and Chinese second'. Dia kemudian cabar penyokong kerajaan termasuk menteri supaya berani istihar diri mereka, iaitu i am Malaysia first and Malay second. Persoalannya, perlukah kita layan cabaran Lim Kit Siang itu? Perlukah isu ini dipolimikkan. Apa untungnya jika kita kata, ' i am Malaysian first and Malay second'.

Ia sama jika kita berdebat tentang mana dulu antara 'telor dengan ayam'. Kalau dibahaskan, maka ia tidak akan berkesudahan. Akhirnya akan terbitlah hujah hujah yang mencarut dan tidak rasional. Ia membuang masa dan tidak menyelesaikan sebarang masalah. Yang nyata, telor dan ayam sama penting. Kedua duanya disukai dan sama sedap. Matlamatnya ialah, apakah ianya sedap, mengenyangkan dan berkhiasat. Ia bertambah sedap jika kita pandai memasaknya dengan berbagai cara. Pokoknya ia bergantung kepada kebijaksanaan dan kebolehan manusia itu sendiri.


Apa salahnya kita mengaku, i am Malay first and Malaysian second. Negara dan bangsa tidak boleh dipisahkan. Bangsa adalah akar, sumber budaya dan jati diri kita. Tanpa akar dan jati diri, kita tidak dapat membentuk sebuah negara bangsa. Kalau kita sudah melupakan rupa bentuk dan jati diri bangsa, maka kita akan menjadi bangsa yang liberal, mudah dibeli, hilang jati diri, tidak berakal dan tidak berbudi. Bangsa seperti ini hanya melemahkan negara. Dia tidak tahu asal usulnya. Baginya apa pun tidak mengapa. Akhirnya bukan sahaja pemikirannya dijajah tetapi negaranya akan turut dijajah.


Sebab itu tidak salah seseorang itu mengaku diriny 'i am Malay first, i am Chinese first atau i am Indian first'. Semua memahaminya kerana dalam konteks Malaysia kepelbagaian adalah aset atau kekuatan dan bukannya liabaliti. Dalam konteks ini Dato Nik Aziz turut terperangkap, bila berkata dia tidak bangga mengaku dirinya sebagai orang Melayu. Dia lebih bangga dipanggil sebagai orang Islam. Apakah Nik Aziz lupa, dari segi fitrah, Allah turunkan manusia lebih dulu ke bumi sebelum Allah menurunkan agamanya. Allah menjadikan manusia berperingkat, berbangsa bangsa, lelaki dan perempuan supaya mereka mengenali antara satu dengan lain.


Ini yang dikatakan sebagai multi level identities atau pun hirarchy of identities. Sebab itu sebuah negara bermula dengan kampong, mukim, daerah, negeri dan kemudian barulah negara. Maka dia kena ingat akarnya yang bermula dari kampong. Jika tidak, dia sebenarnya meruntuhkan asal usulnya. Sebab itu mana mana pemimpin UMNO jika dia mengatakan dirinya sebagai Malaysian first, Malay second, sebenarnya dia menyanggah perlembagaan, perjuangan dan tujuan penubuhan UMNO itu sendiri.


Oleh itu cabaran Lim Kit Siang hanyalah merupakan satu perangkap halus. Malangnya sudah ada orang Melayu yang terperangkap. Sedangkan Lim Kit Siang sebagai individu yang melontarkan idea itu sendiri bersikap cakap tidak serupa bikin. Apa tidaknya, dia boleh kata, i am Malaysian first and Chinese second. Hakikatnya, tindak tanduk beliau lebih kecinaan iaitu 'i am Chinese first, Malaysian second'. Perjuangan politiknya tidak sama dengan apa yang dia laungkan. Semuanya bersifat perkauman. DAP hanya berminat dalam isu yang membabitkan satu kaum. Cukup jelas DAP menang kerana sokongan pengundi Cina. Tanpa undi Cina mereka tidak akan menang. Sebab itu mereka terus memainkan isu orang Cina, kerana itu sumber mereka meraih undi dan kemenangan dalam pilihanraya selama ini.
Apabila ada pemimpin Melayu yang menyatakan ' i am Malaysian first and Malay second', sebenarnya dia dilanda sindrom 'Malayfobia'. Sindrom 'Malayfobia' cukup bahaya dan boleh mengancam jatidiri bangsa. Wajar semua pihak membenterasnya.